Sunday 9 December 2018

Tuala dan air mineral laku keras di perhimpunan ICERD. Apa yang kita boleh pelajari?

Semalam, 8 Desember 2018, telah berlangsungnya satu perhimpunan bagi membantah ICERD ( International Convention on the Elimination of all form of Racial Discrimination di Dataran Merdeka. 

Ramai mengatakan perhimpunan ini berjaya dan dihadiri oleh 100,000 peserta. Dan ada pula pihak yang kata himpunan ini cuma menarik seramai 80,000 peserta saja. Walau  berapa pun bilangan peserta yang hadir dalam perhimpunan itu,  blog ini tidak mahu mengulas panjang. Malah saya juga tidak berminat untuk mengulas apa itu ICERD dan mengapa mereka berhimpun. 

Saya  tertarik untuk menulis atau mengulas dari sudut perniagaan dan strategi, terutamanya apabila membaca laporan akhbar The Star pagi tadi. Dalam  laporan tersebut, penulis artikel ada menyatakan  bahawa ramai peniaga yang tersenyum girang  kerana mereka dapat membuat duit segera hanya dengan menjual tuala dan air mineral sepanjang perhimpunan itu berlangsung ( seperti yang dilaporkan dalam keratan akhbar di bawah)

Seorang peniaga telah dilaporkan  berjaya menjual sebanyak 1,200 helai tuala dalam masa beberapa jam saja. Tak ke untung besar tu!  Katakan dia hanya mengambil margin keuntungan sebanyak RM3 untuk sehelai tuala, Paling koman dia telah berjaya membuat keuntungan sebanyak RM3,600. Hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Sedangkan ada sesetengah orang terpaksa menunggu sehingga hujung bulan untuk meraih pendapatan yang sama.

Bagaimana pula dengan jualan air mineral?  Katakan sebotol air mineral kecil (250 mls) dibeli dengan harga 40sen sebotol dari pemborong dan beliau kemudiannya menjualnya semula dengan harga RM1.50 sebotol. Jika beliau berjaya menjual sebanyak 10 katon ( 240 botol) semalam, paling koman beliau sudah membuat untung sebanyak RM216 untuk tempoh 3-4 jam berniaga.

Di saat ramai pemilik atau peniaga yang mempunyai kedai di sekitar kawasan perhimpuanan itu dilaporkan menutup kedai  kerana mereka bimbang jika berlaku kekacauan atau tragedi yang tidak diingini, tapi bagi peniaga yang 'celik strategi' pula melihat perhimpanan itu sebagai satu peluang untuk mereka membuat duit. 

Sewaktu ada sebilangan peniaga yang mengeluh kerana jualan T Shirt berlambang ICERD tidak mendapat sambutan dari para peserta, peniaga yang menjual tuala dan air mineral sebaliknya mampu tersenyum  apabila produk mereka mendapat permintaan hangat. 

Di sinilah pentingnya seseorang itu, terutamanya golongan peniaga itu 'celik strategi'. Sesuai dengan ungkapan yang sering disebut oleh General Sun Tzu yang berbunyi,
" War is a matter of vital importance to the state, a matter of life and death, the road either to survival or ruin. Hence, it is imperative that it be thoroughly studied.'' 
( Michelson & Michelson, 2015).  

Dengan mempunyai strategi, kita tahu ke mana hala tuju yang ingin kita pergi dan bagaimana untuk bertindak sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.  Dengan mempelajari strategi, seseorang itu akan lebih peka dengan persekitaran semasa. Di saat orang lain melihat sesuatu kejadian itu sebagai satu ancaman, mereka yang mempunyai strategi pula melihat sebaliknya. 

Walaubagaimana pun, setiap strategi tetap mempunyai kelemahannya yang tersendiri dan  sebaik-baik strategi ialah strategi yang mampu memberi kemenangan tanpa perlu berkonfrontasi dengan peniaga lain. 




Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...