'Dulu-dulu, mak ayah kita kenal jiran kita dan jiran kita pula kenal kita, Inilah antara sebabnya mengapa mereka tolong jaga kita'
.
Bila membaca kata-kata ini, terus saya teringat zaman saya kecil dulu, iaitu sekitar tahun tahun 80-an dan 90an.
Ketika itu rumah kita mungkin tidak berpagar tinggi. Pintu rumah jiran pula jarang benar tertutup rapat. Jadi setiap petang kita boleh nampak jiran duduk di serambi atau pangkin bawah pokok mempelam. Ada yang sedang berbual sambil minum kopi, ada yang menyapu halaman dan ada yang memerhatikan anak-anak yang bermain di luar rumah.
Tapi ada sesuatu yang unik dan menarik ketika itu. Ayah dan mak kita kenal hampir semua orang di kampung dan orang kampung pula kenal akan kita.
Jadi tak hairanlah kalau jiran sebelah kenal kita, jiran di hujung jalan pun kenal kita, malah pakcik yang tinggal di hujung kampung pun kenal kita. Sampai kadang-kadang tu kita belum sempat memperkenalkan diri, dia dah tahu, “ Ooo...Ini anak Haji Nawi kan?”
Begitulah rapatnya kehidupan kita dahulu. Satu kampung atau satu taman terasa seperti satu keluarga besar. Kalau ada jiran kita yang mengalami kesusahan atau musibah, orang kampung akan datang membantu. Kalau ada yang sakit, pasti ada yang akan datang bertanya khabar. Kalau ada keluarga yang menghadapi masalah, jiran-jiran tidak hanya berdiri melihat dari jauh, masing-masing cuba membantu mengikut kemampuan. Ada yang bawa makanan, ada yang membantu datang angkat barang dan ada yang sekadar datang untuk menemani.
Mak ayah kita ketika itu tak perlu pun buat pengumuman di media sosial atau update status whatsapp. Kadang-kadang cukup ada seorang yang 'volunteer' memberitahu seorang yang lain. “Rumah sebelah, tengah susah tu. Jom la kita pakat gi tengok.”
Begitu juga apabila tiba musim kenduri. Hari ini mungkin kita akan tempah katering tapi kalau dulu-dulu, kenduri adalah kerja satu kampung. Sehari sebelum kenduri ( Orang Kelantan panggil, BEKWAH), akan ada yang akan datang bantu memasak. Malam sebelum hari kenduri tu akan ada yang datang kupas dan hiris bawang, ada yang mengupas ubi, hiris jantung pisang. Manakala kaum lelaki pula ada bahagian mereka. Ada yang jadi tukang membasuh pinggan, tukang cari kayu api dan pasang khemah. Dan sesuatu yang unik di kampung saya di Kelantan, di mana biasanya jiran yang datang ke rumah kita tu akan bawa bersama beras, gula, tepung, ubi atau bahan mentah lain sebagai tanda ingin membantu. Sebab itu kadang-kadang kenduri di rumah kami bukan lagi sekadar majlis keluarga tapi seolah-olah dah jadi majlis satu kampung. Dalam suasana seperti itulah kami membesar.
Dan, satu perkara yang paling kita ingat ialah bagaimana jiran-jiran kita dulu turut menjaga tingkah laku anak-anak. Kalau kita bermain terlalu kasar masa main bola, akan ada yang menegur, kalau kita buat sesuatu yang tidak elok, pasti ada orang dewasa yang nampak dan jangan terkejut kalau petang itu juga berita tersebut sampai ke telinga ayah. “Tadi anak kamu bergaduh dengan anak Pak Maun ketika main bola di padang hujung kampung.”
Waktu itu, kita mula rasa berdebar. Sebab kita tahu yang kampung ini ada mata dan kita tak boleh lari dari menerima hukuman. Mereka bukan sengaja cari salah kita tapi sebagai mata yang memerhati dan ambil berat. Jadi, di lain hari kita kena sentiasa berhati-hati. Bukan kerana kita takut kepada jiran tapi kerana kita tahu bahawa perbuatan kita akan diketahui oleh orang dewasa yang mengenali keluarga kita.
Begitulah cara komuniti dulu membantu mendidik anak-anak. Ayah dan emak bukan satu-satunya orang yang mengawasi kita tapi mereka ada ramai pembantu. Ada jiran, ada saudara dan ada orang kampung yang mengenali kita sejak kecil. Atas sebab itu jugalah jika ayah atau mak terpaksa keluar kawasan untuk sehari dua, kita masih boleh rasa agak tenang. Sebab kita tahu ada orang di sekeliling. Kalau berlaku sesuatu, ada yang boleh membantu, kalau kita perlukan pertolongan, ada pintu rumah yang boleh diketuk dan kalau bernasib baik, sepanjang mak adan ayah kita tak ada di rumah, ada dapur yang sudi masak dan jemput kita datang makan nasi.
