Saturday 31 August 2019

Pemakanan Sunnah dan Kesihatan (siri 2)




Sebagaimana yang kita ketahui, pemakanan yang seimbang amat dititikberatkan oleh pakar pemakanan. 

Malah seawal di peringkat bayi lagi, ibu-ibu digalakkan supaya memilih makanan yang berkhasiat untuk diberikan kepada anak mereka supaya pembesaran bayi itu tidak terganggu. Kemudian ibu disarankan supaya memilih makanan yang sesuai mengikut peringkat umur. Tujuannya ialah supaya perkembangan fizikal dan mentak anak itu tidak terganggu.

Ini menunjukkan bahawa pengambilan makanan ini mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan akal, emosi, rohani dan fizikal kita. Sehubungan dengan itu, pengambilan makanan yang dipilih dalam kehidupan seharian sewajarnya dititiberatkan. 

Kesilapan kita dalam memilih makanan boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, “Perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’ (Hadis Riwayat Muslim).

Berdasarkan kepada hadis tersebut, amalan pengambilan makanan yang berkhasiat adalah penting. Di sinilah timbulnya piramid pemakanan dan konsep pemakanan seimbang untuk membantu mengurangkan risiko dihidapi penyakit.  

Namun, disebabkan oleh perubahan gaya hidup, ramai di kalangan kita tidak mempunyai kesempatan untuk memantau pemakanan yang mereka ambil. Tambahan pula dengan lambakan makanan segera yang murah dan senang diperolehi telah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membeli makanan segera ini dan mengabaikan sepenuhnya aspek pemakanan sihat. Kesannya ramai yang menghadapi masalah kesihatan seperti megalami lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.

Untuk mengurangi risiko mendapat penyakit-penyakit ini, pengambilan makanan tambahan atau supplement amat digalakkan. Hal ini adalah kerana makanan tambahan mengandungi nutrisi dan pelbagai khasiat yang dapat meningkatkan imuniti badan dan sekali gus dapat meningkatkan daya ketahanan penyakit.

Dan dewasa ini, timbul pula trend baru di kalangan rakyat Malaysia, iaitu amalan mengambil makanan yang namanya ada disebut di dalam Al-Quran dan hadis untuk dijadikan makanan tambahan. Dari persepsi mereka, tabiat pengambilan pemakanan yang diteladani mengikut sunnah ini dipercayai dapat membantu mereka mencapai tahap kesihatan yang optimum.  

Apa itu makanan Sunnah?

Makanan sunnah ialah makanan yang berinspirasikan item yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadis (Mohd Izzat, Mohd Farhan, Mohd Anuar & Ahmad Rozaini, 2016). Masyarakat menganggap nama makanan yang disebut di dalam Al-Quran dan Al hadis merupakan peninggalan warisan Rasulullah dan amat baik untuk kesihatan. Lantaran itulah nama-nama makanan ini disebut di dalam Al-Quran dan Al hadis.

Antara makanan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis ialah kurma, kismis, buah tin, buah zaitun, delima, habbatus sauda, zafran dan madu. Kesemua makanan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Banyak kelebihan yang boleh kita peroleh hasil daripada memakan makanan sunnah tersebut antaranya menguatkan tubuh badan, membantu mencerdaskan otak dan mengelakkan daripada pelbagai jenis penyakit.


kelebihan makanan sunnah dan pembuktian dari sudut sains

Madu: madu merupakan makanan yang berkhasiat kepada manusia. Ianya dihasilkan oleh lebah yang menyedut nectar daripada pelbagai tumbuhan terutamanya bunga.   Surah An-Nahl, ayat 69 telah menjelaskan tentang kebaikan madu ini,

‘’Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.’’

Walaupun madu mempunyai kadar rasa manis yang lebih berbanding gula putih, namun kemanisan madu ini tidak mendatangkan kesan buruk kepada badan manusia berbanding gula putih. Ini kerana madu  mempunyai karbohidrat yang tinggi dan  kandungan air. Lantaran itulah ia tidak memberi mudarat kepada tubuh kita berbanding gula putih walaupun kemanisan madu ini adalah 1.5 kali ganda lebih manis berbanding kemanisan gula putih.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Brodschneider dan Crailheim (2010) mendapati madu mengandungi protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak. Gabungan bahan-bahan ini menjadikan madu sebagai anti oksida dan kebaikan ini memberi kesan positif terhadap memori.  Pengambilan madu akan meningkatkan memori dan membantu proses pembelajaran.

Manakala mengikut kajian yang dilakukan oleh Martos et al (2008), mereka mendapati madu juga baik untuk penyembuhan luka dalaman dan luaran. Ini adalah kerana antioksida dalam madu juga bertindak sebagai anti radang dan anti bakteria. Ini membantu proses penyembuhan luka.

Akhir sekali, kajian yang dilakukan oleh Khalil et al (2010) mendapati madu juga mempunyai agen pharmacologi yang berpotensi untuk mencegah penyakit kardiovaskular ( sistem jantung ) penyakit berjangkit dan anti penuaan.

