Thursday, 18 August 2016

Kesilapan kecil tetapi kesannya besar.

Entri: 41
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog 'strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan'.  Kali ini saya ingin mengutarakan satu  isu yang nampak  remeh tetapi sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada  perniagaan yang anda dijalankan.

Isu ini sering dilakukan oleh kebanyakan peniaga, terutamanya peniaga kecil-kecilan. Yang lebih menyedihkan pula ialah isu sebegini kebanyakannya berlaku di kalangan peniaga Melayu bumiputra sahaja dan tidak kepada peniaga yang berbangsa lain. Isu yang dimaksudkan ini ialah isu peniruan atau dalam bahasa inggeris dipanggil 'imitation'. Contohnya seperti apa yang berlaku dalam cerita saya kali ini.
Seperti biasa, setiap hari apabila saya memandu ke tempat kerja, saya akan melewati sebuah gerai menjual nasi lemak yang diusahakan oleh sepasang suami isteri ini. Kadang-kadang jika terasa ingin merasa nasi lemak yang mereka jual saya akan singgah  dan membeli nasi lemak dari makcik ini.

Selepas itu saya akan membawa nasi lemak tadi ke kedai mamak dan memakannya di sana. Saya cuma perlu 'oder' minuman sahaja di kedai mamak tadi sebagai syarat untuk saya atau pelanggan lain tang membawa makanan dari luar dan memakannya di kedai beliau. 

Baru-baru ini saya perasan ada satu gerai nasi lemak telah dibuka oleh dua orang adik yang berusia dalam lingkungan 20an, namun mereka hanya mampu bertahan seminggu dua saja.  Selepas itu saya tidak lagi melihat mereka berniaga. (kisah mereka saya tulis dalam entri 39).  Gerai mereka tidak jauh dari gerai yang diusahakan oleh makcik suami isteri ini.

Namun pada hari ini, selepas membeli nasi lemak dari gerai makcik suami isteri ini dan memandu ke kedai mamak, saya terlihat ada pula satu gerai  baru dibuka tidak jauh dari tapak gerai dua adik yang berhenti berniaga tempohari.  Kali ini gerai ini dibuka oleh seorang remaja perempuan pula. Dia juga menjual menu yang sama, nasi lemak!

Saya tidak mahu komen lebih kerana saya bukan taraf pakar atau seorang 'sifu'.  Tapi sebagai seorang yang pernah menjalankan perniagaan serta mempunyai serba sedikit ilmu perniagaan, saya boleh katakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh adik berdua dulu dan remaja perempuan ini kurang tepat. Sudahlah mereka membuka gerai di jalan atau kawasan yang sama dengan makcik suami isteri itu, malah mereka juga menjual menu yang sama, iaitu nasi lemak. 

Walaupun jarak di antara gerai  makcik suami isteri tadi dengan gerai mereka adalah jauh, tapi mereka membuka perniagaan di tepi jalan yang sama atau dengan kata lain, di laluan yang sama

Tindakan adik ini adalah silap. Walaupun kita sebagai seorang muslim memang dituntut supaya berpegang kepada Qadak dan kadar serta perlu percaya bahawa rezki seseorang itu sudah ditentukan Allah, namun dari segi prinsip pengurusan strategi, tindakan itu sebenarnya salah. Tindakan yang melanggar hukum kepadatan pasaran.

Kita buat satu senario. Katakan jumlah pengguna jalan yang melalui jalan tempat makcik suami isteri tadi ialah 100 orang setiap pagi dan kebarangkalian mereka singgah membeli di gerai makcik tadi katakan 20%. 

Oleh itu secara purata, hanya 20 orang saja yang akan singgah di gerai makcik tadi setiap pagi. Lagi 80 orang yang menggunakan jalan tersebut hanya melintasi gerai makcik tadi untuk ke destinasi masing-masing. Jadi, sekiranya ada lagi seorang penjual yang turut sama membuka perniagaan menjual nasi lemak di jalan atau kawasan yang sama, sekarang makcik dan penjual tadi terpaksa membahagi dua jumlah pelanggan mereka. iaitu 10 orang akan membeli dengan makcik tadi dan 10 orang lagi akan membeli dengan remaja perempuan itu.

Persoalannya sekarang ialah, adakah remaja perempuan itu mampu untuk  bersaing dengan makcik suami isteri tadi dan beliau mampu menarik10 pelanggan dalam sehari? 
Jika berjaya, adakah dengan 10 pelanggan sehari itu sudah cukup untuk remaja perempuan tadi menampung kos operasi beliau? 

Malangnya perkara sebegini tidak pernah diambil kira oleh bakal usahawan sewaktu mereka membuat perancangan  untuk membuka sesebuah perniagaan.  Mereka hanya nampak apabila ada orang boleh maju dengan menjual nasi lemak di satu-satu kawasan itu, mereka pun ingin turut menjual sama di kawasan tersebut. 

Hasilnya, bukan keuntungan yang mereka perolehi tetapi belum pun sampai dua minggu berniaga, perniagaan yang dibuka itu terpaksa ditutup kerana tidak mampu menarik pelanggan dan modal pusingan juga telah habis. 

Inilah kesilapan kecil yang boleh memberi kesan besar kepada perniagaan.

Diharap anda mendapat sesuatu dari perbincangan kita kali ini. Akhir kata, kepada yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri, pelajarilah dahulu ilmu perniagaan sama ada dengan menhadiri seminar atau pun membaca buku-buku berkaitan pengurusan perniagaan.

Sekian untuk kali ini.






1 comment:

  1. isu pendatang ni kalau di kwsan rumah mmg menyusahkan org tempatan, rosakkan kereta. ramai peniaga skrg bg org asing jaga kedai

    ReplyDelete

Cabaran peniaga internet

Ledakan dalam teknologi maklumat dan kadar penembusan internet di setiap rumah telah mencetus perubahan besar kepada kehidupan kita. Di M...