Tuesday 24 November 2015

Strategi dan kelebihan persaingan (sambungan)


Entri: 9
Teks: Usry Abdullah
Foto:

Pada siri yang lalu  anda telah didedahkan tentang apa itu kelebihan persaingan (competitive advantage) dan mengapa setiap individu yang menjalankan perniagaan  perlu memastikan agar perniagaan mereka mencapai tahap ini.

Kelebihan persaingan ialah satu keadaan di mana perniagaan anda dapat menawarkan produk atau perkhidmatan yang mampu memberi kepuasan  kepada pelanggan  berbanding  produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga lain yang juga turut sama beroperasi dalam pasaran  tersebut. Walaupun mereka menjalankan perniagaan yang sama dan beroperasi dalam pasaran yang sama, namun dengan adanya kelebihan persaingan ini, perniagaan anda lebih menonjol berbanding perniagaan yang diusahakan oleh pesaing.

Pelanggan juga bersedia untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan pada harga yang ditetapkan. Walaupun  mempunyai pilihan lain, pelanggan tetap merasakan bahawa produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan itu  'berbaloi' dengan  wang yang dibelanjakan.

Menyorot kembali kes perniagaan nasi lemak yang dibincangkan dalam siri yang lalu, dengan mengamalkan atau mempraktiskan 'strategi tertentu' dalam perniagaan, anda akan dapat membina kelebihan persaingan dalam industri penjualan nasi lemak di hadapan kilang tersebut. Perniagaan anda mampu bertahan walaupun menghadapi persaingan dari beberapa peniaga lain yang juga menjual nasi lemak di hadapan kilang itu. Gerai anda masih menjadi  pilihan di kalangan pekerja  dan orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu. 

Kedudukan perniagaan anda dalam pasaran itu juga semakin kukuh dan ia  seakan menjadi satu 'halangan semulajadi' kepada peniaga baru yang berhasrat untuk turut sama berniaga nasi lemak di hadapan kilang tersebut. Di samping itu, dengan  mempunyai kelebihan persaingan ini, ia  memberi peluang untuk anda  menjana  pendapatan melebihi hasil yang diperolehi peniaga lain yang beroperasi di kawasan itu. Pengekalan pelanggan juga adalah tinggi. Pelanggan tetap dan pelanggan baru sentisa mengunjungi gerai anda saban hari.

Malangnya, disebabkan perubahan dalam pasaran, kelebihan persaingan yang dimiliki tidak mampu bertahan lama. Semua jenis perniagaan yang beroperasi dalam 'sistem pasaran terbuka' akan menghadapi situasi ini Perubahan dalam  pendapatan pengguna misalnya akan mempengaruhi corak perbelanjaan mereka. Citarasa dan trend perbelanjaan mereka  akan berubah seiring dengan tahap pendapatan yang mereka perolehi dan ini akan memberi kesan kepada  kelebihan persaingan yang perniagaan anda miliki. Di samping itu, kecenderungan peniaga lain untuk meniru produk atau perkhidmatan anda juga sedikit sebanyak boleh menghakis akan kelebihan persaingan yang anda miliki. Oleh itu, anda perlu sentiasa memantau keadaan ini supaya kelebihan persaingan yang perniagaan anda nikmati ini terus bertahan.

Bagaimana untuk mengekalkan kelebihan persaingan ini?

Di sinilah pentingnya anda mempunyai pengetahuan berkenaan strategi  dan pengurusan strategi. Dengan memiliki pengetahuan berkenaan strategi dan bagaimana mengurus strategi, ia akan membantu anda  untuk memahami dan menilai trend semasa dan menggunakan kekuatan yang dimiliki oleh syarikat anda untuk menyesuaikan perniagaan anda dengan perubahan  semasa. Di samping itu, dengan mempunyai kemahiran dalam mengurus strategi juga akan dapat memberi panduan kepada anda bagaimana anda boleh menggunakan sumber yang syarikat anda miliki bagi mencipta nilai dan membolehkan anda menghasilkan  produk atau perkhidmatan untuk ditawarkan kepada pelanggan.

Untuk mengekalkan kelebihan persaingan ini, anda disarankan agar memeriksa keberkesanan strategi yang dipratiskan ini dari masa ke semasa. Beberapa soalan tertentu biasanya akan ditanya semasa proses pemeriksaan akan keberkesanan strategi ini. Jika anda dapati strategi yang sedang diamalkan itu tidak lagi releven dan berkesan, anda dinasihatkan supaya merangka dan mempraktiskan strategi baru agar kelebiahan persaingan yang anda nikmati itu berkekalan. Untuk mengetahui bagaimana membuat pemeriksaan terhadap keberkesanan strategi yang anda amalkan dalam perniagaan, anda boleh pelajarinya dari buku 'Jom Bisness!' yang akan berada di pasaran sedikit masa lagi.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang. Wassalam. 

Saturday 21 November 2015

Strategi dan kelebihan persaingan.

Entri: 8
Teks: Usry Abdullah
Foto:  google image



Persaingan dalam dunia perniagaan adalah berterusan. Katakan pada hari ini anda berjaya memperolehi keuntungan lumayan hasil dari perniagaan yang anda jalankan, ia akan menarik minat individu lain untuk turut sama menjalankan perniagaan tersebut. Dengan ini persaingan mula wujud.

Contohnya, anda baru saja membuka perniagaan menjual nasi lemak di hadapan sebuah kilang. Pada mulanya mungkin anda seorang saja peniaga yang menjalankan perniagaan di hadapan kilang tersebut tetapi keadaan ini mungkin tidak kekal lama. Apabila ada individu lain yang melihat betapa majunya perniagaan anda itu  dan begitu mudahnya anda membuat keuntungan, beliau mula menaruh minat dan berhasrat untuk  turut serta  membuka perniagaan menjual nasi lemak di hadapan kilang tadi.  Sekarang anda sudah mempunyai seorang pesaing. 

Jika ada lagi  individu lain yang turut tertarik dengan kerancakan aktiviti perniagaan di kawasan itu, mungkin pada minggu berikutnya, akan muncul lagi dua atau tiga  gerai  baru yang turut sama menjual nasi lemak. Kesannya, persaingan di kawasan tersebut menjadi semakin sengit. Oleh itu sebagai peniaga yang mula-mula beroperasi di kawasan tersebut, anda perlu mencari jalan bagaimana untuk anda mengekalkan pelanggan  yang sedia ada dan membuat perniagaan anda berbeza dari peniaga lain yang turut beroperasi di kawasan itu

Dalam keadaan inilah anda perlu kepada  strategi kerana ia  dapat  membantu anda  membuatkan pelanggan sentiasa ingin berurusan dengan anda. Anda tetap mampu membuat mereka merasakan yang produk (nasi lemak) anda itu masih mampu memberi kepuasan kepada mereka  dan 'berbaloi'  dengan nilai wang yang dibayar. Walaupun ada  peniaga lain yang menjual  produk yang sama (nasi lemak) di hadapan kilang tersebut, pelanggan  tetap memilih nasi lemak anda sebagai menu sarapan mereka.  Apabila perniagaan anda telah mencapai tahap sebegini, ia boleh dikatakan bahawa  perniagaan anda telah mencapai tahap  ' kelebihan persaingan' (competitive advantages).