Penggunaan madu di negara kita sekarang ini amatlah meluas tetapi kita mengahadapi masalah kerana tidak semua madu yang dipasarkan adalah asli. Sehubungan dengan itu,  langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengelakkan kesan sampingan yang tak sepatutnya berlaku sehingga merosakkan kredibiliti produk sunnah ini dalam membantu menjaga kesihatan.

Thursday 29 August 2019

Makanan Sunnah dan Kesihatan (Siri 1)


Penjagaan kesihatan adalah aspek penting dalam kehidupan kita. Apabila kesihatan terjaga, hidup kita akan selesa. Dengan ini kita dapat menjalankan tugasan dengan sempurna di samping melakukan aktiviti yang kita suka. Kesannya, mental kita akan ceria.

Pepatah ada mengatakan bahawa 'kesihatan itu lebih baik daripada kekayaan’.  Pernyataan tersebut memang ada kebenarannya. Jika kita ada mempunyai masalah kesihatan, kita tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan sempurna. Malah  harta kekayaan yang kita miliki juga tidak dapat kita nikmati sepenuhnya. Misalnya, jika kita menghidap penyakit darah tinggi atau lebih dikenali sebagai ‘hypertension’.  Di saat itu, jika dihidangkan  dengan kambing golek, lobter masak butter dan kari ketam sekalipun tidak dapat kita makan walaupun kita ada duit untuk membelinya.

Lantaran itu ramai yang mula sedar tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan. Dan salah satu daripadanya ialah dengan mengambil makanan yang seimbang.


Apa itu makanan seimbang?


Makanan seimbang ialah makanan yang mengandungi kombinasi pelbagai jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan tubuh. Di negara kita, amalan pemakanan sihat boleh dilakukan dengan merujuk Piramid Makanan Malaysia.

Terdapat lima kumpulan makanan yang dibahagikan mengikut empat aras berbeza. Aras paling bawah piramid makanan terdiri daripada makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi.

Aras kedua pula adalah buah-buahan dan sayur-sayuran yang  menjadi sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral.  

Aras ketiga ialah daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu. Semua produk ini merupakan sumber protein, zink dan zat besi (ferum). Elemen atau komponen ini membantu untuk meningkatkan sistem imun kita di mana protein bertanggungjawab dalam menghasilkan antibodi yang bertindak melawan jangkitan bakteria dan virus yang masuk ke dalam badan kita.

Akhir sekali adalah sumber lemak. Walaupun lemak ini tidak baik tetapi ia tetap penting untuk  untuk membekalkan kalori mencukupi untuk perkembangan normal saraf, mata. Oleh itu ia perlu diambil dalam kadar yang sedikit.

Malangnya, sehingga ke hari ini, tidak ada  jenis pun makanan atau minuman yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh kita dalam satu-satu masa. Oleh itu, untuk mendapatkan diet yang sihat, kita perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan jumlah yang tepat.

Malangnya, disebabkan oleh kekangan kerja atau masalah kewangan, ada di antara kita yang mengambil makanan secara ala kadar dan tidak mengikut seperti mana yang disyorkan. Kesannya, ramai yang menghadapi masalah kesihatan. Ada yang mengalami masalah darah tinggi (hypertension), Diabetes, penyakit jantung, gout, dan pelbagai penyakit kronik yang lain.

Lantaran itu, kajian sains mendapati pengambilan makanan tambahan@suppliment dapat membantu kita ‘mengisi kekurangan bahan’ atau elemen yang tidak terdapat dalam makanan yang kita makan setiap hari. Dengan ini risiko untuk kita menghidap penyakit yang disebutkan tadi dapat dikurangkan.
Dan salah satu daripada ikhtiar yang diamalkan oleh masyrakat kita sejak kebelakangan ini ialah dengan  mengambil makanan yang berasaskan makanan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis atau lebih di kenali sebagai ‘makanan sunnah’.

Pengambilan makanan tambahan atau produk yang menggunakan ‘trade mark’ makanan sunnah ini telah menjadi trend di kalangan masyarakat kita  sekarang ini sebagai salah satu daripada alternatif untuk menjaga kesihatan dan menghindarkan diri dari terkena penyakit kronik. Persepsi masyarakat terhadap makanan yang diambil oleh Rasulullah dan makanan yang terdapat dalam Al-Quran ini begitu positif kerana mereka menganggap ianya adalah makanan yang terbaik.

Namun, sejauh mana makanan sunnah ini memberi kesan positif dapat membantu kita menghindari diri  dari dihinggapi penyakit masih lagi menjadi perbahasan sesetengah pihak. Beberapa persoalan sering diperdebatkan di kalangan masyarakat, ahli akademik dan pengamal perubatan. Jadi,  untuk mengisi kekosongan dan menjawab persoalan-persoalan itu, di entri akan datang kita akan membincangkan lebih lanjut tentang makanan sunnah ini.

https://usryabdullah.blogspot.com/p/blog-page_0.html

Monday 26 August 2019

KEPENTINGAN VITAMIN UNTUK BADAN KITA...


