Friday, 21 July 2017

Cabaran Ekonomi Negara untuk Suku Kedua 2017 dan Kesannya Kepada Peniaga kecil.




Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda tentang jangkaan ekonomi negara bagi suku kedua tahun 2017 (Julai- Desember 2017)  berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kajian yang dilakukan. 

Laporan jangkaan ekonomi ini merupakan kesinambungan kepada entri saya yang dimuatnaik pada  awal tahun 2017 yang lalu dan tujuan perkongsian ini hanyalah sebagai panduan kepada para usahawan, terutamanya golongan peniaga kecil. Di samping dapat menambahkan lagi maklumat yang sedia ada ia  juga dapat membantu anda membuat perancangan  bagi menghadapi cabaran perniagaan pada suku kedua tahun 2017 ini nanti ( Julai- Desember 2017).

Sebagaimana yang  dilaporkan oleh akhbar tempatan, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang  memberangsangkan, iaitu 5.6% pada suku pertama tahun ini. Pertumbuhan dalam KDNK ini adalah melebihi jangkaan awal kerajaan sebelum ini iaitu 4.8%. Sekiranya prestasi ini mampu dikekalkan, ahli ekonomi percaya  ekonomi negara akan meneruskan momentum pertumbuhannya untuk suku kedua tahun ini sehingga berakhirnya tahun 2017.


Antara penganalisis yang optimis tentang perkembangan ekonomi negara ialah Nomura Singapore LTD. Syarikat penganalisis ini menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 5.3% berbanding 4.8% yang disasarkan oleh kerajaan semasa pembentangan belanjawan 2017 oleh YAB Perdana Menteri  pada Oktober 2016 tahun lalu. 

Sementara itu satu lagi syarikat penganalisis, OCBC  mensasarkan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 4.8% melebihi angka 4.2% yang mereka unjurkan pada awal tahun yang ini.  Sasaran ini menyamai sasaran  yang diunjurkan oleh kerajaan. Dan yang terakhir sekali ialah, IMF. Pertubuhan Bank Dunia ini pula menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 5.6%  melebihi angka yang diunjurkan oleh Nomura Singapore LTD.


Andaian atau jangkaan syarikat -syarikat penganalisis antarabangsa ini adalah berdasarkan kepada beberapa indikator, seperti kadar pertumbuhan  eksport, penurunan kadar inflasi, pergerakan positif penanda aras Bursa Malaysia dan pemulihan nilai ringgit.  

Mari kita kaji indikator-indikator yang disebutkan itu satu persatu.


Pertumbuhan eksport negara pada suku pertama tahun 2017 dilaporkan telah berkembang sebanyak 21.4%. Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan terhadap permintaan luar negara ke atas produk-produk keluaran tempatan terutamanya peralatan  elektronik dan komponen telefon pintar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Malaysia juga adalah salah satu daripada pembekal komponen peralatan elektronik dan telefon pintar dunia. Peningkatan dalam permintaan terhadap produk-produk ini telah menyumbang kepada pertumbuhan eksport.


Di samping itu, peningkatan dalam eksport juga  turut disumbangkan oleh  sektor pertanian terutamanya eksport hasil kelapa sawit dan getah. Nilai  eksport bagi kedua-dua komoditi ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.3% berbanding -2.5% ( negatif 2.5%) pada suku keempat 2016. 

Dan komponen terakhir yang menyumbang kepada peingkatan eksport ialah indeks pembuatan. Pada bulan Mei 2017, indeks pembuatan telah mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3% berbanding bulan April sebanyak 6.7% dan bulan Mac yang hanya naik sebanyak 5.6%.  

Berdasarkan kepada peningkatan ke atas indeks eksport ini, penganalisis menjangkakan ekonomi negara akan meneruskan lagi perkembangannya untuk suku kedua tahun ini dan kita semua akan mendapat manafaat dari perkembangan ini.

Namun begitu, apa yang membimbangkan dan sedikit menjadi tanda tanya terutamanya kepada golongan peniaga kecil ialah mengapa pertumbahan yang dicatatkan di dalam eksport dan indeks pembuatan ini tidak diterjemahkan melalui perbelanjaan pengguna. Sekiranya indeks pembuatan dan indeks eksport ini meningkat, ia secara tidak langsung akan turut meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pengguna. 