Kelebihan persaingan ialah satu keadaan di mana perniagaan anda mampu menawarkan  produk atau perkhidmatan yang dapat memberi nilai tertentu kepada pelanggan dan mereka juga bersedia untuk membayarnya pada harga yang anda tetapkan. Walaupun mereka ada pilihan dari peniaga lain  tetapi mereka tetap ingin  membeli produk atau perkhidmatan  anda.Kelebihan persaingan inilah yang menjadi matlamat setiap peniaga sama ada yang menjual produk atau menawarkan perkhidmatan kerana setelah mereka dapat mencapai tahap ini, barulah mereka boleh  membuat keuntungan melebihi peniaga lain yang turut sama beroperasi dalam pasaran tersebut

Bagaimana untuk mencapai kelebihan persaingan?
Untuk mencapai tahap ini,  anda hanya perlu  memahami tentang apa itu strategi dan bagaimana untuk menguruskan strategi, kemudiannya anda menyesuaikan strategi tadi  dengan model perniagaan  anda. Setiap organisasi atau perniagaan sama ada perniagaan kecil atau besar perlu  kepada prinsip pengurusan strategi ini dalam urusan seharian mereka. Namun disebabkan tidak mendapat pendedahan secara formal, ramai peniaga tidak mengendahkannya. 

Dengan menggunakan prinsip dan elemen yang terkandung dalam pengurusan strategi, seorang pengurus itu akan dapat membuat satu pelan tindakan bagaimana untuk beliau meletakkan syarikat atau perniagaannya seiring dengan perubahan persekitaran  di mana beliau beroperasi. Proses pembentukan stratagi ini mempunyai empat fasa iatu bermula dengan proses  membuat analisis  persekitaran,  merangka  pelan tindakan, melaksana pelan tindakan dan berakhir dengan aktiviti pemantauan untuk menilai akan keberkesanan tindakan tersebut. Keempat-empat fasa ini dinamakan model strategi (strategy framework).

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada entri yang akan datang.





Friday 20 November 2015

Pengenalan kepada strategi ( bahagian 6)

Entri: 7
Teks: Usry Abdullah

Pada siri yang lalu kita telah membincangkan tentang apa itu strategi dan apa  pula yang dikatakan pengurusan strategi (strategic management).  dari perbincangan tersebut, kita boleh katakan atau definisikan bahawa strategi - ialah satu pelan tindakan bagaimana untuk mencapai kejayaan atau bagaimana untuk menewaskan pesaing. Manakala pengurusan strategi pula adalah  keseluruhan proses yang  bermula dengan membuat analisis persekitaran, merancang dan merangka pelan tindakan, melaksana pelan tindakan  dan berakhir dengan memantau keberkesanan tindakan tersebut untuk mencapai objektif yang ditetapkan ( Hashim.,2008 dan Amason.,2011). 

General Sun Tzu  pernah berkata,"untuk memenangi satu-satu pertempuran, ia memerlukan kepada satu perancangan yang rapi. Ini adalah kerana dengan menyertai satu-satu peperangan, ia akan memberi dua kemungkinan kepada anda. Dengan menyertai peperangan, ia boleh mengakibatkan kemusnahan yang teruk kepada pasukan tentera dan negeri anda ataupun ia  memberi satu kejayaan yang besar kepada tentera dan negera anda keseluruhannya. Apabila general yang memimpin pasukan tentera anda itu bijak dan  mengamalkan strategi, pasukan pimpinan beliau sudah mempunyai 50% kebarangkalian untuk menang, manakala 50% lagi pula bergantung kepada keupayaan general tersebut pasukan  melaksanakan strategi  yang dirangka itu dengan jayanya.’’

Sebagaimana peperangan yang memerlukan kepada strategi tertentu, begitu juga dengan dunia perniagaan. Banyak kajian akademik yang dijalankan telah membuktikan bahawa dengan mempelajari pengurusan strategi secara lengkap, ia  boleh membantu  syarikat anda berkembang maju. Syarikat anda akan mempunyai kelebihan persaingan (competitive advantage). 

Dengan mempelajari pengurusan strategi juga, seseorang pengurus itu akan dapat membangunkan satu rangka kerja (framework) yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan dalam pengurusan organisasi atau syarikat beliau dengan lebih teratur berbanding pengurus yang tidak mempelajari pengurusan strategi. Malah beliau juga dapat membuat keputusan dengan lebih yakin berbanding individu yang tidak mempelajari tentang pengurusan strategi.

