Sunday 30 July 2017

4 langkah memperkenalkan jenama mengikut Stail Vida Beuty



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi Pemasaran dan Pengurusan Perniagaan. 

Dalam suasana  atau keadaan persaingan yang semakin sengit seperti sekarang ini, hanya perniagaan yang mempunyai asas yang kukuh saja yang mampu bersaing dan bertahan. Manakala yang tidak mempunyai asas yang kukuh pula mungkin akan wujud buat sementara waktu sebelum perlahan-lahan 'terkeluar dari pasaran'.

Sudah tentu anda tidak mahu perniagaan yang dibina itu menerima nasib yang sedemikan rupa. Oleh itu anda perlu mempunyai strategi supaya perniagaan anda kekal bersaing. Salah satu strategi untuk memastikan perniagaan anda terus bersaing ialah dengan mempunyai jenama yang kukuh.  Apabila jenama anda kukuh, anda akan dikenali oleh pembeli dan mereka akan menyokong produk atau perkhidmatan anda secara berterusan walaupun tanpa membuat promosi yang kerap.


Apa itu Brand atau PENJENAMAAN?


Mengikut istilah pemasaran, BRANDING ialah nama, simbol, lambang atau kombinasi di antara elemen-elemen tadi yang bertujuan untuk membezakan di antara produk anda dengan produk  syarikat lain. 

Brand akan memberi ciri kelainan atau dimensi tambahan produk atau perkhidmatan anda berbanding produk syarikat lain di pasaran. Antara langkah yang biasa dilakukan oleh sesebuah syarikat ketika melakukan aktiviti penjenamaan  ialah dengan mengubah reka bentuk produk, menambahkan lagi penggunaan atau pun menambahkan  kandungan istimewa tertentu ke dalam produk mereka.

Walaupun produk yang anda keluarkan itu mempunyai ciri istimewa  sebagaimana yang disenaraikan tadi, tetapi sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan Jenama atau Brand anda kepada dunia luar, pelanggan atau bakal pelanggan tetap tidak akan kenal produk atau perkhidmatan anda itu. Malah mereka tidak sedar bahawa produk anda ada dijual di pasaran.

Untuk entri kali ini kita bincangkan empat langkah bagaimana anda boleh membina Brand produk atau perkhidmatan anda mengikut kaedah atau 'stail' yang digunakan oleh syarikat Vida Beauty.  Walaupun langkah yang dibincangkan ini bukanlah 100% dari syarikat Vida Beauty tetapi langkah atau teknik ini hampir sama konsepnya dengan taktik penjenamaan yang dipraktiskan oleh syarikat itu. 
Langkah-langkah untuk anda membuat penjenamaan mengikut cara atau teknik Vida Beauty adalah seperti berikut;


1.       Kenali USP produk atau perkhidmatan anda

Ramai di kalangan anda mungkin sudah tahu apa itu USP atau ‘unique sales proposition’. Kepada mereka yang masih samar-sama akan maksud istilah ini,   USP ialah  apa kepakaran anda yang boleh ditonjolkan dan ianya berbeza dengan kepakaran orang lain. Manakala untuk produk pula, USP produk bermaksud  apa ciri yang paling menonjol yang ada dalam produk anda  dan tak ada dalam produk yang dikeluarkan oleh syarikat lain.
Contohnya, dalam kes Vida Beauty yang sedang kita kaji ini, salah satu produk yang menonjol  yang dikeluarkan oleh syarikat ini ialah PAMOGA. Produk PAMOGA ini mengandungi ekstrak pati buah delima yang sememangnya dipercayai oleh orang-orang  dahulu untuk mengekalkan kecergasan dan menjaga kesihatan. 
Untuk memperkenalkan produk anda pula, pilihlah satu keunikan yang terdapat dalam produk anda itu dan keunikan tersebut tidak ada pada produk orang lain. Kemudian anda tonjolkan keunikan produk anda tadi sewaktu proses penjenamaan nanti.


