Friday 12 January 2018

Tipu timbangan! Memang tak beretika




Tahun  ini kebanyakan penjual durian menjual durian mereka secara timbang walaupun durian itu cuma durian kampung dan tak berjenama seperti musang king atau D24.  Jika tahun lepas saya masih lagi dapat  membeli durian kampung yang dijual secara longgok terutamanya di  sekitar Kampung Gajah,Kuala Kangsar,  Liman Kati, Jenalik  mahu pun Malim Nawar, Perak. 

Tapi tahun ini nampaknya tidak ada lagi durian yang dijual secara longgok.  Pekebun atau peniaga tepi jalan di tempat- tempat yang disebutkan tadi  menjual durian secara timbang kilo. Maka buat pertama kalinya  dalam sejarah,  saya membeli durian kampong secara timbang kilo. Tapi tak apalah, dah nak makan. Mahal sikit pun tak apa, janji puas dan dapat makan. Lagipun masih mampu membelinya, sekitar RM12 hingga RM15 sekilo. 


Dalam entri kali ini bukan isu pasal durian timbang kilo yang ingin saya kupas, tetapi kes peniaga yang menipu timbang  seperti  yang dilaporkan oleh akhbar ‘online’ Malaysiakini.  Terkejut dan  geram pula rasanya bila membaca berita tersebut. Nasib baik kes ini berlaku di negeri lain bukannya di Perak. Hihi... 

Tapi walau kat mana pun kes ini dilaporkan, kita sebagai insan normal tetap akan ada rasa nak marah. Mana taknya, sudahlah durian dijual secara timbang kilo dan harganya pula mahal, lagi nak ambil kesempatan dengan menipu timbang. Tamak betul!

Tak kan mereka tak tahu yang  perbuatan tu berdosa.  Tuhan amat melarang kita menipu dalam berniaga dan rezeki yang kita perolehi dari perbuatan menipu itu tidak berkat dan haram. Ustaz  dan tok-tok guru pun selalu sebut, ‘apabila seketul daging yang tumbuh di dalam tubuh kita adalah hasil dari sumber yang haram, maka api nerakalah balasannya’.

Cubalah berniaga denganjujur kerana salah satu daripada elemen  yang  menjamin sesebuah perniagaan itu maju ialah sikap peniaga itu sendiri. Peniaga perlu bersikap jujur.  Jangan sesekali menipu timbang dan tuhan telah mengutuk perbuatan menipu timbang ini dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-3 yang maksudnya, “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” (surah al-Mutaffifin 1-3,)

Dalam apa jua perniagaan, pelanggan adalah aset yang penting. Justeru, Islam telah menggariskan perlunya menjaga adab dan etika-etika perhubungan semasa berurusan dengan mereka. Hak-hak mereka sewajarnya dijaga demi mencapai kesejahteraan dan keberkatan dalam urusniaga tersebut. Jangan sesekali menipu dan menganiaya pelanggan demi mencari keuntungan lebih.

Oleh itu, sebagai peniaga janganlah kita menipu pelanggan. Dah lah harga durian sekarang ni mahal dan awak sudah boleh buat untung, lagi nak tipu timbang ke?   Apabila pelanggan terkena dengan peniaga yang menipu begini, pastinya mereka tidak akan lagi berurusan dengannya pada masa akan datang. 

Lagi satu, malang itu tidak berbau.  Sekarang ni aktiviti ‘viral’  sudah menjadi  budaya dalam masyarakat kita dan biasanya perkara yang  baik tidak seronok untuk dijadikan bahan viral. Sebaliknya isu yang negatif akan menjadi cepat popular dan dikongsi  laman  sosial.  Mana tahu nasib anda tidak baik pada hari itu, nak dijadikan cerita ‘mangsa’ yang anda tipu itu merupakan  seorang  ‘media sosial influencer’.    Saya percaya perniagaan anda akan menghadapi masalah  besar selepas ini.

Sekali dia tulis dan viralkan  berkenaan sikap buruk anda itu di laman sosial, kisah anda  akan dibaca oleh beribu followernya di seluruh negara dan  dalam ramai-ramai followers beliau itu kebetulan pula ada sebilangannya merupakan pelanggan tetap anda.  Kesannya,  reputasi anda akan jatuh dan  pelanggan-pelanggan  yang selama ini  setia dengan  anda akan mula menjauhi anda.  Akhirnya anda sendiri yang akan rugi.

Akhir kata, kepada mereka yang belum terkantoi tu, berazamlah untuk berubah. Tak ada untungnya menipu dalam perniagaan. Selain dari mendapat kesan buruk di dunia, balasan yang teruk juga sedang menanti anda di akhirat. 

4 comments:

Galaksi Viral said...

Kita mestilah cari rezeki yang berkat kan Mr Usry. Baru terasa kenikmatan rezeki daripada Allah SWT.

Nina Mads said...

semoga murah rezeki petani2... mcm2 produk durian dh ada skrg

OKje said...

Moral of the story sentiasalah berbuat baik... kerana kita tahu Allah sentiasa melihat kita.

usryabdullah said...

Betul tu. Nanti kita sendiri yang dapat susah. Nak kejar untng lebih tapi endapat rugi pula

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...