Sunday 2 September 2018

Kitaran Ekonomi semasa (siri 3)


Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan persekitaran ekonomi.  

Tajuk ini  mungkin agak berat  bagi anda tetapi sebagai seorang usahawan,  anda perlu tahu dan mahir tentang perkara ini. 

Tanpa kemahiran menilai ekonomi atau situasi semasa, diibaratkan seperti  kita menyerah 100% nasib kita kepada takdir atau seumpama kita berjudi (gamble). Jadi peluang untuk kita ‘survive’ adalah rendah. Oleh itu mahu atau tidak, aktiviti ini mesti dikuasi oleh setiap individu yang bergelar usahawan.

Jika dalam  entri sebelum ini saya ada bertayakan kepada tuan-tuan di tahap mana agaknya keadaan ekonomi kita sekarang, pada hari ini mari kita lihat beberapa  indikator untuk membantu kita membuat andaian  tahap mana sebenarnya  ekonomi negara kita berada sekarang ini.

1) Laporan Bank Dunia

Mengikut laporan dari Bank Dunia pada bulan Julai 2018 , ekonomi Malaysia sekarang ini  hanya berkembang pada kadar  4.5 peratus pada suku pertama 2018, berbanding  5.9%  yang dicatatkan pada suku keempat 2017. Pertumbuhan ini adalah  lebih rendah dari jangkaan pakar ekonomi yang menjangkakan ekonomi negara berkembang sekurang-kurangnya 5%  dan ke atas. Pertumbuhan kali  ini  adalah pertumbuhan yang paling lemah dialami oleh Malaysia  sejak suku keempat tahun 2016. (www.worldbank.org).

 2) Prestasi Bursa Malaysia

Orang kata, jika ingin melihat keadaan ekonomi semasa sesebuah negara, kita boleh melihatnya  melalui prestasi pasaran saham negara tersebut.  Indikator ini sudah menjadi salah satu daripada indikator wajib.  Jika pasaran sahamnya menunjukkan aliran positf, maka secara relatifnya  ekonomi negara itu  sedang berada dalam keadaan baik dan begitu juga sebaliknya, jika pasaran saham negara tersebut seringmengalami kejatuhan dan menunjukkan aliran negative, secara amnya kita boleh katakan bahawa ekonomi negara tersebut sedang menghadapi masalah (Othman Yong,1995).

Menurut laporan Bloomberg, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah menunjukkan  penurunan sebanyak 11 peratus sejak  ianya meningkat pada bulan April 2018.  Selepas berlakunya peralihan kerajaan, pelabur asing kini sedang menyesuaikan diri fundamental negara kita yang menghadapi bebanan hutang negara  yang tinggi, iaiatu sebanyak RM1 trillion.
Kesannya, pelabur asing telah menarik keluar sejumlah AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada pasaran  tempatan sepanjang bulan Jun 2018  selepas  mereka membawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei  2018 yang lalu.  Terkini, The edge Malaysia melaporkan sebanyak RM8.6 billion lagi telah dibawa keluar oleh pelabur asing  dari Bursa Malaysia sepanjang Ogos 2018 yang lalu.

Indeks penanda aras Bursa Malaysia kini berada di paras 1.819 mata dan walaupun indeks Bursa ini tidak menunjukkan penurunan yang ketara tetapi jika diperhatikan kepada kaunter-kaunter yang didagangkan, hampir 60% kaunter-kaunter saham telah mengalami kejatuhan yang  amat ketara.  Misalnya kaunter TM (Telekom Malaysia) telah mengalami penurunan sebanyak 36.3% daripada harga tertingginya yang dicatatkan pada 16 April 2018. May bank mengalami kejatuhan sebanyak 10% dari harga tertingginya yang dicatatkan pada 14 Mei 2018 dan Gamuda telah merosot 20% daripada harga tertinggi yang dicatatkan pada 1 mei 2018.

3) Pelaburan swasta

Jumlah pelaburan modal oleh  golongan peniaga dan sektor swasta pula dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan, iaitu sebanyak 4.9% pada tahun ini berbanding 6.2% pada tahun 2017. Ini adalah disebabkan oleh pelaburan swasta yang sederhana dan penurunan jumlah pendapatan dari pekerja sektor  awam  (www.mier.org.my/). 

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus   pula berkata kemerosotan dalam pertumbuhan  sektor swasta ini  adalah disebabkan oleh  kejutan berkaitan komoditi seperti perlombongan dan pertanian. Sektor pertanian mengalami kekangan pengeluaran akibat  keadaan cuaca buruk dan tidak menetu.  Iklim panas melampau yang melanda negara beberapa bulan kebelakangan ini menyumbang kepada kemerosotan hasil kelapa sawit dan getah.  Di samping itu kesan dari  perang perdagangan di antara AS dan China  pula menyebabkan kerajaan China mengurangkan pengimportan hasil sawit negara kita.

Industri pembinaan dan hartanah juga dijangka tidak berkembang pesat  akibat  tempias daripada pembatalan dan penangguhan projek –projek mega seperti MRT (MRT3), Kereta api  Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) .
Tindakan pembatalan atau penagguhan projek-projek ini sedikit sebanyak  akan memberi tekanan ke atas syarikat perbekalan tempatan  seperti syarikat pembekal bahan binaan, syarikat penyediaan alat jentera dan pembekalan kakitangan tempatan

4) Perbelanjaan isi rumah

Perbelanjaan isi rumah pula dijangka kekal menjadi pemacu utama kepada  pertumbuhan ekonomi Malaysia (www.worldbank.org).   Ia diunjurkan kukuh untuk  sepanjang tahun 2018 ini disebabkann oleh beberapa  langkah dan  dasar baru yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti   penggantungan sementara cukai penggunaan (GST) dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan ( SST).
Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada bulan September 2018  dilihat tidak membebankan  rakyat berbanding ketika perlaksanaan regim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini. Dengan ini ia memberi sedikit  kelegaan kepada pengusaha dan peniaga  berbanding tahun sebelum ini.