2.       Pilih saluran promosi yang betul

Setelah anda tahu apa keunikan atau USP produk anda, peringkat seterusnya ialah anda perlu  membuat sedikit kajian tentang demografik pelanggan seperti di mana mereka tinggal, berapa umur sasaran mereka, apa tahap pendidikan mereka dan yang paling penting ialah medium apa yang sesuai dan berkesan untuk menyampaikan mesej berkenaan produk anda itu supaya ianya sampai kepada mereka. Contohnya blog, twitter, surat khabar, radio, atau melalui medium televisyen.
Langkah bagaimana membuat demografi pelanggan boleh dibaca di dalam mana-mana buku-buku keusahawanan atau pemasaran. Atau anda boleh juga menghadiri mana-mana seminar keusahawanan yang dianjurkan di luar sana. 

Bagi syarikat Vida Beauty, mereka memilih untuk menggunakan medium televisyen dan radio untuk menyampaikan mesej berkenaan keunikan PAMOGA kepada bakal pelanggan mereka. 



3.       Mencipta  ‘High Impact content’

Setelah mengetahui latar belakang atau demografi pelanggan, seterusnya anda perlu membuat satu iklan yang benar-benar berkesan dengan mencipta satu ‘high quality content’. ‘High quality content’, ini akan mebuatkan bakal pelanggan di luar sana terkesan apabila melihat atau membaca mesej anda dan seterusnya memberi respond seperti yang diharapkan.



Untuk langkah ini, anda perlu mempunyai kreativiti bagaimana mencipta satu ‘content’ yang berkualiti agar mesej anda itu dapat memberi impak kepada prospek dan meransang  mereka membeli produk atau perkhidmatan anda apabila mereka membacanya di dalam akhbar dan majalah atau ketika mereka menontonnya di kaca televisyen.



Peruntukkan masa yang secukupnya supaya anda dapat mencipta ‘high-quality content’ yang sesuai. Jika anda tidak mempunyai kemahiran, anda boleh mengupah mana-mana 'copy writer' atau pakar pemasaran menyediakan 'high quality content' ini bagi pihak anda.



Dalam kes PAMOGA,  syarikat Vida Beauty  mempromosikan keunikan dan kebaikan  PAMOGA dengan menayangkan iklan pendek tetapi cukup memberi impak kepada penonton. 
entu anda pernah menonton iklan PAMOGA di kaca televisyen anda, bukan?  Walaupun ada sesetengah individu mengatakan aksi dalam iklan tersebut kelihatan agak ‘gedik’, tetapi dari sudut positifnya aksi ‘gedik’ itu telah berjaya memikat penonton untuk mengingati iklan PAMOGA tadi dan mendorong mereka menontonnya berulang kali. Ini seterusnya meransang penonton untuk mencuba produk PAMOGA keluaran syarikat ini.



4.       Menjaga dan mengeratkan hubungan Pelanggan

‘High impact content’ sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan oleh tindakan susulan. Dengan adanya tindakan susulan, ia bukan saja meransang pelanggan untuk membuat pembelian semula malah ia juga dapat menarik pelanggan baru  mencuba produk anda. 


Begitulah yang dilakukan oleh syarikat Vida Beauty ini. Untuk meneruskan kesinambungan kepada ‘high impact content’ yang ditayangkan semasa aktiviti pengiklanan di kaca televisyen, syarikat ini juga membina hubungan pelanggan  melalui penajaan rancangan Gegar Vaganza, Anugerah Juara Lagu dan ABPBH serta beberapa rancangan realiti yang lain.  Malah ada juga individu tertentu yang ditaja oleh syarikat Vida Beauty ini pergi menunaikan umrah. Di samping dapat membantu memperkenalkan produk kepada bakal pelanggan, tindakan ini  juga sebagai satu cara menghargai kesetiaan pelanggan mereka. 

Mungkin anda tidak bernasib baik atau tidak semewah Dato Seri Vida untuk menaja pelanggan anda menunaikan umrah, namun ada beberapa alternatif lain  yang mungkin dapat dilaksanakan untuk tujuan ini.Fikir dan carilah cara bagaimana untuk membina hubungan pelanggan agar proses penjenamaan ini berterusan dan mengurangkan bajet pengiklanan anda.



