Friday 15 April 2016

Kepentingan memantau persekitaran (siri 5)



Entri: 32

Teks: Usry Abdullah

Image: Google Image


Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan strategi dan pengurusan perniagaan. Perbincangan kita masih lagi tertumpu kepada kepentingan membuat pemantauan persekitaran perniagaan. 

Saya begitu menekankan akan aktiviti membuat pemantauan persekitaran ini kerana aktiviti ini adalah  asas kepada setiap tindakan yang bakal anda lakukan.   

Setiap maklumat yang diperolehi dari aktiviti ini akan diproses dan ditafsir sebelum sebarang keputusan diambil.

Di dalam peperangan, keadaan muka bumi sesebuah medan pertempuran juga menjadi salah satu faktor yang akan mempengaruhi kelancaran pergerakan sesebuah pasukan tentera sewatu mereka menghadapi musuh. Kesilapan general yang memimpin pasukan tentera itu sewaktu beliau membuat penilaian terhadap keadaan muka bumi  medan pertempuran boleh menyebabkan berlakunya salah faham semasa beliau memberi arahan kepada tenteranya. Ini seterusnya akan mempengaruhi kemenangan bagi pihak beliau.

Sun Tzu telah mengenal pasti enam keadaan bentuk muka bumi medan pertempuran dan seterusnya  mengariskan  enam strategi  yang perlu diikuti oleh general yang memimpin  pasukan tentera bagi menjamin kemenangan pasukan pimpinan beliau. Seandainya general tersebut mengikut formula yang dinyatakan oleh Sun Tzu ini, kebarangkalian untuk pasukan beliau menang adalah tinggi. Begitu juga sebaliknya.

Pernyataan ini menunjukkan bahawa di samping mempunyai kekuatan tentera yang ramai, kebijaksanaan general dalam melaksanakan strategi peperangan yang sesuai dengan keadaan muka bumi medan pertempuran juga boleh mempengaruhi kemenangan tentera yang beliau pimpin. Sekiranya beliau tersilap membuat pentafsiran keatas bentuk muka bumi medan pertempuran, ia seterusnya akan menyebabkan beliau mempraktiskan strategi yang salah, Dengan ini kebarangkalian untuk pasukan beliau mengalami kekalahan adalah tinggi.

Demikian juga dalam dunia perniagaan. Persekitaran perniagaan boleh disamakan atau diibaratkan seperti bentuk muka bumi medan pertempuran. Sebarang perubahan yang berlaku ke atas persekitaran perniagaan ini akan mempengaruhi kelancaran dan kestabilan perniagaan yang sedang anda usahakan. 

Oleh itu,  anda perlu cekap  dalam mengesan setiap perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan dan bijak bertindak untuk menyesuaikan perniagaan anda mengikut perubahan persekitaran tersebut. Barulah perniagaan yang diusahakan itu sentiasa berdaya saing. 
 

Seperti yang dibincangkan dalam entri-entri  terdahulu, terdapat tiga kategori atau lapisan persekitaran perniagaan yang boleh mempengaruhi kestabilan perniagaan anda.  

Lapisan atau kategori tersebut ialah persekitaran dalaman, persekitaran industri dan persekitaran am. Tak kira sama ada perniagaan anda bertaraf korporat atau pun  perniagaan kecil-kecilan. Sama ada perniagaan anda diusahakan secara sepenuh masa ataupun secara sambilan. Malah jika anda menjalankan perniagaan secara 'on line' sekali pun anda tetap juga beroperasi di dalam tiga persekitaran ini.  

Malah persekitaran perniagaan anda adalah lebih kompleks berbanding perniagaan yang diusahakan secara konvensional.  Cuma kesannya saja yang berbeza mengikut jenis perniagaan yang diusahakan dan apa faktor persekitaran yang telah berubah. 

Contoh perubahan persekitaran adalah seperti senario berikut. Katakan  pihak kerajaan memutuskan untuk menghapuskan subsidi tepung gandum sebagaimana yang dilaksanakan pada bulan Mac 2016 yang lalu. 

