Sunday 28 October 2018

Perubahan Teknologi dan Nasib Pemandu Teksi


Cabaran teknologi dan permintaan semasa secara langsung boleh  memberi kesan besar terhadap poket atau periuk nasi sesetengah golongan atau pemain dalam satu-satu  industri. 

Contoh yang jelas ialah, pada sekitar tahun 2000 dahulu, disebabkan sikap orang ramai yang suka membeli belah di pasaraya  berhawa dingin telah menyebabkan banyak kedai runcit persendirian serta pasar mini terpaksa ditutup.

Kemudian, bermula  tahun 2012, tabiat membeli-belah secara online mula menular di kalangan pengguna di negara  kita. Tabiat ini telah menyebabkan ramai pengguna tidak lagi suka  keluar untuk membeli belah di pasaraya.  

Mereka lebih selesa berbelanja di atas talian atau lebih dikenali sebagai ‘on line’. Kesannya, ramai peniaga yang menyewa kiosk atau ruang niaga di pasar raya besar mula menerima tempias. Jualan mereka merosot.

Situasi yang sama kini turut  dialami oleh perkhidmatan teksi pada masa ini.  Dari sehari ke sehari  industri  teksi ini  perlahan-lahan  dibunuh  oleh perkembangan industri pengangkutan awam yang  baru, yang dikenali sebagai  e-hailing, yang menjalankan operasi  Uber dan GrabCar. 

Dari sehari ke sehari penumpang mereka dicuri oleh perkhidmatan UBER dan Grab Car. Jika sebelum ini ramai pemandu teksi boleh menjana pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan,kini untuk mendapatkan RM1,000 sebulan pun susah. Ramai pemandu teksi mula mengeluh dengan situasi ini.

Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah ini ialah disebabkan oleh  kenaikan kos sara hidup, khususnya di kawasan Bandar.  Kenaikan kos sara hidup ini turut  menyebabkan penumpang mula  memilih perkhidmatan pengangkutan yang lebih murah untuk pergi  membeli-belah, ke tempat kerja, dating dan sebagainya.  Ini memberi kelebihan kepada pemandu Uber danGrab Car berbanding  pemandu teksi kerana mereka menawarkan tambang yang lebih murah berbanding teksi.

Keduanya ialah faktor perang harga. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pemandu teksi terpaksa mengikut kadar tambang yang ditetapkan oleh SPAD dan LPKP manakala pemandu UBER dan GRAB Car pula tertakluk kepada hargayang ditentukan oleh pihak syarikat. Dengan ini, pihak syarikat UBER dan Grab Car boleh menggunakan peluang ini untuk melancarkan strategi perang harga. Mereka boleh memanipulasi harga tambang dengan menawarkan kadar yang lebih murah  kepada penumpang berbanding tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi. Dengan ini ramai  penumpang yang dulunya menggunakan perkhidmatan teksi mula beralih kepada Grab atau UBER.

Seterusnya  ialah faktor kos. Di mana pemandu teksi  perlu membayar sewa permit, sewa beli teksi dengan syarikat konsesi,  dan  membayar insuran untuk penumpang.  Sedangkan  syarat tersebut tidak tertakluk kepada  pemandu UBER atauGrab Car . Situasi ini telah memberi satu lagi  kelebihan persaingan kepada pemandu UBER dan Grab Car berbanding pemandu  teksi. 

Walaupun kadar tambang yang dikenakan oleh pemandu UBER dan Grab Car ini lebih rendah berbanding tambang teksi, pendapatan yang mereka perolehi adalah lebih lumayan berbanding pemandu teksi.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak kerajaan berbuat  sesuatu untuk menjaga kepentingan  pemandu teksi ini. Mungkin  undang-undang dan peraturan yang dikenakan kepada pemandu teksi juga perlu dipatuhi oleh  pemandu UBER dan Grab Car. 