Kesimpulan dari perbincangan kali ini ialah, untuk terus kekal bersaing terutamanya ketika ekonomi yang suram seperti sekarang ini memerlukan sesebuah perniagaan itu mempunyai asas yang kukuh. Salah satu langkah untuk membina asas perniagaan ialah melalui aktiviti penjenamaan atau branding. Selain ia dapat membezakan produk atau perkhidmatan anda dengan produk syarikat lain, penjenamaan juga dapat menjimatkan kos pengiklanan sekiranya dilaksanakan dengan betul dan berkesan.


Namun begitu, PENJENAMAAN bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Ia memerlukan anda kreatif dan  setiap tindakan yang dilakukan pula mempunyai kesinambungan di antara satu sama lain. Sekiranya tindakan yang dilakukan itu tidak bersambung atau tidak mempunyai mempunyai kesinambungan, aktiviti penjenamaan ini akan gagal.

Sekian untuk kali ini

Friday 21 July 2017

Cabaran Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesannya Kepada Peniaga kecil.




Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda tentang jangkaan ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2017 (Julai- Desember 2017)  berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kajian yang dilakukan. 

Laporan jangkaan ekonomi ini merupakan kesinambungan kepada entri saya yang dimuatnaik pada  awal tahun 2017 yang lalu dan tujuan perkongsian ini hanyalah sebagai panduan kepada para usahawan, terutamanya golongan peniaga kecil. Di samping dapat menambahkan lagi maklumat yang sedia ada ia  juga dapat membantu anda membuat perancangan  bagi menghadapi cabaran perniagaan pada suku kedua tahun 2017 ini nanti ( Julai- Desember 2017).

Sebagaimana yang  dilaporkan oleh akhbar tempatan, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang  memberangsangkan, iaitu 5.6% pada suku pertama tahun ini. Pertumbuhan dalam KDNK ini adalah melebihi jangkaan awal kerajaan sebelum ini iaitu 4.8%. Sekiranya prestasi ini mampu dikekalkan, ahli ekonomi percaya  ekonomi negara akan meneruskan momentum pertumbuhannya untuk suku kedua tahun ini sehingga berakhirnya tahun 2017.


Antara penganalisis yang optimis tentang perkembangan ekonomi negara ialah Nomura Singapore LTD. Syarikat penganalisis ini menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 5.3% berbanding 4.8% yang disasarkan oleh kerajaan semasa pembentangan belanjawan 2017 oleh YAB Perdana Menteri  pada Oktober 2016 tahun lalu. 

Sementara itu satu lagi syarikat penganalisis, OCBC  mensasarkan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 4.8% melebihi angka 4.2% yang mereka unjurkan pada awal tahun yang ini.  Sasaran ini menyamai sasaran  yang diunjurkan oleh kerajaan. Dan yang terakhir sekali ialah, IMF. Pertubuhan Bank Dunia ini pula menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 5.6%  melebihi angka yang diunjurkan oleh Nomura Singapore LTD.


Andaian atau jangkaan syarikat -syarikat penganalisis antarabangsa ini adalah berdasarkan kepada beberapa indikator, seperti kadar pertumbuhan  eksport, penurunan kadar inflasi, pergerakan positif penanda aras Bursa Malaysia dan pemulihan nilai ringgit.  

Mari kita kaji indikator-indikator yang disebutkan itu satu persatu.


Pertumbuhan eksport negara pada suku pertama tahun 2017 dilaporkan telah berkembang sebanyak 21.4%. Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan terhadap permintaan luar negara ke atas produk-produk keluaran tempatan terutamanya peralatan  elektronik dan komponen telefon pintar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Malaysia juga adalah salah satu daripada pembekal komponen peralatan elektronik dan telefon pintar dunia. Peningkatan dalam permintaan terhadap produk-produk ini telah menyumbang kepada pertumbuhan eksport.


Di samping itu, peningkatan dalam eksport juga  turut disumbangkan oleh  sektor pertanian terutamanya eksport hasil kelapa sawit dan getah. Nilai  eksport bagi kedua-dua komoditi ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.3% berbanding -2.5% ( negatif 2.5%) pada suku keempat 2016. 

