Tuesday, 15 September 2026

Dulu Kita Bermain Dengan Anak Patung Kertas Tetapi Imaginasi Kita Tidak Pernah Berkurang


Dulu, bagi kanak-kanak perempuan, mereka tidak perlukan permainan yang mahal untuk habiskan masa terluang. Kadang-kadang dengan sekeping kertas pun sudah cukup. 

Mereka lukis seorang perempuan, kemudian gunting perlahan-lahan. Lepas tu lukiskan pula baju. Baju kurung, baju tidur, kkirt dan baju sekolah.  Kemudian kita buat sedikit bahagian lipatan pada baju supaya boleh disangkut pada tubuh anak patung kertas itu. Siap! Dan kita sudah mempunyai anak patung.

Kemudian imaginasi mereka mengambil alih. Anak patung itu ada rumah, ada bilik, ada dapur, ada kawan dan ada sekolah. Kadang-kadang ada cerita sedih, kadang-kadang ada cerita gembira. Yang lebih hebat, kita boleh mencipta apa sahaja yang kita mahu. Akhirnya satu petang tu boleh berlalu begitu sahaja. Kita duduk di lantai bersama adik atau kawan. Kertas berselerak di sekeliling, pensel warna ada di tangan, gunting pula digunakan dengan penuh berhati-hati. 
“Ini rumah dia.”
“Yang ini mak dia.”
“Yang ini adik dia.”
“Jangan kacau! Saya tengah buat baju.”
Kemudian kita ketawa, kita bergaduh sedikit, kemudian kita berbaik dan bermain semula. Itulah permainan kita di zaman itu. Tidak canggih tetapi hidup.

Kita tidak mempunyai permainan video dalam telefon, tidak ada tablet, tak ada permainan atas talian, tak ada grafik tiga dimensi dan tak ada watak digital yang boleh bergerak sendiri. Tetapi kita mempunyai sesuatu yang sangat penting, iaitu imaginasi.

Kita sendiri yang mencipta cerita, kita sendiri yang menentukan apa akan berlaku, kita sendiri yang menjadi pelakon, pengarah dan pencipta dunia kecil itu.  Kalau anak patung kertas kita tidak mempunyai kereta, kita lukiskan kereta. Kalau tidak ada rumah, kita lukiskan rumah dan kalau mahu pergi bercuti, kita cipta tempat percutian. Tidak ada butang “download”, tak ada “update”, tak ada “game over”.  Kita hanya terus mencipta.
Dan yang paling indah, kita tidak bermain seorang diri. Kita bermain bersama manusia sebenar, kita duduk bersebelahan, kita bercakap, kita ketawa dan  kita melihat reaksi wajah kawan. Kalau kawan sedih, kita tahu. Kalau dia marah, kita nampak. Kalau dia terlalu gembira, kita dengar ketawanya.

Kadang-kadang kita berebut anak patung, kadang-kadang kita tidak bersetuju tentang jalan cerita.  Tetapi daripada semua itu, kita belajar sesuatu yang permainan digital tidak boleh berikan dengan cara yang sama. Kita belajar berinteraksi, kita belajar menunggu giliran, kita belajar berkongsi, kita belajar berunding dan kita belajar memahami perasaan orang lain. Kita juga belajar bahawa permainan yang paling menyeronokkan bukan semestinya permainan yang paling mahal.

Hari ini, anak-anak kita hidup dalam dunia yang sangat berbeza. Dengan 'seketul' telefon atau tablet, mereka boleh memasuki ribuan dunia permainan. Mereka boleh bermain dengan orang yang berada nun jauh di taman perumahan lain. Mereka boleh membina rumah maya, berlawan, berlumba dan menyelesaikan pelbagai misi. 

Dunia mereka cuma berada di hujung jari dan kita tidak boleh menyalahkan teknologi semata-mata. Teknologi bukan musuh. Permainan digital juga bukan sesuatu yang buruk jika digunakan dengan sederhana dan sesuai dengan usia. Malah, ada banyak perkara yang boleh dipelajari melaluinya.

Tetapi dalam keghairahan kita memberikan anak-anak dunia yang lebih luas, mungkin ada satu perkara yang perlahan-lahan semakin hilang.

Mereka hilang dunia sebenar mereka. Dunia untuk berlari di padang, dunia untuk bermain dengan kawan di depan rumah, dunia untuk jatuh, bangun dan bermain semula, dunia untuk bergaduh kecil dengan kawan, kemudian berbaik semula sebelum matahari terbenam dan yang paling penting, dunia untuk mencipta kenangan yang suatu hari nanti akan mereka rindui. Kerana permainan dalam telefon mungkin boleh memberikan keseronokan untuk beberapa jam tetapi kenangan bermain bersama kawan pada waktu petang mungkin boleh tinggal dalam hati seumur hidup.

Teknologi itu sendiri bukan musuh. Permainan digital juga mempunyai manfaat jika digunakan dengan sederhana dan sesuai tetapi ada sesuatu yang mungkin kita kehilangan apabila terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan skrin. Iaitu Sentuhan manusia...

Dulu apabila kita bermain, kita duduk bersama tapi hari ini, dua orang kanak-kanak mungkin duduk di sebelah-menyebelah tetapi masing-masing memegang telefon. Mereka berada dalam bilik yang sama tetapi berada dalam dunia yang berbeza. Dulu kita mencipta permainan daripada imaginasi tapi hari ini, permainan sudah dicipta untuk kita. Dulu kita menentukan jalan cerita tetapi hari ini, kita hanya mengikut peraturan yang sudah ditetapkan oleh permainan dan dulu kita perlu menggunakan tangan untuk melukis, menggunting dan mencipta tapi hari ini, hanya beberapa sentuhan pada skrin sudah cukup.

