Sunday 1 May 2016

kepentingan memantau Persekitaran Perniagaan ( Siri 6)



Entri: 33

Teks: Usry Abdullah

Foto: Google Image


Perbincangan kita masih lagi berkenaan kepentingan membuat analisis persekitaran perniagaan.

Kepentingan membuat analisis persekitaran kepada anda yang sedang menjalankan perniagaan telah kita bincang dalam beberapa entri yang lepas dan salah satu daripadanya ialah untuk memastikan perniagaan yang dijalankan itu berada di landasan yang betul.  Oleh itu usahawan tersebut perlu memantau persekitaran semasa supaya strategi dan model perniagaannya sentiasa  'fit' dengan keadaan persekitaran semasa.  

Pada kali ini kita akan  bincang pula tentang kepentingan membuat pemantauan ke atas persekitaran perniagaan kepada mereka yang bakal bergelar usahawan.



Aktiviti menganalisis persekitaran ini juga penting sebelum anda membuka perniagaan kerana untuk menghasilkan pelan perniagaan yang baik, anda perlu terlebih dahulu memeriksa persekitaran perniagaan yang bakal anda ceburi. Setelah mendapat maklumat berkenaan persekitaran industri yang ingin diceburi barulah anda boleh membuat pelan perniagaan dan pelan pemasaran.


Seperti yang pernah diperkatakan oleh general Sun Tzu, untuk memastikan sesebuah pasukan tentera itu memperolehi kemenangan di dalam pertempuran yang mereka sertai, general yang memimpin pasukan itu perlu bijak membuat perancangan strategi. Dan untuk membuat perancangan strategi ini, general itu terlebih dahulu perlu kepada maklumat tertentu seperti kekuatan pihak musuh, siapa pemimpin pasukan musuh,  keadaan cuaca dan bentuk muka bumi medan pertempuran yang bakal mereka tempuhi nanti. 

Untuk mendapatkan maklumat-maklumat tersebut,  general itu perlu mengarahkan pasukan perisik keluar merisik maklumat bagi pihaknya. Setelah maklumat-maklumat itu diperolehi, barulah beliau  akan membuat perancangan strategi dan  seterusnya menggerakkan tenteranya ke medan pertempuran. Proses mendapatkan maklumat inilah yang dinamakan  proses memantau persekitaran.

Begitu juga dalam mengurus sebuah perniagaan. Tugas mengurus sebuah perniagaan juga adalah sama seperti tugas seorang general yang mengetuai satu pasukan tentera. Untuk membolehkan perniagaan anda bersaing di dalam pasaran yang bakal disertai nanti, anda juga perlu membuat perancangan sebagaimana jeneral tentera membuat persediaan ketika menghadapi peperangan. 

Aktiviti ini memerlukan anda  mengumpul  dan membuat analisis ke atas maklumat persekitaran industri yang bakal dimasuki terlebih dahulu sama ada dengan melakukan sendiri ataupun mengupah pihak ketiga mengumpulkannya bagi pihak anda. Setelah segala maklumat dianailsis, barulah anda boleh membuat perancangan seterusnya.
 

Sebagimana keadaan cuaca dan bentuk muka bumi medan pertempuran boleh mempengaruhi kemenangan atau kekalahan sesebuah pasukan tentera semasa mereka bertempur dengan pihak musuh, keadaan persekitaran perniagaan juga boleh mempengaruhi kejayaan perniagaan yang bakal anda usahakan nanti. Oleh itu anda juga perlu mengenali persekitaran pasaran anda terlebih dahulu sebelum anda benar-benar menjalankan perniagaan yang diingini.  

Anda perlu tahu faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kejayaan perniagaan yang bakal anda usahakan nanti seperti siapa bakal pelanggan anda, siapa pesaing yang berada dalam pasaran itu, apa kekuatan dan kelemahan yang anda ada serta bagaimana keadaan keseluruhan persekitaran perniagaan yang bakal diceburi nanti. 

Setelah maklumat-maklumat tersebut diperolehi barulah anda boleh membuat pengiraan risiko dan seterusnya membuat keputusan sama ada selamat atau tidak untuk anda meneruskan rancangan membuka perniagaan yang diidam-idamkan itu. Maklumat  yang diperolehi semasa aktiviti memantau persekitaran ini juga anda boleh gunasewaktu membuat pelan perniagaan dan pemasaran.


Dari perbincangan kali ini, dapat dirumuskan bahawa aktiviti memantau persekitaran perniagaan sebelum anda membuat keputusan sama ada ingin meneruskan atau tidak  perniagaan yang dirancang adalah penting. 

Anda tidak digalakkan untuk membuka perniagaan secara bidang terjun tanpa membuat apa-apa persediaan terlebih dahulu kerana risikonya adalah tinggi.  Adalah menjadi sia-sia sekiranya perniagaan yang memerlukan anda mengambil masa bertahun untuk mengumpul modal tetapi terpaksa ditutup selepas sebulan dua beroperasi kerana  kesilapan anda dalam membuat keputusan.

Jika anda biasa menaiki kapal terbang, sama ada ketika pergi mengerjakan umrah atau pun  melancong, pasti anda akan dapati bahawa sebelum juruterbang yang memandu pesawat itu memulakan satu-satu penerbangan, beliau terlebih dahulu akan meneliti  keadaan cuaca.

Jika keadaan cuaca amat buruk, beliau akan memaklumkan kepada pihak pengurusan lapangan terbang supaya menunda penerbangan itu. Beliau akan menunggu sehingga keadaan cuaca kembali tenang dan selamat barulah beliau meminta kebenaran dari pihak kawalan udara untuk berlepas ke destinasi yang dituju. Beliau berbuat demikian kerana keadaan cuaca akan mempengaruhi kelancaran dan keselamatan semasa penerbangan.


Situasi ini juga adalah sama dengan dunia perniagaan. Sekiranya anda bercadang untuk membuka  perniagaan, anda juga perlu tahu keadaan persekitaran perniagaan yang bakal anda ceburi itu terlebih dahulu. 

Dengan membuat aktiviti memantau persekitaran inilah anda akan dapat mengumpul maklumat dan dapat menjangka apa yang bakal berlaku kepada industri yang bakal anda ceburi itu pada masa hadapan. Dengan ini anda boleh membuat sebuah  pelan perniagaan yang sesuai dengan persekitaran tersebut. 

Langkah untuk membuat analisis persekitaran perniagaan, komponen yang perlu diperiksa semasa anda membuat analisis persekitaran boleh anda pelajari secara terperinci dalam buku saya – ‘Jom Bisness!'
 

Sekian perbincangan kita kali ini. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...