Perbelanjaan isi rumah juga  dijangka berkembang  dengan kadar   0.4 peratusan lebih cepat berbanding tahun 2017. Ini adalah disebabkan oleh gaji dan upah untuk pekerja rendah (orang tanpa pendidikan formal dan pendidikan rendah) telah meningkat dari  13.6%  tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2018 (www.mier.org.my/) Mengikut MIER, peningkatan dalam kadar upah ini akan menigkatkan perbelanjaan agregat mereka dan seterusnya memacu kepada pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, trend kejatuhan harga kelapa sawit dan getah yang berlaku sejak kebelakangan ini dijangka menimbulkan sedikit keresahan di kalangan golongan penanam sawit, peneroka Felda  dan mereka  yang tinggal di kampung-kampung.

 Pada Julai 2018, harga sawit telah jatuh kepada RM400 setan berbanding RM600 setan yang dicatatkan pada April 2018.  Manakala harga getah hanya sekitar RM2.20 sekilogram.   Kemerosotan harga komoditi ini akan  menyebabkan pendapatan mereka merosot . Misalnya, mengikut laporan akhbar tempatan, pendapatan golongan ini terjejas teruk dan   sesetengah dari mereka hanya mampu meraih pendapatan sekitar  RM280 sahaja  sebulan (www.utusan.com.my).  

Menurut laporan akhbar itu lagi, Kebanyakan peneroka dan penoreh getah kini  mengharapkan bantuan daripada anak-anak memandangkan hasil sawit  dan getah yang tidak menentu.  Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna dan seterusnya memberi kesan jangka panjang kepada golongan peniaga.

Akhir sekali , kadar penembusan atau  penggunaan internet  oleh penduduk  di Malaysia juga masih lagi rendah.  Mengikut MIER, hanya 62 peratus perniagaan yang menggunakan kemudahan internet, manakala 46 peratus hanya masih lagi tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar atau mempunyai beberapa  laman web.

Menurut laporan  yang dikeluarkan Reuters, pada  masa ini Malaysia menduduki  tangga ke74 daripada 167 negara bagi perkhidmatan jalur lebar tetap dan di tangga 64 daripada 118 untuk perkhidmatan jalur lebar serat.  Dan kita agak ketinggalan berbanding  negara jiran yang lain  seperti  Thailand, Vietnam , mahupun negara ekonomi sederhana seperti  Mexico dan Turki. 

Mengikut laporan akhbar tersebut, pada penghujung tahun  2017,  jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.4 juta orang tetapi  hanya 58% daripada penduduk Malaysia mempunyai akaun Facebook, 51%  mempunyai akaun Whatsapp, 13% mempunyai akaun WeChat dan 13% mempunyai akaun Intsgram.  

Oleh itu, peniaga yang menggunakan medium-medium  tersebut sebagai platform perniagaan  dinasihatkan supaya  mengabungkan medium perniagaan atas talian bersama  cara  konvensional untuk memastikan perniagaan mereka mampu berdaya saing.  Oleh itu, peluang  untuk penduduk Malaysia  menampung kehidupan mereka  sebagai  peniaga  atas talian mungkin tidak akan tercapai.  Hanya 10% daripada peniaga atas talian yang mampu menjana pendapatan tetap. Selebihnya terpaksa menampung dengan kerja-kerja sampingan yang lain atau menjalankan perniagaan secara konvensional.

5. Kejatuhan  jualan hartanah

Walaupun negara kita masih belum mengalami kejatuhan jualan hatanah yang ketara seperti yang pernah berlaku kepada pasaran hartanah Amarika Syarikat pada tanhu 2008 dahulu, namun dari pemerhatian dan kajian yang dilakukan, didapati jualan hartanah pada tahun 2018 semakin merosot. Ini adalah kerana semakin ramai pembeli  yang tidak mampu membeli rumah disebabkan harganya yang semakin mahal dari setahun ke setahun.

Menurut Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), harga rumah yang “tidak masuk akal” menjadi sebab utama mengapa  ramai rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah kediaman mereka sendiri. Dan jika kita kaji laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2016, kita juga akan dapati  bahawa  kenaikan harga rumah pada tahun 2018  melebihi tahap pendapatan pengguna. .  Dilaporkan bahawa  peningkatan harga rumah saban tahun di Malaysia adalah 4.4 kali ganda  berbanding pendapatan  isirumah.

Berdasarkan kepada indikator-indikator  yang dibincangkan tadi, dapat diperkatakan bahawa negara kita sekarang ini masih lagi berada dalam fasa kedua,  iaitu fasa kemelesetan dan sedang menuju kea rah pemulihan. 

Walaupun kerajaan tidak mengumumkannya secara rasmi, namun dari indikator-indikator  yang dikaji tadi, kita masih boleh mengatakan bahawa keadaan ekonomi semasa adalah 'tidak seindah ' seperti yang digambarkan. Tambahan pula kerajaan baru di bawah pimpinan Tun Mahathir ini baru  saja berusia 3 bulan dan mereka masih tercari-cari formula bagaimana untuk meningkatkan  pendapatan negara.

2 comments:

Maria Firdz said...

Info yang bernas... Senang nak faham..

usryabdullah said...

Terima Kasih. yang baik itu dari Allah, yang kurang itu dari kelemahan saya sendiri.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...