Saturday 27 August 2016

Tindakan kecil tapi memberi kesan besar kepada perniagaan (siri 2)

Entri: 42
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google Image

Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Alhamdulillah, nampaknya pengunjung blog ini semakin bertambah dari hari ke hari semenjak ia dimulakan pada November 2015 yang lalu.  Bila melihat pertambahan sebegini, seakan memberi semangat untuk saya meneruskan perkongsian yang seterusnya.  Semoga maklumat  yang dikongsi di dalam blog ini  dapat membantu bakal usahawan atau mereka yang sudah pun bergelar usahawan membina sebuah perniagaan yang berdaya saing.

Jika dalam perkongsian yang lepas saya mengetengahkan salah satu kesilapan kecil yang sering dilakukan oleh peniaga  tetapi boleh memberi kesan buruk kepada perniagaan mereka, untuk kali ini saya ingin membincangkan satu lagi tindakan kecil yang boleh memberi kesan  besar kepada perniagaan yang anda jalankan. Tetapi kali ini ia memberi kesan positif kepada perniagaan anda.

Sebenarnya banyak lagi kesilapan- kesilapan kecil yang biasa dilakukan oleh usahawan atau bakal usahawan, tetapi saya tidak sempat untuk berkongsi kesemuanya di dalam blog ini. Anda boleh membacanya di dalam buku Jom Bisnes! yang sudah pun berada di kedai-kedai terpilih.

Satu lagi tindakan kecil tetapi memberi kesan positif kepada perniagaan anda ialah - 'fleksible', iaitu satu keadaan di mana seseorang itu mampu menyesuaikan diri dalam apa juga  persekitaran.  

Dengan mempunyai sifat ini, seseorang usahawan itu akan menjadi mudah untuk menjalinkan hubungan dengan pelanggan dan bakal pelanggan. Di samping itu, dengan mempunyai sifat fleksible juga seseorang usahawan itu  cepat menyesuaikan perniagaan beliau dengan keadaan semasa. Tindakan ini dapat menjamin kesinambungan perniagaan anda dengan keadaan persekitaran semasa.

Seperti biasa, saya akan bercerita berdasarkan pengalaman sendiri. Peristiwa ini berlaku pada beberapa minggu  lepas di satu pesta makanan yang diberi nama pesta makanan Thai. Tujuan pesta ini dianjurkan ialah untuk mempromosikan jenis-jenis makanan dari Thailand sama ada menu yang jarang kita jumpa sehinggalah menu yang biasa kita jumpa, seperti pulut mangga, somtam dan tomyam.

Seperti juga pengunjung lain, tujuan saya sekeluarga  mengunjungi pesta makanan tersebut ialah untuk merasa menu baru yang jarang ditemui di kedai  atau restoran biasa. Jadi, pada satu petang setelah balik dari kerja dan menjemput anak-anak dari sekolah, kami sekeluarga pun pergi ke tapak jualan tersebut.

Sebagaimana yang diwar-warkan melalui banner yang dipasang di tepi-tepi jalan utama, memang banyak gerai jualan di tapak pesta itu. Kehadiran pengunjung juga amat memberangsangkan. Boleh dikatakan setiap gerai dipenuhi oleh pengunjung yang membeli belah. Tambahan pula pesta itu diadakan di awal bulan. Ketika ramai orang yang bekerja masih lagi 'bergaji'.

Apabila sampai di tapak pesta tersebut, kami mula meninjau terlebih dahulu sebelum saya dan isteri membeli nasi goreng Thai dan somtam dari salah sebuah gerai untuk dibawa balik sebagai hidangan makan malam nanti. Manakala anak-anak pula ingin mencuba  'nasi gomok'.  Satu menu yang jarang ditemui. Selepas membayar kesemua  makanan yang dibeli, kami berjalan lagi dan tiba di sebuah gerai yang menjual nasi kerabu beserta lauk pauk lain. Peniaga yang menguruskan gerai ini juga berbangsa Thai (melalui percakapan beliau dengan saya sewaktu membeli).

Walaupun nasi kerabu juga adalah menu kegemaran saya dan isteri, tapi memandangkan kami sudah mempunyai makanan untuk makan malam nanti, saya cuma melihat sepintas lalu saja lauk-lauk yang dijual digerai itu. 

Tiba-tiba saya terpadang satu menu yang biasanya boleh dijumpai di negeri kelahiran saya saja, Kelantan. Menu tersebut tak lain dan tak bukan ialah 'kerabu sare', iaitu sejenis rumpai laut yang dikeringkan dan kemudian dijadikan kerabu. Boleh dijadikan sebagai sayur dan dimakan bersama  nasi. (sepeti gambar di bawah).

Kerabu sare yang dijual digerai tersebut  diletakkan di dalam sebuah  bekas untuk memudahkan penjual mengambilnya sebelum dibungkus apabila diminta oleh pelanggan nanti. 

Saya mula menjeling ke arah besen tersebut. Sekali pandang ia seperti tidak ada tanda-tanda kerabu itu pernah diusik. Mungkin menu ini tidak mendapat perhatian masyarakat di sini. Harga  yang ditawarkan untuk kerabu sare ini tak lah mahal sangat. RM5 sebungkus. Saya kira satu harga yang berpatutan.

Di dalam kepala, saya mula berkira-kira. Jika saya membelinya sudah pasti ia akan membazir memandangkan hanya saya seorang saja yang makan kerabu sare ini. Isteri dan anak-anak memang tidak gemar masakan ini. Tambahan pula mereka tak biasa dengan menu tersebut walaupun setiap kali balik kampung di Kelantan, saya selalu mencari menu ini di pasar sehari di sana.

Oleh itu saya cuba menegur penjual yang menjual makanan tersebut untuk berbincang. Mana tahu, jika bernasib baik dapat beli sedikit pun jadilah. Tak kira la RM2 ke atau RM3 ke, saya sedia membayarnya. Janji boleh dibeli. Bukan kerana tidak berduit, tapi seperti yang saya beritahu tadi, saya takut membazir. Saya sedia untuk berkompromi dengan kuantiti  kerabu sare yang bakal diperolehi nanti. Sikit pun tak apa janji dapat melepaskan keinginan untuk merasa.

Tambahan pula jika kerabu sare ni apabila sudah digaul bersama kuahnya, kita perlu menghabiskan juga kerabu itu sewaktu  makan nanti.  Jika tidak habis dan disimpan, ia akan basi. Sekiranya ia dimasukan ke dalam tupperware untuk disimpan di dalam peti ais dan kemudiannya dipanaskan semula menggunakan 'mikrowave' pada kali kedua, rasanya juga sudah menjadi tak sesedap seperti yang mula-mula kita beli tadi.

Lalu saya pun memberanikan diri menyapa dan mula berbincang dengan pemilik gerai tersebut. Setelah menerangkan sebab-sebab mengapa saya hanya ingin membeli dengan kuantiti yang sedikit, akhirnya penjual itu bersetuju untuk menjual kerabu sare tadi seperti yang diminta. Walaupun sedikit,  saya amat berpuas hati. Rupanya perbualan kami ini  didengar dan diperhatikan oleh seorang pelanggan lain yang juga mungkin kali pertama ingin mencuba menu tersebut. Memandangkan jurujual tadi bersedia untuk berkompromi, pelanggan itu juga meminta seperti yang saya minta.

Di sini jelas menunjukkan bahawa hanya dengan satu tindakan kecil saja- iaitu fleksible, iaitu dengan bersetuju menjual produk mengikut quantiti yang diminta pembeli, jualan peniaga tadi mula mendapat perhatian. 

Jika beliau masih juga menunggu pelanggan yang sanggup membeli kerabu beliau dengan harga RM5, mungkin jualan beliau masih belum terusik. Tambahan pula  produk yang dijual itu adalah produk baru diperkenalkan. Sekiranya produk tersebut boleh dijual secara sedikit-sedikit, apa salahnya ia dijual mengikut kuantiti yang diminta oleh pelanggan asalkan tidak mendatangkan kerugian kepada kita.

Mengikut Gerald dan Steven (2010), sesebuah perniagaan perlu mempunyai strategi tertentu untuk membantu usahawan mencapai objektif. Namun begitu, sikap usahawan yang terlalu rigid atau tegas kerana ingin mematuhi pelan dan strategi yang telah dirancang pula kadang-kadang boleh membawa kepada kegagalan. 

Ada ketikanya usahawan akan mengalami situasi di mana strategi dan pelan yang dirancang itu tidak menjadi seperti yang diharapkan.  Oleh itu untuk mencapai objektif yang ditetapkan, beliau perlu berfikir secara kreatif dan fleksible serta bersedia untuk menyesuaikan strategi dan taktik mengikut keadaan semasa.