Keputusan kerajaan ini telah memberi kesan kepada perniagaan yang menggunakan tepung gandum sebagai bahan asas dalam perniagaan mereka. Antaranya ialah perniagaan membuat roti, menjual roti canai, dan juga perniagaan menjual kuih-muih.  Oleh itu, sekiranya anda adalah salah seorang peniaga roti canai, sudah pasti dalam tempoh 1 atau 2 bulan akan datang perniagaan anda akan menerima kesan akibat dari eputusan kerajaan menghapuskan subsidi gandum ini.

Penghapusan subsidi ini akan menyebabkan harga tepung gandum yang anda beli dari pembekal akan naik harganya. Kenaikan harga ini  akan menyebabkan kos membuat roti canai atau kuih akan meningkat. Ia  seterusnya menjejaskan keuntungan yang bakal anda perolehi nanti. 

Oleh itu, anda perlu membuat keputusan dan perubahan supaya  margin keuntungan yang diperolehi selama ini tidak terjejas. Anda boleh memilih  sama ada  menaikkan harga roti canai yang dijual atau anda juga boleh mengecilkan sedikit  saiz roti canai tersebut dan dijual dengan harga yang sama. Dengan membuat salah satu tindakan ini, margin keuntungan yang anda nikmati selama ini tidak terjejas.

Walaubagaimana pun tindakan penghapusan subsidi tepung gandum ini tidak memberi apa-apa kesan kepada perniagaan lain seperti perniagaan menjual menjual nasi lemak atau menjual nasi kerabu,  walaupun gerai mereka beroperasi di sebelah gerai roti canai anda. 

Tindakan penghapusan subsidi gandum ini tidak ada kena mengena dengan perniagaan mereka. Oleh itu mereka yang menjalankan perniagaan menjual nasi lemak atau nasi kerabu tadi tidak perlu membuat apa-apa perubahan atau  respond. Mereka masih boleh meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa.

Dari perbincangan ini dapat katakan bahawa, jika bentuk muka bumi medan pertempuran akan mempengaruhi kelancaran pergerakan sesebuah pasukan tentera dan  memerlukan kebijaksanaan jeneral  untuk membuat penilaian sebelum melaksanakan satu- satu strategi peperangan, begitu juga halnya dengan dunia perniagaan. Persekitaran perniagaan akan mempengaruhi kelancaran perniagaan anda. 

Persekitaran perniagaan ini sentiasa terdedah kepada perubahan. Oleh itu sebagai seorang usahawan, anda perlu cekap mengesan dan membuat pentafsiran terhadap perubahan persekitaran yang berlaku dan seterusnya bertindak menyesuaikan perniagaan anda mengikut perubahan tersebut untuk menjamin kestabilan dan daya saing perniagaan anda. 

Perubahan ke atas faktor persekitaran  ini juga memberi kesan yang berbeza kepada setiap entiti perniagaan. Ia bergantung kepada 'faktor apa' yang berubah dan jenis 'perniagaan apa' yang anda usahakan. 

Ada perniagaan yang menerima kesan negatif  akibat dari perubahan persekitaran tadi dan ada juga perniagaan yang tidak menerima apa-apa kesan dari perubahan persekitaran tersebut.

Bagi perniagaan yang menerima kesan negatif akibat dari perubahan persekitaran, ia merupakan ancaman kepada mereka. Oleh itu pemilik perniagaan tersebut perlu berbuat sesuatu untuk menjaga kestabilan perniagaan beliau. 

Manakala bagi perniagaan yang tidak menerima kesan pula, ia boleh dianggap sebagai  kesan neutral sahaja kepada perniagaan mereka. Anda boleh meneruskan aktiviti perniagaan anda seperti biasa tanpa perlu membuat apa-apa perubahan.

Kemahiran anda mengesan, membuat analisis dan mentafsir perubahan  yang berlaku ke  atas persekitaran  perniagaan serta kebijaksanaan anda bertindak untuk menyesuaikan perniagaan anda mengikut perubahan tersebut akan menjamin daya saing dan kelangsungan perniagaan yang anda jalankan

Sekian untuk kali ini.

