Tuesday, 25 October 2016

Peniaga kecil dan cabaran ekonomi semasa 2

Entri:
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Sepanjang minggu ini, jika anda berkunjung ke restoran atau kedai-kedai mamak masih lagi kedengaran suara-suara atau perbincangan di kalangan pengunjung yang berborak berkenaan belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas. 

Begitu juga apabila anda menyelak halaman akhbar sama ada akhbar arus perdana mahu pun akhbar  berhaluan kiri,  juga anda masih boleh membaca komentar atau artikel-artikel yang mengupas berkenaan belanjawan tahun 2017.  Malah, akhbar atas talian dan blog juga mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat mereka berkenaan belanjawan dan kesannya kepada kehidupan kita pada tahun hadapan. Masing- masing membuat analsis mengikut pemahaman dan ideologi sendiri.

Mengapa belanjawan tahunan akan menjadi topik penting kepada kita setiap kali selepas ia dibentangkan? 
Ya! Ini adalah kerana belanjawan dibentangkan pada Jumaat lepas akan memberi gambaran kepada kita tentang apa yang bakal berlaku pada tahun hadapan. Apa perancangan kerajaan untuk negara kita pada tahun hadapan. Dengan ini ia akan memberi ruang dan  peluang kepada rakyat untuk bersedia dan turut merancang dan berubah  sekiranya perlu.
Dalam entri kali ini saya  ingin menyentuh beberapa isu yang nampak 'significant' dan  mungkin dapat memberi kesan kepada  perniagaan yang anda jalankan, terutamanya kepada anda yang tergolong dalam kumpulan peniaga kecil dan sederhana (SME's). Semoga isu-isu yang disentuh dalam entri kali ini dapat memberi sedikit gambaran kepada anda  untuk  membuat persediaan  bagi menghadapi cabaran pada tahun hadapan.

Secara amnya, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bergerak dalam jajaran yang sempit dan perlahan untuk sepanjang tahun 2017 nanti berbanding tahun 2016. Kerajaan menjangkakan pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) ialah di antara 4%-. 4.5% sahaja berbanding 4.5% - 5 % pada tahun 2016 yang lalu ( http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/10/23/banks-comments-on-2017-budget/). Keadaan ini adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang turut dialami oleh beberapa negara besar dunia  seperti  Amerika, Britain, negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun dan tidak terkecuali China. Pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berlaku dengan kadar perlahan ini seterusnya akan menyebabkan eksport negara kita turut terjejas. 

Keadaan ini diburukkan lagi oleh kesan dari kejatuhan harga minyak mentah dunia. Penurunan harga minyak mentah dunia yang berlaku secara berterusan ini akan menyebabkan pendapatan negara kita  turut merosot kerana Malaysia adalah salah satu  negara pengeksport minyak. Pendapatan dari hasil eksport minyak akan berkurangan dan ini akan memaksa kerajaan untuk mencari sumber pendapatan baru, sama ada dengan meningkatkan lagi beberapa cukai seperti cukai korporat, duti import ataupun dengan mengambil langkah menaikkan harga ke atas beberapa barang kawalan tertentu termasuk petrol dan disel supaya kesan dari kejatuhan harga minyak dunia tidak menjejaskan pendapatan negara.

Jika tindakan yang dibincangkan tadi dilaksanakan oleh kerajaan, ia seterusnya akan mempengaruhi operasi dan keuntungan syarikat-syarikat terlibat, terutamanya syarikat- syarikat besar yang bertaraf korporat. Peningkatan ke atas cukai korporat dan kenaikan duti import ini, akan memaksa mereka mengamalkan langkah penjimatan bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan yang mereka jalankan. Syarikat-syarikat korporat ini terpaksa membuat perubahan ke atas strategi. Biasanya strategi yang sering dilaksanakan sewaktu mereka menghadapi situasi sebegini ialah dengan mengaktifkan  strategi cantasan (abandon strategy). 

Apabila strategi cantasan ini dilaksanakan, kesan yang paling ketara dirasai dan diperhatikan ialah akan berlakunya pembuangan pekerja kerana syarikat terbabit akan mengurangkan bilangan pekerja mereka bagi menjimatkan kos pengurusan. Keadaan Ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan dalam kadar pengagguran yang sedia ada.  
Kesan seterusnya ialah ia akan menyebabkan  permintaan domestik mua menjadi kurang dan akhirnya akan memberi kesan kepada perniagaan yang menjalankan perniagaan berasaskan barangan dan perkhidmatan pengguna.
  
Kesan dari kenaikan dalam cukai korporat pula akan mengurangkan margin keuntungan  syarikat-syarikat besar ini. Untuk mengekalkan margin keuntungan yang diperolehi, kebiasaannya syarikat-syarikat besar ini akan melepaskan 'beban kenaikan cukai' tersebut kepada pelanggan mereka. Kesannya, harga beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan akan naik dan seterusnya sekali lagi memberi kesan negatif kepada  keuntungan yang diperolehi oleh perniagaan peniaga kecil. Ini adalah kerana majoriti peniaga kecil merupakan pelanggan kepada syarikat-syarikat bertaraf korporat ini.   

Begitu juga sekiranya pihak kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan harga barang kawalan tertentu seperti petrol, gula, tepung dan minyak masak. Kesan dari kenaikan produk-produk kawalan  ini akan memberi kesan secara langsung kepada pendapatan boleh guna dan kuasa beli  pengguna.  Seterusnya mereka terpaksa mengambil langkah penjimatan dalam perbelanjaan atau  mengurangkan pembelian ke atas produk dan perkhidmatan tertentu. Tindakan mereka ini sekali lagi bakal memberi impak negarif kepada kesinambungan perniagaan peniaga kecil kerana biasanya pendapatan atau pelanggan mereka banyak bergantung kepada kuasa beli pengguna. Jika pengguna menagmbil langkah berjimat, pendapatan golongan peniaga kecil ini bakal terjejas. Dengan ini, tahap atau darjah persaingan dalam dunia perniagaan pada tahun hadapan dijangka semakin mencabar, terutamanya kepada golongan peniaga kecil dan sederhana. 