Sebagaimana senario yang saya alami tadi. Kadang-kadang ada juga di kalangan pelanggan anda yang sememangnya tidak mempunyai  wang yang cukup untuk membeli sesuatu produk yang diual, tetapi beliau amat teringin  untuk mendapatkannya. Sekiranya produk itu adalah jenis produk yang boleh dibahagi- bahagi akan kuantitinya, adalah lebih baik kita berkompromi dan bersikap fleksible. 

idak salah untuk kita mengubah sedikit peraturan yang telah dibuat selagi ia tidak memudaratkan perniagaan yang sedang kita usahakan itu. Mana tahu sekiranya pelanggan yang membeli produk tadi berpuas hati, mungkin beliau akan memberitahu pula kepada kawan-kawannya yang lain. Secara tidak langsung, ia akan membantu mempromosikan perniagaan anda.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Thursday 18 August 2016

Kesilapan kecil tetapi kesannya besar.

Entri: 41
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog 'strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan'.  Kali ini saya ingin mengutarakan satu  isu yang nampak  remeh tetapi sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada  perniagaan yang anda dijalankan.

Isu ini sering dilakukan oleh kebanyakan peniaga, terutamanya peniaga kecil-kecilan. Yang lebih menyedihkan pula ialah isu sebegini kebanyakannya berlaku di kalangan peniaga Melayu bumiputra sahaja dan tidak kepada peniaga yang berbangsa lain. Isu yang dimaksudkan ini ialah isu peniruan atau dalam bahasa inggeris dipanggil 'imitation'. Contohnya seperti apa yang berlaku dalam cerita saya kali ini.
Seperti biasa, setiap hari apabila saya memandu ke tempat kerja, saya akan melewati sebuah gerai menjual nasi lemak yang diusahakan oleh sepasang suami isteri ini. Kadang-kadang jika terasa ingin merasa nasi lemak yang mereka jual saya akan singgah  dan membeli nasi lemak dari makcik ini.

Selepas itu saya akan membawa nasi lemak tadi ke kedai mamak dan memakannya di sana. Saya cuma perlu 'oder' minuman sahaja di kedai mamak tadi sebagai syarat untuk saya atau pelanggan lain tang membawa makanan dari luar dan memakannya di kedai beliau. 

Baru-baru ini saya perasan ada satu gerai nasi lemak telah dibuka oleh dua orang adik yang berusia dalam lingkungan 20an, namun mereka hanya mampu bertahan seminggu dua saja.  Selepas itu saya tidak lagi melihat mereka berniaga. (kisah mereka saya tulis dalam entri 39).  Gerai mereka tidak jauh dari gerai yang diusahakan oleh makcik suami isteri ini.

Namun pada hari ini, selepas membeli nasi lemak dari gerai makcik suami isteri ini dan memandu ke kedai mamak, saya terlihat ada pula satu gerai  baru dibuka tidak jauh dari tapak gerai dua adik yang berhenti berniaga tempohari.  Kali ini gerai ini dibuka oleh seorang remaja perempuan pula. Dia juga menjual menu yang sama, nasi lemak!

Saya tidak mahu komen lebih kerana saya bukan taraf pakar atau seorang 'sifu'.  Tapi sebagai seorang yang pernah menjalankan perniagaan serta mempunyai serba sedikit ilmu perniagaan, saya boleh katakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh adik berdua dulu dan remaja perempuan ini kurang tepat. Sudahlah mereka membuka gerai di jalan atau kawasan yang sama dengan makcik suami isteri itu, malah mereka juga menjual menu yang sama, iaitu nasi lemak. 

Walaupun jarak di antara gerai  makcik suami isteri tadi dengan gerai mereka adalah jauh, tapi mereka membuka perniagaan di tepi jalan yang sama atau dengan kata lain, di laluan yang sama

Tindakan adik ini adalah silap. Walaupun kita sebagai seorang muslim memang dituntut supaya berpegang kepada Qadak dan kadar serta perlu percaya bahawa rezki seseorang itu sudah ditentukan Allah, namun dari segi prinsip pengurusan strategi, tindakan itu sebenarnya salah. Tindakan yang melanggar hukum kepadatan pasaran.

Kita buat satu senario. Katakan jumlah pengguna jalan yang melalui jalan tempat makcik suami isteri tadi ialah 100 orang setiap pagi dan kebarangkalian mereka singgah membeli di gerai makcik tadi katakan 20%. 

Oleh itu secara purata, hanya 20 orang saja yang akan singgah di gerai makcik tadi setiap pagi. Lagi 80 orang yang menggunakan jalan tersebut hanya melintasi gerai makcik tadi untuk ke destinasi masing-masing. Jadi, sekiranya ada lagi seorang penjual yang turut sama membuka perniagaan menjual nasi lemak di jalan atau kawasan yang sama, sekarang makcik dan penjual tadi terpaksa membahagi dua jumlah pelanggan mereka. iaitu 10 orang akan membeli dengan makcik tadi dan 10 orang lagi akan membeli dengan remaja perempuan itu.

Persoalannya sekarang ialah, adakah remaja perempuan itu mampu untuk  bersaing dengan makcik suami isteri tadi dan beliau mampu menarik10 pelanggan dalam sehari? 
Jika berjaya, adakah dengan 10 pelanggan sehari itu sudah cukup untuk remaja perempuan tadi menampung kos operasi beliau? 

Malangnya perkara sebegini tidak pernah diambil kira oleh bakal usahawan sewaktu mereka membuat perancangan  untuk membuka sesebuah perniagaan.  Mereka hanya nampak apabila ada orang boleh maju dengan menjual nasi lemak di satu-satu kawasan itu, mereka pun ingin turut menjual sama di kawasan tersebut. 

Hasilnya, bukan keuntungan yang mereka perolehi tetapi belum pun sampai dua minggu berniaga, perniagaan yang dibuka itu terpaksa ditutup kerana tidak mampu menarik pelanggan dan modal pusingan juga telah habis. 

Inilah kesilapan kecil yang boleh memberi kesan besar kepada perniagaan.

Diharap anda mendapat sesuatu dari perbincangan kita kali ini. Akhir kata, kepada yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri, pelajarilah dahulu ilmu perniagaan sama ada dengan menhadiri seminar atau pun membaca buku-buku berkaitan pengurusan perniagaan.

Sekian untuk kali ini.






Monday 8 August 2016

Perniagaan kecil yang menjana pulangan besar (1)

Entri: 40
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog 'Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan'. Perkongsian kali ini adalah mengenai perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan tetapi mampu menjana pulangan yang besar. 

Saya  tertarik dengan model perniagaan sebegini  bukan sahaja kerana ia adalah sebuah perniagaan yang ringkas tetapi dalam masa yang sama ia mampu menjana hasil yang lebih berbaloi berbanding  perniagaan yang diusahakan secara secara besar-besaran. Lantaran keunikan ini  saya menjuruskan kajian thesis saya dalam kategori peniaga kecil ini. Di samping mengkaji keunikan  dan strategi yang mereka praktiskan, Saya juga ingin membuka minda golongan bumiputera supaya mengubah persepsi mereka  terhadap perniagaan ini.

Jika kita perhatikan,  ramai golongan peniaga kecil yang mampu hidup mewah. Malah ada yang berjaya menjadi jutawan senyap. Sepanjang 13 tahun pengalaman saya  bergaul dengan masyarakat Cina juga mendapati majoriti dari kalangan mereka suka menjalankan perniagaan kecil-kecilan berbanding makan gaji. 

Mereka tahu bahawa di sebalik perniagaan kecil yang diusahakan itu mereka berpeluang menjana pendapatan  sehingga 20 hingga 30 kali ganda  walaupun terpaksa menunggu masa yang agak lama sedikit. Lantaran itulah kita lihat ramai di kalangan kaum Cina ini  hidup mereka lebih senang dan  mampu memandu kereta berjenama  selepas 2-3 tahun menjalankan perniagaan. Sedangkan kaum bumiputra yang bekerja dengan majikan  masih lagi berada di takuk yang sama. Ada yang  masih memandu kancil 660 yang dibeli tahun 2005 dahulu tak bertukar-tukar, kerana tidak mampu untuk membayar 'instalment' bulanan sedangkan rakan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri sebagai penjual jagung rebus di tepi jalan  memandu Toyota Camry setiap kali balik kampung menjenguk keluarga.