Sunday 3 April 2016

Kepentingan memantau persekitaran (siri 4)



Entri: 31

Teks: usry Abdullah

Foto: Google Image




Membuat pemantauan ke atas persekitaran merupakan salah satu dari aktiviti dalam pengurusan perniagaan dan proses memantau persekitaran  ini adalah  langkah ke dua dalam pengurusan strategi. 

Maklumat yang diperolehi dari aktiviti membuat pemantauan persekitaran ini akan digunakan oleh usahawan untuk membuat perancangan selanjutnya, seperti apa jenis strategi yang akan diguna pakai  dalam perniagaan  dan bagaimana model atau pelan perniagaan beliau nanti. 

Manakala kepada mereka yang bakal bergelar usahawan yang ingin membuka perniagaan sendiri pula, aktiviti pemantauan persekitaran ini akan membantu mereka menjawab persoalan sama ada perniagaan yang bakal  dibuka nanti mempunyai peluang untuk berjaya atau sebaliknya.  
Adakah perniagaan beliau nanti mampu untuk bersaing dengan peniaga lain yang turut sama berada dalam pasaran atau kawasan tersebut.

Sebagaimana yang ditulis dalam entri lepas,  persekitaran perniagaan ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu persekitaran dalaman, persekitaran industri (persekitaran mikro) dan persekitaran am (persekitaran makro). 

Persekitaran dalaman 
Persekitaran dalaman adalah keadaan syarikat atau apa yang syarikat anda  ada/miliki, seperti bilangan pekerja, jumlah modal, keunikan produk atau perkhidmatan yang  ditawarkan dan semangat serta sifat semulajadi yang dimiliki sama ada anda mempnyai sifat keusahawanan atau pun tidak.

Dengan mengumpul dan menyenaraikan maklumat-maklumat tadi, anda akan dapat mengetahui apa kelebihan (Strength) yang anda miliki dan apa kekurangan (Weaknesess) yang perlu diperbaiki. 

Di samping itu juga,  sebarang perubahan yang berlaku dalam persekitaran dalaman syarikat ini akan memberi kesan yang 'serta merta' kepada perjalanan perniagaan anda sebagaimana yang dibincangkan dalam entri yang lepas. Oleh itu anda perlu segera bertindak memperbaiki atau membuat perubahan.

Manakala kepada bakal usahawan pula, persekitaran dalaman ini akan menentukan sama ada anda mampu atau tidak untuk bersaing dengan peniaga lain yang beroperasi di dalam pasaran tersebut. Persekitaran dalaman ini juga akan memberi anda petunjuk tentang apa strategi yang sesuai untuk anda praktiskan dan bagaimana bentuk pelan perniagaan anda nanti.
 
Persekitaran mikro/ persekitaran industri.
Persekitaran mikro ini juga dikenali sebagai persekitaran industri.  

Persekitaran ini adalah persekitaran yang berada di luar syarikat anda.  Ia berkaitan dengan industri yang diceburi dan  boleh diibaratkan seperti persekitaran di sebuah pekan di mana perniagaan anda beroperasi.
Contohnya anda membuka gerai menjual ayam goreng di hadapan hentian bas di pekan tempat anda tinggal. Dalam konteks ini, apa-apa elemen yang terdapat di dalam pekan/bandar tersebut merupakan 'persekitaran industri' anda. 

Kawasan perumahan yang terletak berhampiran pekan itulah tempat tinggalnya pelanggan-pelangan anda. Di pekan tempat anda membuka gerai itu juga mungkin adanya pesaing anda yang turut sama menjual ayam goreng dan di pekan itu juga mungkin letaknya kilang yang membekal ayam dan kilang tepung.  Akhir sekali, mungkin di pekan itu juga terdapatnya pejabat pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen perniagaan kepada anda. 

