Wednesday, 30 December 2015

Peniaga Kecil (Pengenalan)

Entri: 16
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google




Ramai yang mengimpikan untuk mempunyai sebuah perniagaan yang berskala besar. mengikut perkiraan mereka, perniagaan yang diusahakan secara besar-besaran ini pasti akan memberi pulangan yang besar juga. Bila sekali dapat buat ‘sale’ - mereka boleh menjana keuntungan  beribu ringgit, malah ada yang mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Kisah kejayaan individu seperti Bill Gates, Donald Trump, Sony Morita dan Henry Ford sering dijadikan inspirasi untuk mereka berusaha setiap hari. Manakala untuk senarai jutawan Malaysia pula, nama-nama besar seperti Tan Sri Syed Mohktar Al-Bukhari, Tan Sri Mustaffa Sri Mustapha Kamal, Tan Sri Ananda Krishnan, dan Tony Fernandez sentiasa meniti di bibir masing-masing dan selalu dijadikan contoh sebagai pembakar semangat untuk mereka berusaha. Malah cara individu-individu itu menjalankan perniagaan juga menyebabkan minda kita sentiasa berfikir untuk meniru cara pemikiran, tindakan dan gaya mereka dalam berbisnes. Lantaran inilah ramai yang berhasrat untuk membuka perniagaan yang berskala besar sahaja sehingga terlupa bahawa perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan juga sebenarnya mampu menjana kekayaan.

Jika kita perhatikan di sekeliling, sebenarnya ramai peniaga yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga boleh hidup senang. Ramai di antara mereka yang  tidak pernah kenal malah tidak tahu pun siapa itu Donald trump, Sony Morita atau Walt Disney. Nama tan Sri Ananda krishnan pun mereka jarang mereka menyebutnya. Apa yang mereka tahu ialah apa kekuatan dan kelemahan yang mereka miliki. Dengan mengekspoitasikan kekuatan yang  ada dan memperbaiki kelemahan diri, hari demi hari mereka berusaha utnuk memajukan perniagaan yang diusahakan itu  walaupun terpaksa mengambil masa yang lama untuk menikmati kejayaan.

Walaupun perniagaan yang dijalankan mereka ini hanya memberi keuntungan yang tak seberapa, namun disebabkan mereka bijak 'mencari peluang' di tengah-tengah persaingan yang ada, mereka berjaya mengenal pasti kekosongan yang wujud. Mereka kemudiannya mengisi ‘kekosongan’ tersebut dengan menawarkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelanggan. 

Dengan keunikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dan dibantu pula oleh perlaksanaan strategi perniagaan berkesan, perniagaan mereka mula berkembang sedikit demi sedikit. Bermula dengan beberapa orang pelanggan yang kebiasaannya terdiri dari rakan  atau ahli keluarga terdekat, sedikit demi sedikit  perniagaan mereka mula dikenali oleh penduduk setempat. Lama kelamaan perniagaan yang diusahakian itu semakin dikenali dan berkembang. Bermula dengan keuntungan cuma puluhan ringgit, perniagaan itu mula  menjana keuntungan ratusan  sehari dan mencecah puluh ribu sebulan. Inilah keunikan perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan. Walaupun perniagaan seperti ini tidak menonjol dan tidak 'glamour' seperti peniaga bertaraf korporat, tetapi ia tetap mampu untuk memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Telah ramai mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini menjadi jutawan senyap.

Pepatah inggeris juga ada menyebut, " Better to start small and slowly grows then start big but at the end it burst".  Begitu juga falsafah yang dipegang oleh kebanyakan peniaga kecil ini. Bagi mereka adalah lebih baik mereka bermula secara kecil-kecilan dan menggunakan apa yang ada dahulu berbanding mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mengumpul modal bagi membolehkan membuka perniagaan secara besar-besaran namun kemudiannya hampa apabila peluang perniagaan yang dirancang itu sudah diambil atau diusahakan oleh individu lain.