Dan komponen terakhir yang menyumbang kepada peingkatan eksport ialah indeks pembuatan. Pada bulan Mei 2017, indeks pembuatan telah mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3% berbanding bulan April sebanyak 6.7% dan bulan Mac yang hanya naik sebanyak 5.6%.  

Berdasarkan kepada peningkatan ke atas indeks eksport ini, penganalisis menjangkakan ekonomi negara akan meneruskan lagi perkembangannya untuk suku kedua tahun ini dan kita semua akan mendapat manafaat dari perkembangan ini.

Namun begitu, apa yang membimbangkan dan sedikit menjadi tanda tanya terutamanya kepada golongan peniaga kecil ialah mengapa pertumbahan yang dicatatkan di dalam eksport dan indeks pembuatan ini tidak diterjemahkan melalui perbelanjaan pengguna. Sekiranya indeks pembuatan dan indeks eksport ini meningkat, ia secara tidak langsung akan turut meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pengguna. 

Dapatan atau hasil laporan ini  juga mungkin sedikit bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa terdapatnya pertumbuhan dalam sektor peruncitan iaitu sebanyak 8.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Namun apa yang dilihat adalah sebaliknya. Perbelanjaan pengguna masih merosot. Peningkatan atau perkembangan ekonomi sepanjang suku pertama tahun ini tidak dinikmati oleh golongan pengguna sebagaimana yang diharapkan. Perbelanjaan pengguna untuk suku pertama 2017 masih  berada di tahap yang rendah.

Mengikut laporan  yang dikeluarkan oleh Retail Group Malaysia, didapati sektor peruncitan mengalami kemerosotan sebanyak 1.2% untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016 yang lalu. 

Laporan yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada kajian mereka terhadap jumlah atau nilai perbelanjaan pengguna sepanjang suku pertama tahun 2017 dan corak perbelanjaan pengguna sewaktu  mereka menyambut dua perayaan besar pada tahun ini. Iaitu perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada bulan Februari 2017 dan Hari Raya Puasa yang disambut pada hujung bulan Jun 2017 baru-baru ini.  


Retail Group  mendapati perbelanjaan ke atas produk keperluan harian dan perbelanjaan untuk barangan keperluan musim perayaan untuk sepanjang suku pertama 2017 yang lalu adalah rendah dan tidak mencapai  sasaran. Fenomenna ini menunjukkan pihak pembeli  semakin hilang kuasa beli mereka dan memaksa mereka berhati-hati sewaktu berbelanja, walaupun ketika  persiapan bagi menyambut hari perayaan. 


Hasil kajian yang dilakukan oleh Retail group ini  turut disokong oleh indeks atau kadar pengagguran  yang semakin meningkat pada suku pertama 2017 yang lalu. Untuk rekod, kadar pengagguran  telah meningkat kepada  3.5% berbanding 3% pada tahun 2016. Satu angka yang sedikit membimbangkan.

Salah satu punca kenaikan kadar pengangguran ini  adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi serantau yang seterusnya menjejaskan pasaran tempatan sehingga menyebabkan beberapa sektor utama negara terjejas teruk, terutamanya sektor perbankan, otomobil dan industri petroleum. Misalnya, pada suku pertama tahun ini, Petronas Malaysia turut memberhentikan pekerja mereka buat pertama kalinya dalam sejarah.

Ramai dari kalangan pekerja mereka yang berada dalam sektor ini terpaksa menerima Skim Pemberhentian Sukarela(VSS) yang ditawarkan oleh pihak syarikat.  Nasib yang sama juga dialami oleh pekerja-pekerja di sektor perkilangan di mana mereka juga turut ditawarkan skim pemberhentian secara sukarela apabila kilang tempat mereka bekerja menghentikan operasi.


Sekiranya kadar pengangguran ini berlanjutan atau semakin meningkat pada suku kedua 2017, tahap persaingan dalam perniagaan pasti akan menjadi semakin sengit dan semakin  sukar untuk sesetengah entiti perniagaan itu bertahan. 