Tidak salah menggunakan teknologi tetapi jika semuanya sudah disediakan untuk kita, kita mungkin semakin kurang terdorong untuk mencipta sesuatu daripada kekosongan dan apabila interaksi bersemuka semakin berkurang, emosi juga mungkin terkesan.

Seorang kanak-kanak yang bermain bersama kawan belajar membaca wajah. Dia belajar memahami nada suara, dia belajar bahawa apabila kawannya diam, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Dia belajar meminta maaf apabila tersilap dan dia belajar memujuk apabila kawannya menangis. Itulah pendidikan emosi yang berlaku secara semula jadi.

Dulu kita mungkin tidak tahu istilah seperti kecerdasan emosi atau kemahiran sosial tetapi kita mempelajarinya setiap hari melalui permainan. Kita belajar daripada kehidupan sebenar bukan daripada skrin dan mungkin sebab itu apabila kita mengenang zaman kanak-kanak, kita bukan sahaja teringat permainan tapi kita teringat orang yang bermain bersama kita. 

Kita teringat suara kawan, kita teringat gelak ketawa dia, kita teringat kejadian kita bergaduh kecil kerana berebut pensel warna, kita teringat duduk di lantai rumah dan kita teringat emak menjenguk dari dapur. Dan yang paling tidak dpat dilupakan ialah, kita teringat bagaimana satu petang yang biasa boleh terasa begitu panjang dan menggembirakan.

Hari ini, anak-anak mungkin mempunyai lebih banyak permainan daripada yang pernah kita bayangkan tetapi mungkin kita perlu bertanya, "Adakah mereka mempunyai cukup masa untuk bermain bersama manusia sebenar?" Adakah mereka mempunyai ruang untuk menggunakan imaginasi? Adakah mereka masih berlari keluar rumah dan mencari kawan? Adakah mereka masih tahu bagaimana rasanya bermain sehingga lupa melihat jam?

Mungkin kita tidak perlu mengambil telefon mereka sepenuhnya. Cukup kita berikan mereka sesuatu yang dahulu kita miliki, iaitu  masa untuk bermain tanpa skrin. Justeru, apa kata sesekali kita ambil sekeping kertas, lukis sesuatu bersama mereka. Cuba buat anak patung kertas, bina rumah daripada kotak, main permainan yang pernah kita main dahulu.

Duduk di lantai, ketawa bersama dan biarkan mereka mencipta cerita sendiri.
Mungkin pada awalnya mereka akan berkata, “Tak bestlah.” Tetapi beri mereka masa. Kerana imaginasi perlu ruang untuk hidup dan mungkin, tanpa kita sedari, kita bukan sahaja sedang mengajar mereka bermain. Kita sedang mengajar mereka berkomunikasi, berkongsi, berimaginasi dan memahami emosi orang lain. 

Sama seperti kita dahulu, di mana ketika itu kita tidak mempunyai banyak tetapi kita tahu bagaimana mencipta kegembiraan daripada perkara yang sedikit. Sekeping kertas boleh menjadi seorang puteri, kotak kosong boleh menjadi rumah, kayu boleh menjadi pedang, kain boleh menjadi khemah dan halaman rumah boleh menjadi seluruh dunia.
Itulah kekayaan zaman kanak-kanak kita.

Kita mungkin tidak mempunyai permainan moden tetapi kita mempunyai sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu imaginasi, masa dan kawan-kawan. Dan mungkin apabila kita sudah dewasa, kita baru sedar,  yang paling kita rindukan sebenarnya bukan permainan lama itu tetapi kita rindukan perasaan ketika bermain. Perasaan apabila ada orang di sebelah kita, perasaan apabila kita ketawa bersama, perasaan apabila dunia terasa begitu luas walaupun kita hanya duduk di ruang tamu dan perasaan bahawa satu petang yang sederhana boleh menjadi kenangan yang kita bawa sampai ke hari ini.

Teknologi boleh menghiburkan anak-anak kita tetapi manusia yang hadir di sisi mereka membantu membentuk jiwa mereka.  Jangan biarkan skrin mengambil semua ruang yang sepatutnya diisi dengan pelukan, gelak ketawa, perbualan dan permainan bersama kerana suatu hari nanti, apabila anak-anak kita sudah dewasa, mungkin mereka tidak akan mengingati berapa banyak permainan yang pernah mereka muat turun tetapi mereka mungkin akan mengingati seorang ayah atau ibu yang pernah duduk di lantai bersama mereka, mengambil sekeping kertas dan berkata, “Jom kita buat sesuatu.”
Dan mungkin pada saat itulah kita sedar,  kita tidak perlu memberikan anak-anak segala-galanya untuk membuat mereka bahagia.

Kadang-kadang mereka cuma perlukan masa kita, perhatian kita, sentuhan kita dan sedikit ruang untuk imaginasi mereka berkembang seperti zaman kita kecil dahulu. Dimana kita tidak mempunyai banyak permainan tetapi kita mempunyai banyak masa. 
Dan daripada masa itulah, kita mencipta kenangan yang tidak pernah boleh dimuat turun semula.
.
DR.Usrynorie.

No comments:

Dulu Kita Bermain Dengan Anak Patung Kertas Tetapi Imaginasi Kita Tidak Pernah Berkurang

Dulu, bagi kanak-kanak perempuan, mereka tidak perlukan permainan yang mahal untuk habiskan masa terluang.  Kadang-kadang dengan sekeping ke...