Monday 23 September 2019

Faktor Penyumbang kepada Malnutrisi di kalangan warga emas



Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di "World Assembly On Ageing 1982" di Vienna. 

Mengikut unjuran PBB (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk. Dengan kata lain, tahun 2030, bilangan warga emas akan semakin meningkat di negara kita. 


Apabila ramai warga emas, maka akan timbul pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan yang perlu kita hadapi sewaktu menjaga mereka. Salah satu daripada masalah kesihatan yang sering dialami oleh golongan warga emas ini ialah masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi.

Malnutrisi mengikut kamus dewan ialah suatu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau nutrien yang tidak mencukupi. Masalah ini menjadi masalah sejagat atau masalah dunia kerana apabila berlakunya kekurangan zat makanan, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka. Antaranya ialah  kemerosotan kesihatan, pengurangan status fungsi fizikal dan kognitif, peningkatan dalam perbelanjaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan peningkatan kes kematian di kalangan warga emas (Evens,2005).  

Terdapat beberapa faktor penyumbang kepada masalah ini, antaranya ialah seperti masalah pengambilan makanan yang tidak mencukupi,  terlalu memilih makanan,  penyakit kronik yang menyebabkan keperluan nutrien menjadi semakin meningkat, masalah kehilangan nutrien yang cepat, masalah penyerapan nutrien yang kurang baik, atau gabungan faktor-faktor ini.

Faktor kemerosotan  dalam pengambilan makanan merupakan masalah semula jadi dan dialami oleh majoriti warga emas, tak kira sama ada mereka  ada mempunyai penyakit kronik atau pun tidak.  Sindrom atau masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh proses penuaan. Proses ini merupakan proses semulajadi dan berterusan dan akan terhenti setelah kita menemui ajal dan tidak ada sesiapa yang terkecuali serta boleh menghalang proses penuaan ini dari berlaku.

Proses penuaan akan mengganggu sistem hormon, dan sistem saraf perfiferi kita setiap hari. Gangguan ini menyebabkan golongan kita akan megalami masalah tiada selera makan dan mendorong untuk kita kurang mengambil makanan. Masalah ini seterusnya akan menyumbang kepada malnutrisi.

Faktor lain yang menyumbang kepada masalah malnutrisi di kalangan warga emas ialah kesan sampingan ubatan yang diambil untuk merawat masalah kesihatan yang  mereka alami seperti penyakit tiroid, kardiovaskular, darah tinggi, diabetes dan penyakit paru-paru.  
Apabila mereka menghidap salah satu dari penyakit ini, mereka terpaksa bergantung kepada pengambilan ubatan yang banyak pada setiap hari. 

Contohnya, katakan ayah atau ibu anda menghidap penyakit diabetes. Oleh itu dia akan bergantung kepada dua atau tiga jenis ubat setiap hari untuk membantu mengawal kandungan gula dalam darah. Jika dia tidak mengambil ubat mengikut jadual, bacaan gula dalam darahnya menjadi tidak stabil. 

Tetapi dengan mengambil ubat dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh yang panjang akan mendedahkan mereka kepada kesan sampingan seperti gangguan usus, masalah menelan, refluks esofagus dan cirit-birit berkaitan dengan kesan sampingan ubat. Masalah-masalah ini akan mengganggu proses penyerapan makanan dan seterusnya menyebabkan berat badan mereka semakin menurun.

Di samping itu, pengambilan ubatan untuk merawat penyakit-penyakit tadi juga akan menyebabkan metabolism  meningkat dua atau tiga kali ganda melebihi kadar normal. Keadaan ini akan menyebabkan mereka mengalami kadar kehilangan kalori dengan lebih cepat berbanding individu yang sihat. Situasi ini juga boleh menyumbang kepada masalah malnutrisi atau kekurangan zat makanan di kalangan warga emas.

Pengambilan ubatan yang kerap juga boleh menjejaskan status pemakanan di kalangan warga emas disebabkan oleh kesan  sampingan  ubat-ubatan seperti anoreksia, mual, dan persepsi rasa terhadap sesuatu makanan telah berubah.  Ini seterusnya menyebabkan mereka mengalami masalah hilang selera makan dan  seterusnya menyumbang kepada perubahan penyerapan nutrient dalam usus dan kadar metabolism yang terlebih aktif (Evans, 2005). Akhirnya, mereka akan mengalami masalah malnutrisi.

Akhir sekali, apabila usia semakin meningkat tua, mereka juga akan mengalami gangguan psikologi. Semakin mereka berusia, semakin banyak mereka mengalami peristiwa kehilangan dalam hidup mereka yang menyumbang kepada masalah psikologi.  Masalah gangguan psikologi ini juga merupakan satu lagi faktor penyumbang kepada masalah malnutrisi di kalangan warga emas.

Ia bermula dengan kehilangan pekerjaan disebabkan oleh persaraan wajib. Apabila seseorang itu bersara, corak kehidupan dan aktiviti beliau mula berubah. kebanyakan individu yang bersara sudah tidak lagi aktif seperti sebelumnya. Jadi, sekiranya mereka tidak mempunyai hobi atau apa-apa aktiviti sampingan, mereka akan merasa kesunyian dan situasi ini senang untuk menyebabkan individu tadi mengalami gangguan psikologi.

Disebabkan oleh persaraan juga, mereka akan kehilangan rakan dan sahabat. Sewaktu masih bekhidmat, mereka mempunyai banyak masa untuk berinteraksi sesama rakan sekerja. Malah ada yang menyambung aktiviti sosial mereka selepas waktu bekerja sama ada bersukan atau beriadah. Tetapi apabila mereka bersara, mereka terpaksa berpisah dengan rakan sekerja dan masing-masing menjalani kehidupan sendiri. Ada yang pulang ke kampung halaman dan ada yang berpindah mengikut anak masing-masing. Perubahan ini juga boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah kesunyian dan seterusnya  kemurungan.  Ia seterusnya menyumbang kepada masalah anoreksia dan penurunan berat badan. Akhirnya mereka juga mengalami malnutrisi.

Mengikut konsep sains perubatan, terdapat beberapa pendekatan bagaimana untuk mengatasi masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini. Salah satu darinya ialah dengan menggalakkan mereka supaya mengambil makanan dengan kerap tapi dalam kuantiti yang sedikit. Amalan ini akan menjamin seseorang itu mendapat kalori yang diperlukan oleh tubuh dan membantu meningkatkan semula berat badan mereka.  

Tetapi sekiranya mereka gagal  untuk meningkatkan semula berat badan melalui kaedah ini, langkah kedua yang disarankan oleh pakar nutrisi ialah dengan mengambil suplemen atau makanan tambahan (www.nps.org.au, 2014). Dengan mengambil makanan tambahan atau supplimen, ia akan membantu warga emas mendapatkan kalori dan zat yang cukup untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.

Kesimpulannya, masalah malnutrisi ini adalah perkara biasa dan sering berlaku di kalangan warga emas.  Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan betul, ia akan memberi kesan yang lebih teruk kepada mereka. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan seharian dengan sempurna dan mudah diserang penyakit. Masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi juga merupakan penyumbang kepada peningkatan angka kematian di kalangan warga emas di seluruh dunia.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu menangani masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini.  Di samping mengenal pasti punca dan memberi rawatan yang sepatutnya, amalan pengambilan makanan tambahan atau supplimen juga turut digalakkan untuk membantu mengatasi masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini.

Monday 16 September 2019

Khasiat Kurma dari sudut Saintifik


Penjagaan kesihatan adalah salah satu aspek penting dalam kehidupan kita seharian. Ini adalah kerana apabila tubuh kita sihat, segala tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna. Di samping itu, amal ibadat juga dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Misalnya sewaktu  melaksanakan ibadat solat, jika kita memiliki tubuh yang sihat, ia membolehkan kita  melaksanakan solat yang dituntut itu dengan lebih sempurna. Begitu juga dengan ibadah lain seperti puasa dan haji. Juga memerlukan kita sihat untuk membolehkan kita berpuasa sepanjang hari. Demikian juga  dengan ibadah haji. Hanya mereka yang mempunyai fizikal yang sihat dan bertenaga sahaja  mampu menyempurnakan rukun haji.

Terdapat mutiara kata daripada ulama iaitu: “Akal sihat bermula dari tubuh badan yang sihat’’.  Dan untuk mendapat tubuh yang sihat, ia  berkait rapat dengan punca dan amalan pemakanan seseorang.  Lantaran itulah Islam amat menitik beratkan soal pemakanan ini semenjak anak itu di peringkat bayi lagi. Bayi tersebut perlu diberi makanan yang lengkap dan baik untuk membantu tumbesarannya. 

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, corak pemakanan kita telah banyak berubah disebabkan oleh perubahan trend. Ramai yang tidak sempat memantau pengambilan makanan mereka setiap hari. Ini ditambah pula dengan kewujudan kafe dan  restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam.

Tanpa sedar pengambilan makanan yang tidak teratur dan trend mengambil makanan segera ini telah menjadi ‘racun’ kepada kesihatan kita.  Jadi tidak hairanlah rekod menunjukkan Malaysia mencatatkan jumlah penghidap kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia (The Star, Oktober 2018). 

Kesannya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan terpaksa menanggung kos yang tinggi pada setiap tahun semata-mata untuk menyediakan perkhidmatan  penjagaan dan perawatan kepada pesakit yang mengalami penyakit disebabkan oleh tabiat ini sedangkan sebahagian wang itu boleh dijimat untuk menampung perbelanjaan pembangunan yang lain (Berita Harian, Oktober 2018).

Oleh itu, cogan kata cegah sebelum parah wajar menjadi pegangan dalam usaha membina  generasi yang sihat, sesuai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al Bukhari yang bermaksud,” Sesungguhnya, kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu’’.  

Lantaran itu, timbul satu kesedaran di kalangan segelintir masyarakat kita tentang pentingnya penjagaan pemakanan dan salah satu daripada ikhtiarnya ialah dengan mengamalkan pengambilan makanan yang ada disebut di dalam Al Quran dan Al hadis.

Makanan yang disebut di dalam AlQuran dan Hadis ini lebih dikenali sebagai  ‘makanan sunnah’ dan ia telah menjadi pilihan di kalangan kita pada hari ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat dan manafaat. Tambahan pula kebanyakan makanan itu menjadi kegemaran Rasulullah S.A.W. 

Salah satu daripada makanan sunnah tersebut ialah buah kurma atau lebih dikenali sebagai tamar. Buah ini merupakan hasil dari pokok dari kumpulan palma dan ia amat popular di kalangan umat islam setiap kali tibanya bulan Ramadhan. Namun sejak akhir-akhir ini amalan pengambilan buah tamar ini mula diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat kita disebabkan oleh pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.

Di dalam AlQuran, buah kurma atau tamar ini dinyatakan dengan jelas dalam surah Maryam ayat 29 di mana Allah SWT telah berfirman kepada Maryam  yang sedang penat dan lemas semasa proses bersalin supaya mengoncangkan pohon kurma dan memakan buahnya yang gugur supaya beliau mendapat kembali tenaga yang hilang. Berdasarkan kepada ayat inilah, wanita mengandung atau mereka yang mengalami masalah kurang nutrient disarankan supaya mengamalkan pengambilan buah kurma dalam kehidupan seharian.

Kajian saintifik juga telah membuktikan bahawa buah kurma ini mengandungi banyak nutrient yang amat diperlukan oleh badan. Antara kandungan nutrient yang terkandung dalam buah kurma ini ialah Vitamin A, B1,B2,B7, Asid folik, kalsium, zat besi, dan magnesium. Lantaran itulah Rasulullah mengangkat darjat yang tinggi terhadap buah ini (Zahan,2014 dan Rafaie et.al 2016). Di samping vitamin dan mineral, kurma juga mengandungi protein dan  serat. Dengan ini, pengambilan kurma atau ekstrak kurma dapat membantu mencegah sembelit, lemah otot, sengal badan. 

Kurma juga mempunyai karbohidrat dan glukos yang tinggi (Tarmizi,2014). Lantaran itulah Rasulullah menyarankan supaya mengambil kurma sewaktu berbuka puasa. Ini adalah kerana glukos yang terdapat dalam buah kurma ini adalah berbentuk glukose ringkas yang mudah diserap oleh badan. Oleh itu kita akan mendapat tenaga dengan cepat selepas berjam-jam kita menjalani ibadah puasa.

Mengikut Siti Aishah et al (2012) dan Rafaie et al (2016), amalan pengambilan kurma pada setiap hari juga membantu menangani stress atau tekanan emosi kerana ia membantu mengatur penghasilan endofrin dengan kadar yang diperlukan oleh badan. Lantaran itu, ia membantu melindungi system saraf manusia terutamanya yang berkait rapat dengan emosi. Manakala untuk golongan pelajar pula, amalan pengambilan kurma membantu meningkatkan kecergasan otak, menguatkan ingatan dan membantu proses pertumbuhan. Akhir sekali, kurma juga membantu meningkatkan selera makan dan meninggikan tenaga seksual sama ada di kalangan lelaki mahu pun wanita (Kamarulzaman, 2015).

Kesimpulannya, buah kurma ini amat baik untuk kesihatan dan ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada pemakanan harian kita. Kepada mereka yang tidak gemar atau tidak suka akan buah ini, pelbagai alternatif telah dilakukan oleh pengkaji dan pakar pemakanan supaya mereka juga mendapatkan khasiat dari buah ini. Antaranya ialah dengan mengekstrak zat dan vitamin dari buah ini dan dijadikan  pil atau tablet. Di samping itu ada juga yang menggunakan buah ini dan dibuat dalam bentuk jus. Dengan adanya dua alternatif ini, semoga tidak ada lagi alasan untuk mereka tidak mahu mengambil buah yang disyorkan oleh Rasulullah ini.

Wednesday 11 September 2019

Makanan yang membantu mengurangkan stress@depressi



TERTEKAN dengan kerja sekolah yang banyak menyebabkan seorang pelajar menggantung diri dalam bilik air rumahnya beberapa minggu yang lalu.

Sebelum ini pada 14 Mei 2019 yang lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari bangunan selepas membuat undian secara langsung di laman Instagramnya . Keputusan undian itu memperoleh keputusan 69 peratus menyokongnya supaya membunuh diri.

Kedua-dua kes yang disebutkan tadi berlaku disebabkan oleh  tertekan atau dalam Bahasa mediknya , gejala depresi!
Kajian menunjukkan satu daripada lima anak muda  di Malaysia mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja pula berhadapan  dengan masalah tekanan perasaan.  Statistik ini membuktikan bahawa isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda begitu serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.

Menurut Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye, depresi atau kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama yang akan dialami oleh rakyat Malaysia menjelang tahun depan ( tahun 2020) susulan semakin ramai yang dijangka mengalami stress. Sama ada disebabkan oleh tekanan kerja atau pun masalah keluarga.
Apa itu kemurungan ?

Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu.  Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira peringkat umur, jantina atau pun bangsa. Kemurungan ini juga  boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau ber tahun-tahun.

Bagi mereka yang mengalami kemurungan atau mungkin juga terfikir untuk membunuh diri, terdapat beberapa alternatif yang boleh mereka cari sebelum gejala ini semakin melarat. Sebagaimana yang pernah ditulis dalam blog usryabdullah.blogspot.comhttps://usryabdullah.blogspot.com/2019/08/apa-nak-buat-jika-anda-mengalami.html beberapa minggu yang lalu, salah satu daripadanya ialah dengan mencari tempat untuk meluahkan perasaan sama ada sahabat, ibu bapa, atau guru kauseling. Jika anda masih tidak mempunyai solusi, anda juga boleh menghubungi pihak NGO yang bernama Befrienders.

Selaku NGO yang berperanan sebagai sahabat, Befrienders  menyediakan bantuan dengan cara mendengar masalah dan memberi sokongan emosi kepada setiap individu yang menghubungi mereka. Mereka mempunyai 110 orang sukarelawan yang terlatih yang bersedia  untuk  memberi sokongan emosi kepada yang memerlukan melalui pendekatan ‘active listening’ atau mendengar secara aktif .

Satu lagi NGO yang boleh dihubungi oleh mereka yang mempunyai masalah kemurungan ini ialah Sneham Malaysia Welfare Association. Pertubuhan ini boleh dihubungi melalui talian bebas tol 1800 22 5757. Mereka juga bertindak atau berperanan  dalam memberi kaunseling dan sokongan emosi. Tetapi NGO ini lebih khusus kepada kaum India kerana mereka berkomunikasi dalam Bahasa Tamil. Namun petugas mereka juga fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris.

Selain dari mengadu atau mencurahkan perasaan kepada pihak yang berkenaan, individu yang mempunyai masalah kemurungan ini juga perlu membantu diri sendiri. Antaranya ialah dengan menjaga pemakanan.

Pepatah Inggeris ada mengatakan  “We are what we eat”.  Ini menunjukkan bahawa amalan penagmbilan makanan juga boleh mempengaruhi mood seseorang. Jika seseorang itu menjaga pemakanan dan mengambil diet yang seimbang, ia dapat membantu menghindari diri daripada stres. Dengan pengambilan diet yang seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan di samping memastikan tahap mental dan fizikal sentiasa stabil. Pengambilan diet yang seimbang perlulah berdasarkan kepada piramid makanan.

Kajian yang dilakukan oleh Harbottle (2019), mendapati pengambilan makanan dan tahap tenaga dalam diri seseorang boleh mempengaruhi masalah mental seseorang atau lebih dikenali sebagai ‘mood disorder’. Beberapa kajian tentang jenis-jenis makanan telah dilakukan di mana hasil kajian mendapati makanan tertentu boleh mempengaruhi mood seseorang, iaitu  dengan merangsang fungsi neurotransmeter dan seterusanya membuat perubahan dalam aktiviti otak kita.

Vitamin B12,  asid lemak (fatty acid) dan omega 3 misalnya perlu diambil dengan lebih kerap oleh mereka yang mengalami depressi. Mengikut Payne (2010) dan Jacka et.al (2013), individu yang  mengalami masalah penyerapan vitamin B12 ini cenderung untuk mengalami masalah depressi atau ketakutan melampau (anxiety disorder). Oleh itu mereka menyarankan supaya individu tersebut mengambil supplimen vitamin B12 mengikut saranan doctor.

Begitu juga dengan amalan mengambil supplimen yang mengandungi vitamin D. mengikut Payne (2010), mereka yang mengambil supplimen yang mengandungi vitamin D ini mempunyai peluang lebih cerah untuk bebas dari masalah depressi kerana vitamin D ini bertindak sebagai agen pemangkin dan membantu penyerapan ubat anti depressi dengan lebih cepat berbanding mereka yang tidak mengambil supplimen vitamin D.

Begitu juga dengan amalan pengambilan makanan tertentu yang  boleh juga menyumbang kepada depressi dan anxiety disorder. Pengambilan minuman yang mengandungi caffeine seperti kopi, coklat, teh Tarik dan minuman cola pula berpotensi untuk merencatkan penghasilan hormone serotonin (Harbottle,2019). 

Umumnya, kadar normal serotonin di dalam darah ialah sekitar 101 hingga 283 nanogram per mililiter.  Sekiranya kadar hormon ini berkurangan, maka individu tersebut akan mengalami masalah mental disorder seperti susah tidur, gelisah, hati tidak keruan dan rasa rendah diri dan ketakutan yang melampau.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya mereka yang mengalami masalah anxiety disorder dan kemurungan supaya mengelakkan diri dari mengambil minuman berkafien secara berlebihan. Walaupun minuman berkaffein ini dapat memberi tenaga segera kepada mereka yang meminumnya, tetapi pengambilan dalam kuantiti yang kerap dan banyak boleh menyebabkan peminumnya mengalami masalah darah tinggi, sukar tidur dan seterusnya menyumbang kepada symptom depressi atau pun anxiety disorder.

Begitu juga dengan tabiat pengambilan alcohol secara berlebihan. Tabiat ini juga boleh menyumbang kepada masalah depressi dan ‘anxiety disorder’.  Ini adalah kerana pengambilan alcohol ini akan merencatkan penyerapan beberapa mikro nutrient dari makanan yang kita makan seharian terutamanya  thiamin dan zink. Kekurangan dua zat atau mikro nutrient ini juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami symptom dehidrasi dan mood disorder.

Kesimpulannya, selain dari mencari tempat untuk mengadu dan menceritakan masalah, amalan pengambilan makanan juga penting untuk mengurangkan risiko mengalami kemurungan. Terdapat beberapa makanan atau supplimen yang baik untuk mengatasi masalah ini dan terdapat juga makanan atau minuman yang menyumbang kepada perkara ini. Pokok pangkalnya terletak pada diri sendiri. Tepuk dada tanya iman.

Monday 9 September 2019

Jerubu Melanda lagi...

Semalam dan hari ni bila buka je surat khabar, tak habis-habis lagi dengan isu yang satu ni iaitu jerubu. Rasanya dah dua tiga bulan kita mengalami keadaan atau masalah jerebu ini. Iaitu sejak bulan April baru ni lagi, cuma dia datang sekejap-sekejap. Macam biskut pulak, kejap ada kejap tak ada.
Yang tak berapa nak sedap hati ialah bila berita dalam surat khabar tu cakap, keadaan berjerebu ini akan berlanjutan sehingga hujung bulan September ini. Pulak..! Kalau tak salah, bulan lepas saya baca 'paper' deme tulis masalah jerubu ni dijangka tamat hujung bulan Ogos, sekarang deme extend lagi sebulan. Hmmm... ðŸ˜”😔
Ideks pencemaran udara di semua kawasan yang ditinjau semalam pun nampaknya semua mencatat bacaan tahap IPU atau API yang tidak sihat. Contohnya, bacaan API di Klang mencatat bacaan 125, Kangar 90, Petaling Jaya 95, Kuala Lumpur 96 dan Nilai 92.
Jerubu ni tidak elok kerana partikel atau debu yang ada dalam jerubu ini mengandungi unsur karbon moksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. Kesemua unsur-unsur ini tidak bagus utuk kesihatan. Ia boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti athma, resdung dan masalah kulit sensitif.
Apabila partikel ini disedut oleh mereka yang ada penyakit athma misalnya, ia akan 'trigger' kepada alahan yang teruk dan seterusnya pesakit akan mendapat 'athma attack'. Dan bukan mereka saja, kita yang sihat wal afiat ni pun boleh dapat selsema dan batuk-batuk jika selalu terdedah kepada jerubu ni. Lebih-lebih lagi mereka yang berkerja di luar. Yang bekerja dalam 'opis beraicond' boleh la senyum sikit sebab jerubu tak masuk dalam bilik yang bertutup dan berhawa dingin.
Jadi, langkah-langkah penjagaan atau pencegahan perlu diambil oleh semua orang tak kira mereka yang berisiko atau pun yang tidak berisiko supaya kesihatan kita semua terjaga.
Antara langkah pencegahan yang boleh dipraktiskan ialah, banyakkan meminum air masak, memakai topeng muka@ mask ketika berada di luar rumah, memasang penghawa dingin sewaktu memandu kereta dan akhir sekali sentiasa amalkan tabiat mencuci muka selepas berada di luar rumah dalam waktu yang lama.
Jika cuaca berjerubu, tak payah la korang gatai nak keluar joging. Sebabnya korang bukannya menyedut Oksigen, tetapi korang lebih banyak menyedut karbon monoksida, nasib tak baik, elok-elok korang sihat, leas jogging koorang terus dapat selsema atau bronkitis. Naya je.
Lagi satu, waktu 'peak hour' tu jangan la korang keluar jalan-jalan. selain dari terdedah kepada jerubu, korang juga akan terdedah kepada asap kenderaan yang sangkut dalam jem. Ini juga boleh 'trigger' kepada athma bagi mereka yang meghidapi penyakit athma. manakala kita yang okey ni pun, silap-silap boleh demam dan selsema akibat terlebih hidu jerebu yang bercampur asap kenderaan.
Okeylah.. Itu saja nak bagitahu hari ni. Sama-sama kita jaga kesihatan.
Wassalam

Monday 2 September 2019

Kekuatan Spiritual dan pintu rezeki



Ramai di kalangan kita yang berusaha siang malam untuk meningkatkan kekayaan dan mengubah tarap hidup daripada kehidupan yang biasa-biasa kepada yang lebih baik. 

Tak kurang juga yang mengambil jalan mudah untuk mengubah hidup mereka dengan mengikuti program motivasi dan keusahawanan demi untuk mencari strategi bagaimana untuk berjaya dalam hidup.

Namun apa yang didapati ialah masih ramai yang masih berada di takuk lama. 

Akan tetapi mereka masih juga mencuba tanpa menyedari yang modal atau wang yang dilaburkan untuk mengikuti program motivasi atau keusahawanan itu sudah terlalu banyak dihabiskan tetapi hasil yang diperolehi adalah tidak seperti yang diharapkan. Hidup mereka masih lagi di tahap yang sama malah ada yang semakin teruk. Lalu cara yang paling mudah untuk menutup kelemahan dan meredakan kekecewaan ini ialah dengan mencipta alasan. Termasuk menyalahkan kepada takdir.

