Saturday, 3 October 2026

Dulu Duit Tak Banyak, Tetapi Kita Tak Pernah Rasa Hidup Kita Susah

 


"Dulu, mak ayah nak dapatkan duit cukup susah, tapi mereka tak pernah menunjukkan wajah sedih di depan kita. Apa yang kita nampak ialah makanan sentiasa ada di atas meja, pakaian yang sentiasa menampal di badan dan yang paling penting ialah mereka ajar kita ADAB. Sesuatu yang lebih berharga dari harta yang banyak".

Bila membaca kata-kata ini, kita terus teringat zaman kita bersekolah dulu. Sekitar tahun 80-an, di mana zaman kehidupan kita yang cukup sederhana. Kebanyakan rumah kita ketika itu tidaklah besar, perabut juga ala kadar saja dan tidak banyak. Telefon? Jauh sekali. Zaman tu telefon bimbit belum ada. Begitu juga dengan internet. Tak pernah dengar perkataan tersebut sama ada di sekolah atau di rumah.

Tetapi peliknya, apabila kita mengenang kembali zaman itu, kita jarang teringat tentang apa yang kita tidak ada. Kita lebih banyak teringat tentang apa yang kita ada. Kita akan teringat pada kawan-kawan, teringat sekolah, basikal, bola, buku latihan dan tentu sekali, keluarga.

Setiap pagi, emak akan kejutkan kita.

“Bangun… dah pagi. Nanti lambat ke sekolah.”

Kita pun bangun dalam keadaan mamai. Capai tuala dan turun ke perigi atau masuk bilik air. Gosok gigi, mandi dan ambil wuduk. Kemudian kita naik ke rumah dan tunaikan solat Subuh. Selepas selesai solat, kita pun sarung uniform sekolah yang sudah disediakan. Baju sekolah kita mungkin bukan yang baru setiap tahun tapi masih elok, jadi kita pakai lagi dengan gembira. Kasut sekolah pun sama. Kalau bahagian tepi sudah mula terbuka sedikit, mungkin ayah akan cuba gam atau jahit mana yang boleh. Yang penting, kasut itu masih boleh dipakai. Beg sekolah pula mungkin sudah digunakan sejak tahun sebelumnya. Tak mengapa. Selagi zip masih boleh ditutup dan tali beg belum putus, kita terus guna.

Sebelum keluar rumah, mak akan sediakan sarapan yang sederhana. Kadang-kadang nasi goreng, kadang-kadang roti dan telur atau sekadar nasi dingin yang diperangat semula dan makan dengan lauk yang tak habis malam tadi. Kemudian mak akan bagi duit belanja. Mungkin beberapa puluh sen saja. Tapi jika kebetulan semalam ayah baru lepas jual sekerap getah yang dia toreh, atau baru lepas jual padi yang mereka tanam di sawah, dapatlah mereka bagi duit belanja banyak sikit. Iaitu satu ringgit. Satu jumlah yang agak besar pada waktu tu.  

Kita pun ambil duit itu dan masukkan ke dalam poket  supaya tidak tercicir sepanjang perjalanan ke sekolah. Kemudian kita turun ke tanah, capai basikal dan kita pun kayuh beramai-ramai dengan kawan yang setia menunggu di simpang atau yang datang dari rumah sebelah. Kemudian kita akan kayuh bersama-sama sambil berbual tentang macam-macam perkara. 

Sampai di sekolah, suasana terus berubah.  Loceng berbunyi. Setiap hari Ahad ( Di negeri Pantai Timur khusunya Kelantan, hari Ahad adalah hari pertama berkerja) perhimpunan pagi bermula. Kita berdiri dalam barisan dengan uniform yang mungkin sudah sedikit berkedut kerana tadi kita berpeluh semasa mengayuh basikal. Selepas habis perhimpunan kita pun  masuk kelas. Buku latihan dikeluarkan dan tunggu cikgu masuk mengajar.  

