Saturday, 21 November 2015

Strategi dan kelebihan persaingan.

Entri: 8
Teks: Usry Abdullah
Foto:  google image



Persaingan dalam dunia perniagaan adalah berterusan. Katakan pada hari ini anda berjaya memperolehi keuntungan lumayan hasil dari perniagaan yang anda jalankan, ia akan menarik minat individu lain untuk turut sama menjalankan perniagaan tersebut. Dengan ini persaingan mula wujud.

Contohnya, anda baru saja membuka perniagaan menjual nasi lemak di hadapan sebuah kilang. Pada mulanya mungkin anda seorang saja peniaga yang menjalankan perniagaan di hadapan kilang tersebut tetapi keadaan ini mungkin tidak kekal lama. Apabila ada individu lain yang melihat betapa majunya perniagaan anda itu  dan begitu mudahnya anda membuat keuntungan, beliau mula menaruh minat dan berhasrat untuk  turut serta  membuka perniagaan menjual nasi lemak di hadapan kilang tadi.  Sekarang anda sudah mempunyai seorang pesaing. 

Jika ada lagi  individu lain yang turut tertarik dengan kerancakan aktiviti perniagaan di kawasan itu, mungkin pada minggu berikutnya, akan muncul lagi dua atau tiga  gerai  baru yang turut sama menjual nasi lemak. Kesannya, persaingan di kawasan tersebut menjadi semakin sengit. Oleh itu sebagai peniaga yang mula-mula beroperasi di kawasan tersebut, anda perlu mencari jalan bagaimana untuk anda mengekalkan pelanggan  yang sedia ada dan membuat perniagaan anda berbeza dari peniaga lain yang turut beroperasi di kawasan itu

Dalam keadaan inilah anda perlu kepada  strategi kerana ia  dapat  membantu anda  membuatkan pelanggan sentiasa ingin berurusan dengan anda. Anda tetap mampu membuat mereka merasakan yang produk (nasi lemak) anda itu masih mampu memberi kepuasan kepada mereka  dan 'berbaloi'  dengan nilai wang yang dibayar. Walaupun ada  peniaga lain yang menjual  produk yang sama (nasi lemak) di hadapan kilang tersebut, pelanggan  tetap memilih nasi lemak anda sebagai menu sarapan mereka.  Apabila perniagaan anda telah mencapai tahap sebegini, ia boleh dikatakan bahawa  perniagaan anda telah mencapai tahap  ' kelebihan persaingan' (competitive advantages).

Kelebihan persaingan ialah satu keadaan di mana perniagaan anda mampu menawarkan  produk atau perkhidmatan yang dapat memberi nilai tertentu kepada pelanggan dan mereka juga bersedia untuk membayarnya pada harga yang anda tetapkan. Walaupun mereka ada pilihan dari peniaga lain  tetapi mereka tetap ingin  membeli produk atau perkhidmatan  anda.Kelebihan persaingan inilah yang menjadi matlamat setiap peniaga sama ada yang menjual produk atau menawarkan perkhidmatan kerana setelah mereka dapat mencapai tahap ini, barulah mereka boleh  membuat keuntungan melebihi peniaga lain yang turut sama beroperasi dalam pasaran tersebut

Bagaimana untuk mencapai kelebihan persaingan?
Untuk mencapai tahap ini,  anda hanya perlu  memahami tentang apa itu strategi dan bagaimana untuk menguruskan strategi, kemudiannya anda menyesuaikan strategi tadi  dengan model perniagaan  anda. Setiap organisasi atau perniagaan sama ada perniagaan kecil atau besar perlu  kepada prinsip pengurusan strategi ini dalam urusan seharian mereka. Namun disebabkan tidak mendapat pendedahan secara formal, ramai peniaga tidak mengendahkannya. 

Dengan menggunakan prinsip dan elemen yang terkandung dalam pengurusan strategi, seorang pengurus itu akan dapat membuat satu pelan tindakan bagaimana untuk beliau meletakkan syarikat atau perniagaannya seiring dengan perubahan persekitaran  di mana beliau beroperasi. Proses pembentukan stratagi ini mempunyai empat fasa iatu bermula dengan proses  membuat analisis  persekitaran,  merangka  pelan tindakan, melaksana pelan tindakan dan berakhir dengan aktiviti pemantauan untuk menilai akan keberkesanan tindakan tersebut. Keempat-empat fasa ini dinamakan model strategi (strategy framework).

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada entri yang akan datang.





No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...