Saturday 20 February 2016

Perancangan dan kepentingan (siri 4)

Entri:24
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google Image

Dalam entri sebelum ini kita  telah membincangkan tentang kepentingan membuat perancangan yang sistematik dalam apa jua tindakan yang ingin kita lakukan, sama ada ia berkaitan dengan dunia perniagaan atau pun  aktiviti kehidupan kita seharian. 

Walaupun kejayaan atau kegagalan itu memang sudah  ditentukan oleh Allah, namun kita sebagai makhlukNya tetap diberi pilihan. Kita diberi peluang untuk memilih dan bertindak sebagaimana individu yang telah berjaya  bertindak . 

Salah satu ciri yang terdapat di kalangan individu berjaya ialah beliau  membuat perancangan terlebih dahulu sebelum bertindak. Kemudian, setelah  beliau bertindak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dalam pelan perancangan yang dibuat, barulah beliau  akan bertawakal dan berdoa ke hadrat semoga diberi kejayaan atas apa yang telah diusahakannya itu. 

Selagi tindakan beliau tidak sampai ke tahap tersebut, beliau menganggap bahawa  adalah sia-sia untuk berdoa dan bertawakal, sedangkan usaha yang dilakukan itu tidak setimpal dengan hasil yang diharapkan

Begitu juga apa yang ditekankan  semasa General Sun Tzu  sewaktu belaiu mengetuai pasukan tetera  pada tahun 512 SM dahulu.  Perkara pertama yang beliau tekankan untuk menjamin kemenangan  berpihak kepada pasukan pimpinan beliau ialah aktiviti membuat perancangan. 

Menurut Sun Tzu, " Apabila  sesebuah negara itu  ingin mengistiharkan peperangan dengan sebuah negara lain, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh raja yang memerentah negeri tersebut ialah mengarahkan  general yang bakal mengetuai pasukan tentera supaya membuat persediaan  selengkapnya terlebih dahulu sebelum melancarkan perang. 

General tersebut perlu memastikan bahawa tentera di bawah pimpinan beliau sudah cukup terlatih dan mempunyai senjata yang lengkap. 

Manakala pihak kerajaan pula perlu menyediakan perkhidmatan logistik yang cekap dan teratur untuk memudahkan kerja mengangkut bekalan dan tentera ke medan perang nanti. Di samping itu, sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan sepanjang peperangan itu berlangsung juga mencukupi. "

Menurut Sun Tzu lagi, tidak ada istilah bernasib baik atau akan berlakunya satu peristiwa  ajaib yang dapat memberi kemenangan kepada pasukan kita sewaktu berada di medan pertempuran. Mana-mana general yang cuai ketika membuat 'perkiraan' dan  persiapan, beliau perlu menerima hakikat bahawa tentera pimpinan beliau akan mengalami kekalahan.

Dari ungkapan Sun Tzu itu, boleh kita katakan bahawa untuk mencapai kemenangan dalam satu-satu peperangan, ia memerlukan  kepada perancangan yang rapi. Demikian juga halnya untuk berjaya dalam  perniagaan yang bakal anda usahakan. 

Ia juga perlu kepada aktiviti perancangan. Dengan membuat perancangan, ia akan memberi anda satu garis panduan bagaimana untuk bertindak dengan betul dan  menyesuaikan  perniagaan anda dengan persekitaran industri yang bakal diceburi (Mazzarol, Clerk dan Reboud,2014).  

Malangnya, dari kajian yang dilakukan oleh Emmis (1998), mendapati majoriti peniaga terutamanya peniaga kecil lebih suka membuat keputusan berdasarkan  'intusi'  berbanding menggunakan prinsip akademik. Kesannya, banyak kesilapan yang  dilakukan sepanjang mereka mengurus perniagaan dan seterusnya membawa kepada kerugian.  

Mengikut Marques et.al(2005), menjalankan sebuah perniagaan boleh juga diibaratkan seperti  anda bercadang untuk pergi melancong atau bercuti.  Ia  memerlukan anda membuat  perancangan terlebih dahulu ke mana destinasi yang ingin dituju dan bagaimana untuk sampai ke destinasi tersebut. Ia bukannya dengan hanya duduk berharap yang sesuatu keajaiban akan berlaku dan secara  tiba-tiba anda dapati diri anda sudah berada di destinasi pelancongan itu

Anda perlu membeli tiket bas atau kapal terbang, menempah penginapan dan melakukan perjalanan. Barulah anda akan sampai ke tempat pelancongan tersebut. Demikian halnya jika anda ingin berjaya dalam perniagaan. Anda perlu tahu  bagaimana untuk menyediakan sebuah rancangan perniagaan atau pelan perniagaan yang sistematik

Untuk menjadikan rancangan atau pelan perniagaan anda berjaya dan mencapai matlamatnya, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian. Faktor-faktor inilah yang akan menentukan bagaimana bentuk pelan atau rancangan perniagaan anda nanti. 

2 comments:

Akupenghibur.com said...

sangat baik penulisannya.. contoh yang bagus..

usryabdullah said...

Terima kasih.
Yang baik itu dari Allah, yang tersilap itu dari kelemahan saya.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...