Thursday, 17 December 2015

Catatan pengalaman

Entri:14
Teks: Usry Bin Abdullah

Kali ini apa kata kita lupakan dulu cerita berkenaan strategi dan perniagaan.  Setelah 13  entri anda disajikan dengan cerita berkenaan strategi dan dunia perniagaan, apa kata kali ini sempena menyambut bulan kelahiran junjungan besar kita, Rasulullah S.A.W yang akan disambut seminggu dua lagi, kita keluar tajuk sikit. Kita bermuhasabah diri sambil mengimbau kenangan lalu.

Seperti  kalian, saya juga mempunyai pengalaman dan perjalanan hidup yang tersendiri. Semuanya sudah diatur dengan begitu rapi oleh yang maha esa. Setiap kejadian dan peristiwa dalam kehidupan  yang dilalui menjadi pengalaman dan pelajaran yang berguna buat saya. Ia juga menjadi panduan dan pedoman untuk mendidik anak-anak.

Berasal dari keluarga yang susah, saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti setelah tamat tingkatan 6. Ketika rakan-rakan lain menjejakkan kaki ke universiti, saya pula memohon mengikuti latihan Paramedik di sebuah Kolej Perubatan di sebuah negeri di Utara Semenanjung. Mengikut perkiraan kedua ibu bapa saya, sekurang-kurangnya bila habis belajar nanti, pekerjaan sudah sedia menunggu. walaupun gaji kecil, tapi cukup untuk menanggung diri dan bakal isteri pada satu hari nanti. Di samping itu boleh juga membantu meringankan beban mereka menyekolahkan adik-beradik yang lain. Diploma Pembantu Perubatan (sekarang dipanggil Penolong pegawai Perubatan) menjadi pilihan saya. Jadi pada Julai 1993, rasmilah saya menjadi salah seorang pelatih Pembantu Perubatan di kolej tersebut. 

Pada Julai1996 setelah tamat belajar, saya dilantik sebagai Pembantu Perubatan. Bertugas di unit kemalangan dan kecemasan di sebuah hospital yang terletak di ibu kota. Di sinilah banyak pengalaman pahit manis sebagai Pembantu Perubatan yang saya lalui demi mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Sebagai Pembantu Perubatan, 'port' atau stesyen kami adalah di kaunter penyaringan (Triage), bilik rawatan dan  bilik patah (Treatment, fracture & POP room), bilik resusitasi (Rhesusitation room) dan menjadi 'first responder'- iaitu mengetuai pasukan petugas ambulans bagi  mengambil pesakit, sama ada di tempat kemalangan atau di rumah apabila perkhidmatan kami diperlukan. Kami akan bertugas di bahagian atau stesyen tersebut secara bergilir-gilir supaya tidak jemu dengan tugasan yang sama. Di samping itu, kami juga akan mempunyai kemahiran yang pelbagai. 

Kes-kes  kecederaan atau kepatahan akibat dari kemalangan jalan raya, kederaan akibat menjadi mangsa rompakan atau ragut, kecederaan akibat pergaduhan berkumpulan dan kes-kes kecemasan yang lain seperti seragan jantung atau athma sudah menjadi 'makanan harian'  kami. Mencuci dan menjahit luka, membuat pembedahan kecil, membetulkan tulang yang patah dan memasang simen(POP) juga  menjadi tugas routin kami.

Kematian juga menjadi tontonan kami hampir setiap hari. Ia banyak mengingatkan kami supaya memperbanyakkan bekalan. Terutamanya amal soleh kerana pada bila-bila masa saja kita  boleh dipanggil menghadap sang pencipta. Bermacam-macam jenis kematian kami saksikan. Ada yang meninggal akibat serangan jantung, kemalangan jalan raya, tertimbus runtuhan bangunan, jatuh dari bangunan tinggi kerana bekerja demi  mencari sesuap nasi.

Malah ada yang sengaja mencari  mati  dengan cara mengantung diri, terjun ke dalam gaung dan ada yang berani membakar diri sendiri. Kematian yang paling sadis ialah mati kerana meminum racun rumpai. Ia saya katakan kematian  yang sadis kerana kebanyakan mangsa yang meminum racun ini tidak akan mati dengan serta merta selepas beberapa minit meminum racun, sebaliknya mangsa akan mati secara perlahan-lahan. Ada yang bertahan sehingga 3-4 jam dan ada yang terpksa menanunggu sehingga 3-4 hari sebelum mereka meninggal dunia. Objektif mereka untuk mati tetap tercapai tetapi siksa yang ditanggung juga terlalu azab.  Bayangkan betapa tension, takut dan berdebarnya mangsa tersebut menunggu saat kematian secara perlahan-lahan ini (Waiyyazubillah).

Namun yang paling menyentuh perasaan dan mengisafkan saya (semoga menjadi pengajaran untuk kita semua) ialah ketika menerima panggilan ambulan untuk mengambil mangsa yang dikatakan pengsan di sebuah  bilik hotel di Petaling Jaya. Setelah ditunjukkan bilik, kami (saya, pembantu kesihatan, pemandu ambulan dan seorang petugas hotel) memasuki bilik mangsa. Bila pintu dibuka, seorang lelaki Melayu  setengah abad dalam keadaan separuh bogel  terbaring di atas katil. Hanya tuala yang menutupi bahagian kemaluan beliau. Manakala pil ubat-ubatan  bertaburan disisi. Setelah diperiksa rupanya beliau telah meninggal dunia. Mungkin kepenatan ber...tut..tut..  dengan pasangannya (bukan isteri) dalam bilik hotel tersebut. Pasangannya telah lari meninggalkan bilik tersebut apabila didapati magsa sudah tidak sedarkan diri selepas selesai meminta petugas di kaunter menyambut tetamu menelefon ambulans. 

Manakala kes kedua yang menyentuh persaan dan menginsafkan saya dan rakan-rakan ialah ketika menerima panggilan untuk mengambil seorang anak muda berumur 20an yang juga dikatakan pengsan di sebuah rumah rumah bujang di Damansara. Setelah diperiksa, mangsa rupanya telah meninggal dunia. Saya meminta rakan mangsa membuat laporan di balai polis dan pihak polis telah membawa si mati ke hospital untuk dibuat post mortem. Mangsa dipercayai meninggal akibat terlebih mengambil dadah dan minuman keras (hasil keputusan sample darah yang dihantar ke makmal). Minta kes-kes sebegini dijauhkan dari anak-anak kita.

Setelah 8 tahun  bertugas di unit kemalangan dan kecemasan di hospital tersebut, saya mula merasa bosan dan ingin mencari pengalaman baru. Saya memohon  dan diterima bertugas di pusat rawatan haemodialysis di bawah Yayasan Buah Pinggang Malaysia dan ditempatkan di cawangan mereka di negeri Perak. Bertugas selama 2 tahun dengan syarikat tersebut, saya ditawarkan menjadi pengurus di sebuah pusat haemodialisis baru juga di negeri Perak. Saya kekal sebagai pengurus di pusat haemodialysis tersebut sehingga   ke hari ini. 

Dalam bidang ini juga terdapat banyak lagi  pengalaman dan pengajaran yang bakal dikongsi bersama anda untuk entri yang akan datang. Di sinilah  juga saya mula terdedah dan berminat dengan  dunia perniagaan. 




1 comment:

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...