Sunday, 15 May 2016

Kepentingan memantau persekitaran (Siri 7)



Entri 34

Teks: usry Abdullah

Foto: Google Image



Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan pengurusan perniagaan, strategi dan pemasaran. Perbincangan kita masil lagi lagi mengenai kepentingan membuat analisis persekitaran. 

Analisis persekitaran ini boleh didefinisikan sebagai proses di mana seseorang usahawan itu mengumpul maklumat yang bersesuaian tentang peristiwa atau apa-apa perubahan yang berlaku, sama ada di dalam atau di  luar organisasisnya yang mana perubahan tersebut mungkin boleh membuka peluang baru ataupun boleh menjadi satu ancaman kepada perniagaan yang beliau jalankan ( Aguilar.,1967 & Mc Ewen et al.,2008).  Dengan membuat pemantauan ke atas persekitaran ini, usahawan itu akan dapat menjangka apa masalah atau peluang yang bakal timbul di dalam industri yang beliau sertai. Dengan ini beliau akan lebih bersedia untuk merangka apa tindakan yang perlu diambil untuk menghadapinya nanti.


Begitu juga kepada mereka yang  bakal bergelar usahawan. Aktiviti memantau  persekitaran perniagaan ini juga penting sebelum  mereka membuat keputusan sama ada ingin menceburkan diri ke dalam perniagaan yang dirancang itu ataupun tidak.

General Sun tzu ada mengatakan, ‘ peperangan adalah pertemuan di antara hidup dan mati, penentuan sama ada anda akan mencapai kejayaan yang gilang gemilang atau mengalami kemusnahan yang teruk. Apabila perang dilancarkan, general itu hanya mempunyai dua kebarangkalian sahaja., Pertama, pasukan beliau akan menang dalam pertempuran itu  ataupun kebarangkalian kedua di mana tentera pimpinan beliau akan terkorban kesemuanya.’ 
Oleh itu, sebelum general itu menggerakkan tenteranya ke medan pertempuran, beliau perlu membuat perancangan dan mengatur strategi terlebih dahulu. Dan untuk membolehkan beliau membuat perancangan dan strategi dengan berkesan, beliau perlu kepada maklumat  tertentu seperti kekuatan musuh, keadaan muka bumi serta cuaca di medan pertempuran yang bakal dituju nanti. Untuk mendapatkan maklumat tersebut, beliaakan mengarahkan pasukan perisik untuk mendapatkannya dan seterusnya memberi laporan selengkapnya supaya beliau boleh membuat perancangan dan menentukan apa strategi yang akan diguna nanti.

Begitu juga halnya dengan dunia perniagaan. Setiap usahawan yang  akan menjalankan perniagaan sudah pasti inginkan supaya kejayaan berpihak kepadanya. Oleh itu beliau  perlu kepada maklumat yang lengkap dan tepat berkenaan keadaan pasaran yang bakal disertai nanti terlebih dahulu sebelum benar-benar membuka perniagaan seperti yang dirancang 

Jadi, sebagaimana seorang general itu memerlukan kepada maklumat berkenaan kekuatan musuh dan faktor-faktor muka bumi medan pertempuran sebelum membuat keputusan sama ada ingin menyerang pihak musuh atau pun tidak, bakal usahawan juga perlu mendapatkan maklumat lengkap berkenaan industri yang bakal disertai nanti sebelum belau membuat keputusan sama ingin meneruskan rancangan membuka perniagaan yang diingini itu atau pun tidak.  

Setelah maklumat yang diingini diperolehi selengkapnya, barulah bakal usahawan itu boleh membuat perkiraan dan perbandingan bagi mengetahui sama ada selamat atau tidak untuk beliau meneruskan rancangan membukan perniagaan yang  telah dirancang selama ini. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari aktiviti membuat pemantauan persekitaran industri ini juga akan membantu beliau menentukan apa jenis strategi dan bentuk pelan perniagaan yang akan dilaksanakan nanti



Malangnya, ramai di kalangan bakal usahawan hari ini tidak mengendahkan perkara asas ini dan majoriti dari  mereka terperangkap dalam fenomena ‘survivorship bias’', di mana mereka  lebih terpengaruh dengan konsep atau persepsi 'positif thinking' sehingga ramai yang tersilap membuat jangkaan tentang suasana sebenarnya di dalam industri yang bakal mereka sertai nanti. 'Survivorship bias' ini membuat mereka terlupa akan cabaran sebenar yang perlu dihadapi di dalam dunia perniagaan sebaliknya menganggap bahawa mereka mampu untuk mengawal keadaan dengan mengadaptasikan 'positif thinking' dalam kehidupan seharian.