Oleh itu, sebarang perubahan yang berlaku dalam elemen-elemen tadi (pelanggan, pembekal, pesaing dan pihak berkuasa tempatan) akan  mempengaruhi perniagaan menjual ayam goreng yang anda usahakan itu. Ia boleh memberi kesan positif ataupun kesan negatif kepada perniagaan anda. 

Oleh itu anda perlu membuat keputusan seberapa segera yang boleh untuk memastikan perniagaan anda tidak terjejas.  

Contohnya seperti situasi berikut
Disebabkan oleh kenaikan kadar inflasi  serta peningkatan kos sara hidup yang berterusan sejak kebelakangan ini, pendapatan boleh guna penduduk di pekan tempat anda  menjalankan perniagaan itu semakin kecil. Kuasa beli mereka juga semakin menurun. 

Untuk meneruskan kesinambungan hidup, penduduk di pekan tempat anda menjalankan perniagaan tadi  mula mengambil langkah berjimat ketika berbelanja. 

Kesan dari langkah penjimatan yang diambil oleh penduduk-penduduk ini seterusnya memberi kesan kepada perniagaan ayam goreng anda.  Jika sebelum ini anda mampu menjual sebanyak 180 ketul ayam goreng dalam sehari (180 ketul bersamaan 20 ekor ayam), sekarang jualan anda telah merosot kepada 130 ketul sehari. 

Keadaan ini menjadi semakin teruk pada setiap pertengahan bulan iaitu pada minggu ketiga setiap bulan.  Dalam tempoh tersebut, anda hanya mampu menjual sekitar 80-100 ketul ayam goreng sahaja. 

Oleh itu anda perlu membuat pemerhatian akan trend ini dan mengesan punca mengapa terjadinya perubahan ini. Jika anda masih juga menjual ayam goreng tanpa mengikut trend ini, tidak mustahil dalam tempoh yang singkat saja, perniagaan anda akan mengalami kerugian. 
Antara langkah yang boleh diambil ketika menghadapi situasi begini ialah dengan mempraktiskan ‘strategi cantasan’ (strategi ini boleh dibaca di dalam buku Jom Bisnes!).  Di samping itu, langkah  lain yang boleh diambil oleh anda ialah dengan memperbanyakkan lagi aktiviti promosi  dengan tujuan untuk memperkenalkan semula atau mengingatkan penduduk di pekan tersebut tentang kewujudan dan keenakan ayam goreng yang anda jual. 

Inilah contoh yang menunjukkan persekitaran mikro atau persekitaran industri mempengaruhi kesinambungan perniagaan yang anda jalankan.

Persekitaran am/ persekitaran makro.
Persekitaran perniagaan yang terakhir yang telah dibincangkan dalam entri yang lalu ialah persekitaran am atau persekitaran makro

Persekitaran am ini boleh diumpamakan atau diibaratkan seperti persekitaran dalam sesebuah negara. Oleh itu elemen yang perlu diberi perhatian dalam persekitaran am ini ialah tahap  pertumbuhan ekonomi negara, perubahan dan pergolakan politik semasa, perubahan dasar kerajaan dan kemajuan teknologi. 

Sebarang perubahan yang berlaku ke atas elemen persekitaran am ini biasanya akan memberi kesan yang lambat sedikit kepada perniagaan anda berbanding perubahan persekitaran industri. Mungkin ia mengambil tempoh sehingga 4-5 bulan barulah perniagaan anda mula merasai akan kesannya. 
Contoh yang paling mudah untuk menghuraikan kesan perubahan persekitaran am dan kesannya kepada perniagaan anda ialah  kesan perlaksanaan GST yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 2015 yang lalu

Kesan perlaksanaan GST ini tidak dirasai serta merta kepada pengguna. Ia mengambil masa sekurang- kurangnya 5-6 bulan, barulah pengguna mula merasa akan kesan GST ini. Ketika itulah mereka akan sedar bahawa perlaksanaan GST ini akan menyebabkan kos sara hidup menjadi tinggi dan harga barangan menjadi lebih mahal berbanding sebelum perlaksanaan GST dahulu.