Kawan, dalam usaha mencari rezeki, kita kadang-kadang terlupa bahawa kekuatan dalaman juga merupakan  satu daripada elemen yang boleh mempengaruhi tahap pemikiran dan bagaimana untuk bertindakbalas dalam situasi seharian.  Kekuatan dalamanlah yang akan menentukan sikap kita terhadap persekitaran atau peristiwa yang kita lalui setiap hari.  Namun ramai yang mengabaikan perihal perkara ini.

Konsep kekuatan dalaman ini telah dibangunkan oleh seorang ahli psikologi yang bernama Julian Rotter pada tahun 1950-an.  Menurut Rotter, persepsi dan tindakan  seseorang itu ditentukam oleh lokus kawalan mereka sendiri. 

Mereka yang mempunyai lokus kawalan yang tinggi percaya bahawa mereka dapat mengawal nasib mereka sendiri. Mereka cenderung untuk menyakini bahawa kemahiran, keupayaan dan usaha mereka sendiri bakal menentukan sebahagian besar kehidupan mereka. Sebaliknya, orang dengan lokus yang rendah pula percaya bahawa kehidupan mereka kebanyakannya ditentukan oleh sumber-sumber luaran seperti nasib, peluang atau sumber lain yang mempunyai kuasa.

Akhir-akhir ini, dunia telah  mengiktiraf akan kepentingan kekuatan spritial atau kekuatan dalaman ini.  Ini adalah kerana kekuatan intelektual dan kekuatan fizikal semata-mata tidak lagi dapat menjamin seseorang itu mencapai kejayaan dalam hidupnya. 

Walaupun seseorang itu mempunyai kekuatan intelaktual dan fizikal, tetapi jika kekuatan dalaman atau rohaninya lemah, dia cepat menjadi panik dan gagal untuk menganalisa situasi yang sedang dia hadapi, ini seterusnya merencatkan proses mencari jalan penyelesaian dan membuat timbang tara setiap solusi yang bakal dipilih. Akhirnya, usaha atau tindak balas yang dilakukan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Sebaliknya, jika kekuatan spiritual atau dalaman seseorang itu tinggi, dia akan melihat kehidupan ini sebagai suatu yang  mudah.  Apa saja  peristiwa atau insiden yang dihadapi, dia dapat menerimanya dengan tenang dan menganggap ia sebagai peluang untuk merubah diri.

Mengikut perspektif islam, Kecerdasan ruhaniah atau spiritual ialah kekuatan dalaman manusia yang berpunca daripada roh, hati,perasaan, jiwa, keimanan yang mendalam, amalan yang istiqamah berlandaskan syariat Allah SWT dan akhlak yang terpuji serta mampu menghayati kehidupan dengan penyesuaian terhadap persekitaran.

Lantaran itu, salah satu cara untuk mentabilkan emosi dan spiritual ini, kita disarankan supaya menjaga minda dan hati dengan sebaiknya. Dan dalam masa yang sama, amalan-amalan kerohanian perlu dijadikan amalan dalam kehidupan kita seharian. 

Bagi kita yang muslim, salah satu cara yang disarankan oleh agama untuk membangunkan kekuatan spiritual ialah dengan meningkatkan ibadah seperti memperbanyakkan ibadah malam atau dengan mengerjakan solat malam dan solat witir. 

sarnan ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W Yang bermaksud, “Dirikanlah solat malam, kerana ia merupakan kebiasaan orang-orang sholeh sebelum kalian. Solat malam adalah bentuk pendekatan kepada Allah yang dapat menghapus dosa dan kesalahan serta mengusir penyakit dari badan.” (HR. Tirmizi).

Di samping itu, amalan membaca surah tertentu juga dapat membantu kita menguatkan kekuatan spritual. Sebagaimana yang kita tahu, selain dari memberi petunjuk dan panduan, ayat-ayat Al-Quran juga boleh dijadikan sebagai kaedah dalam pengubatan. Dengan mengamalkan beberapa surah tertentu, ia juga mampu menguatkan spiritual seseorang, membuka jalan dan pintu rezeki. Jadi, apabila kekuatan spiritual sudah dipenuhi dan jalan rezeki juga sudah dibuka, barulah strategi yang dilaksanakan itu dapat menghasilkan keputusan yang diharapkan.

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...