Di samping itu, dengan adanya kemahiran dalam pengurusan strategi, seseorang pengurus itu juga dapat meletakkan syrarikat atau perniagaan beliau dalam posisi yang selamat walaupun menghadapi persaingan sengit di dalam pasaran tersebut atau berlakunya perubahan dalam persekitaran industri yang diceburi. Dengan mempunyai kemahiran dalam pengurusan strategi, beliau  akan dapat mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam pasaran dengan lebih awal berbanding pengurus yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan strategi. Dengan kelebihan ini, beliau dapat membuat perubahan kepada syarikat  mengikut perubahan persekitaran berbanding pengurus yang tidak mempunyai asas tentang  pengurusan strategi.

Dari perbincangan kali ini dapat disimpulkan bahawa untuk berjaya di dalam sesebuah perniagaan yang anda jalankan memerlukan anda mempelajari tentang proses mengurus strategi. Strategi ini bukanlah satu penawar ajaib kepada setiap masalah perniagaan yang anda hadapi tetapi ia adalah satu langkah yang sistematik bagaimana anda membuat penilaian terhadap masalah yang dihadapi dan merangka satu pelan tindakan yang perlu diambil bagi menmgatasi masalah tersebut. Ia juga boleh diibaratkan seperti sebuah peta yang menunjukkan arah mana yang perlu anda ikuti sekiranya anda tersesat di satu negeri atau daerah asing. Dengan adanya peta, anda akan dapat samapai ke destinasi dengan lebih cepat dan selamat berbanding anda mengembara mengikut kata hati. Begitu juga dengan perniagaan. Perniagaan yang mempunyai strategi lebih mudah untuk mencapai objektif berbanding perniagaan yang dijalankan secara bidan terjun. 

Terdapat beberapa strategi asas yang biasa dipraktiskan oleh peniaga bagi membantu mereka mengelak dari berlakunya persaingan secara berdepan dengan pesaing yang turut sama beroperasi di dalam sesebuah pasaran. Untuk mengetahui berkenaan strategi-strategi asas ini untuk diadaptasikan ke dalam perniagaan anda, boleh anda dapati dari buku saya yang bertajuk 'Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran sedikit masa lagi. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang. 
Wassalam. 







Tuesday 17 November 2015

Pengenalan kepada strategi (bahagian 5)




Entri: 6
Teks: Usry Abdullah

Adalah menjadi impian setiap individu yang menjalankan perniagaan agar perniagaan yang beliau usahakan itu mampu untuk bersaing dan dapat bertahan dalam apa jua keadaan.  Di samping itu juga beliau ingin memastikan agar perniagaan yang diusahakan tidak menghadapi ancaman dari pesaing sama ada pesaing langsung atau pesaing tidak langusung.

Untuk menjadikan perniagaan beliau  maju dan berdaya saing, pengurus  perlu sentiasa peka kepada perubahan persekitaran dan beliau harus bijak membuat pengubahsuaian perniagaannya  mengikut perubahan persekitaran semasa. Proses mengenal pasti persekitaran, merangka strategi dan pelan perniagaan, melaksana  strategi yang dirangka  dan membuat penilaian atau menyemak hasil dari perlaksanaan strategi ini dinamakan pengurusan strategi (Strategic management). Sehingga kini, ahli akademik masih belum mempunyai kesepakatan berkenaan  definisi terbaik yang dapat mentakrifkan apa itu pengurusan strategi  ini.

Namun begitu, secara amnya ia  boleh dirumuskan sebagai -satu proses di mana sesorang pengurus itu mengekpoitasikan kelebihan yang dimiliki oleh syarikat/perniagaan beliau dan menggunakan kelebihan tersebut bagi merangka pelan tindakan untuk memastikan  syarikat/perniagaan beliau sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat mengekalkan daya saing ( Faulkner & Campbell.,2003, Lynch.,2000 dan Philip et al.,2010).

