Monday 28 March 2016

Kepentingan memantau persekitaran ( siri 3)



Entri: 30
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image


Bertemu kembali kita dalam perbincangan berkenaan strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Kita masih lagi meneruskan perbincangan tentang kepentingan membuat analisis persekitaran kepada peniaga. Sama ada yang sedang menjalankan perniagaan atau kepada bakal usahawan yang akan membuka perniagaan sendiri.

Dalam entri yang lepas, kita telah membincangkan bagaimana sesebuah entiti perniagaan itu tidak boleh berdiri dengan sendiri. Ia perlu berinteraksi dengan keadaan persekitaran untuk menjamin kesinambungan atau kelangsungan perniagaan mereka. 

Malangnya keadaan persekitaran  ini sentiasa berubah-ubah  mengikut faktor-faktor tertentu dan kesan dari perubahan yang berlaku ke atas persekitaran ini kemudiannya akan memberi implikasi kepada perniagaan anda, sama ada implikasi itu berbentuk positif ataupun pun negatif. 

Oleh itu, aktiviti memantau persekitaran adalah penting  kepada setiap usahawan atau bakal usahawan (Barksdale & Lund.,2008).  Dengan memantau  perubahan  persekitaran perniagaan secara berterusan dan berkala, usahawan itu akan dapat membuat tindakan yang sepatutnya bagaimana untuk menyesuaikan perniagaan  beliau mengikut perubahan  yang berlaku.

Sekiranya beliau gagal bertindak atau tersilap membuat tindakan atau bertindak dengan tidak mengikut 'arus perubahan' yang berlaku, perniagaan yang dijalankan itu akan kehilangan daya saing dan seterusnya akan menyebabkan perniagaan itu boleh terkeluar dari pasaran.

Antara tindakan yang boleh dilakukan oleh usahawan apabila berlakunya sebarang perubahan ke atas persekitaran perniagaan ialah dengan membuat pegubahsuian, sama ada dengan menukar strategi dan taktik yang sedang dipraktiskan atau pun  membuat perubahan terhadap barisan produk yang dijual sebagaimana yang telah  dibincang dalam entri sebelum ini.  
Tujuannya ialah supaya perniagaan beliau sentiasa 'fit' dengan keadaan persekitaran tersebut dan dengan ini perniagaan beliau  tidak terjejas. 



Persekitaran perniagaan boleh digambarkan atau dibahagikan kepada tiga bahagian atau lapisan  seperti gambarajah di bawah iaitu:
1. Persekitaran dalaman
2. Persekitaran mikro
3. Persekitaran Makro


Gambarajah Persekitaran perniagaan (google image)
Mari kita kenali persekitaran ini mengikut lapisan demi lapisan atau kategori demi kategori.


1) Lapisan yang paling dalam sekali adalah persekitaran yang paling rapat atau paling dekat dengan anda. Lapisan tersebut dinamakan persekitaran dalaman syarikat (yang berlabel The organization).  

Sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran dalaman syarikat ini akan 'memberi kesan serta-merta'  kepada operasi perniagaan anda  (Rothaermal., 2013 dan  Friend & Zehle.,2004).  Oleh itu anda perlu bertindak dengan segera untuk memperbaikinya.

Persekitaran dalaman  ini  terdiri daripada apa yang syarikat anda miliki seperti  kecekapan pekerja, kebolehan anda, semangat keusahawanan, daya kretiviti, jumlah modal dan sumber bahan mentah. Kesemua elemen ini akan menentukan kemampuan anda  untuk melaksana strategi dan taktik di dalam perniagaan yang anda usahakan. 

Contohnya, katakan seorang pekerja yang anda percayai tiba-tiba memberitahu yang beliau ingin berhenti secara mengejut. Jika beliau berhenti, ia boleh menyebabkan operasi perniagaan anda terganggu. Tambahan pula sebelum ini anda banyak bergantung kepada beliau. Jika tempat beliau tidak diganti dengan segera, anda pula yang terpaksa membuat kesemua tugas yang beliau tinggalkan itu sendirian. 

Oleh itu anda perlu bertindak dengan mencari pekerja baru seberapa segera supaya kelancaran perniagaan anda tidak terganggu.


2) Lapisan kedua yang letaknya di luar organisasi ini pula dikenali sebagai persekitaran mikro atau persekitaran industri. 

Ia boleh diibaratkan seperti persekitaran pekan, bandar atau  kampung tempat syarikat atau kedai anda beroperasi. Di dalam bandar atau pekan tersebut terdapatnya  pelanggan-pelanggan anda, pesaing anda dan syarikat yang membekal bahan mentah kepada anda. 

Sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran  ini akan memberi kesan  kepada perniagaan anda  biasanya dalam tempoh 1 - 2 minggu selepas berlakunya perubahan ke atas persekitaran ini.

Katakan anda seorang penjual ikan di sebuah pasar harian di sebuah pekan. Hari ini anda dapati harga ikan yang dibekalkan oleh pembekal/pemborong kepada anda adalah  mahal sedikit berbanding harga yang anda beli  semalam atau hari-hari sebelumnya.

Di sini anda mempunyai dua  pilihan iaitu anda tetap menjual ikan yang dibeli tadi  mengikut harga lama dan  sedia untuk 'menyerap' kenaikan harga yang anda beli dari pembekal tadi. Manakala pilihan kedua pula ialah anda mengambil keputusan untuk menaikkan harga ikan yang akan dijual kepada pelanggan anda seiring dengan kenaikan harga pasaran. 

Dalam situasi ini ia memerlukan anda bijak dalam membuat keputusan. Kedua-dua pilihan tersebut akan memberi implikasi  yang tersendiri kepada perniagaan anda. Namun, sama ada mahu atau tidak anda terpaksa membuat keputusan kerana  situasi kenaikan harga ikan ini akan menjejaskan keuntungan anda pada hari tersebut

Inilah contoh senario yang menunjukkan bahawa persekitaran industri mempengaruhi perniagaan anda. Oleh itu anda perlu membuat keputusan yang sesuai supaya kesinambungan perniagaan anda tidak terjejas.

3) Akhir sekali ialah lapisan yang berada paling luar atau paling jauh dari syarikat atau perniagaan anda. Lapisan ini dinamakan persekitaran makro atau persekitaran am. 

Persekitaran makro atau persekitaran am  terletak paling jauh dari syarikat anda. Jika syarikat anda beroperasi di sebuah bandar atau daerah, persekitaran am ini bolehlah diibaratkan seperti persekitaran negara atau negeri tempat anda menjalankan perniagaan.

Sebarang perubahan  yang berlaku kepada persekitaran makro ini akan mengambil tempoh yang agak lama sebelum ia memberi kesan kepada kestabilan perniagaan anda. (mungkin 2-3 bulan selepas berlaku perubahan dalam persekitaran am ini baru syarikat atau perniagaan anda dapat merasa akan kesannya).  

Namun begitu anda tetap kena membuat persediaan untuk membuat perubahan sekiranya perlu supaya perubahan dalam persekitaran am ini juga tidak mengganggu kelancaran perniagaan yang anda sedang jalankan.

Dari perbincangan kali ini kita dapat simpulkan bahawa terdapat tiga tahap atau tiga jenis persekitaran yang boleh mempengaruhi kelancaran perniagaan yang anda usahaan. Oleh itu anda perlu sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku ini kerana sebarang perubahan ke atas salah satu persekitaran ini akan memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan anda.  Sama ada  dalam jangka pendek atau jangka panjang. 

Begitu juga kepada anda yang sedang merancang untuk membuka perniagaan sendiri. Anda juga perlu bersikap realistik dan sedar bahawa sebarang perubahan yang berlaku kepada ketiga-tiga persekitaran perniagaan yang dibincangkan tadi juga akan memberi kesan kepada perniagaan yang bakal anda usahakan nanti.  

Oleh itu, mempelajari kaedah membuat analisis persekitaran ini sebelum anda membuka perniagaan yang dihajati adalah perlu kerana ia dapat membantu anda mengenal pasti sama ada perniagaan yang  bakal anda usahakan itu mampu bersaing ataupun tidak. Ia juga dapat memberi anda  gambaran sama ada perniagaan yang bakal anda usahakan itu berpeluang untuk maju atau sebaliknya.  

Untuk mendapatkan maklumat  berkenaan perubahan-perubahan yang berlaku ke atas persekitaran ini, anda boleh  mendapatkan info-info terkini sama ada dengan menonton berita-berita  ekonomi di televisyen, membaca surat khabar, membaca journal dan ‘news letter’ yang dikeluarkan oleh broker-broker saham ataupun melayari laman web tertentu di internet. Malah, anda  juga boleh mendapatkan maklumat dengan lebih lengkap berkenaan perubahan persekitaran  ini dari pembekal, pemborong atau pun perunding perniagaan.


Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

Sunday 20 March 2016

Kepentingan memantau persekitaran perniagaan (siri 2)

Entri: 29
Teks: Usry Abdullah
Image: Google Image




Dalam entri sebelum ini kita telah membincangkan berkenaan betapa pentingnya seseorang usahawan itu membuat pemantauan ke atas persekitaran perniagaan. Ini adalah kerana perubahan persekitaran perniagaan akan mempengaruhi  kejayaan atau kegagagalan sesebuah perniagaan yang  beliau usahakan


Kajian mendapati bahawa  persekitaran perniagaan dan strategi yang diamalkan oleh sesorang peniaga itu mestilah sesuai atau ‘ fit’ di antara satu sama lain, barulah perniagaan  beliau dapat mengekalkan daya saing dan penguasaan pasaran.   Seandainya strategi yang atau model perniagaan yang beliau amalkan tidak sesuai atau tidak 'fit' (suite) dengan  keadaan persekitaran semasa, prestasi dan pengekalan pasaran beliau akan terjejas (Nandakumar, Ghobadian dan O’Regan.,2010).  Jika berlaku sebarang perubahan ke atas persekitaran perniagaan, usahawan tersebut perlu segera membuat penilaian dan interpretasi akan perubahan tersebut dan seterusnya membuat tindakan yang bersesuaian. Tak kira  perniagaan beliau  diusahakan secara kecil-kecilan atau secara besar, aktiviti ini adalah penting buat mereka.
Manakala kepada anda yang  baru berkira-kira untuk membuka perniagaan sendiri juga, anda  dinasihatkan supaya membuat pemantauan ke atas persekitaran perniagaan yang bakal diceburi  terlebih dahulu sebelum anda benar-benar membuka perniagaan. 



Kebelakangan ini banyak perniagaan yang dibuka oleh para usahawan di negara kita, sama ada diusahakan secara kecil- kecilan atau secara besar-besaran. Terdapat pelbagai alasan mengapa mereka lebih suka berniaga berbanding bekerja makan gaji.  Ada yang membuka perniagaan kerana beliau tidak boleh bekerja di bawah arahan atau penyeliaan seseorang dan ada yang membuka perniagaan kerana ingin  berdikari. Malah ada juga  usahawan yang menjalankan perniagaan kerana beliau terjumpa satu peluang yang amat sukar dan rugi jika ia dilepaskan ke tangan orang lain. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan tadi.
Jenis dan model perniagaan juga berbeza. Ada yang menjalankan perniagaan secara konvesional  di mana beliau membuka kedai dan menjual produk atau perkhidmatan beliau kepada pelanggan. Ada pula yang menjual produk secara atas talian atau ‘on line’.


Namun, dari kajian yang dilakukan, banyak perniagaan yang dibuka oleh mereka ini tidak mampu  bertahan lama.  Walaupun perniagaan itu beroperasi di lokasi yang strategik atau tempat tumpuan ramai tetapi selepas empat lima bulan beroperasi ia tetap tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk memperkenalkan perniagaan tersebut kepada bakal pelanggan, malah modal kerja juga semakin berkurangan kerana dihabiskan untuk aktiviti promosi. Namun prestasi perniagaan tetap juga sama malah ada ketikanya ia semakin menurun. Akhirnya untuk mengelakkan dari terus  menanggung kerugian yang berpanjangan, usahawan tersebut terpaksa mengambil keputusan berhenti berniaga. 

Antara faktor  kegagalan sesebuah perniagaan itu ialah kerana kesilapan usahawan yang tidak mengikuti perkembangan terkini terhadap persekitaran industri yang beliau ceburi. Contohnya beliau tersilap menyertai perniagaan yang menawarkan produk yang sudah ‘out dated’ atau tidak releven lagi kepada pengguna.  Ini menyebabkan beliau sukar  menjual produk tersebut dan akhirnya produk tersebut  terpaksa disimpan di dalam stor. Tidak terusik dan mengumpul habuk. Kejadian ini biasanya terjadi di kalangan mereka yang menjalankan perniagaan secara MLM atau perniagaan bermusim seperti perniagaan goreng pisang cheese, kopi atau kelapa lemon. Perniagaan seperti ini cepat menjadi tidak releven kepada pengguna kerana ia hanya timbul sekejap sahaja. Apabila trendnya telah tamat, pengguna akan beralih kepada produk lain pula. Oleh itu, kepada usahawan yang menjalankan perniagaan yang disebutkan tadi perlu sentiasa memantau perubahan persekitaran perniagaan yang mereka ceburi dan cepat-cepat membuat perubahan.