Mengikut perspektif 'positif thinking' ini, seseorang itu perlu mempunyai kepercayaan dan keyakinan kepada kebolehan diri sendiri. Mereka diminta menanam satu kepercayaan di dalam diri bahawa mereka juga mampu mencapai kejayaan sebagaimana yang dinikmati oleh individu berjaya yang lain. Malah, untuk memudahkan lagi mereka mencapai sesuatu kejayaan itu, konsep 'positif thinking' ini menyarankan agar  mereka berfikir dan bertindak sebagaimana individu  berjaya atau idola mereka berfikir dan bertindak.  

Malangnya, seperti yang disebutkan tadi, akibat  terpengaruh dan terlalu yakin dengan konsep 'positif thinking' ini, ramai bakal usahawan  lupa akan situasi dan cabaran sebenar  dunia perniagaan yang akan mereka tempohi nanti. Mereka hanyut dengan perspetif 'positif thinking' sehingga lupa untuk membuat persiapan yang sepatutnya terlebih dahulu sebelum mereka menceburkan diri ke dunia perniagaan  seperti  membuat analisis persekitaran semasa, menilai risiko yang bakal dihadapi dan membuat pelan perniagaan dan pemasaran. Mereka lebih mempercaya kepada 'kuasa alam semesta' untuk menentukan tindakan dan kejayaan dalam setiap usaha yang mereka lakukan termasuk dunia perniagaan. Kesannya, ramai di kalangan usahawan yang gagal dalam perniagaan yang diceburi akibat terpengaruh dengan konsep atau falsafah ini.

Perspektif atau falsafah 'positif thinking' ini kebiasaannya boleh dibaca di dalam buku-buku motivasi ataupun ketika  menghadiri kursus keusahawanan. Tujuan sebenar konsep perspektif  'positif thinking' ini diceritakan kepada bakal usahawan ialah supaya mereka menanam satu pemikiran positif di dalam diri mereka. Ia menginginkan bakal usahawan yakin akan keupayaan diri  mereka dan tidak mudah mengalah ketika menghadapi cabaran. Begitu juga dengan cerita tentang kisah-kisah kejayaan seseorang usahawan diceritakan kepada bakal usahawan ketika mereka menghadiri kursus atau seminar. Ia juga bertujuan untuk menaikkan tahap motivasi  bakal usahawan itu supaya tekun berusaha dan menjadikan individu yang berjaya tadi sebagai idola atau contoh.

Namun, di sebalik tersiarnya  kisah-kisah kejayaan yang telah dicapai seorang usahawan idola tadi atau individu yang berjaya tadi pada masa yang sama terdapat lagi lima atau enam orang usahawan atau individu lain yang sedang mengalami  nasib malang. Mereka ini telah menemui kegagalan sama ada dalam perniagaan atau aktiviti lain yang mereka usahakan. Akan tetapi kisah kegagalan  mereka ini tidak  disiarkan di mana-mana majalah atau diceritakan oleh motivator kepada kita di dalam seminar keusahawan.  

Pertama adalah kerana kisah kegagalan seperti ini tidak ada nilai berita dan yang keduanya ialah kerana sudah menjadi lumrah manusia bahawa kita  lebih suka untuk membaca atau mendengar cerita-cerita yang berkaitan tentang kejayaan sahaja berbanding cerita mengenai kegagalan seseorang. Lantaran itu kisah-kisah berkenaan kegagalan seperti ini akan senyap dan berlalu begitu saja. Ia cuma dirasai oleh mereka yang mengalaminya sahaja.