Dari kajian akademik yang dijalankan, didapati bahawa syarikat yang mengamakan pengurusan strategi dalam operasi mereka seharian akan menghasilkan prestasi yang memberangsangkan. Jualan syarikat mereka juga meningkat  dan pasaran produk mereka berkembang lebih pesat berbanding syarikat atau perniagaan yang tidak mengamalkan pengurusan strategi.

mengikut pakar strategi, untuk merangka strategi yang terbaik, ia perlu mempunyai tiga komponen utama. Komponen strategi ini adalah satu susunan prosedur atau ‘framework’  yang disusun secara sistematik . Setiap komponen itu pula perlu saling berkaitan atau mempunyai kesinambungan di antara satu sama lain. Komponen-komponen atau langkah yang perlu ada dalam ‘framework’  sesebuah strategi  ialah:

   Menetapkan objektif.
   Membuat pelan tindakan, 
   Menggagihkan sumber untuk menyokong pelan tindakan tersebut. 
Tanpa ketiga-tiga komponen asas ini, strategi  yang dirangka itu tidak dapat dilaksanakan. Jika ia dilaksana atau dipraktis pun,berkemungkinan hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan proses merangka strategi dan komponen-komponen strategi ini serta beberapa strategi asas yang biasa dipraktiskan di dalam perniagaan, anda boleh membacanya di dalam buku 'Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran sedikit masa lagi.




 

Saturday 14 November 2015

Pengenalan kepada strategi (bahagian 4)

Entri: 5
Teks: Usry Abdullah

Dari perbincangan kita pada siri yang lalu, kita telah ketahui bahawa setelah dunia menjadi semakin maju, peperangan bukan lagi menjadi satu cara untuk sesebuah kerajaan itu menunjukkan kekuatan mereka atau sebagai  cara mudah untuk menguasi sebuah kerajaan lain. Sebaliknya ia telah berubah  dari peperangan kepada perdagangan. Sesebuah negara itu akan dikira kuat dan hebat jika produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh mereka diterima dan diguna oleh kebanyakan penduduk dari negara lain. 

Semakin banyak negara dalam dunia ini menerima dan mengiktiraf  produk mereka, semakin kuat sesebuah negara itu di mata dunia. Jepun,misalnya telah muncul sebagai salah satu negara perdagangan terkemuka dunia dengan jenama Honda dan Toyota, manakala Korea pula dengan jenama Hyundai dan Jerman dengan jenama BMW. Masing-masing akan bersaing untuk menjadi yang terbaik atau terkuat  melalui produk atau perkhidmatan. Bukan lagi melalui penjajahan secara peperangan.
 
Di samping menjaga reputasi dan produk, syarikat-syarikat dari negara tersebut juga  mempunyai strategi yang tersendiri untuk bersaing di antara satu sama lain. Sebagaimana penggunaan strategi dalam peperangan, penggunaan strategi dalam perniagaan juga masih melibatkan peperangan. Tetapi kali ini ia bukan lagi peperangan melibatkan tentera tetapi ‘peperangan di antara akal dengan akal’ di antara seorang pengurus dengan pengurus perniagaan yang lain.

Cuma yang membezakan penggunaan strategi semasa peperangan berbanding penggunaan strategi dalam perniagaan ialah - strategi peperangan lebih mengutamakan cara  bagaimana untuk menghancurkan musuh. Sebaliknya penggunaan strategi dalam perniagaan pula adalah lebih kepada bagaimana seseorang pengurus itu mencari jalan bagaimana beliau boleh mengelakkan syarikatnya dari bersaing secara berdepan dengan pihak musuh (pesaing). Ini adalah kerana dengan bersaing secara berdepan dengan pihak musuh (pesaing), ia akan mengakibatkan  kerugian yang besar terutamanya jika syarikat kita hanya mempunyai sumber yang terhad berbanding syarikat pesaing. Banyak modal terpaksa dihabiskan untuk bersaing. Ini boleh mengurangkan keuntungan jika diteruskan untuk jangka panjang. Malah jika tersilap langkah, perniagaan yang diusahakan itu terpaksa ditutup kerana banyak modal digunakan untuk tujuan persaingan.
 
Untuk merangka strategi bagi mencapai objektif tersebut,  ahli akademik telah mengkaji  keberkesanan strategi yang digunakan oleh general-genaral terkenal seperti Sun Tzu, Xenophon, Clausewitz dan Moltke  semasa  peparangan dulu-dulu untuk diadaptasikan ke dunia perniagaan bagi membantu syarikat-syarikat ini bersaing. Proses mengkaji, mengubah, mengurus dan melaksanakan strategi ini diamakan pengurusan strategi (Strategic Management). Di sinilah lahirnya pakar-pakar startegi terkenal seperti Peter Drucer, Wren, Chandler, Ansoff dan Andrew yang telah banyak menyumbang idea dan konsep berkenaan strategi untuk diguna pakai oleh sesebuah syarikat untuk bersaing dan meluaskan  pasaran.




Friday 13 November 2015

Sambungan Strategi (bahagian 3)

Entri: 4

Teks: Usry Abdullah

Dari perbincangan sebelum ini kita telah mengetahui bahawa perkataan strategi adalah berasal dari perkataan Greek- 'stratego' yang memberi maksud kepimpinan. Konsep strategi ini juga mula diperkenalkan dalam bidang ketenteraan di mana ia melibatkan proses perancangan dan tindakan yang yang dilakukan oleh seorang general untuk memastikan kemenangan pasukan pimpinannya di medan pertempuran seperti peristiwa peperangan di antara Catharge melawan kerajaan Rom pada 216SM.

Tujuan strategi  diamalkan semasa peperangan ini adalah  untuk membantu general dalam membuat keputusan berpandukan  kepada penilaian beliau  terhadap kekuatan dan kelemahan pihak musuh dan keadaan persekitaran medan pertempuran. Strategi  akan membantu  general itu mencapai objektif yang ditetapkan, merancang pelan tindakan untuk mengelak dari seragan musuh dan mengatur serangan balas ke atas pihak musuh.

Pada zaman ini, peperangan bukan lagi menjadi satu cara untuk sesebuah kerajaan itu menewaskan kerajaan yang lain. Sesebuah kerajaan itu dikira kuat sekiranya mereka dapat menguasai pasaran dan produk atau pun apabila perkhidmatan mereka diterima oleh seluruh negara. Untuk mencapai objektif ini, strategi peperangan yang asalnya telah digunakan oleh general sewaktu menghadapi peperangan telah diubahsuai oleh pakar pengurusan dan strategi untuk dipraktiskan pula dalam dunia perniagaan.

Pengajian berkenaan pengurusan strategi ini mengambil masa yang lama sebelum ia diperkenalkan penggunaannya kepada kita pada hari ini. Berbanding dengan  bidang-bidang pengajian yang lain seperti bidang kewangan, ekonomi atau pemasaran, bidang pengurusan strategi ini diperkenalkan kepada kita agak lewat sedikit, iaitu  sekitar tahun 1980an. Malah konsep yang diguna pakai dalam bidang ini juga banyak bertindih dengan konsep  yang terdapat dalam bidang pemasaran, ekonomi, sosiologi dan psikologi (Hashim.,2008).

Antara mereka yang banyak berusaha mengadaptasikan strategi peperangan ke dunia perniagaan ini untuk dipraktiskan oleh  pengurus syarikat perniagaan ialah Henri Fayol, Peter Drucer, Wren, Chandler, Ansoff dan Andrew. Mereka inilah  antara penyumbang besar dalam bidang ini di mana merea telah mengkaji strategi-strategi yang diguna dalam peperangan pada masa lampau dan  kemudiannya mengadaptasikan startegi peperangan tersebut untuk diguna dalam dunia perniagaan.