Ini adalah kerana akan ada 'beberapa kerat' dari kumpulan pekerja yang mendapat tawaran skim pemberhentian secara sukarela ini yang terpaksa menjalankan atau membuka perniagaan sendiri kerana sukar mendapatkan pekerjaan baru dan tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menampung kehidupan seharian.  Dengan kemasukan kumpulan ini ke dalam dunia perniagaan, persaingan dijangka akan menjadi semakin sengit. Terutamanya jika peniaga atau usahawan itu tidak mempunyai strategi.


Kadar inflasi untuk suku pertama tahun 2017 menunjukkan penurunan yang membanggakan.  Indeks inflasi telah mencatatkan penurunan secara berturut-turut  sepanjang tempoh tiga bulan kebelakangan ini.  Sebagaimana yang dilaporkan, kadar inflasi telah turun kepada paras  3.6% pada bulan Jun 2017 berbading 3.9%  yang dicatat pada bulan Mei,  4.8% pada bulan April dan 4.5% pada bulan Februari 2017. 

Penurunan kadar inflasi ini adalah penting untuk diperhatikan oleh usahawan kerana ia juga merupakan petunjuk dan bakal menentukan corak perbelanjaan pengguna. Sekiranya kadar inflasi ini kekal di tahap sekarang, iaitu 3.6% atau semakin menurun, kuasa beli pengguna akan bertambah dan seterusnya akan menyumbang kepada perkembangan  sektor perniagaan. Begitu juga sebaliknya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan hubungan di antara kadar inflasi dan dunia perniagaan, sila klik di sini (link)


Untuk suku kedua 2017, kadar inflasi  ini dijangka akan terus kekal dalam jajaran 3.5%  hingga 4.5%.  Namun begitu, jangkaan ini bergantung kepada beberapa  faktor. Antara faktor utama yang boleh menyumbang kepada kenaikan dan penurunan inflasi ini ialah faktor turun naik harga minyak. 

Sebarang pergerakan turun naik harga minyak mentah dunia akan turut sama mempengaruhi harga petrol di negara kita. Contohnya, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal stabil di paras USD50 hingga USD55 setong, kerajaan Malaysia dijangka dapat mengawal  harga petrol dalam negara kita di antara RM2.20 hingga RM2.30 seliter bagi RON97 dan  RM1.85 hingga RM2.10 seliter bagi RON 95. 

Jika harga petrol mampu kekal berada di paras ini, kadar infalsi  dijangka terus stabil pada tahap sekarang iaitu 3.5%- 4.5%. Tetapi sekiranya  harga minyak mentah dunia mengalami penurunan secara berterusan dan jatuh sehingga di bawah paras USD40 setong,  kerajaan Malaysia dijangka 'terpaksa' menaikkan harga petrol tempatan untuk menstabilkan pendapatannya  yang mengalami kemerosotan kesan dari pengurangan bayaran royalti yang diterima dari syarikat-syarikat petrolium yang beroperasi di negara kita dan juga menampung pengurangan hasil eksport petrolium negara. 

Oleh itu, untuk menampung pengurangan dalam pendapatan kerajaan  ini, pihak kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi dan menaikkan harga petrolium di pasaran tempatan. Sekiranya kerajaan terpaksa 'menaikkan' harga petrol dalam negara, ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada kenaikan kos pengurusan dan kos-kos lain. Kesannya, kita akan sekali lagi menghadapi 'inflasi tekanan kos'  sebagaimana yang dialami pada penghujung tahun 2016 dan awal tahun 2017 yang lalu. 

Kesan dari 'inflasi tekanan kos ini' seterusnya akan memperlahankan semula pertumbuhan dalam sektor perniagaan pada suku kedua 2017 nanti.  Kesan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepada perniagaan anda untuk 'survive'. Oleh itu, peniaga diminta memerhati situasi ini dari masa ke semasa dan bertindak sewajarnya untuk menstabilkan perniagaan mereka.