Vitamin bermaksud bahan organik yang sangat diperlukan oleh badan dengan jumlah yang kecil. Vitamin juga dikenali juga sebagai mikronutrien yang membantu proses pertumbuhan sel, penyerapan protein, karbohidrat, dan lemak dalam badan kita. Sesetengah vitamin pula membantu tubuh menghasilkan sel-sel darah dan hormon.

Kita perlu mengambil vitamin kerana setiap vitamin mempunyai fungsi tertentu yang turut sama bekerja untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum. Dan biasanya tubuh kita tidak dapat menghasilkan mikronutrien yang diperlukan ini secara semula jadi (alami). Oleh itu, dalam kes-kes tertentu, kita perlu mendapatkannya dari sumber luar, sama ada daripada makanan harian atau suplement.

Misalnya kepada mereka yang jarang meminum susu atau apa sahaja jenis makanan yang bernutrien tinggi. Sekiranya mereka kekal dengan cara pemakanan sebegini, lama-kelamaan badan mereka akan mengalami kehilangan vitamin dan nutrien. Oleh itu, untuk menggantikan kehilangan nutrient ini, mereka perlu mengambil suppliment yang boleh didapati di pasaran.

Begitu juga kepada mereka yang tidak gemar memakan sayuran hijau dan buah-buahan. Anda juga digalakkan untuk mengambil supplimen yang mengandungi vitamin C, kerana sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber utama kepada Vitamin C.

Vitamin C yang terdapat dalam sayuran dan buah- buahan ini penting untuk meningkatkan fungsi imuniti badan dan bertindak melindungi anda daripada penyakit. Dan Vitamin C juga membantu pertumbuhan dan pembaikan tisu badan. 

Di samping itu, sayuran hijau juga mengandungi anti oksidan yang bertindak mengekalkan kelembapan dan menyumbang kepada kecantikan kulit dan rambut. Kekurangan vitamin C ini boleh boleh menyebabkan anda mengalami masalah luka yang lambat sembuh, mudah diserang penyakit dan masalah kulit. Dalam kes-kes tertentu, kekurangan vitamin C boleh boleh menyebabkan anda mengalami penyakit skurvi, sakit sendi, mudah letih, dan alahan pada kulit. 
Oleh itu, suppliment yang mengandungi vitamin C adalah pilihan tepat untuk anda. 

Manakala untuk mereka yang jarang mengambil sumber ikan, daging, Ayam, telur dan kekacang dalam diet seharian mereka pula boleh mengalami masalah kulit, rambut, kuku dan penglihatan. Kulit mereka akan kelihatan pucat, lidah mudah mendapat ulser, tubuh badan mudah luka, sering mengalami sakit perut dan kurang berat badan. Oleh itu mereka disarankan mengambil supplimen yang mengandungi vitamin B complex dan omega.

Begitu juga di kalangan warga tua atau lebih mesra dipanggil golongan warga emas. Warga tua ini juga perlu kepada supplimen vitamin disebabkan oleh perubahan yang berlaku kepada badan dan cara hidup mereka.

Kajian mendapati bahawa sembilan daripada 10 orang dewasa yang lanjut usia tidak menerima jumlah nutrisi harian yang disyorkan untuk memastikan kehidupan mereka sentiasa sihat dan aktif. Kesannya mereka menghadapi masalah kekurangan zat makanan.
Masalah kekurangan zat makanan ini akan memburukkan lagi penyakit-penyakit kronik yang biasanya dihidapi oleh golongan ini seperti osteoporosis, hipertensi/tekanan darah tinggi, diabetes melitus dan penyakit jantung.

Masalah ini berlaku adalah kerana, seiring dengan pertambahan usia, proses penyerapan zat makanan oleh tubuh juga semakin berkurangan dan ia seterusnya akan menyebabkan golongan ini mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Justeru, mengamalkan pengambilan supplimen vitamin tertentu pada setiap hari, di samping mengamalkan gaya hidup sihat mampu mengurangkan risiko mereka menghidapi penyakit-penyakit berkenaan di kalangan warga tua.

Kesimpulannya, tubuh kita memerlukan nutrisi yang cukup agar ia boleh menjalankan fungsinya dengan baik dan nutrisi ini boleh diperolehi daripada makanan seharian kita seperti ikan, daging, sayuran dan buah-buahan.

Namun, tidak semua orang dapat atau mampu menyediakan kesemua makanan itu mengikut keperluan harian mereka disebabkan masalah tertentu dan faktor usia. Ini menyebabkan ramai yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan dan vitamin.

Oleh itu, untuk memastikan badan kita mendapat nutrisi dan vitamin yang mencukupi, amalan pengambilan makanan tambahan (supplement) adalah perlu di samping mengambil makanan yang disyorkan oleh piramid makanan.

Saturday 24 August 2019

HINDARI SI MULUT JAHAT...


Lidah adalah daging yang lembut yang berada dalam mulut manusia. Walaupun lidah itu tidak bertulang tetapi implikasi yang didatangkannya memberi impak yang besar kepada pemiliknya iaitu sama ada ia membawa si pemilik itu ke syurga atau membawa ke neraka.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan kepada Sayyidina Ali yang bermaksud :"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)".

Dengan lidah, kita boleh mencetus kerosakan dan memecah belahkan perpaduan. Hanya dengan memesongkan fakta dan menambah perisa tertentru sewaktu berbicara, kita boleh membuatkan dua orang kawan karib bertukar menjadi musuh. Inilah gejala yang dibawa oleh si mulut jahat. 

Diceritakan kononnya pada satu ketika, seorang lelaki kaya telah pergi ke pekan dengan tujuan untuk membeli seorang hamba. Dia telah ditawarkan seorang hamba lelaki yang sihat tubuh badannya tetapi dijual dengan harga yang murah kerana sifatnya yang suka membuat fitnah. 

Disebabkan orang kaya itu menganggap fitnah hanya satu perkara yang remeh, maka dia bersetuju membeli hamba lelaki tadi. 

Setelah beberapa bulan bekerja dengan majikannya, hamba tadi mula ‘mengarang cerita’. Dia mendatangi isteri majikannya dan memberitahu yang suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu mencadangkan supaya isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan tersebut dengan berikhtiar menggunakan bomoh dan salah satu syaratnya ialah mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya. Manakala cara untuk mengambilnya pula adalah dengan menggunakan pisau yang tajam agar tidak terasa sakit sewaktu suaminya tidur. Si isteri tadi benar-benar percaya, lalu dia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi pula memberitahu lelaki kaya itu yang isterinya akan membunuhnya sewaktu dia sedang tidur. Oleh itu dia meminta supaya si kaya itu berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan cara si kaya itu berpura-pura tidur.

Pada malamnya ketika si suami berpura-pura tidur, si isteri datang membawa pisau yang tajam. Ketika si isteri memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. 

Apabila mendapat tahu yang anak perempuan mereka telah mati dibunuh, pada keesokan harinya keluarga si isteri datang menuntut bela dengan membunuh si kaya itu. Selang beberapa hri keluarga si kaya itu pula menuntut bela atas kematian sikaya tadi sehingga banyak kes bunuh membunh di antara kedua-dua belah pihak.

Inilah kesan buruk yang dilakukan oleh Individu bermulut jahat dan orang seperti ini amat berbahaya. 

Dia ini lebih bahaya daripada musuh yang sebenar kerana untuk berdepan dengan musuh yang nyata, ia adalah mudah tetapi individu yang bermulut jahat ini amat pandai menyembunyikan sifatnya yang sebenar. 

Dia sentiasa menjadikan hidup kawan atau orang di sekelilingnya tidak tenang dengan berita yang sengaja diada adakan. Dan dia amat pandai memainkan peranannya. Dia tidak peduli pada keadaan sekelilingya demi mengaut keuntungan diri sendiri dan dia juga tidak kisah melihat orang lain jatuh walaupun orang itu adalah sahabatnya sendiri. 

Oleh itu kita harus berhati-hati dengan orang seperti ini. Usah cepat percaya dengan cerita atau berita yang dibawa oleh si mulut jahat sehingga ia terbukti benar. Dia amat pandai mengarang dan mereka cerita. Benda yang kita tidak kata pun dia boleh dikata kita yang cakap. Benda yang tak berlaku pun boleh dikata sudah berlaku. 

Kepada si mulut jahat, ijmak ulama telah sepakat mengatakan bahawa perbuatan anda itu adalah haram berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat dengan aku di akhirat nanti adalah orang yang akhlaknya paling baik. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh dari aku di akhirat nanti adalah orang yang paling buruk akhlaknya iaitu orang yang banyak cakapnya dan dibuat-buat, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan angkuh).” (Sunan Tirmizi: 2018, Al-Mu’jam at-Tabarani: 588, Musnad Imam Ahmad: 17278 dan 17289).

Hentikanlah segera perbuatan tidak bermoral ini kerana sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran sepatutnya anda menggunakan kelebihan tersebut untuk berbuat kebaikan, bukannya untuk menjalankan misi menjatuhkan orang. 

Bertaubatlah sebelum terlambat kerana dosa yang anda lakukan itu lebih besar dari dosa membunuh. Anda hanya dikira bersih dan bebas dari dosa jika pertbuatan anda itu diampunkan oleh orang yang menjadi mangsa anda. Selagi dia tidak memaafkan anda, dosa itu akan kekal dan dibawa bersama sehingga ke hari kiamat.

Selamat Berhari Minggu..

https://usryabdullah.blogspot.com/p/blog-page_0.html

Monday 19 August 2019

SUPPLIMENT DAN KESIHATAN...


Dietary supplement adalah makanan tambahan atau pelengkap yang bertindak untuk membekalkan nutrien tertentu kepada badan kita, selain dari apa yang kita perolehi daripada makanan yang kita makan setiap hari. 

Kajian sains telah membuktikan bahawa dengan pengambilan makanan yang mempunyai nutrisi yang optima akan menyelamatkan kita daripada mengalami penyakit atau masalah kesihatan yang serius. Apabila pemakanan tidak dijaga, sistem imun badan akan merosot dan keupayaan menangani penyakit serius juga akan turut berkurangan.

Malangnya ramai di antara kita yang mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Sama ada kita sedar atau tidak, disebabkan oleh gaya hidup moden dan serba pantas sekarang ini , ramai di kalangan rakyat Malaysia yang hanya memakan makan secara ala kadar sahaja tanpa memikirkan sama ada makanan itu berkhasiat atau pun tidak. 

Ada juga yang makan sekadar untuk mengalas perut. Tambahan pula sewaktu menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang ini. Ada yang menggantikan menu tengahari mereka dengan hanya mengambil snek atau kudapan yang tidak mengandungi sebarang zat di dalamnya.

Ada pula sesetengah dari kita yang terpaksa bergantung kepada makanan yang dibeli dari restoran makan segera disebabkan oleh kesuntukan masa dan tugas. Makanan segera ini biasanya mengandungi bahan pengawit serta kandugan gula dan lemak yang tinggi. Makanan sebegini akan mengganggu keupayaan sistem penghadaman badan untuk menyerap vitamin dan mineral.

Kesannya ramai di kalangan kita mula mengalami masalah kekurangan nutrient dan seterusnya terdedah kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah penyakit Diabetes dan Darah Tinggi (hypertension). Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia telah menghidap diabetes pada tahun 2018 seawal usia 17 tahun. Manakala sebanyak 5.8 juta orang rakyat Malaysia pula telah disahkan mengalami masalah atau penyakit darah tinggi pada tahun yang sama. 

Kedua-dua penyakit ini akan mendedahkan mereka kepada beberapa penyakit lain seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan kegagalan fungsi mata. Untuk mengelakkan daripada penyakit yang disebutkan tadi serta memastikan kita sentiasa berada dalam keadaan yang sihat, kita perlu menjaga dan mengawal pemakanan.

Corak pengambilan makanan yang teratur dan seimbang ini perlu diterapkan dalam kehidupan kita seharian untuk membantu kita memantau jumlah kalori yang diperlukan setiap hari sesuai dengan gaya hidup kita. 

Dan sama ada mahu atau tidak, disebabkan oleh perubahan gaya hidup yang dialami oleh kebanyakan dari kita dewasa ini, kita juga digalakkan untuk mengambil makanan tambahan atau supplement untuk menampung kekurangan vitamin atau nutrian penting. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sentiasa sebok dan aktif. 

Makanan tambahan atau suppliment ini akan membantu melengkapkan nutrian yang tidak sempat diserap oleh badan atau yang tidak terdapat dalam makanan yang kita makan setiap hari. 

Begitu juga di kalangan mereka yang telah berusia. Golongan ini juga memerlukan makanan tambahan atau supplement untuk membekalkan vitamin tertentu untuk pertumbuhan sel-sel badan, mengawal fungsi organ, dan membantu dalam aktiviti metabolisma supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.. 


Sunday 18 August 2019

Apa Nak Buat Jika Anda Mengalami Kemurungan?

Nampaknya semakin ramai dikalangan rakyat Malaysia mengalami masalah kemurungan.

Hari ini ada lagi berita berkenaan kes kemurungan ini.  Kali ini berlaku di Kepong di mana tiga beranak ditemui mati setelah terjun dari tingkat 10 sebuah pangsapuri.  Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana mencuba melakukan kesalahan membunuh diri. Kejadian ini dipercayai  disebabkan oleh masalah psikologi yang dialami oleh ibu mangsa.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Befrienders Kuala Lumpur, kes kemurungan dan masalah mental meningkat dari 26,927 kes pada tahun 2017 berbanding 24,821 kes pada tahun sebelumnya. Hampir 35 peratus daripada 30,075 panggilan yang diterima  oleh Befrienders pada 2018 ialah penggilan yang menyatakan keinginan mangsa untuk membunuh diri.

Kemurungan ini biasanya bermula dengan hanya satu kes yang kita anggap simple. Contohnya masalah hubungan dengan kawan sekerja, gaduh laki bini atau pun masalah 'girl friend boy friend'.

Tapi jika masalah itu tidak diselesaikan dengan segera, ia akan menyebabkan kita menjadi 'stress' dan jika ia masih lagi dipendam, lama-lama ia boleh 'induce' kepada masalah kemurungan @ depression. 

Stress ini sebenarnya perkara normal atau perkara dalam hidup kita. Malah ia juga kadang-kadang amat penting untuk kita kerana tanpa adanya 'stress' atau tekanan ini kita akan menjadi malas dan lemau. Jadi bila ada sedikit stress, barulah kita ada 'point' atau sebab untuk membuat bertindak balas. Contohnya, jika kita tidak siapkan kerja sekolah, cikgu akan marah. So, untuk mengelakkan dari cikgu marah, kita pun terpaksa siapkan kerja sekolah itu. 

Di samping itu dengan adanya stress, kita akan jadi lebih 'alert' dan bermotivasi untuk menghadapi cabaran atau menyelesaikan satu-satu tugasan. Ia memberi kita 'booster' untuk segera bertindak bagi menyelesaikan apa yang sedang kita hadapi itu. Stress jenis ini dinamakan stress positif. 

'On the other hand' satu lagi stress yang tak baik untuk kita ialah stress 'negatif'. Contohnya masalah hubungan dengan adik beradik atau masalah hubungan dengan rakan di tempat kerja. 

Keadaan ini biasanya akan menyebabkan kita 'over thinking' dan 'over react'. Akhirnya kita mula tertekan dan jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, ia ankan membawa kita ke satu tahap lagi iaitu DEPRESSION@ KEMURUNGAN.

Untuk menjalani kehidupan tanpa stress adalah mustahil. Tapi kita perlu tahu bagaimana untuk menangani stress. Terdapat pelbagai cara untuk menangani stress. Dan cara yang paling mudah ialah dengan mencari tempat 'mengadu'. Carilah sapa-sapa yang sudi  mendengar masalah kita. Misalnya tok ketua...Tok Imam... JKK.. Ataupun Tok bilal...

Sabar... Anda tak perlu cari mereka tu semua. Mereka pun ada masalah sendiri yang tak boleh diselesaikan.. Mereka juga tak ada masa untuk dengar cerita anda walaupun anda belanja mereka mengeteh di kedai mamak. Jadi carilah orang lain.  

Sebenarnya anda boleh meluahkan perasaan anda itu kepada orang tersayang atau mereka yang terdekat dengan anda. Misalnya isteri, suami, kekasih hati atau sahabat sejati. Tapi,bagaimana jika anda seorang diri dan tak ada tempat  untuk bercerita? Jangan panik... Ada lagi tempat yang sesuai untuk anda luahkan apa yang sedang ditanggung itu.

Befriender adalah satu pertubuhan amal atau NGO yang bertujuan untuk memberi sokongan moral kepada mereka yang mengalami masalah ini. Di samping menyediakan sukarelawan yang sudi mendengar luahan pesakit, pertubuhan ini juga menganjurkan seminar atau program kemasyarakatan. 

Cawangan mereka ada di Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Johor Baru, Kuching dan Kota Kinabalu. Jadi sesiapa yang 'berminat' bolehlah menghubungi cawangan-cawangan Befriender dan bercerita tantang masalah yang dihadapi secara percuma. Setiap panggilan ke talian mereka katanya percuma...

Wednesday 7 August 2019

Seronok bila kawan atau orang di sekeliling kita ditimpa musibah?



“Padan muka Abu, duit yang dia simpan didalam akaun banknya tiba-tiba hilang ! Dulu aku nak pinjam seratus dua pun dia tak bagi. “ 

“Kesian Minah. Terpaksa berulang alik ke hospital kerana  menjaga anaknya yang kena Denggi. Hmmm… Baru dia rasa betapa tak seronoknya  menjaga anak kecil di hospital”.

Pernahkah terdetik di hati kita akan ayat-ayat di atas apabila sesutau peristiwa atau insiden buruk menimpa rakan atau orang di sekeliling kita?
Jika Ya, ini adalah salah satu tanda bahawa  hati kita sedang diselubungi  oleh satu perasaan  jahat. Perasaan yang  dinamakan Schadenfreude!

Apa itu SCHADENFREUDE?

Perkataan ini berasal dari bahasa Jerman. yang merupakan gabungan dari kata ‘schaden’ (kemalangan, derita) dan ‘freude’ (kebahagiaan).  Jadi dalam bahasa mudahnya, Schadenfreude adalah  perasaan puas atau  gembira apabila melihat orang lain ditimpa kesusahan atau dalam suasana tidak tenteram. 

Kita merasa bahagia dan seronok jika sesuatu  insiden  buruk menimpa rakan.  Malah penghidap Schadenfruede  ini menjadi lebih seronok  sekiranya  mangsa itu pula tidak seorang individu yang tidak  ‘ngam’dengan dia atau bukan dalam ‘circle’ dia.  Lagi plus plus la keseronokan yang  dia rasa. Jika boleh dizahirkan, sasa seperti  nak lompat bintang! Dan dia amat mengharapkan akan lebih banyak lagi malapetaka menimp individu itu atau orang lain  di sekelilingnya.

Dan  katakanlah pada hari itu atau minggu itu tidak ada apa-apa insiden  atau  berita buruk  yang menimpa kawan-kawan atau orang di  sekelilingnya,  maka secara otomatiknya  tiada lagi  kegembiaraan bagi  individu tadi .  Otaknya mula lemai dan  beku. Seterusnya dia mengharapkan agar ada  apa-apa insiden yang datang menimpa  rakan atau orang di sekelilingnya. Jika tidak  ada, dia akan mencari dan mereka cerita.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Mengikut  teori  sains perubatan, di saat kita berasa  seronok  sewaktu  mendengar berita buruk  atau melihat insiden yang menimpa rakan atau orang di sekeliling kita ,  bahagian otak yang dikenali sebagai ‘ventral striatum’ akan menjadi aktif dan  merembeskan hormon  dopamin dengan banyaknya ke dalam sistem peredaran darah.  Hormon ini seterusnya bertindak  merangsang jiwa  kita untuk  berasa  bahagia.  

Sebaliknya apabila musibah yang menimpa rakan atau individu  tadi sudah berlalu, jiwa kita mula merasa tidak tenteram dan kembali sakit. Lalu dalam diam kita berharap agar ada  lagi insiden buruk yang datang menimpa kawan atau sesiapa saja di  sekeliling kita. 

 Kawan, ketahuilah bahawa jika anda mempunyai perasaan Schadenfreude ini, anda sebenarnya mempunyai masalah psikologi  dan ini tidak bagus kepada otak anda.  Jika anda terus biarkan sifat atau perasaan ini tumbuh segar  di dalam jiwa anda, lama kelamaan ia bakal mengundang masalah mental  yang lebih serius. Anda boleh mengalami masalah baru- iaitu kemurungan.  Jadi buang dan kikis perasaan ini sebelum terlambat.  Tambahan pula kesannya juga  amat serius  kepada diri kita. Sebabnya, bila  peraasaan  di dalam hati kita  tiba-tiba kita  ‘kantoi’ atau diketahui orang, time tu kita buatlah apa kebaikan sekali pun orang dah  tak pandang. Walaupun pendapat kita ada kalanya cukup bernas, namun tak ada siapa lagi yang  sudi nak layan. 

Lagi pun mengikut  ajaran Islam, kita disuruh mendoakan kesejahteraan orang lain walaupun dia  bukan  dari kalangan sahabat kita. Tidak baik jika kita mengharapkan ada musibah atau mala petaka  datang menimpa hidup dia. 


Monday 5 August 2019

APA ITU ANEMIA?



Semalam kita ada janji untuk buat artikel berkenaan anemia. Hari ini kita bagi dulu secara ringkas apa itu anemia dan bagaimana untuk mengurangkan simptom anemia. Untuk member-member CKD group, kita akan bincang lagi bab ini dengan lebih mendalam di kesempatan lain. Info ni sekadar sambil lalu saja.

Okey.. Apa itu anemia? 

Anemia adalah merujuk kepada pengurangan mutlak jumlah sel darah merah yang beredar (RBC) dalam badan. Untuk tujuan praktikal, anemia boleh dipertimbangkan apabila satu atau lebih simptom berikut mengalami pengurangan/penurunan: jumlah hemoglobin, jumlah hematokrit, dan kiraan sel darah merah (RBC). Jika berlaku perkara-perkara yang disebutkan tadi, kita boleh klasifikasikan bahawa orang atau individu itu mengalami anemia.

Sel darah merah ini bertugas untuk membawa oksigen ke tisu dan organ di seluruh badan terutamanya ke jantung, otak dan organ-organ lain. Kesemua organ ini tidak mungkin dapat berfungsi dengan sempurna jika mereka tidak cukup bekalan darah. Sebab itulah kita perlu pastikan yang diri kita tidak mengalami gejala anemia ini supaya semua organ kita dapat berfungsi dengan baik.

Kebanyakan atau majoriti pesakit yang mengalami penyakit kegagalan buah pinggang, biasanya akan mengalami masalah anemia ini. Keadaan ini berlaku kerana salah satu dari fungsi buah pinggang ialah menghasilkan hormon yang dikenali sebagai erythropoietin (EPO). EPO ini kemudiannya akan merangsang sumsum tulang untuk membuat sel darah merah, yang kemudian akan bertugas sebagai agen atau trasport untuk membawa oksigen ke seluruh badan.

Jadi, apabila buah pinggang mengalami kerosakan (terutamanya pesakit yang disahkan sebagai End Stage Renal failure), hormon EPO ini tidak dapat dihasilkan lagi. Akibatnya, sumsum tulang yang bertugas untuk membuat sel darah merah tidak dapat lagi mengasilkan sel darah merah secukupnya.

Bagi kita yang normal, masalah anemia ini juga boleh berlaku. Antara sebab yang biasa dijumpai ialah kerana kekurangan folate dan vitamin B-12. kedua-dua vitamin ini juga berkeupayaan untuk membantu tubuh kita membuat/ menghasilkan sel darah merah. Oleh itu, jika badan anda tidak dapat memproses B-12 ini dengan betul, anda juga mungkin akan mengalami anemia walaupun buah pinggang anda tidak rosak seperti yang dialami oleh pesakit CKD.

Apa tanda-tanda anemia? 

Antara tanda-tanda dan gejala anemia ialah seperti lemah dan cepat letih. Pesakit juga kadang-kadang mengalami sakit kepala, sukar memberi tumpuan, sklera mata kelihatan pucat, pening, sukar bernafas atau esak nafas dan kadang-kadang pesakit mengadu sakit dada.