Bermula dari sinilah wujudnya minat ahli akademik yang lain terutamanya ahli akademik barat untuk mengkaji  berkenaan pengurusan strategi ini seterusnya memperkealkan mata pelajaran pengurusan startegi di universiti-universiti di seluruh dunia termasuk Malaysia. Tujuannya ialah untuk membantu pegurus di syarikat-syarikat perniagaan untuk menguruskan perniagaan mereka dengan lebih teratur,membantu pengurus menghadapi persaingan dan  membantu mereka mengembangkan pasaran.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Wednesday 11 November 2015

Strategi (Bahagian 2)


Entri: 3
Teks: Usry Abdullah

Dari perbincangan sebelum ini, dapat dikatakan bahawa perkataan strategi ini selalu diguna oleh kita dalam kehidupan seharian. Ia tidak terhad kepada dunia perniagaan atau peperangan semata-mata, malah semasa bersukan atau berpolitik juga memerlukan kepada strategi. 
Oleh itu apa maksud  strategi ini sebenarnya?

Mengikut Kotler, Berger,dan Bickhoff(2010), tidak ada siapa pun yang tahu akan maksud sebenar perkataan strategi ini namun dari buku-buku pengurusan yang saya baca, terdapat beberapa definisi strategi yang boleh dikongsi bersama.

Mengikut Hashim(2008), Kotler et.al(2010), Zakaria (2010) dan Smith (2005), perkataan dan kosep strategi ini sebenarnya berasal dari perkataan Greek iaitu 'strategos' yang bermaksud 'kepimpinan'. Ia berkait rapat dengan bidang ketenteraan di mana ia menumpukan kepada proses merangka pelan tindakan bagaimana untuk menggunakan sumber (tentera dan peralatan perang) untuk mencapai kemenangan di medan pertempuran.
Dengan menggunakan strategi ternyata sesebuah pasukan tentera itu akan dapat  memenangi pertempuran yang mereka sertai walaupun bilangan mereka sedikit berbanding pasukan musuh. Antara kisah peperangan yang menarik untuk dikongsi bersama untuk memahami kepentingan strategi inia ialah peperangan di antara Cathage melawan kerajaan Rom pada 216SM di sebuah medan pertempuran bernama Cannae yang terletak dalam wilayah Itali.
General yang memimpin tentera Catharge pada masa itu  ialah Hannibal. Beliau hanya mempunyai 20,000 pasukan tentera sahaja tetapi dengan menggunakan strategi atau tipu helah, beliau berjaya mengalahkan tentera Rom yang seramai 72,000 orang.

Memandangkan pasukan pimpinan beliau adalah terlalu kecil bilangannya berbanding tentera Rom, Hannibal terpaksa merangka satu strategi. Beliau  memperdaya tentera Rom. beliau telah menyusun pasukan tentera pimpinannya seperti gambarajah di bawah:

Tentera Rom: Merah             Tentera Hanibbal: Hitam                  
Pasukan yang di hadapan sekali yang terdiri dari pasukan berkuda. Jumlah pasukan tentera tersebut seramai 1000 orang. Pasukan ini ditugaskan untuk mengacah/ mengganggu tentera Rom. Manakala pasukan lain termasuk pasukan infantri pula  menanti di kiri kanan di tempat tertentu sepanjang jalan.

Apabila tentera berkuda yang seramai 1,000 orang itu tiba di hadapan barisan tentera Rom yang sedang bersedia, mereka membuat bising dan mengacah untuk menyerang tetera Rom. Tentera Rom terus maju dan mula menyerang tentera Catharge. Tentera catharge berundur perlahan-lahan sambil mengajah supaya tentera Rom menegjar mereka.
Tetera  Rom tidak menyedari yang mereka sebenarnya telah termasuk perangkap. Semakin jauh mereka mengejar tentera Catharge, mereka sebenarnya semakin masuk ke dalam  lorong kepungan yang dirangka oleh Hannibal.  Seperti rajah di bawah:
       
Tentera Rom: Merah        Tentera Cathagae: Hitam
Apabila melihat kesemua tentera Rom telah memasuki perangkap yang mereka buat itu, Hanibbal mengarahka tentera  beliau yang berada di kdua-dua  sisi  menyerang serentak. Ini menyebabkan tentera Rom terpaksa berlawan dari tiga arah iaitu  kiri, kanan dan hadapan. 
Kesannya,tentera Rom  yang seramai 70,000 itu akhinya tingga 12,000 orang sahaja yang terselamat dan berundur.Tentera Catharge di bawah pimpinan Hanibbal berjaya dalam pertempuran ini.