Seterusnya, kita kaji pula kadar pertukaran ringgit berbanding US dollar. Sehingga entri ini ditulis, kadar pertukaran ringgit telah menujukkan pemulihan yang positif bermula   bulan April sehingga Jun 2017 jika dibandingkan kedudkan ringgit pada  awal tahun  yang lalu. 

Sewaktu entri ini ditulis, nilai ringgit telah mencatat kenaikan sebanyak 4.5% sepanjang enam bulan kebelakangan ini,  iaitu di paras RM4.28 untuk USD1 berbanding RM4.50 untuk USD1 yang dicatatkan pada awal tahun ini. satu perkembangan yang boleh dikatakan cukup baik.


Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan nilai ringgit ini adalah disebabkan oleh dollar US yang semakin melemah  kesan dari krisis politik yang berlaku di Amarika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Krisis politik Amarika ini memberi impak positif kepada perdagangan antarabangsa Malaysia kerana  kejatuhan US dollar ini secara tidak langsung dapat  mengurangkan kos import.


Hasil dari penjimatan dalam kos import ini dijangka dapat membantu  para usahawan untuk mempergiatkan semula aktiviti promosi perniagaan mereka yang  tergendala semenjak suku ketiga 2016 sehingga pertengahan tahun 2017 yang lalu kerana  mereka terpaksa mengurangkan  bajet perbelanjaan promosi bagi menampung peningkatan kos import serta kos pengurusan lain kesan dari kejatuhan nilai ringgit yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Di samping itu juga, ia membolehkan mereka menjual produk import dengan harga yang sedikit murah berbanding harga semasa kejatuhan nilai ringgit dahulu. Ini membantu merancakkan semula aktiviti perniagaan.


Namun begitu, keadaan ini mungkin akan bertukar menjadi semakin buruk berbanding apa yang pernah dialami sebelum ini sekiranya nilai US dollar kembali pulih.  Mengikut ramalan penganalsis, nilai dollar dijangka akan  pulih semula apabila Bank Pusat Amarika (Federal Reserve bank) menaikkan kadar interest pada penghujung  tahun 2017 nanti dan krisis politk di negara tersebut kembali aman. 

Jika kenaikan kadar interest ini benar-benar dilaksanakan pada suku keempat tahun ini, nilai  ringgit  dijangka akan menjunam semula ke paras dahulu, iaitu paras RM4.50 untuk USD1 atau  mungkin lebih rendah lagi.  Kesan ini sudah semestinya akan memberi tekanan semula kepada perniagaan di negara kita pada suku kedua tahun 2017 ini.  Diharap para usahawan dapat memantau perkembangan ini dari masa ke semasa dan membuat perancangan sewajarnya. 


Akhir sekali, pasaran saham negara juga menunjukkan pengaliran positif sejajar dengan pemulihan nilai ringgit dan pertumbuhan ekonomi semasa. Indeks Bursa Malaysia telah mengalami peningkatan sebanyak 116 mata semenjak Januari sehingga Jun 2017 yang lalu. 

Mengikut laporan MIDF Research,  kenaikan indeks Bursa Malaysia ini adalah disebabkan oleh belian secara berterusan oleh dana asing ke atas kaunter-kaunter terpilih di Bursa Malaysia. Mengikut rekod, nilai pegangan dana asing di dalam Bursa Malaysia untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini telah mencecah sebanyak USD2.3 billion. 

Namun begitu, yang 'sedikit menghairankan' kita ialah  jumlah penyertaan pelabur runcit masih lagi hambar. penyertaan mereka tidak seiring dengan kenaikan inkdes Bursa Malaysia.  Sepanjang suku pertama tahun ini jumlah penyertaan pelabur tempatan masih di bawah RM1 billion berbanding nilai yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2016 yang lalu sedangkan kenaikan indeks Bursa Malaysia mencatat pertumbuhan lebih 10% dari tahun 2016.

Situasi ini memberi gambaran bahawa kenaikan di Bursa Malaysia ini masih menjadi tanda tanya kepada majoriti pelabur, sama ada kenaikan ini adalah berupa ‘bull market’ atau hanya sekadar satu perangkap buat mereka. Seandainya ia hanyalah satu perangkap untuk menjerat pelabur tempatan supaya memasuki pasaran, ini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi negara dan unjuran KDNK yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini adalah ‘bias’. Malah ekonomi negara dijangka akan terus malap untuk tempoh suku kedua tahun 2017 ini kerana tanpa kehadiran pelabor asing, ekonomi negara tetap akan statik atau menurun. 

