Saturday, 27 August 2016

Tindakan kecil tapi memberi kesan besar kepada perniagaan (siri 2)

Entri: 42
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google Image

Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Alhamdulillah, nampaknya pengunjung blog ini semakin bertambah dari hari ke hari semenjak ia dimulakan pada November 2015 yang lalu.  Bila melihat pertambahan sebegini, seakan memberi semangat untuk saya meneruskan perkongsian yang seterusnya. Semoga maklumat  yang dikongsi di dalam blog ini  dapat membantu bakal usahawan atau mereka yang sudah bergelar usahawan membina sebuah perniagaan yang berdaya saing.

Jika dalam perkongsian yang lepas saya mengetengahkan salah satu kesilapan kecil yang biasa dilakukan oleh peniaga  tetapi boleh memberi kesan  besar kepada perniagaan yang  beliau jalankan, untuk kali ini saya ingin membincangkan tentang satu sifat yang kecil tetapi memberi kesan yang juga besar kepada perniagaan yang dijalankan. Tetapi kali ini ia memberi kesan positif kepada perniagaan anda.

Sebenarnya banyak lagi kesilapan- kesilapan kecil yang biasa dilakukan oleh usahawan atau bakal usahawan, tetapi saya tidak sempat untuk berkongsi kesemuanya di dalam blog ini. Anda boleh membacanya di dalam buku Jom Bisnes! yang sudah pun berada di kedai-kedai terpilih.

Kali ini saya ingin berkongsi pula satu tindakan yang kecil tetapi memberi kesan positif kepada perniagaan anda. Tindakan atau sifat tersebut ialah - 'fleksible', iaitu satu keadaan di mana seseorang itu mampu menyesuiakan diri dalam apa juga  persekitaran.  Dengan mempunyai sifat ini, seseorang usahawan itu mudah untuk menjalinkan hubungan dengan pelanggan dan bakal pelanggan. Di samping itu, dengan mempunyai sifat fleksible juga seseorang usahawan itu  cepat menyesuaikan perniagaan beliau dengan keadaan semasa. Dengan ini, kesinambungan perniagaan yang dijalankan dapat dikekalkan.

Seperti biasa, saya akan bercerita berdasarkan pengalaman. Peristiwa ini berlaku pada beberapa minggu  lepas di satu pesta makanan  iaitu pesta makanan Thai. Tujuan pesta ini dianjurkan ialah untuk mempromosikan jenis-jenis makanan dari Thailand termasuk menu yang biasa kita jumpa, seperti pulut mangga, somtam dan tomyam.

Seperti individu lain, tujuan saya sekeluarga  mengunjungi pesta tersebut ialah untuk mengambil kesempatan  mencuba menu yang jarang ditemui di kedai  atau restoran biasa. Setelah beberapa hari pesta itu berlangsung, pada satu petang setelah balik dari kerja dan mengambil anak dari sekolah, kami sekeluarga pun pergi ke tapak jualan tersebut.

Sebagaimana yang diwar-warkan melalui banner yang dipasang di tepi-tepi jalan utama, memang banyak gerai jualan terdapat di tapak pesta itu. Kehadiran pengunjung juga memberangsangkan. Boleh dikatakan setiap gerai dipenuhi pengunjung. Tambahan pula pesta itu diadakan di awal bulan. Ketika ramai orang yang bekerja masih 'bergaji'.

Apabila sampai di tapak pesta tersebut, kami mula melihat-lihat terlebih dahulu sebelum saya dan isteri membeli nasi goreng Thai dan somtam dari salah sebuah gerai untuk dibawa balik sebagai sajian makan malam nanti. Manakala anak-anak pula ingin mencuba  'nasi gomok'.  Selepas membayar kesemua  makanan yang dibeli, kami berjalan lagi dan tiba di sebuah gerai yang menjual nasi kerabu beserta lauk pauk lain. Penaga yang menguruskan gerai ini juga berbangsa Thai (melalui percakapan beliau dengan saya sewaktu membeli).

Walaupun nasi kerabu juga adalah menu kegemaran saya dan isteri, tapi memandangkan kami sudah mempunyai makanan untuk makan malam nanti, saya cuma melihat sepintas lalu saja lauk-lauk yang dijual digerai itu. Tiba-tiba saya terpadang satu menu yang biasanya boleh dijumpai di negeri kelahiran saya saja. Menu tersebut tak lain dan tak bukan ialah 'kerabu sare', iaitu sejenis rumpai laut yang dikeringkan dijadikan kerabu dan dimakan bersama  nasi. (sepeti gambar di bawah).

