“Dulu, ketika kita kecil, emak akan menghantar kita ke kedai runcit dengan sekeping nota dan duit yang cukup-cukup untuk membeli barang. Dalam hati kita berharap, kalau ada baki beberapa sen, bolehlah kita beli gula-gula.”
.
“Pergi kedai sekejap…”
Masih ingat ayat itu?
Bagi kita yang membesar pada tahun 1980-an dan 1990-an, ayat daripada emak itu kadang-kadang boleh membuatkan kita terus bangun daripada bermain. Waktu itu mungkin kita sedang menonton telivisyen di ruang tamu bersama adik atau sedang bermain di halaman rumah.
Tiba-tiba emak keluar dari dapur, “Pergi kedai belikan gula dengan susu.” Kita pun bangun. Bukan kerana terlalu rajin tetapi sebab kita tahu, kalau buat-buat tidak dengar, emak akan panggil lagi. “Dah dengar kan, tu… Mak minta kamu pergi kedai!”
Kita pun pergi dan seperti biasa, emak akan hulurkan sekeping kertas kecil. Atas kertas itu tertulis beberapa barang yang diminta supaya kita tolong pergi beli. Ada tertulis gula, susu, kicap, garam dan bawang. Mungkin juga biskut atau sesuatu yang sudah habis di dapur.
Kemudian emak beri duit. Kadang-kadang duit syiling, kadang-kadang sekeping wang kertas. Kemudian emak akan pesan, “Jangan hilangkan duit tu.” Lalu kita pun masukkan duit ke dalam poket dan kertas kecil itu pula kita genggam kuat-kuat.
Kedai runcit zaman dulu tidaklah sebesar pasar raya sekarang. Ia sekadar sebuah kedai kecil di hujung kampung. Biasanya ada balang besar berisi gula-gula, ada keropok, ada biskut, ada coklat, ada minuman dalam botol, ada barang dapur yang tersusun di atas rak. Terdapat juga peti ais minuman di hadapan kedai. Tapi bagi kita yang masih kecil, bahagian paling menarik bukanlah barang dapur yang emak suruh beli tetapi balang gula-gula.
Sebaik sahaja masuk kedai tadi, mata kita mula melilau. Nampak gula-gula warna- warni, keropok dan coklat. Tapi kita tahu kita belum boleh beli. Kita kena selesaikan tugas dahulu. Jadi kita serahkan kertas kepada tauke kedai.
“Pakcik, mak saya suruh beli barang ini.” Sambil kita hulur senarai barang yang dibawa tadi. Tauke pun mengambil satu demi satu. Gula, susu dan kicap. Barang-barang dimasukkan ke dalam beg plastik. Kemudian dia kira dan saat yang paling kita tunggu pun tiba. “Duit cukup.” Kita tarik nafas lega tapi dalam hati kita ada satu soalan lain. “Ada baki tak?”
Sepuluh sen pun boleh buat kita gembira.
Kadang-kadang ada. “Ni baki dua puluh sen.” bagitahu tokey kedai. Wah… Ada baki dua puluh sen! Hari ini mungkin kita tersenyum sahaja kalau jumpa duit dua puluh sen tapi waktu kecil dahulu, dua puluh sen terasa macam mendapat hadiah.
Kita keluar dari kedai sambil menggenggam duit itu. Dalam kepala sudah terbayang gula-gula apa yang hendak dibeli. Kadang-kadang kita beli gula-gula, kadang-kadang kita beli keropok cekedis, kadang-kadang coklat kecil. Nanti boleh dikongsi dengan adik. Dan apabila sampai rumah, kita mungkin masuk dengan muka selamba.
Mak tidak tahu pun yang baki dua puluh sen itu sudah bertukar menjadi gula-gula atau mungkin emak tahu. Itu adalah upah untuk kita. Tapi kadang-kadang duit ngam-ngam dan kadang-kadang tidak setiap kali ada baki. Ada masanya emak memang beri duit cukup-cukup. Kita pergi ke kedai, beli barang yang dipesan. Kemudian tauke pun kira. Kemudian dia hulurkan semula duit yang tinggal. Kita tengok, kosong. Tak ada dua puluh sen, tak ada sepuluh sen dan kadang-kadang tak ada apa-apa. Dalam hati mungkin terdetik, “Alah… tak dapat gula-gula.”
Tapi kita tetap balik sebab tugas kita sudah selesai. Sampai rumah, kita serahkan barang dan baki kepada emak. “Ini barangnya, mak.” Dan kehidupan berjalan seperti biasa. Kita pun sambung bermain. Tidak ada drama, tidak ada merajuk kerana tidak dapat gula-gula. Sebab kita memang sudah biasa hidup sederhana. Hari ini, kenangan itu terasa sangat mahal.