Situasi ini adalah sangat tidak baik kepada dunia perniagaan. Ini adalah kerana pasaran saham merupakan cermin kepada ekonomi sesebuah negara. Sekiranya pasaran saham lembap atau merudum, ini menunjukkan ekonomi negara sebenarnya masih lagi lembap dan kemasukan pelabur asing itu hanyalah andaian semata-mata.

Oleh itu, pergerakan Bursa Malaysia ini juga boleh dijadikan satu lagi indikator kepada para usahawan  sewaktu anda membuat perancangan bagi menghadapi cabaran seterusnya untuk suku kedua tahun 2017 ini.


Sekian untuk kali ini. Semoga entri  ini dapat memberi anda serba sedikit maklumat untuk  anda membuat keputusan dalam menguruskan perniagaan untuk suku kedua tahun 2017 ini.

Tuesday 4 July 2017

Tiga strategi mudah untuk memperkenalkan produk anda di Pasaran.



Sebagai seorang usahawan sudah pasti anda mengingini supaya ramai pengguna membeli produk atau perkhidmatan yang anda keluarkan .Lebih-lebih lagi jika anda baru saja memulakan perniagaan. Sekiranya pelanggan tidak menyedari akan kehadiran produk anda di pasaran, perniagaan anda bakal menerima nasib yang malang.


Oleh itu anda perlu mencari formula bagaimana untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan anda kepada bakal pembeli. 

Kebiasaannya syarikat akan menggunakan kaedah  ‘marketing mix’ yang  dikenali sebagai 4P (produk, price, promotion dan place) sewaktu memperkenalkan produk atau perkhidmatan mereka ke dalam pasaran. Mengikut  konsep 'marketing mix' ini, setiap  usahawan perlu menguruskan keempat-empat elemen ini dengan seimbang sewaktu memperkenalkan produk mereka  kepada pengguna. Sekiranya salah satu elemen ini tidak diberi perhatian, aktiviti pemasaran itu akan gagal.


Namun begitu, ketika keadaan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan dan mencabar seperti sekarang ini, mempraktiskan konsep 'marketing mix' ini  secara sendirian adalah tidak praktikal. Ia perlu digabungkan dengan beberapa strategi  lain supaya lebih berkesan.  Tambahan pula, setiap hari pelbagai jenis produk dan perkhidmatan  yang sama atau seakan sama  dengan  produk atau perkhidmatan yang anda keluarkan juga turut dijual oleh pengusaha lain.

Kali ini saya akan kongsikan tiga strategi yang terbukti berkesan dalam membantu anda memperkenalkan produk di pasaran . Salah satu strategi yang bakal dibincangkan.


1.       Penjenamaan (Branding)


Branding atau penjenamaan  ialah satu proses di mana anda cuba 'mencipta nama' di dalam pasaran.  Dalam konteks ini, anda perlu mengalih persepsi atau perhatian pengguna dari membeli produk lain supaya beralih kepada produk anda. 

Proses penjenamaan akan memberi penambah nilai kepada produk anda. Ini adalah kerana majoriti pengguna pada hari ini, terutamanya generasi 'Y'  lebih mementingkan jenama berbanding ciri-ciri lain yang ada pada produk tersebut. Sekiranya produk itu mempunyai jenama, mereka akan berusaha untuk membelinya. Mereka merasa satu kebanggan apabila dapat memakai atau menggunakan produk yang mempunyai jenama berbanding produk biasa yang tidak berjenama.

Misalnya, kanak-kanak akan merasa bangga dan tanpa segan silu menunjukkan jenama KIKO atau KIKI Lala yang tertampal pada baju mereka kepada kawan-kawan di sekolah atau tadika. Kita sendiri pun akan merasa satu kepuasan dan megah jika dapat memandu kereta berjenama BMW berbanding kereta Produa Kancil atau MyVi. 