Namun, kesan dari tindakan menyembunyikan kisah-kisah berkenaan kegagalan seseorang di dalam perniagaan ini telah memberi impak yang  negatif kepada bakal usahawan tadi. Ia telah menyebabkan mereka hanyut dalam ilusi sendiri dan menganggap bahawa untuk mencapai satu-satu kejayaan adalah mudah sekiranya mereka mengekalkan fikiran positif di dalam diri sepanjang masa. Setelah selesai program motivasi atau membaca buku-buku berkenaan motivasi perniagaan ini, dengan berbekalkan semangat positif dan serta serba sedikit tips yang diperolehi dari kisah-kisah kejayaan yang mereka baca tadi, bakal usahawan itu pun membuka perniagaan mereka tanpa membuat persediaan sepatutnya terlebih dahulu. Hasilnya, perniagaan yang mereka usahakan itu  berakhir dengan kegagalan. 

Keadaan ini terjadi adalah kerana walaupun bakal usahawan itu mempunyai fikiran positif, mengekalkan aura positif setiap masa dan bertindak sebagaimana individu yang berjaya tadi bertindak, namun dalam realiti  sebenar,  perniagaan yang  diusahakan oleh individu berjaya yang kisahnya dibaca tadi adalah berbeza dengan perniagaan yang bakal usahawan  itu jalankan. Oleh itu, sudah pasti persekitaran dan cabarannya juga adalah  berbeza dan memerlukan tindakan yang berbeza. 

Di sinilah pentingnya mengapa bakal usahawan itu perlu membuat analisis terhadap persekitaran perniagaan yang bakal mereka sertai terlebih dahulu bukannya dengan cara meniru langkah  yang dibuat orang lain. Walaupun orang atau individu yang mereka tiru itu sudahpun bergelar jutawan. 


Sebagai penutup, perbincangan kali ini dapat dirumuskan bahawa ramai bakal usahawan  tidak memperdulikan aktiviti persiapanan awal ini sebelum mereka membuka perniagaan yang dihajati. Malah, disebabkan ingin cepat berjaya dan teruja untuk meniru langkah atau tindakan yang telah dilakukan oleh individu atau usahawan yang telah berjayamenyebabkan ramai dari kalangan mereka yang terperangkap dalam 'survivorship bias'. Mereka terlalu percaya kepada pendapat yang mengatakan sekiranya mereka dapat mengikut cara dan jalan yang telah diambil oleh individu yang telah berjaya tadi, mereka juga boleh mencapai kejayaan seperti mana individu tersebut nikmati kerana jalan atau tindakannya sudah terbukti. 

Sebenarnya dengan berpandukan prinsip tersebut, bakal usahawan tadi terlupa bahawa tindakan mereka adalah bertentangan dengan prinsip pengurusan. Mereka lupa kepada fakta yang mengatakan bahawa  setiap perniagaan mempunyai ciri dan persekitarannya yang tersendiri dan ia  memerlukan mereka bertindak secara berlainan dan bersesuaian dengan persekitaran perniagaan tersebut bukannya dengan mengambil jalan mudah seperti meniru langkah yang dilakukan oleh individu atau orang yang telah berjaya. 

Pepatah inggeris juga ada menyebut, ‘look before you leap, and he will win the battle if  he knows when to fight and when not to fight’.  Di sini juga jelas mengingatkan kita supaya kita  menilai terlebih dahulu akan situasi yang sedang kita hadapi barulah membuat tindakan bukannya membiarkan intusi atau kata hati mempengaruhi tindakan yang bakal kita lakukan.

Walaupun anda tidak mempunyai pengalaman berkenaan dunia perniagaan tetapi sekiranya anda mengamalkan sikap berhati-hati dan mengambil sedikit masa untuk membuat pemantauan akan keadaan sekeliling sebelum bertindak, peluang untuk anda memperolehi kejayaan adalah lebih besar berbanding dengan anda bertindak tanpa membuat penilaian terlebih dahulu ataupun anda hanya menjadi 'pak turut' dengan meniru jejak orang lain semata-mata

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada entri yang akan datang.

2 comments:

  1. fuhh penuh dgn isi.. terima kasih atas maklumatnya

    ReplyDelete
  2. Yang baik itu dari Allah, yang terkurang tu saya mohon kemaafan.

    ReplyDelete

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...