Thursday, 16 March 2017

Laporan kewangan sebagai pengukur prestasi dan kawalan.

Entri: 50
Teks: Usry Abdullah
Image: Google image




Salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan.  Sedar tak sedar kita dah masuk minggu ke tiga di bulan Mac. Bulan ketiga untuk tahun 2017 ini. Pastinya  sekarang  ini anda sedang sebok mencari semula  resit –resit dan bil-bil lama untuk  dicatat  dalam buku kira-kira atau journal untung rugi bagi tujuan menyiapkan laporan kewangan untuk suku pertama tahun ini. 
  
Sebagaimana yang dinyatakan dalam entri yang lepas, laporan kewangan adalah salah satu daripada ‘tools’  yang biasa digunakan oleh kebanyakan pengurus syarikat  untuk menilai prestasi perniagaan mereka. Sekiranya di dalam laporan kewangan itu menunjukkan adanya peningkatan sama ada dalam jualan atau  keuntungan, ini  menandakan bahawa prestasi perniagaan yang anda jalankan itu berada di landasan yang betul. 

Namun, sekiranya angka yang tercatat di dalam laporan kewangan menunjukkan nilai negatif atau adanya penurunan, ini menandakan perniagaan anda menghadapi masalah. Mungkin strategi atau taktik yang anda praktiskan selama ini tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan.
 
Terkadang perkara sebegini terjadi disebabkan oleh anda menukar taktik atau startegi lama dan mengamakan taktik baru yang dicadangkan oleh rakan atau kenalan. Disebabkan terlalu 'obsess' dengan taktik baru yang diperkenalkan atau disarankan itu, anda memperuntukkan lebih  tenaga, masa dan mungkin juga kewangan yang untuk  menggerakkan taktik terbaru itu sehingga  melupakan taktik-taktik lain yang selama ini sudah terbukti berkesan. 

Dengan membuat pemeriksaan ke atas pendapatan iaitu dengan menyediakan laporan kewangan, anda akan dapat menilai sama ada taktik baru yang diperkenalkan oleh rakan anda itu berkesan atau sebaliknya. Inilah lagi satu kepentingan mengapa kita perlu membuat atau menyediakan laporan kewangan.

Contohnya, anda disarankan oleh seorang rakan yang telah berjaya dalam bidang pemasaran internet supaya anda membuat banyak posting di Facebook bagi membuat anda dikenali dan mempunyai ramai pengikut (followers). Tambahan pula mengikut maklumat terkini,  dianggarkan hampir 18 juta orang penduduk di Malaysia menggunakan facebook untuk beriteraksi. 

Lalu anda pun tertarik dengan idea tersebut dan mula menumpukan aktiviti berinteraksi di laman facebook sebagaimana yang disarankan sehinggakan anda terpaksa mengurangkan aktiviti promosi dalam medium lain seperti  menulis di dalam blog, berkongsi gambar produk di dalam instagram dan menghubungi prospek menggunakan email.

Jadi, apabila laporan kewangan dibuat secara berkala, dan anda dapati hasil yang diperolehi dari menjual melalui medium Facebook tidak selumayan sebagaimana yang  dijangka,  anda boleh menukar kembali taktik terkini iaitu menjual di Facebook  dan kembali semula aktiviti promosi menggunakan medium yang anda lupakan selama ini iaitu blog, instagram dan email. Oleh itu anda  tidaklah ‘syok sendiri’ dan menjangka apa yang dilakukan iti sudah betul. Ini juga menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk anda melakukan perubahan strategi.


Dari perbincangan kali ini dapat disimpulkan bahawa aktiviti membuat pemantauan prestasi  adalah salah satu aktiviti penting dan perlu dikuasai  oleh setiap usahawan kerana ia merupakan satu indikator yang menunjukkan sama ada setiap tindakan yang dilakukan oleh usahawan itu betul atau sebaliknya. Ini dapat dilihat melalui nilai yang ditunjukkan dalam laporan kewangan. 

Jika laporan kewangan menunjukkan pertambahan dalam jualan atau keuntungan, ia menandakan bahawa tindakan atau strategi yang digunapakai selama ini adalah betul dan bertepatan. Manakala sekiranya nilai angka yang ditunjukkan dalam laporan kewangan adalah berkurangan atau bernilai negatif, ia menandakan bahawa strategi atau taktik atau apa saja tindakan yang dilakukan oleh usahwan itu adalah silap dan perlu diperbaiki.   
Lakukan aktiviti menukar strategi dengan seberapa segera sebelum keadaan menjadi semakin teruk. 

Sekian untuk kali ini.

No comments:

Post a Comment

Jangkaan Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesan Kepada Peniaga kecil.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini dan melebihi jangkaan awal kerajaan iaitu 4.8%. ...