Monday, 7 September 2026

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon



Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang berlaku di rumah, tempat ayah bertanya tentang sekolah, tempat abang mengusik adik, tempat kakak bercerita tentang kawan-kawannya dan tempat kita semua ketawa walaupun cerita yang dibualkan sebenarnya perkara biasa sahaja.

Itulah kehidupan kita sekitar tahun 1990-an dahulu. Ketika itu, telefon bimbit belum ada dalam poket kita. Kalau ada telefon pun, mungkin 'seketul' telefon rumah. Tu pun nun.. jauh di atas meaja di satu sudut di ruang tamu.
Jadi bila waktu makan tiba, kita memang akan duduk bersama. Kadang-kadang makan nasi dengan ikan goreng, kadang-kadang ada telur dadar, sambal belacan dan sayur kampung. Itulah menu kita seharian, tidak semewah hari ini. Tetapi meja makan terasa penuh.
Bukan kerana lauknya banyak tetapi kerana orang yang duduk di sekelilingnya lengkap.
“Macam mana sekolah hari ini?”
“Cikgu ada marah tak?”
“Esok ada ujian tak?”
“Ayah balik kerja tadi jumpa siapa?”
“Adik, kenapa tak habiskan sayur?”
Soalan-soalan kecil seperti itulah yang membuatkan kita mengenali keluarga sendiri. Kita tahu siapa yang sedang sedih, siapa yang sedang gembira, abang ada masalah di sekolah, emak penat, atau ayah ada masalah di tempat kerja.
Tak perlu pun ada yang berkata, “Saya sedang susah.” Dari wajah dan air muka saja, kita dah tahu.Sebab kita dekat, kita saling melihat, saling mendengar, saling memahami. Tapi itulah sesuatu yang semakin hilang daripada kehidupan kita hari ini.
Hari ini, satu keluarga mungkin duduk di meja makan yang sama tetapi masing-masing berada dalam dunia sendiri. Ayah memegang telefon, Emak melihat WhatsApp, adik buka TikTok dan kakak pula menonton YouTube. Yang seorang ketawa melihat video di skrin, manakala yang seorang lagi sedang membalas mesej. Sedangkan makanan ada di depan mata. Cerita juga makin kurang. Walaupun kita duduk berdekatan, hati mungkin semakin jauh.
Ironinya, zaman dahulu kita tidak mempunyai teknologi untuk menghubungkan kita dengan orang yang jauh tetapi kita sangat rapat dengan orang yang berada di sebelah kita. Namun hari ini kita boleh bercakap dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia dalam beberapa saat tetapi kadang-kadang kita tidak tahu apa yang sedang dirasakan oleh anak yang duduk di sebelah kita. Kita tahu apa yang berlaku kepada orang lain di media sosial tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam hati pasangan sendiri, kita tahu kawan lama sedang bercuti di mana tetapi kita terlupa bertanya kepada ibu, “Mak dah makan?” Dan kita mungkin tahu berita terbaru daripada berita online tetapi tidak sempat mendengar cerita ayah yang sudah lama mahu bercerita.
Dulu, apabila makan bersama, kita tidak memerlukan topik yang hebat. Cerita tentang sekolah pun boleh menjadi bahan perbualan, cerita tentang jiran pun boleh membuat semua orang ketawa, cerita tentang ayam yang masuk kebun pun boleh menjadi cerita satu keluarga.
Kadang-kadang kita bergaduh kerana berebut lauk, kadang-kadang emak terpaksa menegur kerana kita makan terlalu lambat.
Kadang-kadang ayah akan buat lawak yang sama berulang kali dan walaupun kita sudah tahu penghujung ceritanya tetapi kita tetap ketawa.
Itulah bahagian indahnya...
Mungkin kita tidak dapat mengembalikan zaman dahulu. dan kita tidak dapat kembali ke meja makan yang pernah dipenuhi suara emak, ayah, adik-beradik dan gelak tawa yang sederhana tetapi kita masih boleh mencipta semula suasana itu.
Mungkin malam ini, letakkan telefon seketika. Duduklah bersama keluarga. Tanyakan bagaimana hari mereka dan dengarkan cerita mereka walaupun ceritanya nampak kecil dan biasa kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan merindui perkara-perkara kecil yang hari ini kita anggap biasa.