Dari kisah peperangan tersebut, dapat dikatakan bahawa walaupun pasukan itu tidak mempunyai sumber yang cukup, tetapi jika mereka mempunyai strategi yang bagus, ia mampu memberi kejayaan.Begitu juga dalam kehidupan seharaian kita. Kita memerlukan kepada strategi tertentu untuk membantu kita membuat tindakan.




Monday 9 November 2015

Pengenalan kepada strategi

Entri 2

Teks: Usry Abdullah


Kita sering mendengar perkataan strategi. Perkataan ini adalah biasa dan sering diucap berkali-kali dalam kehidupan seharian. Bukan saja di kalangan peniaga  tetapi  di kalangan orang biasa juga. Kita mungkin pernah mendegar dialog-dialog yang diucapkan seperti di bawah:

Dialog 1.
"Tengok si Tipah tu, meniaga tak sampai dua bulan dah tutup. Itu sebab dia  tak belajar strategi berniaga la tu. Orang, kalau nak meniaga kena la kaji dulu pasaran semasa bukannya main pacak saja!".  Komen Kak Ani kepada  Mak Timah, salah seorang ahli  mesyuarat tingkapnya sambil mengunyah pelam muda yang dicicah campuran cuka,gula, garam, cili potong dan belacan di atas pangkin di bawah pokok mempelam di halaman rumahnya.

Dialog 2.
"Kamu, kalu nak berjaya dalam peperiksaan, kena la ada strategi belajar. "Study smart',bukannya 'study hard'. Tak perlu la kamu belajar teruk-teruk sampai  lebam biji mata sehingga lupa untuk keluar beriadhah. Otak kamu pun seperti komputer juga, jika terlalu panas silap-silap ia boleh meletup. Oleh itu kamu perlu berehat. Badan kamu pun  sama, perlu juga kepada pergerakan-pergerakan ringan supaya sendi-sendi kamu dapat bergerak bebas  di samping mengeluarkan peluh!" Bebel Pak Abu kepada anaknya sambil beliau menyedup vape.

 Dialog 3.
"Aku hairan la, kamu ni  rupa tak la 'handsome' kalau nak dibandingkan dengan Ramli, badan kamu pun kurus cekeding je aku tengok, pakaian pula tak mengikut trend semasa tapi boleh  pula kamu memikat Minah yang cantik dan digilai ramai tu. Bomoh mana yang kamu pergi jumpa ni?" Tanya Abu kepada Jusoh inginkan kepastian.
"Itu la kamu, kamu semua memandang aku dengan tak ada mata. Walaupun aku tak 'handsome' dan bergaya seperti Ramli atau Jali, tapi aku ada strategi. Aku tahu bagaimana nak membuatkan Minah tu  terpikat.Tak main la bomoh-bomoh ni. Itu semua khurafat!" Balas Jusoh. Abu tercegang.

Dari tiga senario tadi, perkataan strategi ini bukanlah asing kepada kita malah kita sentiasa menggunakannya dalam kehidupan seharian tanpa disedari. Ia bukan saja dipraktiskan dalam perniagaan, perlawanan atau peperangan, tetapi ia diguna dalam setiap aspek kehidupan seharian kita bagi mencapai  sesuatu objektif yang ditetapkan.

Oleh itu, apa yang di maksudkan dengan strategi? 
Untuk mengetahuinya, nantikan perbincangan selanjutnya berkenaan strategi ini dalam entri yang akan datang.

Selamat menyambut Deepavali kepada mereka yang beragama Hindu.



Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...