Begitu juga kesannya kepada anda sebagai  seorang peniaga. Kesan yang jelas ialah  perniagaan anda mula merosot jualannya disebabkan oleh kuasa beli pengguna yang semakin menurun. Jika anda tidak memantau atau menyedari akan perubahan yang berlaku ke atas persekitaran am ini, anda mungkin tidak dapat memahami mengapa secara tiba- tiba perniagaan anda menjadi perlahan. 

Namun jika anda selalu membuat pemerhatian akan perubahan-perubahan tersebut, anda akan mendapat jawapan atas apa yang terjadi. Di sinilah pentingnya anda memantau perubahan persekitaran ini bagi mendapat kepastian dan membantu anda membuat perancangan bagi mengahadapinya.  

Situasi yang dibincangkan tadi adalah antara contoh yang menunjukkan bagaimana perubahan persekitaran am atau persekitaran makro juga boleh mempengaruhi kelancaran perniagaan anda. Oleh itu anda juga disarankan untuk memantau perubahan persekitaran am ini walaupun kesan akibat berlakunya perubahan persekitaran am ini kepada perniagaan anda adalah lambat. 

Dengan memantau perubahan persekitaran am ini, sekurang-kurangnya anda ada masa untuk bersedia dan mencari jalan bagaimana untuk menghadapinya nanti supaya kelangsungan perniagaan anda tidak terjejas. 
Lagi satu contoh yang menunjukkan kesan persekitaran am ini boleh mempengaruhi perniagaan anda ialah kesan dari perubahan cuaca  yang semakin hangat  dan kering yang melanda negara beberapa bulan kebelakangan ini. 

Perubahan cuaca ini juga akan memberi kesan kepada perniagaan anda terutamanya jika anda menjalankan perniagaan menjual minuman, buah-buahan ataupun menjual sayur-sayuran. Jika anda membaca akhbar beberapa hari lepas, pasti anda terbaca berita yang melaporkan bahawa Jabatan metiorologi menjangkakan yang keadaan panas melampau ini mungkin akan berterusan untuk tempoh 2-3 bulan lagi.  

Berita ini merupakan satu 'berita gembira' kepada mereka yang menjalankan perniagaan air minum. Perniagaan anda bakal meletup dan anda berpeluang  membuat keuntungan yang lebih. Oleh itu apabila terbacanya berita tadi, anda sudah boleh merancang untuk menambah stok minuman yang anda jual. Dengan tersiarnya berita fenomenna kepanasan melampau ini juga mungkin menjadi satu  peluang terbaik untuk anda memperkenalkan jenama baru minuman anda di pasaran. 

Tetapi bagi anda yang menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran, berita negara bakal mengahadapi cuaca panas melampau dalam tempoh yang panjang ini akan memberi kesan negatif kepada  perniagaan anda. Ini adalah kerana dalam cuaca yang panas melampau sebegini ia akan menjejaskan pengeluaran sayur di ladang-ladang.

Kesan ini boleh menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan sayur pada 3-4 bulan akan datang. Oleh itu anda sebagai peniaga sayur perlu bersedia dengan kenaikan harga sayur yang akan dijual oleh pekebun kepada anda. Kesan ini akan menyebabkan kos pengurusan anda akan meningkat.
Dari perbincangan kali ini,diharap anda akan memahami dengan lebih jelas lagi apa itu persekitaran perniagaan dan bagaimana faktor-faktor persekitaran ini boleh mempengaruhi perniagaan anda supaya anda dapat membuat tindakan yang sesuai mengikut perubahan tersebut. 
Perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan ini juga tidak boleh dihalang atau dikawal oleh anda. Sebaliknya anda perlu bertindak dengan menyesuaikan model atau strategi perniagaan anda mengikut perubahan persekitaran tersebut. 

Jika anda tetap dengan model perniagaan dan  strategi yang sama atau  anda bersikap tidak mengendahkan akan perubahan yang berlaku ini, dalam jangka masa panjang perniagaan anda akan menjadi tidak releven  dan sedikit demi sedikit akan terkeluar dari pasaran (perniagaan anda akan gagal). 
Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...