Adalah  tidak adil jika hanya pemandu teksi saja yang perlu membayar insuran penumpang, mempunyai lesen membawa penumpang (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan setiap kali ingin memperbaharui lesen PSV  sedangkan peraturan atau undang-undang tersebut tidak dikenakan kepada pemandu UBER dan Grab Car. Jika undang-undang atau peraturan ini turut dikenakan kepada pemandu UBER atau Grab Car, ia akan menghasilkan suasana persaingan yang lebih seimbang.

Di samping itu,  aktiviti  perang harga juga perlu dikawal dan  diseragamkan. Tambang minimum  perlu ditetapkan supaya perbezaan harga tidak begitu ketara di antara tambang teksi dengan tambang Uber atau Grab Car. Dengan ini penumpang mempunyai pilihan sama ada ingin menggunakan perkhidmatan teksi atau UBER dan Grab Car.

Jika golongan nelayan layak mendapat elaun atau atau insentif bulanan, mungkin elaun atau insentif baru yang hampir sama dengan apa yang diperolehi oleh golongan nelayan ini juga boleh dipertimbangkan   untuk  diagihkan kepada pemandu teksi.   Begitu juga dengan subsidi petrol. Ia juga wajar dipertimbangkan kepada pemandu teksi agar kos operasi mereka dapat dikurangkan. 

Manakala untuk  pemandu teksi pula,mereka juga  perlu berubah mengikut situasi semasa. Seperti mana yang sering ditulis atau ditekankan di dalam blog ini, untuk bersaing di dalam apa jua bidang memerlukan strategi.  Dan strategi itu mesti  sesuai dengan situasi semasa. 

Contohnya, sekarang ini, ramai penumpang suka menggunakan platform e- hailing sekiranya mereka ingin mendapatkan perkhidmatan pengangkutan  jika  ingin ke mana-mana. Oleh itu pemadu teksi  juga perlu  berada atau menggunakan  platform e-hailing  untuk  mencari  bakal penumpang mereka.   Sebagaimana yang ditulis oleh Harper (2003) untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan, anda sepatutnya berada di mana bakal pelanggan anda berada, bukannya berniaga di tempat yang anda suka berniaga. 

Begitu juga dengan pemandu teksi. Mereka tidak boleh lagi bergantung kepada cara konvensional iaitu dengan menunggu di perhentian teksi atau hentian bas semata-mata. Mereka mesti berada di tempat di mana bakal penumpang mereka berada. Iaitu di laman sosial dan platform e-hailing. Barulah mereka boleh bersaing dengan pemandu Grab atau Uber.  

Akhir kata semoga  Persatuan Teksi  dapat mempunyai satu  sistem yang serupa dengan sistem yang diguna pakai oleh UBER dan Grab car ini jika mereka ingin bersaing pada masa akan datang sekiranya mereka tidak mahu  menerima nasib seperti  yang dialami oleh pengusaha kedai runcit dan golongan peniaga kecil yang membuka kiosk di pasaraya yang dinyatakan  pada permulaan entri  blog ini  tadi.

Sunday 21 October 2018

Berbaloikah RM157.20 Setahun untuk caruman PERKESO?




Mungkin bagi yang berkemampuan akan mengatakan bahawa amoun ini  adalah ‘ciput’ saja.  Tetapi bagi yang berada dalam kemiskinan, nilai  RM157.20 itu mungkin terasa cukup besar buat mereka. Cukup untuk membeli barangan dapur selama sebulan. 

Begitu juga dengan saya.  Nilai RM157.20 itu juga cukup besar. Dengan RM157.20 itu saya boleh berbelanja untuk makan tengahari selama 22 hari di tempat kerja. Ini kerana sekali saya makan tengahari di kedai makan, harga yang biasa dikenakan adalah  sekitar RM7 atau RM7.50 untuk sepinggan nasi, seketul ayam/ikan dan sedikit sayur beserta segelas air kosong atau sirap ais.  