Bila waktu rehat tiba, itulah masa yang paling ditunggu. Kita beratur di kantin. Duit beberapa puluh sen di tangan dan kita mula mengira.
“Kalau beli nasi lemak, agak-agak tinggal berapa duit aku?”
“Kalau beli air, cukup tak nak beli kuih nanti?”
Kadang-kadang kita memilih makanan yang paling mengenyangkan kerana duit tidak banyak. Ada juga kawan-kawan yang bawa bekal dari rumah. Mungkin ketika itu mak ayah dia memang tak cukup duit nak bagi wang belanja. Jadi dia bawa bekal saja.  Bila duduk makan bersama kawan, masing-masing membuka bekas makanan. Ada yang bawa nasi goreng, ada yang cuma nasi dengan kicap dan ada yang sekadar bawa kuih dua tiga ketul. Tetapi kita tidak pernah rasa pelik. Yang seronoknya, kadang-kadang kawan hulurkan sedikit kuih yang dia bawa dan kita pula hulur sedikit makanan kita kepada dia. 
“Nah, rasa ni.”
Tidak lama kemudian loceng berbunyi. Kita masuk semula ke kelas. Habis sekolah, balik rumah. 

Kehidupan kita waktu itu memang sederhana. Ada ayah yang bekerja makan gaji. Ada yang berniaga kecil-kecilan dan ada yang bekerja kampung, menoreh, berkebun atau sebagai pesawah. 

Bila musim tengkujuh datang, pendapatan kami biasanya akan berkurangan.  Begitu juga bila musim kemarau, kerja tertentu mungkin tidak dapat dilakukan seperti biasa.  Kadang-kadang kita dapat melihat ayah hanya duduk termenung memikirkan perbelanjaan rumah. Memikirkan duit sekolah anak-anak, hutang di kedai runcit yang perlu dibayar, beras di dapur yang semakin berkurangan dan bagaimana hendak memastikan hujung bulan masih ada duit untuk membeli keperluan rumah. 

Tetapi sebagai anak-anak, kita tidak begitu memahami semua itu.  Kita masih terlalu kecil untuk memahami beban yang sedang dipikul oleh ayah. Yang kita tahu, setiap pagi emak tetap menyediakan sarapan, kita pergi ke sekolah, buku dan alat tulis tetap ada, baju sekolah tetap tersedia dan apabila kita pulang dari sekolah, makanan tetap ada di atas meja. Kita makan, kita kenyang, kemudian kita keluar bermain. Kita tidak pernah terfikir dari mana datangnya duit untuk membeli semua itu. Kita tidak pernah bertanya berapa harga beras dan kita tidak pernah tahu berapa banyak yang ayah perlu fikirkan sebelum membeli lauk untuk makan malam. 

Kita tidak fikir semua tu dan kita juga tidak membandingkan makanan kita dengan makanan orang lain. Sebab kita tahu  itulah yang emak mampu sediakan buat kita. Dan pada waktu itu, kita tidak pernah merasakan diri kita miskin. Kita cuma tahu kita sedang makan bersama keluarga. Itu sahaja sudah cukup.

Pakaian pun  sama.  Tidak semua pakaian kita dibeli di pusat membeli-belah. Kadang-kadang emak  cuma mampu beli di pasar malam saja. Walaupun murah dan kadang-kadang  tidak begitu cantik tetapi bila emak hulurkan pakaian itu sambil berkata, “Nah, ini baju baru.” Kita tetap terima dengan wajah yang  berseri.  Bagi kita, baju baru tetap baju baru. tak berjenama pun tak apa, yang penting, kita ada sesuatu untuk dipakai.

Tapi ada satu perkara yang paling kita ingat. Satu pekara yang lebih penting diberi oleh ibu bapa kita ketika itu yang lebih penting dari makanan atau pakaian. Iaitu didikan. 

Ayah dan emak mungkin tidak mampu memberikan kita segala-galanya tetapi mereka cuba memberikan sesuatu yang mereka tahu akan kita bawa sepanjang hidup. Kita diajar supaya memberi salam bila bertemu orang yang lebih tua dari kita, kita diajar menghormati orang tua-tua.  Kita juga diajar, kalau bercakap dengan guru, kita kena jaga bahasa dan kata-kata, kalau ada melakukan kesalahan kita kena minta maaf, kalau melihat orang susah, kita bantu setakat yang mampu  dan kalau dapat sesuatu, jangan lupa ucap terima kasih dan bersyukur.