Untuk entri kali ini saya ingin  berkongsi  satu perniagaan kecil yang mampu menjana pendapatan sehingga 30 kali ganda dari modal yang anda laburkan. Perniagaan ini   juga mudah dan ringkas. Apa yang  penting ialah  anda perlu mempunyai kemahiran untuk memproses dan produk anda itu mesti menepati cita rasa pelanggan.  

Perniagaan ini boleh dijalankan di tempat-tempat strategik seperti di hadapan stesyen bas, taman permainan, depan pusat beli belah, pasar malam,  pasar minggu atau pun  pasar tani. Malah perniagaan ini juga boleh dijalankan di hadapan taman perumahan tempat anda tinggal. sama ada secara sepenuh masa atau secara samilan. Perniagaan yang dimaksudkan ialah  perniagaan menjual air kacang soya dan taufu fah.

Saya sempat berkenalan dengan seorang peniaga yang telah lama menceburkan diri dalam perniagaan menjual air kacang soya dan taufu fah  ini. Beliau telah menjalankan perniagaan ini semenjak 15 tahun yang lalu.  

Dari pemerhatian dan temubual dengan beliau, hanya dengan menjual  dua jenis produk ini saja  beliau  mampu memiliki sebuah rumah teres dan dua  buah kereta di samping menangggung yuran pengajian anaknya yang belajar di sebuah universiti tempatan.  Apa yang menariknya ialah beliau hanya membuka  perniagaan menjual air soya dan taufu fah ini sekitar jam 11pagi dan berakhir sekitar pukul 5 petang setiap hari.  Iaitu selama 6 jam sahaja dalam sehari, namun pendapatan yang diperolehi adalah di antara RM300 hingga RM350 sehari, mengalahkan pendapatan seorang 'junior eksekutif'  yang bekerja di sebuah pejabat swasta yang memerlukan beliau  masuk pejabat tepat jam 9 pagi dan keluar pejabat pada pukul 6 petang.

Menurut beliau, perniagaan menjual air soya dan taufu fah ini sebernya tidak memerlukan modal yang besar kerana kos untuk menghasilkan 10 liter air soya  hanya memerlukan 1 kilogram kacang soya (yang terpilih)  dan  2 kilogram gula serta sepeket  kiub ais. Namun apabila siap diproses, 10 liter air soya  ini akan menghasilkan pendapatan  sebanyak RM150 sehari sedangkan kos keseluruhan termasuk menggaji seorang pembantu  adalah sekitar RM70 sehari.

Manakala untuk sekilo soya yang sama dan kemudiannya  diproses menjadi taufu fah pula akan menghasilkan  sekitar 100 mangkuk taufu fah dan  boleh  menjana  pulangan sebanyak RM180 sehari.

Hanya bermodalkan tak sampai RM100 sehari, peniaga air kacang soya dan taufu fah ini mampu menjana pendapatan sehingga 3 kali ganda sehari.

Namun begitu sebagaimana yang sering ditekankan dalam setiap tulisan saya,  sebelum seseorang usahawan itu boleh menjalankan perniagaan ini, perkara utama yang perlu ditekankan ialah aktiviti membuat persediaan atau perancangan terlebih dahulu.  Jika perancangan dilakukan dengan baik, peluang untuk memperolehi kejayaan adalah besar dan begitu sebaliknya.

Di samping itu, sebelum memulakan perniagaan menjual air soya ini juga bakal usahawan dinasihatkan supaya menghadirkan diri ke kursus memproses air kacang soya dan taufu fah yang dianjurkan. Sama ada oleh agensi kerajaan seperti Mardi ataupun oleh pihak swasta. Ini adalah untuk mendapat ilmu yang sepenuhnya bagaimana cara memproses kacang soya untuk  dijadikan air soya dan taufu fah mengikut piawaian dan mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

Sekian untuk kali ini.





Thursday 4 August 2016

Cabaran peniaga jalanan

Entri: 39
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah' file

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pelayar blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Kali ini saya ingin berkongsi satu  kes, iaitu perniagaan nasi lemak  yang diusahakan oleh dua  orang  'adik' ni untuk dijadikan  panduan kepada bakal peniaga yang  berhasrat untuk menceburkan diri ke dunia perniagaan. 

Tujuan 'kes study' ini ditulis adalah untuk memberi panduan kepada anda yang berminat untuk menjalankan perniagaan sendiri. Walaupun perniagaan yang bakal anda usahakan  nanti bukannya perniagaan menjual nasi lemak seperti adik-adik ini, tapi melalui kajian kes ini diharap bakal usahawan akan mendapat sedikit panduan bagaimana pentingnya strategi kepada setiap entiti perniagaan.

Cerita ini adalah kisah benar dan ia berlaku pada hujung minggu lepas.  Seperti anda, saya  juga boleh dikatakan selalu  bersarapan di kedai mamak. Jadi, pada hari itu sebelum ke pejabat saya memandu ke kedai mamak yang biasa saya kunjungi terlebih dahulu untuk bersarapan. Dalam perjalanan ke sana, saya terperasan  ada satu gerai  nasi lemak yang baru dibuka. Lokasinya tidak berapa jauh dari kedai mamak tempat saya selalu bersarapan. 

Bila melihat adanya gerai baru, saya pun mula berkira-kira dalam hati, elok  juga  kalau saya 'try' nasi lemak adik-adik ini.  Nanti boleh beli dan bawa ke kedai mamak. Lagi pun mamak tempat saya selalu minum tu tak marah jika  kita bawa makanan dari luar dan makan di kedai beliau. Dengan syarat, kita kena oder air minuman dari kedai beliau. Jangan pula  bawa makanan dari luar, air minum pun kita tak oder. Sebaliknya kita juga turut bawa air minum yang dibuat dari rumah atau kita beli di kedai lain.  Yang ni mamak tu memang akan marah. Malah bukan mamak tu saja, siapa-siapa  yang berniaga kedai makan pun akan 'bengang' jika ada 'customer' yang berbuat demikian.

Selepas 'parking'  kereta, saya pun memandang sekali lagi ke arah gerai adik berdua ni. Kalau diikutkan, memang saya dah nak terus melangkah ke gerai mereka  tapi saya  teragak-agak. Pertamanya bila melihat tempat mereka menjalankan perniagaan 'meja lipat 'itu.  Saya rasa tuan-tuan pun boleh tengok  apa yang saya nampak. Itu berkenaan tempat atau 'port'  mereka berniaga.  

Yang keduanya pula  bila saya lihat 'appearance' atau imej adik dua orang ni.  Cara mereka berpakaian dan cara mereka mengendalikan perniagaan itu. Sebuah kerusi pun tak ada. Walaupun mereka masih muda dan tidak perlu duduk, tapi dengan meletakkan sebuah kerusi, sekurang-kurangnya nampak lengkaplah imej sebuah perniagaan 'meja lipat'. Contohnya seperti yang dilakukan oleh seorang kakak  yang juga turut berniaga nasi lemak tidak jauh dari lokasi tempat adik berdua tadi berniaga.

Lagi satu, ramai pula kawan-kawan mereka yang bermotorsikal turut sama melepak di situ sehinggakan saya yang lelaki ini pun rasa segan untuk singgah. Apatah lagi jika anda merupakan seoarang pelanggan wanita yang kebetulan pula solo. Apakah anda akan singgah di gerai tersebut?

Yang terakhirnya ialah cara pembungkusan nasi lemak yang dijual. Walaupun orang kata 'don't judge a book by it cover', tapi jika bungkusan  nasi lemak seperti yang di dalam gambar itu, rasanya tak berapa sesuai untuk dijual secara 'buka meja'. 

Jika mereka masukkan ke dalam bakul dan kemudiannya mereka  menjaja dari rumah ke rumah atau dari pejabat ke pejabat, mungkin lebih sesuai. Ini adalah kerana bungkusan yang diguna itu kelihatan tidak menarik. Cara pemungkusan sebegini hanya sesuai diguna jika mereka menjualnya secara mencedok dan membungkusnya 'on the spot' ketika  pelanggan ingin membelinya.Jika dijual secara 'buka meja', adalah lebih baik mereka guna polisterin. Ataupun mereka membawa bekas nasi, dan membungkusnya semasa pelanggan minta pesanan.

Setelah  berfikir dan berkira-kira secara lebih kurang, saya tidak jadi singgah membeli nasi lemak adik berdua tadi, sebaliknya  terus melangkah  melewati gerai mereka dan masuk ke kedai mamak. Saya duduk dan memasan menu kegemaran iaitu tosey telur 'tak nak garing'  dengan  kari kambing. Minuman  pula segelas teh  tarik halia. 