Mungkin sebab saya bekerja di sebuah pekan kecil. Jadi harga makanan tak berapa mahal.  Sebab itu dengan RM157, saya boleh berbelanja untuk 22 hari. Cuma apa yang ingin disebutkan  di sini ialah nilai RM157 itu sebenarnya cukup besar bagi saya.

Tapi, bila kita bandingkan  nilai RM157.20 yang dicarumkan oleh pemandu teksi kepada PERKESO dengan faedah  yang bakal mereka perolehi, mungkin nilai RM157.20 ini adalah kecil.  

Dengan membayar  RM157.20 setahun  setiap pemandu teksi  bakal menikmati faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah pemulihan dan lain-lain sebagaimana  yang PERKESO berikan kepada pekerja kilang, pekerja swasta dan lain-lain sektor yang mencarum dengan mereka.  

Tapi apa yang sedikit mendukacitakan ialah, ada di kalangan pemandu teksi ini bersuara dan mengatakan yang mereka tidak mampu untuk mengeluarkan wang sebanyak RM157.20 setahun sebagaimana yang diminta dan yang lebih menyedihkan ialah mereka meminta supaya kerajaan  tolong bayar untuk mereka sebagaimana yang dilaporan dalam akhbar The Star hari ini.  

Adakah RM157.20 setahun itu terlalu membebankan? 

Mari kita fikirkan bersama. 

Kalau ikutkan RM157.20 memang satu amoun yang besar. Tapi jika dibahagi dengan setahun rasayanya ia tidak membebankan. RM157.20 adalah bersamaan dengan RM13.10 sebulan atau RM0.43 sen sehari.  Lebih murah berbanding harga segelas ais kosong di kedai mamak. Rasanya semua orang mampu untuk membayarnya. 

Lagi satu, sekiranya kita demam atau selsema, mungkin kita  boleh pergi  ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Setelah berehat sehari dua kita  akan pulih dan  boleh bawa teksi semula.  

Tapi bagaimana  jika abang teksi  terlibat dalam kemalangan sewaktu mereka bawa teksi dan  terpaksa   berehat di rumah untuk tempoh yang agak lama akibat kecederaanyang dialami?  Misalnya 3 bulan.   

Ketika itu siapa yang nak tolong abang teksi bawa teksi untuk  membantu beliau menyara keluarga dan membayar sewa rumah serta bil-bil yang lain?  Di saat inilah mereka amat  mengharapkan kepada bantuan sama ada dari pihak individu atau pertubuhan amal untuk membantu meringankan beban yang ditanggung. 

Jika mereka ada perlindungan PERKESO (SOCSO), mungkin masalah  ini dapat diatasi.  Dan bila berada dalam situasi itu baru kita sedar bahawa nilai RM157.20 setahun yang dicarumkan itu sebenarnya adalah kecil  jika nak dibandingkan dengan apa yang bakal diperolehi nanti.

Jadi rasanya tak perlu lah kot  isu ini diperbesarkan oleh abang-abang teksi.  Malah tidak sepatutnya perkara dibangkitkan sehingga ada cadangan  supaya  kerajaan  pula yang tolong tanggung kos caruman PERKESO ini  bagi pihak mereka.   

Kalau nak ikutkan  tak cukup duit atau tak mampu,  rasanya pendapatan yang diperolehi oleh abang-abang teksi lebih besar jumlahnya  berbanding  pendapatan yang diperolehi oleh pekerja kilang atau pekerja am di sebuah pasaraya.  

Malah ada di antara  mereka ini  yang  gaji  bulanannya  tak sampai pun RM1,500 sebulan. Terpaksa pula buat ‘over time’ setiap minggu untuk menambah pendapatan.  Tapi setakat entri ini ditulis,  belum ada lagi berita   mereka merungut bila melihat ‘slip gaji’ mereka yang menunjukkan  adanya potongan  untuk caruman SOCSO (PERKESO) pada setiap bulan. Malah tak pula kedengaran mereka minta kerajaan tolong ‘subsidies’  bayar caruman SOCSO. 

Saturday 6 October 2018

Jangan Anggap bencana itu sebagai balasan dari tuhanmu..



