Thursday 16 June 2016

SWOT analisis (siri 2)



Entri 37
Teks: usry Abdullah
Foto: Google image



Bertemu kembali kita dalam perbincangan berkenaan pengurusan perniagaan dan strategi pemasaran.

Dalam perbincangan yang lepas kita telah membincangkan tentang pentingnya membuat SWOT analisis sebelum memulakan perniagaan.  kali ini kita sambung lagi berkenaan SWOT analisis ini.

Sekiranya anda menghadiri mana-mana kursus keushawanan ataupun membaca buku berkaitan  pengurusan  perniagaan, anda pasti akan menemui tajuk khas yang membincangkan berkenaan SWOT analisis ini. 

Mengapa aktiviti membuat SWOT analisis ini penting bagi setiap usahawan?

Aktiviti membuat SWOT analisis adalah penting dan perlu dikuasai oleh setiap mereka yang ingin bergelar usahawan adalah kerana dengan membuat analisis SWOT, anda akan mendapat gambaran awal sama ada perniagaan yang bakal anda buka nanti mampu untuk bersaing di dalam pasaran  atau pun tidak.

Di samping itu anda juga akan dapat mengetahui apa kekuatan sebenar yang anda miliki untuk digunakan semasa proses merangka pelan perniagaan nanti.  Dengan membuat SWOT analisis juga anda  dapat membuat  keputusan dengan lebih tepat sama ada anda boleh meneruskan rancangan untuk membuka perniagaan seperti yang dirancang itu ataupun tidak.

Untuk membolehkan anda memahami dengan lebih jelas akan kepentingan membuat SWOT analisis ini, mari bincang satu senario.  

Katakan anda mempunyai kemahiran dalam mengukir dan menghasilkan  keris.  Menyedari akan kebolehan tersebut, rakan  anda telah mencadangkan supaya anda memanafaatkan kemahiran yang dimiliki itu dengan  menghasilkan  keris buatan sendiri secara komersial untuk dijual kepada orang ramai di samping mengedarnya melalui  kedai-kedai kraftangan dan cenderamata di seluruh negara.

Namun begitu sebelum anda membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk menyahut seruan rakan anda tadi, anda perlu terlebih dahulu memeriksa beberapa faktor  atau komponen tertentu untuk mengetahui sama ada faktor atau komponen tersebut boleh mengganggu kelancaran perniagaan anda nanti.  Aktiviti mengenal pasti faktor persekitaran dan membuat perbandingan inilah yang dinamakan SWOT analisis. 

GeneralSun Tzu juga menyatakan, “Mengenali kekuatan dan kelemahan diri adalah penting kerana ia dapat membantu  sesebuah pasukan tentera itu menang dalam setiap pertempuran yang mereka sertai. Sekiranya anda tidak dapat membuat perbandingan secara telus dan jujur  tentang kekuatan dan kelemahan tentera anda, kemenangan yang  tidak mungkin dapat dicapai''.

Dari ungkapan General Sun tzu itu, dapat difahamkan bahawa sebelum seseorang  general itu membuat keputusan sama ada beliau ingin melancarkan peperangan atau pun tidak, beliau  terlebih dahulu perlu membuat perbandingan di antara kekuatan dan kelemahan tentera beliau dengan kekuatan dan kelemahan tentera musuh. 

Seandainya beliau mendapati bahawa kekuatan pasukan tentera beliau melebihi kekuatan pihak musuh, beliau bolehlah meneruskan hasrat untuk berperang dan seterusnya merangka  strategi peperangan. 

Namun, sekiranya beliau mendapati bahawa kekuatan pihak musuh adalah lebih berbanding kekuatan tentera beliau dan keadaan di medan pertempuran juga tidak menyebelahi pasukan beliau, adalah lebih baik beliau menghindarkan diri  dan tentera pimpinan beliau dari berhadapan dengan musuh tersebut. Jika diteruskan juga hasrat untuk berperang, pasukan beliau sudah pasti akan mengalami kekalahan.

Begitu juga dengan dunia perniagaan. Sebelum anda meneruskan niat untuk membuka perniagaan, anda perlu terlebih  dahulu membuat pemantauan ke atas persekitaran semasa dan membuat SWOT analisis. Tujuannya ialah untuk  membuat perbandingan tentang kekuatan dan kelemahan anda berbanding pesaing yang turut berada dalam pasaran tersebut. 

Jika anda dapati bahawa peluang kejayaan perniagaan yang bakal diusahakan itu adalah  cerah, bolehlah anda meneruskan hasrat tersebut. Anda boleh membuat pelan perniagaan, strategi dan pelan pemasaran. Namun, sekiranya anda dapati peluang perniagaan yang bakal dibukan nanti tidak memberangsangkan, mungkin anda terpaksa melupakan saja hasrat untuk membuka perniagaan itu dan tepaksalah anda mencari idea perniagaan yang lain.