Kita tidak sedar ketika itu bahawa kita sebenarnya sedang membina kenangan. Kita menyangka makan malam hanyalah makan malam. Kita menyangka suara emak memanggil dari dapur akan sentiasa ada, kita menyangka ayah akan sentiasa duduk di kerusi yang sama dan kita menyangka adik-beradik akan sentiasa berada di bawah satu bumbung. Kita tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kerusi itu mungkin kosong, meja itu mungkin sunyi dan suara yang dahulu kita anggap biasa mungkin menjadi suara yang paling kita rindukan.
Mungkin itulah sebabnya apabila kita sudah dewasa, kita sering teringat meja makan di rumah lama. Bukan kerana makanannya tetapi kerana orang-orang yang pernah duduk di situ. 
Hari ini kita mungkin mampu membeli makanan yang jauh lebih mahal. Kita boleh makan di restoran yang cantik, kita boleh membeli meja makan yang besar tetapi belum tentu kita boleh membeli semula suasana yang pernah kita miliki dahulu. Kita tidak boleh beli semula zaman ketika ayah masih sihat, ketika emak masih kuat memasak dan ketika anak-anak masih kecil dan berebut tempat duduk.
Masa tidak boleh dibeli.
Sebab itu, mungkin kita perlu berhenti seketika. Letakkan telefon. Pandang wajah orang yang sedang makan bersama kita dan tanya bagaimana hari mereka serta dengar cerita mereka walaupun ceritanya nampak remeh kerana mungkin bagi mereka, perhatian kita jauh lebih berharga daripada apa yang ada di dalam telefon.
Dalam salah satu tema penting buku Hidup Kena Kuat, saya mengajak kita belajar menghargai apa yang kita miliki sebelum ia menjadi sesuatu yang hanya tinggal dalam kenanganKadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar kehidupan yang lebih baik sehingga terlupa menghargai kehidupan yang sedang kita jalani. Kita mahu rumah yang lebih besar, kereta yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi tetapi jangan sampai dalam usaha mendapatkan semua itu, kita kehilangan perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang. Hubungan, masa bersama keluarga, kasih sayang,  Perhatian dan rasa bahawa kita masih mempunyai tempat untuk pulang.
Mungkin malam ini apabila tiba waktu makan, cuba lakukan sesuatu yang mudah. Letakkan telefon di tepi. Sambil menyuap makan, apa salahnya kita pandang wajah ahli keluarga dan tanya, “Hari ini macam mana?”
Bukannya sibuk melihat skrin sebaliknya cuba belajar mendengar seperti dulu kerana mungkin satu hari nanti, kita akan sangat merindui saat-saat sederhana seperti ini. Dan ketika itu, kita akan sedar rupanya meja makan itu bukan sekadar tempat kita makan tapi itulah tempat kita belajar mengenali keluarga, tempat kita belajar mendengar, memahami, membina kepercayaan, kasih sayang dan tempat kenangan.
Dulu kita tidak punya 'hand phone' tapi kita mempunyai masa untuk satu sama lain. Namun hari ini kita mempunyai segala teknologi untuk berhubung tapi jangan sampai kita kehilangan hubungan dengan orang yang paling dekat dengan kita kerana akhirnya, apabila semua skrin dimatikan, kita tetap akan mencari manusia untuk duduk di sebelah kita. Ketika itu kita bukan lagi rindukan makanan yang pernah kita makan tapi suara emak, suara ayah, gelak tawa adik-beradik dan sebuah meja makan lama yang pernah membuatkan kita rasa, “Inilah rumah, inilah keluarga dan inilah bahagia.”
Kalau Kenangan Ini Mengingatkan Anda Kepada Keluarga Sendiri, mungkin ada banyak perkara dalam hidup yang kita sedar nilainya hanya selepas kita kehilangannya. Sebab itu saya menulis Hidup Kena Kuat. Buku ini bukan sekadar tentang bagaimana untuk menjadi kuat ketika menghadapi masalah tapi ia juga tentang bagaimana kita belajar menghargai apa yang masih kita miliki, menerima apa yang tidak dapat kita ubah, berhenti membandingkan kehidupan kita dengan orang lain dan mencari semula bahagia yang sebenarnya sudah ada di depan mata.
Kalau anda sedang melalui fasa hidup yang terasa berat, penat atau terlalu banyak berfikir tentang perkara yang belum kita miliki, mungkin buku ini boleh menjadi teman untuk anda. Mungkin ada halaman yang membuat anda terdiam, mungkin ada cerita yang membawa anda kembali kepada zaman dahulu, mungkin ada satu ayat yang membuat anda teringat kepada emak dan ayah atau mungkin ada satu bab yang membuat anda berkata, “Rupanya selama ini aku sudah memiliki begitu banyak perkara untuk disyukuri.”
Kalau anda rasa buku ini dekat dengan perjalanan hidup anda, saya jemput anda memiliki naskhah Hidup Kena KuatBacalah perlahan-lahan. Bukan untuk mencari kehidupan yang sempurna tetapi untuk belajar melihat kehidupan yang kita ada hari ini dengan hati yang lebih tenang kerana mungkin kita tidak perlukan lebih banyak perkara untuk bahagia. Kita cuma perlu belajar menghargai apa yang masih ada.
Dan jangan tunggu sehingga meja makan itu kosong untuk kita sedar betapa berharganya orang-orang yang pernah duduk di situ. Hargai mereka hari ini, peluk mereka hari ini, duduk bersama mereka hari ini dan kalau masih sempat, berceritalah kerana satu hari nanti, semua itu mungkin hanya tinggal kenangan dan ketika itu, kita akan sedar, rupanya detik yang paling sederhana itulah yang paling mahal nilainya.
Hidup Kena Kuat tetapi jangan lupa... Hati juga kena belajar menghargai.
.
DR.Usrynorie

No comments:

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...