Apakah rawatan yang biasa diberikan untuk merawat anemia di kalangan orang normal dan pesakit ESRF?

Tiada makanan yang akan dapat menyembuhkan anemia. Tetapi dengan mengambil makanan sihat yang kaya dengan kekacang, bijirin, makanan laut, daging, boleh membantu mereka mendapatkan zat besi yang diperlukan. Di samping itu pengambilan vitamin atau makanan tambahan yang mengandungi zat besi ( iron) juga akan membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.

Begitu juga untuk pesakit yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang kronik (CKD), mereka juga dapat mengurangkan simptom anemia ini dengan meningkatkan tahap iron (zat besi) dalam darah. Biasanya, pil Iron akan diberikan kepada mereka untuk membantu meningkatkan kadar iron dan hemoglobin dalam darah. Ada yang mengambilnya sekali sehari dan ada yang mengambil dua kali sehari. Ia bergantung kepada keterukan dan jumlah serum iron yang terdapat dalam badan pesakit. Bagi mereka yang tahap ironnya terlalu rendah atau kritikal, infusi iron terpaksa diberikan.

Thursday 1 August 2019

KALAU NAK MENEGUR TU BIARLAH TERTIB..


 

Dikisahkan ada seorang lelaki Arab Badawi telah kencing dalam masjid. Para sahabat ingin menghalau lelaki itu keluar dari masjid. Namun Nabi SAW meminta dibiarkan lelaki itu kencing. Kemudian Nabi SAW memanggil lelaki Badawi itu dan menerangkan ketidakharusan untuk kencing dalam masjid. Baginda juga menjelaskan tentang tatacara membersihkan tempat yang terkena najis kencing. 

Tegur menegur ini adalah satu sifat yang baik kerana ia dapat memberi kesedaran kepada kita. Maklum sajalah kita ini juga insan biasa yang tak lepas dari membuat kesalahan dan kesilapan. Apabila ditegur, barulah kita sedar akan kesilapan yang kita lakukan.

Namun begitu, memberi teguran adakalanya boleh memberi kesan negatif, bergantung kepada kaedah dan bagaimana kita membuat teguran. Setiap nasihat atau teguran itu sepatutnya perlu dihalusi terlebih dahulu. Orang yang menegur itu juga mestilah dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. 

Namun, apa yang diperhatikan sekarang ini, ramai si tukang tegur memberi teguran berbentuk kecaman sehingga memalukan 'si kena tegur'. Tanpa memikirkan perasaan si dia, si tukang tegur itu terus menghamburkan kata-kata pedas kepada individu tadi. Malah ada kalanya dia berhujah tentang kesilapan 'si dia' itu secara terbuka di khalayak ramai sehingga menjatuhkan air mukanya. Misalnya di media sosial atau di kawasan terbuka.

Tidakkah si tukang tegur itu merasa malu dengan kesilapan yang sengaja dia lakukan itu? Apakah dengan bersikap sedemikian bermakna 'si tukang tegur' itu ingin memberitahu kepada dunia bahawa dia lah yang terbaik dan layak memberi teguran? Adakah dengan menggunakan perkataan berbaur sumpah seranah itu maka 'rating' si tukang tegur itu akan meningkat seperti peserta rancangan realiti di televisyen? Adakah si tukang tegur itu fikir bila dia mampu menggunakan perkataan-perkataan pedas dan emosi begitu, maka orang akan lebih hormat kepada beliau? Dan akhir sekali, adakah dengan menegur secara 'sarkastik' begitu,orang akan tahu bahawa 'si tukang tegur' itu telah menjalankan tanggung jawab menegurnya dengan sempurna? Tepuk dada tanyalah iman. 

Kawan, panduan dari orang bijak pandai, apabila terdetik dalam hati kita untuk menegur, cuba ‘pause' kan dulu diri kita sekejap dan tarik nafas. Tanya balik kepada diri sendiri apa tujuan kita menegur itu? Adakah kerana kita benar-benar ikhlas untuk memperbetulkan keadaan atau sekadar ingin melampiaskan kemarahan dan ketidak puasan hati terhadap orang yang ingin ditegur itu.

Jika benar bahawa tujuan kita menegur itu demi kebaikan, tidak bolehkah kita menegur dia dengan cara yang lebih berhemah? Apa salahnya memanggilnya secara peribadi dan berbincang dari hati ke hati. Cuba tutup aibnya dari penegetahuan orang lain. Teguran secara keras atau kecaman hanya perlu dilakukan sekiranya nasihat secara lembut tidak berkesan. 

Walaupun sikap tegur menegur ini baik tetapi menjadi 'tukang tegur' itu tidak bermakna kita mempunyai lesen untuk berkata sesuka hati. Si tukang tegur juga bukannya seorang yang sempurna. Oleh itu berhemahlah sewaktu menegur kerana
menegur orang lain memang sedap tetapi bagaimana pula rasanya apabila diri kita yang kena tegur?


Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...