Oleh itu anda perlu mencipta jenama anda sendiri supaya pengguna di luar sana perasan akan kehadiran produk atau perkhidmatan anda.

Antara langkah yang selalu diguna oleh sesebuah syarikat ketika proses penjenamaan ialah dengan memperkenalkan logo atau simbul tertentu pada produk mereka bagi membezakannya dengan produk mereka dengan yang dikeluarkan oleh syarikat lain.

Contohnya syarikat pengeluar roti Gardenia menggunakan logo 'uncle Slocom'  pada plastik pembungus roti untuk membezakan di antara roti mereka dengan roti keluaran syarikat lain. Manakala  syarikat KFC pula menggunakan logo Colonel Harland David Sanders yang dicetak di kotak atau cawan minuman sebagai logo mereka.   Syarikat-syarikat ini seterusnya akan menggunakan logo tersebut ketika membuat promosi, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik.




2.      Bentuk atau cara pembungkusan  produk.

Selain dari aktiviti penjenamaan, corak atau cara syarikat mempesembahkan produk mereka din pasaran juga dapat menarik bakal pelanggan membeli produk tersebut. Strategi  ini memerlukan  anda  'mereka' satu  kaedah pembungkusan produk anda.

Strategi ini diperkenalkan oleh Wiltshire pada tahun 1982. Beliau mendapati  dengan cara pembungkusan produk yang unik akan membantu melonjakkan jualan produk itu di pasaran. Ini adalah kerana mengikut kajian psikologi, kebiasannya pengguna akan  tertarik untuk membeli sesuatu  produk itu disebabkan oleh keunikan pembalutnya atau corak persembahan produk tersebut berbanding ciri-ciri yang ada di dalam produk itu sendiri.

Contohnya, dalam perniagaan menjual air mineral. Terdapat beberapa syarikat pengeluar air mineral di negara kita seperti  AQUA, Spritzer, Bleu dan Cactus. Khasiat, rasa dan punca air yang digunakan tidak dapat membezakan produk keluaran Spritzar dengan Blue mahupun Cactus . Oleh itu ciri-ciri ini tidak boleh digunakan olehsyarikat pengeluar air minuman tersebut ketika membuat promosi. 

Dengan ini mereka perlu mencari satu kaedah lain untuk membezakan produk mereka di samping menarik minat pengguna untuk membelinya. Oleh itu syarikat pengeluar air mineral ini menggunakan bentuk botol yang berbeza bagi menarik minat pengguna membeli air mineral keluaran merka selain dari faktor harga.



3.       Penjagaan kualiti produk atau perkhidmatan

Strategi seterunya yang boleh dipraktiskan oleh anda bagi memperkenalkan produk anda di pasaran ialah dengan melalui penjagaan kualiti. Strategi ini  juga terbukti berjaya dan ia telah dipraktiskan  oleh  syarikat pengeluar ubat terbesar, Norvatis semenjak tahun 2002 lagi.

Mereka terpaksa mempraktiskan strategi ini  kerana syarikat mereka agak ketinggalan dalam aktiviti innovasi. Syarikat ini tidak berupaya untuk mengeluarkan produk baru yang mengikut trend semasa sebagaimana pesaingnya. Kebiasaannya jika sesebuah syarikat pharmaceutikal itu tidak dapat mengeluarkan produk baru di pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh  dua tahun sekali berbanding pesaing mereka, syarikat itu akan ketinggalan dan gagal.Pasaran mereka akan dikuasai oleh syarikat pesaing.

Untuk mengelakkan pasaran mereka dikuasai pesaing, pengurus syarikat  telah mengarahkan pekerja supaya menjaga kualiti produk  sebelum ianya dipasarkan. Hasilnya, walaupun syarikat mereka ketinggalan dalam aktiviti mencipta produk baru, namun dengan mempraktiskan strategi penjagaan kualiti,  syarikat ini  masih mampu untuk bersaing malah mereka berjaya melonjakkan  jualan sebanyak 13% pada suku pertama tahun tersebut. 

Sekian untuk kali ini.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...