Di samping itu, perbelanjaan ke atas emolumen yang semakin meningkat dalam sektor awam  sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga mememerlukan kerajaan memperuntukkan lebih besar bajet kewangan. 
Mengikut laporan, kerajaan memerlukan sebanyak 80% daripada peruntukan belanjawan  tahun 2017 untuk item ini. Situasi ini  sekali lagi akan menambahkan beban kewangan kerajaan sekiranya tidak diuruskan dengan berhemah.  Antara saranan yang biasa dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini ialah dengan melaksanakan langkah penjimatan (The Star.,25 Oktober 2016).

Menurut akhbar tersebut, beberapa pakar ekonomi turut menyarankan supaya kerajaan mengamalkan dasar penjimatan bagi menampung kenaikan dalam perbelanjaan emolumen ini seperti memotong peruntukan kepada kementerian-kementerian tertentu dan membekukan sementara pengambilan pekerja di dalam sektor awam. 

Kesan dari langkah yang bakal dilaksanakan ini sudah semestinya bakal menyumbang lagi kepada peningkatan  kadar pengagguran negara dan seterusnya mengecilkan lagi kadar  permintaan domestik ke atas barang dan perkhidmatan oleh pihak pengguna.

Penguncupan dalam perbelanjaan yang dialami oleh golongan pengguna kesan dari langkah penjimatan dan pengangguran ini seterusnya sekali lagi dijangka akan memberi kesan kepada sektor perniagaan, terutamanya kepada golongan peniaga kecil dan sederhana. Oleh itu, golongan peniaga kecil dan sederhana disarankan supaya sentiasa  membuat pemantauan persekitaran dari semasa ke semasa dan bersedia untuk membuat perubahan strategi sekiranya perlu.

Manakala untuk sektor perladangan dan pertanian pula, walaupun sektor ini mendapat peruntukan sekitar  5% daripada peruntukan belanjawan namun  disebabkan oleh fenomena el-nino yang melanda negara saban tahun, ia dijangka akan memberi kesan negatif kepada sektor ini pada tahun hadapan. Fenomenan el nino yang melanda negara sejak beberapa bulan yang lalu misalnya telah menyebabkan pengeluaran hasil pertanian seperti  kelapa sawit  merosot walupun harga komoditi itu telah naik dari RM300/tan  kepada Rm600/tan http://www.kppk.gov.my/mpic/index.php/en/.  Begitu juga apa yang bakal dialami oleh aktiviti penanaman lain seperti padi dan sayur-sayuran. Sektor ini juga dijangka menerima kesan negatif dari fenomena el nino ini. 

Fenomena  el nino ini dijangka menyebabkan pendapatan pengusaha kelapa sawit dan pertanian lain termasuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan akan berkurang dan sekali lagi menyumbang kepada penguncupan dalam perbelanjaan golongan isi rumah yang terlibat. Pendapatan dan kuasa beli mereka juga akan turut merosot dan turut mendorong mereka mengurangkan perbelanjaan ke atas produk-produk tertentu terutamanya barangan mewah. Kesan ini juga bakal memberi impak negatif kepada  golongan peniaga.

Manakala  kesan positif  yang mungkin dapat memberi sedikit harapan dan kelegaan kepada golongan peniaga  kecil dan sederhana kesan dari pembentangan belanjawan baru-baru ini ialah  janji  kerajaan untuk menaikkan kadar BRIM kepada golongan sasar seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Dengan adanya kenaikan dalam nilai pemberian BRIM kepada golongan sasar ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan  pendapatan boleh guna mereka untuk satu tempoh tertentu. Menurut akhbar The Star ( 23 Oktober,2016), pendapatan golongan tersebut dijangka akan meningkat kepada 7.1% pada tahun 2017 berbanding tahun 2016. 

Begitu juga kesan dari pengumuman kerajaan untuk memberi bantuan e kasih kepada golongan tertentu, ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan ini. 
Peningkatan dalam pendapatan boleh guna kedua-dua golongan ini ( golongan penerima BRIM dan penerima e kasih)  akan memberi peluang kepada mereka untuk berbelanja lebih terutamanya untuk pembelian barangan keperluan harian tseperti makanan dan keperluan asas. Kebiasaannya pengguna dari golongan ini lebih selesa berurus niaga atau dengan kata lain membeli barangan harian dari peniaga-peniaga kecil berbanding membeli di gedung-gedung besar atau pasaraya.

Sementara itu, pengumuman pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 yang diumumkan oleh kerajaan untuk individu-individu yang melanggan surat khabar, internet, buku, dan komputer juga sedikit sebanyak akan memberi kesan positif kepada pendapatan boleh guna golongan terlibat. 
Penjimatan dari pemotongan cukai pendapatan ini  akan  memberi lebihan wang kepada mereka dan sudah semestinya mereka  akan membelanjakan lebihan wang tersebut untuk membeli keperluan harian. Berita ini juga memberi sedikit kelegaan kepada peniaga bahan makanan dan keperluan asas. Begitu juga kepada perniagaan akhbar, buku, majalah dan komputer. Pengumuman kerajaan ini seakan menyuntik sedikit kelegaan kepada industri ini yang telah sekian lama malap.

Sekian  untuk kali ini.Jumpa lagi di lain entri.
wassalam

No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...