Lantaran itu, walaupun mereka menghadapi masalah kekurangan   modal kerja tetapi dengan menggunakan  kebijaksanaan serta kepandaian mengurus di samping bijak mengeksploitasi peluang dan ruang yang ada di dalam pasaran, sedikit demi sedikit mereka cuba membina perniagaan tersebut  sehingga ia berkembang berbanding  mereka mengambil masa yang lama untuk mengumpul modal bagi membuka sebuah perniagaan secara besar-besaran tetapi akhirnya terpaksa menepuk dahi dan menyesal di kemudian hari kerana idea perniagaan dan  peluang itu diambil dan diusahakan oleh orang lain.


Kepada mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini, masalah kekurangan modal bukanlah menjadi satu halangan untuk mereka berjaya dalam perniagaan yang diusahakan itu. Malah masalah ini dijadikan sebagai peluang untuk mendorong mereka berusaha dengan lebih gigih lagi. Mereka sedar dan tahu bahawa faktor modal bukanlah  penentu kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan. Mereka tahu bahawa terdapat lagi elemen-eleman atau faktor lain  yang diperlukan untuk  memastikan perniagaan yang diusahakan itu berdaya majuElemen-elemen tersebut ialah:
i) Kemahiran dan kebolehan mengurus
ii) Kebijaksanaan merangka dan mempraktiskan strategi 
iii) Kebolehan dan kebijaksanaan membuat segmentasi pasaran.
iv) Kebolehan menarik  dan mengekalkan pelanggan.

Dengan mempunyai keempat-empat elemen ini, ia  mampu memberi kelebihan kepada perniagaan mereka. Malah mereka masih mampu untuk berdiri teguh dan melonjakkan perniagaan mereka di tengah-tengah persaingan  yang wujud, walaupun  beberapa rakan usahawan lain sudah kecundang atau gulung tikar

Oleh itu, adalah tidak salah jika anda juga meniru mereka ini dengan membuka sebuah perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan secara besar-besaran. Di samping dapat memastikan peluang yang ada di dalam pasaran itu  tidak terlepas ke tangan individu lain, sekurang-kurangnya ia juga boleh dianggap sebagai aktiviti 'test market' atau langkah permulaan untuk anda memperkenalkan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan di luar sana.

Dan yang lebih penting ialah anda dapat mengurangkan risiko yang bakal ditanggung sekiranya anda dapati bahawa anda telah tersilap membuat keputusan untuk membuka perniagaan tersebut. Dengan ini anda boleh berhenti pada bila-bila masa saja dari menjalankan perniagaan itu dan anda juga hanya mengalami kerugian yang kecil saja berbanding anda terus membuka sebuah perniagaan  yang berskala besar. Kerugian yang ditanggung juga adalah besar sekiranya anda tersilap membuat perkiraan dan kemudiannya berhasrat untuk menutup perniagaan yang sedang anda jalankan itu.

Tambahan pula dunia perniagaan  tidak pernah kenal akan erti belas kasihan kepada mereka yang baru hendak belajar atau  yang ingin berjinak-jinak dengannya. Ia tidak pernah memberi peluang kepada mereka yang tersilap dalam membuat perhitungan. Jika sekali anda tersalah langkah, kerugian bakal menanti anda. Tidak ada istilah 'trial-and-error' dalam dunia perniagaan ini. Ia adalah 'one way street'. Jika anda tersilap membuat keputusan, anda akan menanggung akibatnya dan anda tidak boleh berpatah balik.

Bermula sekarang, lemparkanlah jauh-jauh persepsi negatif terhadap mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini. Janganlah menganggap bahawa mereka menjalankan perniagaan seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pilihan. Sebaliknya jika dilihat dari sudut positif, walaupun perniagaan kecil-kecilan ini nampak ringkas namun ia mampu memberi kekayaan kepada mereka yang mengusahakannya. Malah mengikut laporan dari Utusan Sarawak (2013), 40% daripada KDNK negara pada tahun tersebut adalah datangnya daripada aktiviti yang dijalankan oleh peniaga kecil ini. Untuk mempelajari bagaimana merancang dan membina sebuah perniagaan yang berdaya saing dan menjadikan diri anda sebagai seorang 'rebellion entrepreneur', anda boleh dapatkan buku Jom Bisnes! yang telah pun berada di pasaran.

Sekian untuk kali ini. 

No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...