Dapatan atau hasil laporan ini  juga mungkin sedikit bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa terdapatnya pertumbuhan dalam sektor peruncitan iaitu sebanyak 8.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Namun apa yang dilihat adalah sebaliknya. Perbelanjaan pengguna masih merosot. Peningkatan atau perkembangan ekonomi sepanjang suku pertama tahun ini tidak dinikmati oleh golongan pengguna sebagaimana yang diharapkan. Perbelanjaan pengguna untuk suku pertama 2017 masih  berada di tahap yang rendah.

Mengikut laporan  yang dikeluarkan oleh Retail Group Malaysia, didapati sektor peruncitan mengalami kemerosotan sebanyak 1.2% untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016 yang lalu. 

Laporan yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada kajian mereka terhadap jumlah atau nilai perbelanjaan pengguna sepanjang suku pertama tahun 2017 dan corak perbelanjaan pengguna sewaktu  mereka menyambut dua perayaan besar pada tahun ini. Iaitu perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada bulan Februari 2017 dan Hari Raya Puasa yang disambut pada hujung bulan Jun 2017 baru-baru ini.  


Retail Group  mendapati perbelanjaan ke atas produk keperluan harian dan perbelanjaan untuk barangan keperluan musim perayaan untuk sepanjang suku pertama 2017 yang lalu adalah rendah dan tidak mencapai  sasaran. Fenomenna ini menunjukkan pihak pembeli  semakin hilang kuasa beli mereka dan memaksa mereka berhati-hati sewaktu berbelanja, walaupun ketika  persiapan bagi menyambut hari perayaan. 


Hasil kajian yang dilakukan oleh Retail group ini  turut disokong oleh indeks atau kadar pengagguran  yang semakin meningkat pada suku pertama 2017 yang lalu. Untuk rekod, kadar pengagguran  telah meningkat kepada  3.5% berbanding 3% pada tahun 2016. Satu angka yang sedikit membimbangkan.

Salah satu punca kenaikan kadar pengangguran ini  adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi serantau yang seterusnya menjejaskan pasaran tempatan sehingga menyebabkan beberapa sektor utama negara terjejas teruk, terutamanya sektor perbankan, otomobil dan industri petroleum. Misalnya, pada suku pertama tahun ini, Petronas Malaysia turut memberhentikan pekerja mereka buat pertama kalinya dalam sejarah.

Ramai dari kalangan pekerja mereka yang berada dalam sektor ini terpaksa menerima Skim Pemberhentian Sukarela(VSS) yang ditawarkan oleh pihak syarikat.  Nasib yang sama juga dialami oleh pekerja-pekerja di sektor perkilangan di mana mereka juga turut ditawarkan skim pemberhentian secara sukarela apabila kilang tempat mereka bekerja menghentikan operasi.


Sekiranya kadar pengangguran ini berlanjutan atau semakin meningkat pada suku kedua 2017, tahap persaingan dalam perniagaan pasti akan menjadi semakin sengit dan semakin  sukar untuk sesetengah entiti perniagaan itu bertahan. 

Ini adalah kerana akan ada 'beberapa kerat' dari kumpulan pekerja yang mendapat tawaran skim pemberhentian secara sukarela ini yang terpaksa menjalankan atau membuka perniagaan sendiri kerana sukar mendapatkan pekerjaan baru dan tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menampung kehidupan seharian.  Dengan kemasukan kumpulan ini ke dalam dunia perniagaan, persaingan dijangka akan menjadi semakin sengit. Terutamanya jika peniaga atau usahawan itu tidak mempunyai strategi.


Kadar inflasi untuk suku pertama tahun 2017 menunjukkan penurunan yang membanggakan.  Indeks inflasi telah mencatatkan penurunan secara berturut-turut  sepanjang tempoh tiga bulan kebelakangan ini.  Sebagaimana yang dilaporkan, kadar inflasi telah turun kepada paras  3.6% pada bulan Jun 2017 berbading 3.9%  yang dicatat pada bulan Mei,  4.8% pada bulan April dan 4.5% pada bulan Februari 2017. 