Kerabu sare yang dijual digerai tersebut  diletakkan di dalam sebuah  bekas untuk memudahkan penjual mengambilnya sebelum dibungkus apabila diminta oleh pelanggan nanti. Saya mula menjeling ke arah besen tersebut. Sekali pandang ia seperti tidak ada tanda-tanda kerabu itu pernah diusik. Mungkin menu ini tidak mendapat perhatian masyarakat setempat. Manakala harga yang ditawarkan pula tak lah mahal sangat. RM5 sebungkus.

Di dalam kepala, saya mula berkira-kira. Jika saya membelinya sudah pasti ia akan membazir memandangkan hanya saya seorang saja yang makan kerabu sare ini. Isteri dan anak-anak memang tidak gemar masakan ini. Oleh itu saya cuba menegur penjual tyang menjual makanan tersebut untuk cuba berbincang. Mana tahu, jika bernasib baik boleh bei sedikit pun jadilah. Tak kira la RM2 ke atau RM3 ke ,janji boleh dibeli. Bukan kerana tidak berduit, tapi seperti yang saya boleh merasa keenakan kerabu sare tersebut. Saya sedia berkompromi dengan kuantiti  kerabu sare yang bakal diperolehi nanti. Sikit pun tak apa janji dapat melepaskan keinginan untuk merasa.

Tambahan pula jika kerabu sare ni apabila sudah digaul bersama kuahnya, kita perlu menghabiskan juga kerabu itu sewaktu  makan nanti.  Jika tidak habis dan disimpan, ia akan basi. Sekiranya ia dimasukan ke dalam tupperware untuk disimpan di dalam peti ais dan kemudiannya dipanaskan semula menggunakan 'mikrowave' pada kali kedua, rasanya juga sudah menjadi tak sesedap seperti yang mula-mula kita beli tadi.

Lalu saya pun memberanikan diri menyapa dan mula berbincang dengan pemilik gerai tersebut. Setelah menerangkan sebab-sebab mengapa saya hanya ingin membeli dengan kuantiti yang sedikit, akhirnya penjual itu bersetuju untuk menjual kerabu sare tadi seperti yang saya minta. Walaupun sedikit,  saya amat berpuas hati. Rupanya perbualan kami ini  dedengar dan diperhatikan oleh seoarng pelanggan lain yang juga mungkin kali pertama ingin mencuba menu tersebut. Memandangkan jurujual tadi bersedia untuk berkompromi, pelanggan itu juga meminta seperti yang saya minta.

Di sini jelas menunjukkan bahawa dengan bertindak secara fleksible, iaitu dengan bersetuju menjual mengikut harga yangdiminta oleh pembeli, jualan peniaga tadi mula mendapat perhatian. Jika beliau masih juga menunggu pelanggan yang sanggup membeli kerabu beliau dengan harga RM5, mungkin jualan beliau masih belum terusik. Tambahan pula jika produk yang dijual adalah produk baru. Sekiranya produk tersebut boleh dijual secara sedikit-sedikit, apa salahnya ia dijual mengikut kuantiti yang diminta oleh pelanggan asalkan tidak membawa kerugian kepada kita.


Mengikut Gerald dan Steven (2010), sesebuah perniagaan perlu mempunyai strategi tertentu untuk membantu usahawan mencapai objektif  yang ditetapkan. Namun begitu, sikap usahawan yang terlalu rigid atau tegas kerana ingin mematuhi pelan dan strategi yang telah dirancang kadang-kadang boleh membawa kepada kegagalan. Ada ketikanya usahawan akan mengalami situasi di mana strategi dan pelan yang dirancang itu tidak menjadi seperti yang diharapkan.  Di sinilah perlunya beliau berfikir secara kreatif dan fleksible dan bersedia untuk menyesuaikan mengikut realiti semasa.

Sebagaimana senario yang saya alami di atas. Kadang-kadang ada juga di kalangan pelanggan anda yang sememangnya tidak mempunyai  wang yang cukup untuk membeli sesuatu produk yang diual tetapi beliau amat teringin  untuk mendapatkannya. Sekiranya produk itu adalah jenis produk yang boleh dibahagi bahagi akan kuantitinya, adalah lebih baik kita berkompromi dan bersikap fleksible. Tidak salah untuk kita mengubah sedikit peraturan yang telah dibuat selagi ia tidak memudaratkan perniagaan yang sedang kita usahakan. Mana tahu sekiranya pelanggan yang membeli produk tadi berpuas hati, mungkin beliau akan memberitahu pula kepada kawan-kawannya yang lain. Secara tidak langsung, ia akan membantu mempromosikan perniagaan kita.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi di entri yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...