Sunday 17 February 2019

Benarkah ekonomi negara Malaysia menunjukkan peningkatan?




Ekonomi Malaysia dilaporkan  mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu  sebanyak 4.7% untuk suku keempat tahun 2018 yang lalu. 

Angka ini adalah diluar jangkaan kebanyakan penganalisis termasuk Bank dunia. Badan ini menjangkakan bahawa ekonomi Malaysia hanya mampu berkembang sebanyak 4.3% sahaja untuk tahun 2018 (Berita Harian, 4 Dec 2018).


Walaubagaimana pun banyak komentar dan laporan akhbar  yang menyokong angka 4.7% ini  dan mengatakan ianya adalah munasabah. Antara justifkasi mereka ialah, pertumbuhan KDNK kali ini disokong oleh pertumbuhan dalam sektor  pembinaan yang dikatakan  mula berkembang semenjak dua menjak ini. 

Di samping itu, pengumuman dividen oleh pihak KWSP untuk tahun 2018 juga turut mengesahkan lagi bahawa angka pertumbuhan 4.7% ini adala wajar. Untuk rekod, pihak KWSP telah mengumumkan pemberian dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.90 peratus untuk Simpanan Shariah dan purata kadar dividen ini melebihi kadar inflasi semasa. 


Namun begitu, dari pencarian maklumat dan pembacaan umum, angka pertumbuhan 4.7% yang dilaporkan ini masih boleh dibahaskan lagi. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa faktor.


Pertama, perbelanjaan isi rumah yang semakin merosot. Ini adalah kerana menurut kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa agensi mendapati jumlah atau bilangan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 masih lagi tinggi berbanding bilangan isi rumah yang berpendapatan melebihi  RM10,000.

Perbezaan yang ketara di dalam jurang pendapatan ini seterusnya menyumbang kepada penurunan dalam perbelanjaan pengguna. Dapatan ini disokong oleh satu laporan yang mendapati terdapat sebilangan pelanggan yang hanya mampu meminta sepinggan nasi putih bersama kuah sahaja setiap kali mereka mengunjungi kedai makan atau restoran mamak.
Ini menunjukkan bahawa ramai di kalangan rakyat di negara ini masih tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka (malaysiadateline.com).


Di samping itu, kejatuhan harga komuditi seperti  getah dan kelapa sawit pula telah memberi kesan kepada pendapatan golongan  Felda dan penduduk yang tinggal di luar bandar. Di mana kebanyakan dari mereka bergantung nasib kepada kedua-dua sumber hasil tersebut.  

Pada bulan November 2018, harga satu tan buah sawit segar gred C telah jatuh kepada RM311 berbanding RM566 setahun yang lalu. Begitu juga dengan harga getah. Harga getah juga turut dilaporkan jatuh sehingga paras RM2.30 sekilogram dan ramai di kalangan penoreh getah dan pekebun kecil mengeluh kerana  mereka hanya memperoleh pendapatan sekitar RM8 hingga RM10 sehari  (www.utusan.com.my). Dan sudah semestinya pendapatan ini tidak mencukupi untuk mereka menampung kos sara hidup. Ini  seterusnya  akan mendorong mereka untuk berjimat dan mengadkan perbelanjaan.
 
Situasi ini diburukkan lagi oleh kenaikan harga bahan mentah yang semakin tidak terkawal.  Jika kita pergi ke pasar basah, kita boleh dapati harga bahan mentah telah naik hampir 30% hingga 50% dari harga asal. Misalnya, harga  asal bagi sekilo ikan kering tenggiri ialah antara RM13 hingga RM14 saja, tetapi kini  harganya mencecah hampir RM55 sekilo. Ini juga menjadi faktor kepada  penurunan perbelanjaan di kalangan isi rumah.

jadi, di saat berita melaporkan bahawa indeks harga pengguna dikatakan semakin meningkat semenjak pemansuhan GST, pengenalan cukai SST dan beberapa  insentif lain yang dilaksanakan pihak kerajaan, namun pada masa yang sama, di peringkat akar umbi kita dapati kemampuan pengguna untuk berbelanja adalah sebaliknya.

Penurunan perbelanjaan di kalangan pengguna ini sedikit sebanyak boleh  mempengaruhi pengiraan KDNK.  Oleh itu, walaupun nilai KDNK dikatakan meningkat tetapi angka 4.7% yang dilaporkan itu  tidak mencerminkan situasi semasa.