Penurunan kadar inflasi ini adalah penting untuk diperhatikan oleh usahawan kerana ia juga merupakan petunjuk dan bakal menentukan corak perbelanjaan pengguna. Sekiranya kadar inflasi ini kekal di tahap sekarang, iaitu 3.6% atau semakin menurun, kuasa beli pengguna akan bertambah dan seterusnya akan menyumbang kepada perkembangan  sektor perniagaan. Begitu juga sebaliknya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan hubungan di antara kadar inflasi dan dunia perniagaan, sila klik di sini (link)


Untuk suku kedua 2017, kadar inflasi  ini dijangka akan terus kekal dalam jajaran 3.5%  hingga 4.5%.  Namun begitu, jangkaan ini bergantung kepada beberapa  faktor. Antara faktor utama yang boleh menyumbang kepada kenaikan dan penurunan inflasi ini ialah faktor turun naik harga minyak. 

Sebarang pergerakan turun naik harga minyak mentah dunia akan turut sama mempengaruhi harga petrol di negara kita. Contohnya, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal stabil di paras USD50 hingga USD55 setong, kerajaan Malaysia dijangka dapat mengawal  harga petrol dalam negara kita di antara RM2.20 hingga RM2.30 seliter bagi RON97 dan  RM1.85 hingga RM2.10 seliter bagi RON 95. 

Jika harga petrol mampu kekal berada di paras ini, kadar infalsi  dijangka terus stabil pada tahap sekarang iaitu 3.5%- 4.5%. Tetapi sekiranya  harga minyak mentah dunia mengalami penurunan secara berterusan dan jatuh sehingga di bawah paras USD40 setong,  kerajaan Malaysia dijangka 'terpaksa' menaikkan harga petrol tempatan untuk menstabilkan pendapatannya  yang mengalami kemerosotan kesan dari pengurangan bayaran royalti yang diterima dari syarikat-syarikat petrolium yang beroperasi di negara kita dan juga menampung pengurangan hasil eksport petrolium negara. 

Oleh itu, untuk menampung pengurangan dalam pendapatan kerajaan  ini, pihak kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi dan menaikkan harga petrolium di pasaran tempatan. Sekiranya kerajaan terpaksa 'menaikkan' harga petrol dalam negara, ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada kenaikan kos pengurusan dan kos-kos lain. Kesannya, kita akan sekali lagi menghadapi 'inflasi tekanan kos'  sebagaimana yang dialami pada penghujung tahun 2016 dan awal tahun 2017 yang lalu. 

Kesan dari 'inflasi tekanan kos ini' seterusnya akan memperlahankan semula pertumbuhan dalam sektor perniagaan pada suku kedua 2017 nanti.  Kesan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepada perniagaan anda untuk 'survive'. Oleh itu, peniaga diminta memerhati situasi ini dari masa ke semasa dan bertindak sewajarnya untuk menstabilkan perniagaan mereka.


Seterusnya, kita kaji pula kadar pertukaran ringgit berbanding US dollar. Sehingga entri ini ditulis, kadar pertukaran ringgit telah menujukkan pemulihan yang positif bermula   bulan April sehingga Jun 2017 jika dibandingkan kedudkan ringgit pada  awal tahun  yang lalu. 

Sewaktu entri ini ditulis, nilai ringgit telah mencatat kenaikan sebanyak 4.5% sepanjang enam bulan kebelakangan ini,  iaitu di paras RM4.28 untuk USD1 berbanding RM4.50 untuk USD1 yang dicatatkan pada awal tahun ini. satu perkembangan yang boleh dikatakan cukup baik.


Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan nilai ringgit ini adalah disebabkan oleh dollar US yang semakin melemah  kesan dari krisis politik yang berlaku di Amarika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Krisis politik Amarika ini memberi impak positif kepada perdagangan antarabangsa Malaysia kerana  kejatuhan US dollar ini secara tidak langsung dapat  mengurangkan kos import.


Hasil dari penjimatan dalam kos import ini dijangka dapat membantu  para usahawan untuk mempergiatkan semula aktiviti promosi perniagaan mereka yang  tergendala semenjak suku ketiga 2016 sehingga pertengahan tahun 2017 yang lalu kerana  mereka terpaksa mengurangkan  bajet perbelanjaan promosi bagi menampung peningkatan kos import serta kos pengurusan lain kesan dari kejatuhan nilai ringgit yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Di samping itu juga, ia membolehkan mereka menjual produk import dengan harga yang sedikit murah berbanding harga semasa kejatuhan nilai ringgit dahulu. Ini membantu merancakkan semula aktiviti perniagaan.


Namun begitu, keadaan ini mungkin akan bertukar menjadi semakin buruk berbanding apa yang pernah dialami sebelum ini sekiranya nilai US dollar kembali pulih.  Mengikut ramalan penganalsis, nilai dollar dijangka akan  pulih semula apabila Bank Pusat Amarika (Federal Reserve bank) menaikkan kadar interest pada penghujung  tahun 2017 nanti dan krisis politk di negara tersebut kembali aman. 

Jika kenaikan kadar interest ini benar-benar dilaksanakan pada suku keempat tahun ini, nilai  ringgit  dijangka akan menjunam semula ke paras dahulu, iaitu paras RM4.50 untuk USD1 atau  mungkin lebih rendah lagi.  Kesan ini sudah semestinya akan memberi tekanan semula kepada perniagaan di negara kita pada suku kedua tahun 2017 ini.  Diharap para usahawan dapat memantau perkembangan ini dari masa ke semasa dan membuat perancangan sewajarnya. 


Akhir sekali, pasaran saham negara juga menunjukkan pengaliran positif sejajar dengan pemulihan nilai ringgit dan pertumbuhan ekonomi semasa. Indeks Bursa Malaysia telah mengalami peningkatan sebanyak 116 mata semenjak Januari sehingga Jun 2017 yang lalu. 

Mengikut laporan MIDF Research,  kenaikan indeks Bursa Malaysia ini adalah disebabkan oleh belian secara berterusan oleh dana asing ke atas kaunter-kaunter terpilih di Bursa Malaysia. Mengikut rekod, nilai pegangan dana asing di dalam Bursa Malaysia untuk sepanjang suku pertama tahun 2017 ini telah mencecah sebanyak USD2.3 billion. 

Namun begitu, yang 'sedikit menghairankan' kita ialah  jumlah penyertaan pelabur runcit masih lagi hambar. penyertaan mereka tidak seiring dengan kenaikan inkdes Bursa Malaysia.  Sepanjang suku pertama tahun ini jumlah penyertaan pelabur tempatan masih di bawah RM1 billion berbanding nilai yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2016 yang lalu sedangkan kenaikan indeks Bursa Malaysia mencatat pertumbuhan lebih 10% dari tahun 2016.

Situasi ini memberi gambaran bahawa kenaikan di Bursa Malaysia ini masih menjadi tanda tanya kepada majoriti pelabur, sama ada kenaikan ini adalah berupa ‘bull market’ atau hanya sekadar satu perangkap buat mereka. Seandainya ia hanyalah satu perangkap untuk menjerat pelabur tempatan supaya memasuki pasaran, ini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi negara dan unjuran KDNK yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini adalah ‘bias’. Malah ekonomi negara dijangka akan terus malap untuk tempoh suku kedua tahun 2017 ini kerana tanpa kehadiran pelabor asing, ekonomi negara tetap akan statik atau menurun. 

Situasi ini adalah sangat tidak baik kepada dunia perniagaan. Ini adalah kerana pasaran saham merupakan cermin kepada ekonomi sesebuah negara. Sekiranya pasaran saham lembap atau merudum, ini menunjukkan ekonomi negara sebenarnya masih lagi lembap dan kemasukan pelabur asing itu hanyalah andaian semata-mata.

Oleh itu, pergerakan Bursa Malaysia ini juga boleh dijadikan satu lagi indikator kepada para usahawan  sewaktu anda membuat perancangan bagi menghadapi cabaran seterusnya untuk suku kedua tahun 2017 ini.


Sekian untuk kali ini. Semoga entri  ini dapat memberi anda serba sedikit maklumat untuk  anda membuat keputusan dalam menguruskan perniagaan untuk suku kedua tahun 2017 ini.

No comments:

Post a Comment

5 sebab mengapa pengguna tidak membeli dari anda

Ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan kerana mengikut trend terkini sekiranya mereka menjalankan perniagaan, peluang untuk...