Dari perbincangan kali ini,  aktiviti membuat SWOT analisis adalah penting kepada anda yang bakal membuka perniagaan. Ia dapat membantu anda mengenal pasti apa kekuatan yang boleh anda gunakan untuk bersaing di pasaran dan apa ancaman yang terdapat di dalam pasaran tersebut.  

Aktiviti membuat SWOT analisis ini juga  bersesuaian dengan prinsip tentera yang diasaskan oleh general Sun Tzu yang berbunyi,’ Kemenangan dalam sesebuah pertempuran adalah bergantung kepada kekuatan yang anda miliki dan peluang yang terbuka hasil dari kebijaksanaan anda mencari kelemahan musuh. 

Oleh itu general yang sedar akan kekuatan dan kekuatan tentera beliau serta tahu membuat perbandingan di antara kekuatan yang dimiliki beliau berbanding kekuatan musuh, akan mampu memenangi seribu pertempuran yang mereka sertai.

Manakala general yang tidak tahu membuat perbandingan akan kekuatan dan kelemahan tentera beliau dan tidak tahu membuat analisis tentang bumi medan pertempuran, pasti  tidak akan mampu untuk menggerakkan pasukannya ke medan pertempuran. Malah beliau juga tidak dapat melaksanakan strategi dan taktik peperangan dengan berkesan.  Akibatnya, tentera yang dipimpin oleh genaral tersebut bakal mengalami kekalahan yang teruk.'

Sekian untuk kali ini. Kita jumpa lagi dalam perbincangan selanjutnya di entri yang akan datang. 



Wednesday 8 June 2016

SWOT Analisis



Entri 36

Teks: Usry Abdullah

Foto: Google image



Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan

Setelah kita  membincangkan tentang kepentingan membuat pemantauan atau membuat analisispersekitaran, kini kita akan membincangkan satu lagi aktiviti  yang juga penting kepada mereka yang berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri. Iaitu membuat SWOT analisis.

Setelah anda membuat analsis persekitaran untuk melihat  tahap persaingan di dalam pasaran yang bakal anda sertai nanti dan membuat keputusan sama ada ianya selamat atau tidak untuk anda  meneruskan niat membuka perniagaan yang diingini, aktiviti seterusnya ialah membuat analisis tentang kekuatan dan kelemahan pernaigaan untuk anda mengetahui sejauh mana daya saing perniagaan anda di pasaran nanti. 

Analisis ini dinamakan SWOT analisis. Dengan membuat aktiviti SWOT analisis ini anda  akan mendapat maklumat tentang apa kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman untuk membantu anda membuat keputusan sama ada perniagaan yang bakal anda buka nanti mampu bersaing atau tidak. Ia juga membantu anda untuk memilih jenis  strategi yang bakal dilaksanakan serta macam mana pelan perniagaan anda nanti. 

Aktiviti membuat SWOT analisis ini juga penting kepada anda yang sedang menjalankan perniagaan kerana dunia perniagaan ini adalah merupakan dunia tanpa sempadan. Sesiapa saja yang berhajat untuk membuka perniagaan sendiri boleh berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai modal dan sumber cukup.  

Malah tidak ada sebarang sekatan di sisi undang-undang untuk mereka berbuat demikian asalkan perniagaan, produk atau pun perkhidmatan yang dijual juga tidak melanggar undang-undang atau memudaratkan pengguna. Mereka juga bebas untuk membuka seberapa banyak perniagaan yang mereka mahu dan di lokasi mana yang mereka suka. 
Dengan kata lain, walaupun sudah bertahun-tahun  anda melihat ada seorang makcik  membuka gerai menjual nasi lemak di hadapan sekolah tempat anak anda belajar. Setiap hari anda dapati pelanggan makcik tadi bertambah dan anda juga perasan bahawa di kawasan itu  hanya makcik itu seorang saja yang menjalankan perniagaan menjual nasi lemak.   

Oleh itu, jika pada satu hari anda pergi menemui beliau dan menyatakan hasrat yang anda berhasrat untuk membuka gerai menjual nasi lemak  tidak jauh dari gerai makcik tersebutmakcik itu perlu akur dan tidak boleh memarahi anda. Beliau juga tidak boleh menghalau anda  supaya pergi berniaga di tempat lain kerana dikhuatiri anda bakal  merampas pelanggannya.  

Malah makcik itu juga tidak boleh mengadu kepada mana-mana agensi kerajaan untuk menyekat atau menghalang anda dari membuka perniagaan menjual nasi lemak di lokasi yang sama tempat beliau berniaga. Sebagaimana beliau, anda juga mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang untuk menjalankan perniagaan di situ.  Mahu atau tidak, makcik tadi  perlu menerima kehadiran anda untuk turut sama berniaga mencari rezeki di lokasi tersebut. 