Kita mungkin tidak faham sepenuhnya maksud perkataan itu ketika itu kerana kita masih budak-budak tetapi  bila kita meningkat remaja, kita mula mengerti. Kita juga belajar bahawa hidup tidak semestinya memberikan apa yang kita mahu. Kadang-kadang kita perlu menerima apa yang ada, ada ketikanya kita perlu menunggu, ada masa pula kita perlu berkongsi dan kadang-kala kita perlu belajar mengalah.

Ayah dan emak mungkin tidak mampu memberikan segala-galanya  tetapi mereka cuba memastikan kita tidak tidur dalam kelaparan. Mereka mungkin tidak mampu membelikan kita pakaian mahal tetapi mereka memastikan kita mempunyai pakaian untuk ke sekolah. Mereka mungkin tidak mampu memberikan wang saku yang banyak tapi mereka tetap cuba menyelitkan beberapa sen  ke dalam tangan kita sebelum pergi sekolah. Kita tidak tahu pun bahawa mungkin duit itulah antara perkara terakhir yang ada dalam poket ayah atau emak pada pagi itu. Kita tidak tahu sebab kita masih kecil. Kita hanya tahu ayah dan emak sentiasa ada.

Hari ini, kita mungkin sudah mempunyai pendapatan sendiri. Kita mampu beli makanan yang lebih mahal, kita mampu membeli pakaian berjenama, telefon yang jauh lebih canggih daripada apa yang pernah kita bayangkan ketika kecil tetapi kadang-kadang kita tertanya, "Kenapa hati kita masih rasa tidak cukup?"

Mungkin kerana dulu ibu bapa kita mengajar kita cara untuk merasa cukup. Walaupun mereka tidak banyak memberi kita kemewahan tetapi mereka mengajar kita supaya menghargai. Walaupun mereka tidak mampu memenuhi semua kehendak kita tetapi mereka tetap akan memastikan keperluan kita terjaga dan mereka tidak membesarkan kita dengan rasa bahawa dunia mesti memberikan segala-galanya kepada kita.

Mereka mengajar kita menjadi manusia. Sebab itu, apabila kita sudah dewasa, ada perkara yang masih melekat dalam diri. Cara kita menghormati orang, cara kita melayan orang susah,  cara kita mengucapkan terima kasih, cara kita meminta maaf dan rasa bersalah apabila kita mengambil sesuatu yang bukan hak kita.  

Itulah “kekayaan” yang dahulu diberikan oleh ibu bapa kita.

Duit mungkin boleh habis, pakaian kita akan lusuh, rumah mungkin berubah tetapi nilai kemanusiaan yang mereka tanam dalam diri kita boleh dibawa sepanjang hidup. Mungkin dahulu ayah tidak punya banyak wang.  Mungkin ketika itu mak perlu berjimat setiap hari tapi mereka cuba memastikan kita tidak membesar dengan rasa bahawa kita ini miskin kasih sayang. Mereka ajar kita untuk makan bersama dan  belajar bersyukur dengan apa yang ada. 

Hari ini apabila kita mengenang kembali zaman itu, barulah kita sedar, rupa-rupanya kita tidak hidup dalam kemewahan tetapi kita juga tidak pernah merasa hidup kita terlalu susah. Kerana di sebalik kehidupan yang sederhana itu, ada ayah yang bekerja keras, ada emak yang pandai berjimat, ada makanan di atas meja, ada pakaian mebalut badan dan ada ibu bapa yang mengajar kita satu perkara yang sangat mahal nilainya, iaitu kita tidak perlu memiliki banyak untuk menjadi manusia yang kaya. 

Cukuplah kita tahu menghargai apa yang ada, bersyukur dengan apa yang diberikan dan tidak lupa menjadi manusia yang baik kepada orang lain. Itulah antara perkara yang paling indah tentang zaman kecil kita waktu itu. 

Duit kita ketika itu mungkin tidak banyak tapi kita kaya dengan kasih sayang, didikan dan rasa syukur tidak pernah berkira. 
.
DR.Usrynorie


No comments:

Dulu Duit Tak Banyak, Tetapi Kita Tak Pernah Rasa Hidup Kita Susah

  "Dulu, mak ayah nak dapatkan duit cukup susah, tapi mereka tak pernah menunjukkan wajah sedih di depan kita. Apa yang kita nampak ial...