Monday 15 July 2019

Apabila diri dibenci.. Maka Bersyukurlah

Dalam hidup ini terdapat banyak perkara yang berlawanan. Tinggi lawannya rendah, besar lawannya kecil, cantik lawannya hodoh, cerdik lawannya bodoh, kaya lawannya miskin dan disukai lawannya DIBENCI. 

Dalam kamus, istilah benci ialah tidak suka. Manakala mengikut Wikipedia, Benci atau kebencian adalah merupakan sebuah emosi yang sangat kuat dan melambangkan ketidaksukaan, enmiti, atau antipati untuk seseorang, sebuah hal, barang, atau fenomena. Hal ini juga merupakan sebuah keinginan untuk menghindari, menghancurkan atau menghilangkannya. 

Kenapa kita dibenci?

Orang membenci kita bukan semestinya disebabkan oleh kejahatan atau sikap kita tetapi disebabkan kelebihan kita. Kerana si dia tidak mempunyai kelebihan seperti yang kita ada, jadi dengan menanam perasaan benci sajalah menjadi jalan keluar untuk dia melepaskan perasaan ‘jelous’ yang bersarang di dalam dirinya. Dengan membenci diri kita, dia akan dapat mengubat perasaan marah, kecewa dan frustasi yang terus menyelubungi dirinya. Dia akan lebih tenang dan puas jika ada orang lain turut sama membenci diri kita. 

Kawan, dalam dunia ini tidak ada manusia yang akan disukai oleh semua orang dan tidak ada orang yang semuanya nampak sempurna di mata orang lain. Malahan Rasulullah sendiri pun masih ada yang membenci dan menentang baginda walaupun Baginda merupakan manusia yang terbaik. Jadi apatah lagi kita yang tarafnya hanya orang biasa-biasa. Lagi ramai orang yang berpotensi untuk membenci kita. 

Apabila kita merasa yang diri kita dibenci, pertamanya ingatlah bahawa tuhan itu maha penyayang. Di saat diri merasa lemah, letih atau ingin berputus asa dengan perangai orang yang membenci kita, ingatlah bahawa Dialah sebaik-baik penolong. Menyerahlah diri kepada tuhan dan letakkan redha serta rahmatNya sebagai matlamat bukannya kerana ingin mencari redha makhluk. Jangan pernah merasa takut jika diri kita dibenci kerana ramai orang baik di luar sana yang juga dibenci orang. 

Keduanya, tak perlu kita pedulikan mereka yang sedang membenci diri kita. Kita tidak dituntut untuk melakukan yang terbaik supaya kita mendapat perhatian atau simpati dari orang lain. Bila orang sudah membenci kita, walau sebaik manapun kita lakukan untuk menarik perhatian mereka tetap tidak akan dipandang. Sebaliknya, kita sendiri yang akan penat dan kecewa disebabkan segala usaha yang dilakukan masih tidak berhasil. 

Tambahan pula seseorang itu kadang kalanya tidak perlu mempunyai alasan kukuh untuk menanam perasaan benci terhadap kita. Orang kata ikut suka hati mak ayah dia saja dia ingin membenci kita atau pun tidak. Jadi tak perlu kita menyusahkan diri bertanya kenapa kita ini masih dibenci padahal kita sudahpun berbuat baik terhadap mereka. 

Akhir sekali, tanamkan rasa bersyukur kerana ada orang yang membenci kita. Adalah lebih bagus jika ada orang yang secara terang-terang menunjukkan sifat kebenciannya kepada kita daripada dia berpura-pura menjadi kawan dan kemudiannya menikam kita dari belakang. Apabila dia terang-terang menunjukkan rasa kebenciannya terhadap kita, kita boleh terus ‘unfriend’ atau ‘block’ saja dia dari hidup kita. Hikmahnya, kita hanya mempunyai kawan yang benar-benar menghargai dan ikhlas berkawan dengan kita. 

Untuk anda yang merasakan anda ada memiliki hati yang membenci seseorang, maka ketahuilah bahawa syaitan atau iblis telah berjaya memasuki dan bersarang di dalam hati sanubari anda. Cubalah kembali ke jalan Allah SWT dengan bertaubat. Jangan sampai kita terlalu lebih jauh membenci seseorang hanya karena satu masalah yang remeh dan ‘simple’ pernah dilakukannya. 


#VitaHibridOne #noriecare

No comments:

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...