Sambil menunggu minuman yang dipesan tadi sampai, pandangan saya masih tertumpu  ke arah gerai adik berdua itu. Begitu juga sepanjang saya makan, sesekali saya merenung jauh ke arah gerai adik berdua ini. Sedih pun ada, simpati pun ada. Sepanjang hampir 15 minit saya bersarapan, belum nampak seorang pun pelanggan  yang singgah membeli nasi lemak mereka sedangkan laluan tersebut adalah laluan utama ke sebuah kolej swasta.

Ramai pelajar kolej dan orang awam  yang menggunakan laluan tersebut. Ada yang berkereta, ada yang bermotorsikal dan tak kurang juga yang berjalan kaki. Jadi tempat itu pun boleh dikira strategik untuk buka perniagaan 'meja lipat' atau membuka gerai menjual kuih dan nasi lemak. Namun, sambutan yang diterima oleh adik berdua ini nampaknya tidak seperti yang diharapkan.

Selepas bersarapan, dengan niat untuk menyokong perniagaan yang dijalankan mereka, saya pun mengambil keputusan untuk pergi juga ke gerai mereka. Saya membeli sebungkus nasi lemak. Harganya ialah RM1 sebungkus. Amat murah  jika dibandingkan dengan harga nasi lemak sekarang. Selepas membayar harga nasi lemak tersebut dan bersembang lebih kurang saya pun minta kebenaran  untuk ambil gambar mereka dan seterusnya berlalu ke kereta.  

Setibanya di tempat kerja, nasi lemak yang dibeli tadi saya kongsi bertiga, iaitu saya  dan dua orang staff perempuan. Pertama kerana saya masih kenyang sebab baru saja selesai bersarapan di kedai mamak. Keduanya ialah kerana saya ingin mendapatkan komen atau 'feed back' mereka berkenaan masakan nasi lemak adik berdua ini. Dengan ini ada la komen yang boleh saya sampaikan kepada adik berdua ini tentang masakan mereka nanti.

Dua hari kemudian, saya pun pergi  semula ke kedai mamak untuk bersarapan. Sambil-sambil tu saya nak siggah beli nasi lemak adik berdua tadi. Boleh bersembang dan berkongsi serba sedikit tips yang mungkin boleh membantu mereka memperbaiki 'persembahan' mereka  di samping menyampaikan komen staff saya berkenaan masakan mereka. Namun apa yang saya dapati pada pagi itu  ialah pemadangan seperti di sebelah.
Meja lipat, termasuk adik berdua ini sudah tidak ada lagi di kawasan itu. Yang ada hanyalah selonggok daun kering yang telah siap disapu dan dikumpul oleh pekerja majlis perbandaran, menanti saat untuk dimuatkan ke dalam lori untuk dibuang di tapak pelupusan atau pun dibakar.

Dari 'kes study' ini, dapat diperkatakan bahawa adik berdua ini masih kurang dari segi pengalaman dan pengetahuan berkenaan perniagaan. Walaupun perniagaan menjual nasi lemak ini nampak ringkas dan mudah dan sesiapa saja boleh menjalankannya, sepatutnya adik berdua ini perlu membuat persediaan terlebih dahulu. 

Pertamanya, mereka kena kenali dahulu apa 'kekuatan dan kelemahan' diri. Seterusnya mereka membuat  'test market' terlebih dahulu iaitu dengan cara memberi kawan-kawan terdekat merasa  akan kesedapan masakan mereka. Jika majoriti dari kawan-kawan mengatakan masakan mereka boleh diketengahkan, barulah adik berdua tadi boleh memulakan perniagaan menjual nasi lemak. Jika masakan itu belum menepati cita rasa, pergilah belajar dan perbaiki lagi mutu serta menu masakan tersebut sehingga kawan-kawan mereka berpuas hati.   

Di samping itu, adik berdua ini juga kena  periksa keadaan persekitaran dan lokasi tempat mereka hendak berniaga. Kenali dulu  siapa pelanggan dan siapa pesaing mereka. Jika boleh, buatlah sedikit kajian, terutamanya berkaitan 'market saturation'. Setelah berpuas hati  baru lah boleh buka perniagaan yang diingini itu. 

Sekian untuk kali ini. Kepada adik berdua ini, sekiranya anda ada membaca coteran ini saya berharap semoga anda mempelajari sesuatu dari pengalaman anda dan dapat bangkit kembali satu hari nanti.

Jumpa lagi dalam entri seterusnya.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...