Bila kita sudah dewasa, perkara kecil seperti inilah yang tiba-tiba muncul dalam ingatan. Kertas kecil tulisan emak, duit yang cukup-cukup. Kedai runcit di hujung jalan, balang gula-gula dan keropok cekedis. Basikal yang kita kayuh seorang diri ke kedai dan suara emak dari dalam rumah. “Cepat balik!”
Dulu kita tidak pernah terfikir semua itu akan menjadi kenangan. Kita fikir itu cuma kehidupan biasa. Emak suruh pergi kedai. Kita pun pergi. Emak masak, kita makan. Emak marah dan kita merajuk. Kemudian baik semula. Begitulah hari-hari kita. Sederhana tetapi penuh dengan perkara kecil yang membuat kita bahagia.
Hari ini anak-anak mempunyai begitu banyak pilihan. Kalau mahu makanan, banyak yang boleh dibeli. Kalau mahu hiburan, telefon ada. Kalau mahu permainan, bermacam-macam permainan tersedia. Tetapi dahulu, dua puluh sen pun sudah cukup membuatkan kita tersenyum sepanjang jalan pulang dari kedai. Mungkin bukan kerana gula-gula itu begitu sedap tetapi kerana kita menghargai sesuatu yang kecil.
Kita tahu duit bukan mudah diperoleh dan kita tahu emak dan ayah perlu berjimat. Sebab itu apabila mendapat sedikit, kita rasa bersyukur dan mungkin itulah perkara yang paling kita rindukan. Bukan kedai runcit itu semata-mata, bukan gula-gula, bukan keropok tetapi perasaan yang pernah ada dalam hati kita ketika itu.
Perasaan cukup, perasaan gembira dengan perkara kecil. Perasaan bahawa hidup kita sudah cukup baik walaupun tidak mempunyai banyak. Hari ini, mungkin kita sudah mampu membeli apa sahaja yang dahulu hanya mampu kita impikan tetapi kadang-kadang kita masih rasa tidak cukup. Kita mahu lebih. Lebih banyak wang, rumah lebih besar, kereta lebih mahal, percutian lebih jauh dan barang yang lebih baik. Dan tanpa sedar, kita mungkin sudah lupa bagaimana rasanya gembira kerana dua puluh sen.
Dulu, emak beri kita sekeping kertas dan duit yang cukup-cukup. Kita pergi ke kedai dengan satu tugas. Dan kalau ada baki. kita rasa sangat bertuah. Kalau tidak ada baki pun kita tetap pulang dan bermain semula. Mungkin itulah salah satu pelajaran paling indah daripada zaman kanak-kanak kita, Bahagia tidak semestinya datang apabila kita mendapat banyak.
Kadang-kadang bahagia datang apabila kita tahu menghargai sedikit yang kita ada. Sebab itu, apabila saya menulis dan mengumpulkan kenangan-kenangan kecil seperti ini, saya semakin sedar bahawa banyak perkara yang dahulu kita anggap biasa sebenarnya mempunyai makna yang sangat besar.
Kita pernah hidup sederhana, kita pernah tidak mempunyai banyak tetapi kita pernah tahu bagaimana untuk bersyukur dan mungkin hari ini, kita perlu belajar semula perkara itu. Kalau kenangan ini menyentuh hati anda, mungkin selepas membaca kisah ini, anda teringat emak sendiri. Mungkin anda teringat kedai runcit di hujung kampung, mungkin teringat sekeping kertas kecil yang pernah emak tulis atau mungkin anda tiba-tiba teringat bagaimana rasanya memegang duit dua puluh sen sambil berjalan pulang.
Kenangan seperti inilah yang membuat saya menulis Hidup Kena Kuat. Buku ini bukan tentang bagaimana untuk mempunyai kehidupan yang sempurna. Ia lebih kepada perjalanan untuk belajar menghargai apa yang masih kita ada, menerima apa yang tidak mampu kita ubah, berhenti terlalu membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain dan mencari semula ketenangan di dalam hati kerana kadang-kadang, selepas kita mengejar begitu banyak perkara dalam hidup, kita akhirnya sedar, yang kita cari selama ini mungkin sudah lama ada di depan mata.
Kalau anda rasa kisah dan renungan seperti ini dekat dengan perjalanan hidup anda, saya jemput anda mengenali lebih lanjut buku Hidup Kena Kuat. Mungkin buku ini boleh menjadi teman kecil untuk kita sama-sama belajar melihat kehidupan dengan hati yang lebih tenang dan kembali menghargai perkara-perkara sederhana yang pernah membuat kita bahagia suatu ketika dahulu.
Kerana mungkin kita tidak perlu memiliki lebih banyak untuk menjadi bahagia. Kita cuma perlu belajar menghargai apa yang sudah Tuhan berikan.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment