Monday 11 September 2017

Strategi perniagaan sewaktu ekonomi merudum



Sebagaimana yang pernah kita bincangkan dalam entri beberapa bulan yang lalu, keadaan persekitaran semasa menjadi salah satu dari faktor kepada kestabilan sesebuah perniagaan.

Keadaan persekitaran semasa boleh memberi peluang atau pun menjadi ancaman kepada perniagaan yang anda usahakan.  Oleh itu anda perlu sentiasa membuat pemantauan ke atas elemen-elemen yang terdapat dalam persekitaran perniagaan sebagaimana yang pernah kita bincangkan dahulu. 


Salah satu dari elemen penting tang termasuk dalam  persekitaran perniagaan  ialah faktor ekonomi.  Jika keadaan ekonomi semasa adalah stabil, perniagaan yang anda usahakan itu tidak menghadapi banyak masalah tetapi sekiranya keadaan ekonomi menjadi  tidak stabil, perniagaan anda bakal menghadapi masalah. 


Oleh itu sebagai seorang peniaga, anda perlu sentiasa membuat pemantauan tentang perkara ini. 
 Antara tanda-tanda berlakunya kejatuhan ekonomi adalah seperti berikut;

·         Berlakunya kejatuhan indeks pasaran saham

·         Penurunan dalam KDNK negara setiap bulan sehingga menjangkau enam  
       bulan    berturut-turut

·         Berlakunya kejatuhan matawang negara

·         Dan akhir sekali peningkatan kadar pengangguran dan infalasi. 


       Kesannya ialah ia akan menyebabkan pendapatan negara merosot, penarikan balik  
       pelaburan  asing dan pendapatan pengguna akan merosot. Ini seterusnya akan   
       memberi kesan kepada perniagaan yang anda usahakan.



Kali ini kita akan bincangkan beberapa tips yang mungkin membantu anda untuk menguruskan perniagaan ketika ekonomi merudum. Antara strategi yang boleh diguna pakai ketika anda menghadapi situasi ekonomi yang merudum adalah seperti berikut.


1.       Bersedia dengan kontingensi plan.

Sebagai seorang usahawan, anda perlu mahir dalam membuat perancangan. Di samping membuat perancangan tentang bagaimana untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan, anda juga perlu tahu bagaimana merancang pelan kecemasan atau ‘contingency plan’ bagi menghadapi saat yang tidak diduga seperti kemelesetan ekonomi atau kejatuhan perniagaan yang disebabkan oleh faktor dalaman. 

Dengan mempunyai kontingensi plan atau ‘exit plan’ ini, anda dapat membuat tindakan dengan lebih yakin dan tidak dipengaruhi emosi. Seeloknya, sewaktu membuat pelan perniagaan semasa anda memulakan perniagaan dahulu, anda juga sudah bersedia dengan satu lagi ‘exit plan’ atau ‘contingency plan’ yang mengambil kira setiap risiko yang perlu ditanggung sekiranya perniagaan anda gagal.  

Dengan ini anda sudah mempunyai langkah bagaimana sekiranya tiba-tiba keadaan tidak menyebelahi anda. 


2.       Bina hubungan baik dengan pelanggan

Apabila berlakunya krisis ekonomi, sebagaimana yang sebutkan sebelum ini,  golongan pengguna akan menerima kesan lebih dahulu berbanding golongan peniaga. Ini adalah kerana mereka mendapat kenaikan pendapatan yang lambat berbanding golongan peniaga. Oleh itu ia akan menyebabkan golongan pengguna mula berjimat dan mengelakkan dari membeli barang-barang  yang dianggap membazir.


Oleh itu, sebagai peniaga, anda perlu memahami situasi mereka ini dan cuba mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan impak tersebut misalnya dengan menawarkan produk yang mampu milik atau memberi kemudahan kredit kepada pelanggan setia mengikut kadar yang tertentu. 


3.       Meningkatkan aktiviti pemasaran

Jika sewaktu ekonomi stabil dulu anda hanya mengeluarkan bajet untuk pengiklanan sekitar 30% daripada jualan atau pendapatan perniagaan anda, tetapi dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan ini anda perlu lebih agresif dalam membuat pengiklanan. Anda terpaksa menambahkan bajet pengiklanan sekurang-kurangnya dua kali ganda dari bajet pengiklanan ketika keadaan ekonomi stabil.


Ini adalah  untuk memastikan perniagaan anda sentiasa mendapat perhatian dari golongan pengguna di samping memberitahu mereka bahawa perniagaan anda masih lagi beroperasi.


4.       Cari peluang baru

Jika sebelum berlakunya krisis ekonomi, anda hanya menumpukan kepada satu jenama produk sahaja, sebaliknya dalam keadaan ekonomi merudum ini  anda perlu mempelbagaikan produk yang anda jual  untuk menampung kos perniagaan yang semakin meningkat. 


Namun begitu, anda perlu mencari  produk baru yang selairan dengan perniagaan yang anda jalankan tetapi produk tersebut  mestilah mempunyai ciri-ciri pembezaan dengan produk pesaing untuk memastikan pengusaan pasaran anda tidak terjejas. Misalnya,sebelum berlakunya kemelesetan ekonomi dulu anda hanya menjual nasi lemak dan  mee sahaja sahaja, kini anda perlu menambah lagi beberapa produk baru seperti kuih muih .   


5.       Keluar dari pasaran sebelum keadaan menjadi semakin buruk

Strategi ini merupakan strategi terakhir yang anda terpaksa pilih sekiranya anda dapati  bahawa keadaan ekonomi menjadi semakin buruk dan tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan ataupun mengambil masa yang agak lama untuk kembali pulih. 


Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan anda dari mengalami kerugian yang boleh menyebabkan anda kehilangan keseluruhan modal.  Dengan modal yang anda masih berbaki itu, anda boleh membayar hutang pembekal dan pihak-pihak lain yang terlibat dan mungkin juga dapat menyimpannya semula untuk membuka perniagaan baru apabila keadaan ekonomi menunjukkan tanda-tanda untuk pulih.

Sekian untuk kali ini.

2 comments:

Maria Firdz said...

nice sharing...

Unknown said...

setuju sangat tips ni. yg biasa sy apply tips 2,3,4 tu.

Jemput baca artikel terbaru saya : Zaleha Awaluddin

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...