Contoh perniagaan lain yang produknya cepat menjadi 'out dated'  ialah  perniagaan menjual telefon bimbit. Produk telefon bimbit ini berkait rapat dengan perubahan  teknologi. Ini akan menyebabkan 'life cycle'  atau kitaran hayat produk ini cepat. Kadang-kadang dalam setahun, dua atau tiga model terkini telefon bimbit diperkenalkan di pasaran. Belum pun  sempat anda menghabiskan jualan stok  telefon bimbit Samsung Galaxy S6 dan eksesorinya yang terpamer di dalam meja pameran di kiosk anda, selang beberapa bulan muncul pula model terbaru telefon bimbit Samsung. kali ini model Galaxy S7 yang lebih canggih pula. Dengan ini, para penggemar telefon bimbit mula beralih ke model S7 dan meninggalkan model lama S6. Lama kelamaan model S6 akan menjadi ‘out dated’ dan kurang diminati sebagaimana model S5 dan S4. Jika anda tidak berjaya untuk menjualnya, ia akan kekal  tersimpan di dalam meja pameran. Begitu juga dengan aksesorinya, bergantungan di dinding kedai anda tidak terusik.

Oleh itu, seandainya anda adalah seorang penjual telefon bimbit tetapi  anda tidak ingin mengikut perkembangan trend ini disebabkan kekurangan modal atau sengaja tidak mahu menjual model  Samsung S7 di kiosk anda, lama kelamaan kiosk anda akan dipinggirkan oleh pelanggan, terutamanya mereka  yang gemar menukar model telefon mengikut perkembangan trend. Mereka akan mengunjungi kiosk peniaga lain yang ada menjual model terkini walaupun sekadar untuk melihat. Lama kelamaan mereka mula jarang mengunjungi kiosk anda. Oleh itu untuk memastikan kiosk anda dapat mengekalkan pelanggan lama ini di samping menarik pelanggan baru, mahu atau tidak anda terpaksa juga memesan model S7 dari pengedar telefon bimbit untuk dipamerkan di kiosk anda walaupun anda terpaksa mengeluarkan tambahan modal kerja.

Senario  itu menunjukkan bagaimana perubahan dalam teknologi boleh mempengaruhi trend pengguna dan seterusnya mempengaruhi kelangsungan sebuah kedai/kiosk yang menjual aksesori dan telefon bimbit. Oleh itu, untuk memastikan perniagaan anda terus kekal releven di mata pelanggan, mahu atau tidak anda terpaksa mengikut perkembangan semasa dalam industri yang diceburi. Mahu atau tidak, anda terpaksa mengeluarkan modal tambahan dan  membuat pesanan  produk telefon bimbit yang mengikut trend terkini untuk dijual atau dipamerkan di kedai/kiosk anda demi kelangsungan perniagaan yanganda usahakan.

Kes sebegini  terjadi ke atas semua jenis perniagaan. Ada perniagaan yang mempunyai kitaran hayat produknya lambat seperti alat tulis dan televisyen dan ada pula produk yang mempunyai kitaran hayat produknya cepat seperti pakaian, permainan kanak-kanak, kosmetik dan permainan komputer. Oleh itu, untuk memastikan perniagaan mereka sentiasa releven dan berdaya maju, seseorang peniaga itu perlu rajin mengikuti  dan memantau perkembangan persekitaran industri yang beliau ceburi. Kemudian beliau perlu bertindak seiring atau selari dengan perkembangan persekitaran perniagaan beliau.
Dari perbincangan kali ini dapat diperkatakan bahawa sebarang perubahan dalam elemen persekitaran perniagaan akan mempengaruhi kelangsungan sesebuah perniagaan yang anda jalankan. Perubahan kepada elemen-elemen persekitaran ini akan memberi kesan kepada trend dan corak perbelanjaan  pengguna dan seterusnya  akan mempengaruhi permintaan terhadap produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Oleh itu, kecekapan anda dalam mengenal pasti perubahan yang berlaku ke atas persekitaran perniagaan akan membantu anda  membuat perubahan dengan cepat. Seterusnya boleh mengekalkan daya saing perniagaan anda.

Pemerhatian ke atas persekitaran perniagaan ini bukan saja penting kepada mereka yang telah menjalankan perniagaan. Malah kepada anda yang bercadang untuk membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti juga perlu membuat pemerhatian ke atas perubahan persekitaran industri ini. Anda juga perlu tahu bagaimana untuk membuat pemantauan dan menganalisis persekitaran industri ini sebelum anda merangka strategi dan pelan perniagaan anda.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang seterusnya. InsyaAllah.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...