Cuma yang akan membezakan di antara perniagaan anda dengan perniagaan nasi lemak makcik tadi ialah apa kelebihan nasi lemak yang anda jual dan apa strategi perniagaan yang anda praktiskan. Anda dan makcik tadi sama-sama bersaing dengan kekuatan  tersendiri dan jika anda tidak mampu untuk menyediakan nasi lemak yang lebih sedap berbanding nasi lemak yang dijual oleh makcik tadi, anda akan gagal untuk menarik pelanggan mengunjungi gerai anda. Kesannya, perniagaan anda bakal mengalami kerugian dan jika keadaan ini berterusan, dalam jangka masa tertentu mungkin anda terpaksa menutup perniagaan anda tadi

Untuk turut sama berniaga dan bersaing dengan makcik tadi di kawasan tersebut, anda perlu kepada satu strategi dan pelan perniagaan yang sesuai supaya pelanggan sedar akan kehadiran anda dan  mereka sudi untuk mengunjungi dan membeli nasi lemak dari gerai anda. 

Di sinilah  perlunya anda mengkaji apa kekuatan yang anda ada sebelum membuat keputusan untuk turut sama berniaga di lokasi makcik tadi berniaga. Sebagaimana yang diungkapkan oleh General Sun tzu,

’ Peperangan akan menentukan nasib sesebuah negara itu sama ada negara itu menjadi sebuah negara yang gemilang ataupun bakal mengalami kehancuran dan kemusnahan yang teruk

Peluang  kedua- dua pihak untuk mencapai kemenangan adalah bergantung kepada kekuatan dan kelemahan  tentera masing-masing. Oleh itu, sebelum menggerakkan tentera ke medan pertempuran, adalah menjadi tanggungjawab general yang memimpin untuk  'duduk' dan membuat perbandingan terlebih dahulu akan kekuatan tentera beliau berbanding kekuatan tentera musuh

Mana-mana general yang mendapat skor yang tinggi semasa proses membuat perbandingan ini, pasukan itulah yang akan mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertempuran nanti'.
 

Berdasarkan kata-kata Sun tzu ini, dapat disimpulkan bahawa untuk memenangi sesebuah peperangan, general yang mempimpin pasukan tersebut perlu mengenali akan kekuatan tentera beliau dan mencari apa kelemahan pihak musuh supaya senang untuk  mengarahkan tentera beliau membuat serangan.  

Begitu juga dengan menjalankan perniagaan. Sebelum anda meneruskan niat untuk menjalankan perniagaan menjual nasi lemak di lokasi atau di kawasan yang sama dengan makcik tadi, anda perlu tahu   apa kekuatan dan  kelemahan anda terlebih dahulu serta apa peluang dan ancaman yang terdapat dalam pasaran atau lokasi yang bakal anda beroperasi nanti. 

Kekuatan ialah 'apa yang anda boleh lakukan atau 'perform'dengan baik' berbanding makcik tadi. Adakah sambal anda memang sedap berbanding makcik tadi. Adakah resipi nasi lemak anda memang berlainan dari peniaga lain yang berhampiran dengan lokasi anda beroperasi. Jika jawapannya adalah 'Ya'. Maka inilah kekuatan yang anda ada dan anda boleh meneruskan perancangan untuk menjual nasi lemak di lokasi yang dirancang. 

Namun jika anda dapati resipi nasi lemak anda hanyalah resipi biasa-biasa saja, maka itu dikira sebagai  kelemahan  anda. maksud kelemahan ialah 'sesuatu yang anda tidak boleh buat atau 'perform' dengan baik'.  

Dalam senario tadi katakan anda cuma tahu mebuat resipi nasi lemak yang biasa-biasa saja berbanding makcik yang telah lama beroperasi di situ. Sambal nasi lemak yang anda masak juga rasanya adalah biasa-biasa atau hanpir sama dengan rasa sambal yang dimasak oleh peniaga lain.  

Oleh itu jika anda ingin juga meneruskan niat membuka gerai menjual nasi lemak bersebelahan dengan gerai makcik tadi, anda perlu terlebih dahulu memperbaiki kelemahan ini dengan belajar memasak  nasi lemak yang lebih sedap atau resipi sambal yang berlainan berbanding makcik tadi. 
 
Sebagaimana proses membuat analisis persekitaran perniagaan yang kita bincangkan dalam entri-entri sebelum ini, proses membuat analisis SWOT  juga memerlukan anda membuat 'audit' ke atas faktor-faktor tertentu yang terdapat di dalam dan di luar organisasi untuk anda mencari apa kelebihan dan kekurangan yang ada serta apa peluang atau ancaman yang bakal mengganggu perniagaan anda nanti. 

Proses ini juga adalah rumit. Sebarang kesilapan dalam membuat analisis SWOT ini akan menyebabkan perniagaan anda tidak mampu untuk bersaing. Malah jika anda tersalah membuat analsis, ia boleh menyebabkan anda tersilap dalam membuat pelan perniagaan dan mengamalkan strategi perniagaan yang salah.  

Sekian untuk kali ini, Jumpa lagi dalam perbincangan seterusnya di entri yang akan datang. Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin yang melayari blog ini. 

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...