Sunday, 24 January 2016

Kegagalan dalam perniagaan di kalangan peniaga kecil

Entri: 20
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Hasil kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar pengurusan  seperti Philip Kotler, Malcom Mc Donald, Harper dan Mark Hoxie, mendapati kebanyakan perniagaan yang dibuka belum pasti mampu bertahan untuk tempoh 3-4 bulan akan datang. Malah yang paling megejutkan ialah, kebanyakan perniagaan yang diusahakan oleh peniaga kecil dan sederhana (SMEs) ditutup seawal sebulan selepas mereka beroperasi (Hatten.,1997).

Secara amnya faktor kegagalan perniagaan yang berlaku di kalangan peniaga kecil ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian   iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. 

Faktor dalaman adalah faktor yang melibatkan diri usahawan dan organisasi mereka sendiri. Manakala faktor luaran pula adalah faktor yang tidak boleh dikawal oleh usahawan itu seperti faktor ekonomi semasa, faktor sosial dan polisi kerajaan.

Untuk entri kali ini,saya akan kongsikan dengan anda beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan perniagaan terutamanya peniaga kecil di Malaysia hasil kajian yang saya jalankan ke atas peniaga-peniaga kecil.

Antara  faktor yang menyumbang kepada kegagalan mereka ialah.

1. Ketidak cekapan dalam membuat pengurusan.
Faktor ini merupakan faktor utama kepada kegagalan  perniagaan yang dialami di kalangan peniaga kecil.  Sebagai seorang usahawan, mereka sepatutnya  boleh menjalankan fugsi sebagai  pengurus, ketua dan perancang yang hebat. Mereka juga boleh menilai sesuatu peristiwa atau perubahan yang berlaku dalam industri yang diceburi. Namun disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan dan pengalaman, mereka sukar untuk memikul tanggungjawab tersebut dengan jayanya. 

Di samping itu, memandangkan majoriti peniaga kecil  ini menghadapi masalah kekurangan modal kerja, mereka juga tidak mampu untuk mengupah atau mendapatkan khidmat nasihat dari pakar-pakar perniagaan seperti  pakar pengurusan, pemasaran dan perakaunan untuk membantu mereka menghadapi perubahan persekitaran dalam industri yang diceburi.
 
Disebabkan masalah ini, mereka terpaksa membuat keputusan mengikut emosi dan intuisi sendiri berdasarkan kepada pengalaman yang mereka ada.Hasilnya, keputusan yang dibuat tidak tepat dan menyumbang kepada kegagalan.

2. Lemah dalam pengurusan kewangan.
Kebanyakan peniaga kecil tidak begitu menitik beratkan berkenaan urusan keluar masuk wang yang mereka perolehi setiap hari. Mereka juga tidak suka membuat catatan keluar masuk wang perniagaan dan menganggap urusan mencatat keluar masuk wang ini sebagai kerja yang remeh. 

Malah ada juga di kalangan peniaga yang mencampurkan modal perniagaan mereka dengan wang untuk kegunaan harian. Dengan ini mereka tidak dapat memastikan berapa modal yang telah dikeluarkan dan berapa keuntungan yang telah diperolehi. 

Kesannya, ramai yang dari kalangan usahawan ini tersalah membuat perkiraan kos  sehingga terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menampung perbelanjaan perniagaan mereka. Ada  pula usahawan yang terlebih berbelanja untuk urusan peribadi dengan menggunakan wang modal perniagaan. Masalah Ini juga telah menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan modal kerja dan seterusnya menyumbang kepada kegagalan dalam perniagaan  mereka.

3. Kekurangan modal.
Masalah ini sering berlaku di kalangan peniaga kecil bumiputra terutamanya peniaga Melayu.  Kebanyakan  peniaga Melayu tidak  mempunyai  modal pusingan yang cukup berbanding peniaga bukan  bumiputra. Majoriti dari kalangan mereka membuka  perniagaan dengan modal yang kecil hasil dari  wang simpanan atau pinjaman dari saudara dan kawan-kawan. 

Masalah kekurangan modal Ini akan menyukarkan seseorang usahawan itu untuk mengembangkan perniagaan mereka. Sebagaimana yang diketahui, salah satu langkah untuk memperkenalkan perniagaan anda kepada pelanggan ialah melalui aktiviti pengiklanan. 