Hari ini kehidupan kita sudah banyak berubah. Kita tinggal di rumah yang lebih selesa. Rumah kita ada pagar, ada CCTV, ada telefon bimbit dan pelbagai teknologi yang boleh membantu kita untuk berhubung. Tetapi dalam sesetengah kawasan atau komuniti, kita mungkin tidak lagi mengenali jiran seperti kita di kampung dulu.
Jiran sebelah mungkin sudah bertahun-tahun tinggal di sebelah rumah kita tetapi kita masih tak tahu siapa namanya dan dari mana dia berasal. Setiap hari kita keluar pergi kerja, jiran juga keluar pergi kerja. Bila petang atau senja, kita balik, masuk rumah dan jiran pun sama. Jadi pintu kita dan pintu jiran sebtiasa ditutup. Hujung minggu, kita buat hal masing-masing dan dunia masing-masing. Jiran pun serupa. Alasannya sebab kita nak healing selepas seminggu berkerja. Akhirnya, kita tak pernah bertegur sapa.
Bukan bermaksud jiran hari ini tidak baik, bukan juga bermaksud zaman dulu semuanya sempurna. Tidak.. Tetapi apa yang nak saya sampaikan di sini ialah hubungan sesama kita sekarang mungkin tidak lagi sedekat seperti kita di kampung dulu. Dan bila hubungan kita semakin jauh, kita akan kehilangan satu perkara yang dahulu sangat bernilai, iaitu rasa bahawa kita tidak bersendirian.
Dulu, kalau kita tidak kelihatan sepanjang petang, mungkin ada jiran yang akan yang bertanya pada anak dia, “ Eh.. Yus, mana? Tak nampak pun.” Tapi hari ini, mungkin kita tidak sedar pun anak siapa yang tinggal di rumah sebelah. Dulu, kalau kita buat salah, ada orang dewasa yang berani tegur tapi hari ini, kita mungkin teragak-agak untuk tegur anak jiran kita yang sedang melakukan aksi 'willi' dengan motosikal di depan rumah kita kerana takut dianggap mencampuri urusan orang lain. Dulu, kita mungkin rasa satu kampung sedang menjaga kita tapi hari ini, kita mungkin mempunyai ramai “kawan” di telefon, tetapi tidak semestinya mempunyai seseorang di sebelah rumah yang benar-benar mengenali anak kita.
Adakah anak hari ini lebih nakal? Mungkin soalan yang lebih baik ialah, Adakah dunia mereka sudah berubah?
Kita tidak boleh mengatakan semua anak dahulu baik dan semua anak sekarang nakal. Tidak begitu. Setiap zaman ada cabarannya tetapi dulu, anak-anak mempunyai lebih ramai orang dewasa di sekeliling mereka.
Hari ini, dunia anak-anak lebih luas. Mereka boleh berkomunikasi dengan orang yang kita sendiri tidak kenal. Mereka boleh mendapatkan hiburan tanpa keluar rumah, mereka boleh berada berjam-jam dalam dunia sendiri dan kadang-kadang ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku di sebalik skrin.
Sebab itu anak-anak tetap memerlukan sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh teknologi dan mungkin itulah sebabnya kenangan zaman dahulu terasa begitu mahal. Dulu kita bukan sekadar mempunyai rumah tapi kita juga punyai komuniti. Kita bukan sekadar mempunyai jiran tapi kita mempunyai orang yang sentiasa mengambil berat. Dan anak-anak bukan sekadar membesar dalam sebuah keluarga tapi mereka membesar dalam sebuah kampung.
Dulu kita tidak mempunyai kamera keselamatan di setiap sudut, tak ada telefon pintar untuk mengetahui lokasi anak dan tak ada aplikasi untuk memantau mereka. Tetapi kita mempunyai sesuatu yang kadang-kadang lebih kuat daripada semua itu. Kita saling mengenali dan apabila orang saling mengenali, mereka lebih mudah saling menjaga. Mungkin itulah sebabnya zaman kecil kita terasa begitu selamat.
Mungkin kita tidak mampu mengembalikan sepenuhnya kehidupan tahun 80-an dulu tapi kita masih boleh memulakannya semula dalam cara yang kecil. Mulai hari ini, cuba berkenalan dengan jiran kita. Tegur mereka, tanya khabar dan bantu sekadar yang mampu apabila mereka memerlukan. Biarkan anak-anak kita juga mengenali jiran dan orang di sekeliling mereka kerana keselamatan bukan hanya datang daripada pagar yang tinggi, kamera atau teknologi, kadang-kadang keselamatan juga lahir daripada hubungan manusia yang saling mengenali dan mengambil berat.
Mana tahu mungkin suatu hari nanti, apabila anak kita keluar bermain, akan ada seorang jiran yang mengenali namanya atau seorang jiran yang berani berkata pada anak kita dengan ayat, “Jangan balik lambat sangat. Mak kamu nanti cari.”
Kita mungkin sudah kehilangan sebuah zaman, tetapi kita masih boleh menghidupkan semula semangatnya. Semangat sebuah kampung yang tidak membiarkan anak-anak membesar sendirian kerana dulu satu kampung menjaga anak kita dan mungkin itulah sebabnya, walaupun hidup kita sederhana, hati kita berasa begitu selamat.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment