Friday, 20 November 2015

Pengenalan kepada strategi ( bahagian 6)

Entri: 7
Teks: Usry Abdullah

Pada siri yang lalu kita telah membincangkan tentang apa itu strategi dan apa  pula yang dikatakan pengurusan strategi (strategic management).  dari perbincangan tersebut, kita boleh katakan atau definisikan bahawa strategi - ialah satu pelan tindakan bagaimana untuk mencapai kejayaan atau bagaimana untuk menewaskan pesaing. Manakala pengurusan strategi pula adalah  keseluruhan proses yang  bermula dengan membuat analisis persekitaran, merancang dan merangka pelan tindakan, melaksana pelan tindakan  dan berakhir dengan memantau keberkesanan tindakan tersebut untuk mencapai objektif yang ditetapkan ( Hashim.,2008 dan Amason.,2011). 

General Sun Tzu  pernah berkata,"untuk memenangi satu-satu pertempuran, ia memerlukan kepada satu perancangan yang rapi. Ini adalah kerana dengan menyertai satu-satu peperangan, ia akan memberi dua kemungkinan kepada anda. Dengan menyertai peperangan, ia boleh mengakibatkan kemusnahan yang teruk kepada pasukan tentera dan negeri anda ataupun ia  memberi satu kejayaan yang besar kepada tentera dan negera anda keseluruhannya. Apabila general yang memimpin pasukan tentera anda itu bijak dan  mengamalkan strategi, pasukan pimpinan beliau sudah mempunyai 50% kebarangkalian untuk menang, manakala 50% lagi pula bergantung kepada keupayaan general tersebut pasukan  melaksanakan strategi  yang dirangka itu dengan jayanya.’’

Sebagaimana peperangan yang memerlukan kepada strategi tertentu, begitu juga dengan dunia perniagaan. Banyak kajian akademik yang dijalankan telah membuktikan bahawa dengan mempelajari pengurusan strategi secara lengkap, ia  boleh membantu  syarikat anda berkembang maju. Syarikat anda akan mempunyai kelebihan persaingan (competitive advantage). 

Dengan mempelajari pengurusan strategi juga, seseorang pengurus itu akan dapat membangunkan satu rangka kerja (framework) yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan dalam pengurusan organisasi atau syarikat beliau dengan lebih teratur berbanding pengurus yang tidak mempelajari pengurusan strategi. Malah beliau juga dapat membuat keputusan dengan lebih yakin berbanding individu yang tidak mempelajari tentang pengurusan strategi.

Di samping itu, dengan adanya kemahiran dalam pengurusan strategi, seseorang pengurus itu juga dapat meletakkan syrarikat atau perniagaan beliau dalam posisi yang selamat walaupun menghadapi persaingan sengit di dalam pasaran tersebut atau berlakunya perubahan dalam persekitaran industri yang diceburi. Dengan mempunyai kemahiran dalam pengurusan strategi, beliau  akan dapat mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam pasaran dengan lebih awal berbanding pengurus yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan strategi. Dengan kelebihan ini, beliau dapat membuat perubahan kepada syarikat  mengikut perubahan persekitaran berbanding pengurus yang tidak mempunyai asas tentang  pengurusan strategi.

Dari perbincangan kali ini dapat disimpulkan bahawa untuk berjaya di dalam sesebuah perniagaan yang anda jalankan memerlukan anda mempelajari tentang proses mengurus strategi. Strategi ini bukanlah satu penawar ajaib kepada setiap masalah perniagaan yang anda hadapi tetapi ia adalah satu langkah yang sistematik bagaimana anda membuat penilaian terhadap masalah yang dihadapi dan merangka satu pelan tindakan yang perlu diambil bagi menmgatasi masalah tersebut. Ia juga boleh diibaratkan seperti sebuah peta yang menunjukkan arah mana yang perlu anda ikuti sekiranya anda tersesat di satu negeri atau daerah asing. Dengan adanya peta, anda akan dapat samapai ke destinasi dengan lebih cepat dan selamat berbanding anda mengembara mengikut kata hati. Begitu juga dengan perniagaan. Perniagaan yang mempunyai strategi lebih mudah untuk mencapai objektif berbanding perniagaan yang dijalankan secara bidan terjun. 

Terdapat beberapa strategi asas yang biasa dipraktiskan oleh peniaga bagi membantu mereka mengelak dari berlakunya persaingan secara berdepan dengan pesaing yang turut sama beroperasi di dalam sesebuah pasaran. Untuk mengetahui berkenaan strategi-strategi asas ini untuk diadaptasikan ke dalam perniagaan anda, boleh anda dapati dari buku saya yang bertajuk 'Jom Bisness!' yang bakal berada di pasaran sedikit masa lagi. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang. 
Wassalam. 







No comments:

Post a Comment

Strategi perniagaan sewaktu ekonomi merudum

Sebagaimana yang pernah kita bincangkan dalam entri beberapa bulan yang lalu, keadaan persekitaran semasa menjadi salah satu dari fak...