Tanpa iklan dan promosi, jiran sebelah rumah pun tidak akan menyedari yang anda ada menjalankan perniagaan. Namun, disebabkan peniaga kecil ini mempunyai modal pusingan yang terhad, mereka tidak mampu untuk membuat aktiviti promosi

Mereka terpaksa menghadkan perbelanjaan  pengiklanan walaupun menyedari bahawa aktiviti tersebut membuka peluang kepada bakal pelanggan mengenali apa perniagaan yang sedang mereka jalankan.

Faktor akan menyebabkan usahawan tersebut menjadi lemah semangat  dan seterusnya mengagalkan perniagaan yang sedang dijalankan. 

4.Perbelanjaan yang berlebihan.
Disebabkan perasaan tamak dan  ingin mendapat hasil atau pulangan yang cepat, ada juga di kalangan peniaga kecil ini tidak membuat perkiraan dalam setiap perbelanjaan atau pelaburan yang mereka lakukan. 

Walaupun perbelanjaan atau pelaburan  adalah penting untuk mengembangkan perniagaan tetapi jika anda terlebih membuat perbelanjaan dan perbelanjaan tersebut pula tidak membantu dalam meningkatkan jualan, ia akan menyebabkan perniagaan  anda akan mengalami masalah modal pusingan. Seterusnya akan menyumbang kepada kegagalan perniagaan. 

Antara jenis perbelanjaan yang boleh dielak  ialah  seperti menyewa rumah kedai  atau ruang niaga yang  mahal sewa bulanannya demi menjaga status atau terlebih membuat bajet  dalam aktiviti  pengiklanan sehingga memilih kesemua jenis medium pengiklanan, walaupun sesetengah medium  itu tidak sesuai dengan segmentasi pelanggan mereka.

Produk yag tidak memenuhi kehendak pelanggan
Harper (2008) pernah menulis dalam bukunya  bahawa untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan, anda perlu menjual produk yang diminta oleh pelanggan bukannya menjual produk yang anda ingin jual.

Kebanyakan peniaga kecil suka menjual produk yang mereka ingin jual tanpa membuat penyelidikan pasaran terlebih dahulu.

5. Khidmat pelanggan yang tidak bagus
Khidmat pelanggan yang tidak bagus juga boleh menyumbang kepada kegagalan dalam perniagaan yang anda usahakan itu. Jika anda tidak melayan pelanggan dengan mesra, ia akan menyebabkan pelanggan  lari dan enggan berkunjung semula  ke premis anda pada hari berikutnya.

Masalah Ini banyak terjadi  di kalangan peniaga kecil kerana mereka tidak mempunyai masa yang cukup dalam mempratiskan khidmat pelanggan ini disebabkan  sebok memberi perhatian kepada masalah urusan harian dalam perniagaan mereka. Walaupun aktiviti pemasaran yang anda lakukan mampu untuk menarik pelanggan baru berkunjung ke premis perniagaan anda, namun disebabkan khidmat pelanggan yang tidak memusakan, ia boleh menyebabkan pelanggan hanya datang berurusan sekali sahaja dengan anda

Pelanggan juga tidak sudi untuk memperkenalkan perniagaan anda kepada kawan-kawan yang lain. Ini menyebabkan peniaga anda terpaksa menghabiskan bajet untuk aktiviti pengiklanan sepanjang masa untuk memastikan perniagaan mereka dapat bertahan.  

Sepatutnya, selepas beroperasi melebih enam bulan, anda sudah tidak perlu aktif lagi dalam aktiviti promosi atau pengiklanan kerana anda sudah mempunyai beberapa orang pelanggan setia. Merekalah yang akan menjadi medium pengiklanan secara tidak langsung untuk perniagaan anda.  Mereka akan memperkenalkan perniagaan anda kepada keluarga dan rakan mereka. 

Namun, disebabkan anda tidak mementingkan tentang perkara ini, anda terpaksa menghabiskan bajet anda setiap bulan untuk aktiviti pengiklanan bagi mendapatkan pelanggan baru. Jika hasil dari aktiviti pengiklanan itu tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, anda bakal menghadapi masalah dan perniagaan anda mempunyai peluang cerah untuk ditutup.

Terdapat lagi beberapa faktor dan isu  lain seperti sifat dalaman usahawan itu sendiri, masalah persaingan dan isu ekonomi semasa yang boleh menyumbang kepada kegagalan di kalangan peniaga kecil ini. Kesemua faktor-faktor ini ada dibincangkan dalam buku yang bakal saya terbitkan nanti.



No comments:

Post a Comment

Cabaran peniaga internet

Ledakan dalam teknologi maklumat dan kadar penembusan internet di setiap rumah telah mencetus perubahan besar kepada kehidupan kita. Di M...