Sehari dua ini ‘kita’ masih lagi menerima kiriman whatsapp dari kawan sama ada secara personal atau yang dipos dalam ‘whatsapp group’.  Isu yang disentuh ialah isu gempa bumi di Sulawesi atau lebih tepat lagi kejadian Gempa bumi di kota Palu yang mengorbankan ramai penduduknya. Setakat ini jumlah mangsa telah mencecah seramai 1,400 orang. Namun ini bukan lagi  angka rasmi kerana aktiviti mencari dan menyelamat masih diteruskan, walaupun harapan untuk menjumpai mangsa yang terselamat adalah tipis.

Bukan isu gempa bumi atau isu  Tsunami yang ingin ‘kita’ sentuh kali ini, tetapi isu komen yang dihantar leh segelintir kawan ‘kita’  melalui whatsapp group yang menjadi tular dalam minggu ini. ‘Kita’ rasa anda juga mungkin ada menerima komen tersebut sama ada melalui ‘whatsapp group’ atau ‘Facebook’. 

Ayat penuh, ‘kita’ dah lupa, tapi antara lainnya isi atau intipati komen itu mengatakan bahawa kejadian gempa bumi yang berlaku di kota Palu beberapa hari lalu  adalah kerana balasan Allah ke atas penduduk di sana. Menurut komen  itu lagi, ia didatangkan kepada penduduk di sana adalah disebabkan oleh aktiviti kemaksiatan yang dilakukan mereka.
Bagi ‘diri kita’ yang tak seberapa tinggi pelajaran agama ini, kita rasa komen tersebut tak berapa tepat. Setahu ‘kita’, Allah  telah mengkabulkan doa baginda Rasulullah SAW dan berjanji bahawa umat baginda tidak akan disiksa semasa di dunia ini sebagaimana yang ditimpa atau dirasai oleh  umat nabi yang  terdahulu. Umat nabi Muhammad akan diberi balasan yang setimpal di hari akhirat kelak.

Ini adalah kerana  Rasulullah SAW terlalu sayangkan umatnya dan berdoa  memohon kepada Allah supaya memberikan peluang kepada umatnya agar mereka  sempat bertaubat kepada Allah di atas kesalahan yang mereka lakukan. 

Oleh itu, dakwaan bahawa tsunami atau gempa bumi yang melanda Sulawesi beberapa hari lepas merupakan balasan dari tuhan adalah tidak tepat sama sekali. Ini disokong oleh satu ayat dari surah Al fathir ayat 45 yang bermaksud, “Dan kalau sekiranya Allah menghukum manusia disebabkan yang mereka perbuat, niscaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi ini satu makhluk melata pun, akan tetapi Allah menangguhkan mereka sampai waktu yang telah ditentukan. Maka apabila datang ajal mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya." 

Jadi rasanya tidak tepat untuk kita menunding jari atau menghukum mereka sedemikian rupa. Setiap musibah atau bencana yang diturunkan oleh Allah tidak mengira sma ada kita ini orang beriman atau pun tidak. Dia tidak memilih dari aspek perilaku atau pun ibadat seseorang. Jika tuhan ingin turunkan bala dan bencana, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Sesuai dengan firman Allah,  “Jika Allah menghukum manusia kerana kezaliman, nescaya tidak akan ditinggalkan satu pun kehidupan di bumi, tetapi Allah menangguhkan sehingga sampai waktu yang ditentukan,” (an-Nahlu :61).

Oleh itu, perbetulakn niat dan usahlah kita cepat menghukum. Allah Maha Bijaksana dan Maha Adil. Dia tidak mungkin mengambil sikap memusnahkan kampung, bandar, negeri atau negara semata-mata kerana marah dan murka kerana  penduduk di sesebuah negeri atau negara itu  melakukan perkara-perkara yang dianggap dosa besar seperti berzina,  membunuh, mencuri, minum arak dan sebagainya. 

Sekian



Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...