Faktor seterusnya ialah pembatalan atau penstrukturan semula projek-projek mega seperti pembatalan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang dikatakan membawa masalah dan wujudnya elemen salah laku. Pembatalan projek ECRL misalnya telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja di mana mereka telah kehilangan sumber pendapatan.  Begitu juga dengan pembatalan projek TSGP. Faktor ini juga sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kadar pengangguran dan penurunan dalam perbelanjaan pengguna dan seterusnya menurunkan kadar pertumbuhan KDNK.


Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC )oleh Tun Mahathir juga merupakan satu lagi idikator yag menujukkan bahawa pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7% yang diumumkan itu masih boleh diragui.  Walaupun ramai di kalangan ahli akademik menyambut baik penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan menyifatkan bahawa penubuhan majlis itu tepat pada masanya, tapi tujuan penubuhan majlis tindakan ekonomi ini mula menjadi persoalan.


Mengikut tulisan Datuk A Kadir Jasin, penubuan majlis tindakan ekonomi ini adalah disebabkan oleh dua faktor, iaitu faktor implisit dan faktor explisit. Faktor explisit yang dimaksudkan oleh beliau ialah, Perdana Menteri memerlukan satu badan khas untuk mengkaji masalah ekonomi semasa yang berkaitan dengan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. Ini adalah disebabkan ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak menikmati kesan positif dari pertumbuhan ekonomi yang dikatakan semakin meningkat itu. 

Manakala faktor keduanya pula ialah disebabkan oleh anggota Kabinet yang sedia ada tidak memadai untuk menangani isu berkaitan ekonomi semasa. Oleh itu Tun M memerlukan penasihat luar yang lebih berintegriti. 

Berdasarkan kepada penubuhan EAC ini, dapat diperkatakanjuga bahawa keadaan ekonomi negara pada masa ini adalah tidak bagus. Lantaran itulah Perdana Menteri memerlukan satu badan yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi ini dengan lebih baik lagi. Oleh itu angka 4.7% yang diumumkan beberapa hari yang lalu masih boleh diragui.


Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menamatkan sessi jual beli yang berakhir pada 31 Disember 2018 yang lalu telah  merekodkan penyusutan. Indeks Bursa dilaporkan telah  menyusut sebanyak 106.23 mata, atau 6% untuk sepanjang tempoh  2018. 

Prestasi Bursa Malaysia ini juga dilihat tidak seiring dengan  angka pertumbuhan KDNK yang dilaporkan oleh Bank Negara. Ini adalah kerana mengikut prinsip ekonomi, jika kita ingin melihat sama ada ekonomi sesebuah negara itu bagus atau pun tidak, kita lihat saja kepada perkembangan pasaran saham negara tersebut. Jika pasaran saham negara itu mengalami peningkatan, ia menunjukkan ekonomi negara mereka dalam keadaan baik. Begitu juga sebaliknya. Jadi jika diteliti kepada perkembangan pasaran saham negara untuk sepanjang tahun 2018, kadar 4.7% KDNK yang diumumkan baru-baru ini juga tidak berapa tepat.


Akhir sekali, pada tahun 2018 juga didapati nilai Ringgit terus mengalami kejatuhan. Salah satu dari faktornya ialah disebabkan oleh kenaikan kadar interest di Amarika Syarikat.  Kemerosotan nilai ringgit ini telah memberi kesan negatif kepada eksport dan import negara. Pendapatan dari hasil eksport  negara menjadi semakin kurang dan harga barangan import pula menjadi semakin mahal.  Keadaan ini seterusnya meyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dan sekali lagi kejatuhan nilai ringgit menjadi faktor kepada penurunan kuasa beli pengguna. Ia juga seterusnya menjadi faktor kepada kejatuhan dalam KDNK negara.


Dari perbincangan ke atas beberapa isu tadi, dapat kita katakan bahawa angka pertumbuhan KDNK yang diumumkan oleh Bank Negara pada beberapa hari lepas masih boleh dibahas berdasarkan kepada beberapa kelompangan yang dibincangkan tadi. Oleh itu nilai KDNK 4.7% untuk suku keempat 2018 yang dilaporkan baru-baru ini patut dikaji semula. 

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...