Friday 16 December 2022

Lagu kumpulan Exist yang mengamit nostalgia

 Petang tadi Abam layan rakaman konsert terbaru dari kumpulan Exist (konsert Resolusi Exist) di Youtube. Banyak lagu-lagu mereka yang mengamit kenangan dan salah satu darinya ialah lagu ini, JANJI PADAMU.

Ketika lagu ini popular, Abam sedang belajar di Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Perak (sekarang dikenali dengan KSKB). Seperti remaja-remaja lain yang sudah mumayiz dan akil baligh, Abam juga ada perasaan untuk memiliki dan dimiliki.

Lalu bermulalah sessi Abam mencari jodoh.

Jeng.. jeng.. jeng..
Setelah beberapa lama 'recce' calon, akhirnya Abam 'terminat' dengan sorang 'student nurse'. Tapi timbul satu masalah. Walaupun Abam juga termasuk dalam kategori budak hensem ketika itu tapi Abam jenis penakut. Abam takut pompuan dan tak pandai mengayat.

Yang Abam risau ialah sekiranya sidia 'turn down' diri Abam. Kat mana Abam nak sorok muka jika ditakdirkan kami terserempak dalam lif atau ketika beli makan di kantin hospital. No.. i can't imagine that! Lagi satu mesti dia akan cerita kat kawan-kawan dia yang Abam nak try dia tapi tak berjaya. Malunya...

Jadi Abam pun minta pendapat 'room mate' Abam bagaimana nak luahkan perasaan tapi biar tak ketara sangat. Lalu room mate Abam bagi idea supaya Abam bagi je ucapan dan tuju lagu kepada si dia melalui radio. Hm... Make sence juga.

Kebetulan pula sekitar tahun 1994 dulu di Radio Muzik ada rancangan 'Pilihan Bersama' dan segmen ini sedang popular ketika itu. Tanpa berlengah, habis je tugasan di wad petang esoknya, Abam pun pergi ke pasaraya Super Kinta (sekarang dah jadi UTC) untyk beli poskad. Abam kemudiannya pilih lagu dan tulis ucapan. Abam hantar poskad itu kepada penerbit rancangan 'Pilihan Bersama'. Lagu yang Abam pilih ialah lagu Janji Padamu, nyanyian dari kumpulan Exist.

Bermula dari hari itu, setiap malam pukul 9 malam, Abam akan tunggu di tepi radio kalau-kalau ada tersiar lagu permintaan Abam untuk sidia. Namun nasib tidak menyebelahi. Hari demi hari berlalu, permintaan Abam tak juga tertunai. Abam syak mungkin encik Posmen tak hantar kot poskad Abam ke stesyen radio tu. Tak pun poskad tu dah tercicir kat mana-mana.

Dua tiga minggu berlalu begitu saja. Satu hari ketika bertugas dalam wad, Abam dengar cerita dari 'little bird' yang si dia dah 'bercouple' dengan salah sorang student. Juga dari group kami.

Nak tak nak terpaksa la Abam 'move on'. Belajar untuk lupakan dia dan jalani kehidupan seperti biasa, sebagai Lone ranger. Manakala sidia pula sedang berbahagia di alam percintaan.

Pada satu hari, iaitu lagi tiga bulan Abam nak tamat belajar, (ketika itu Abam praktikal di Unit Kecemasan di Hospital Batu Gajah) 'little bird' datang temui Abam. Dia sampaikan berita yang 'something wrong will be happen between she and her boyfriend (peristiwa apa, biarlah kami saja yang tahu).

So Abam fikir inilah peluang terakhir Abam. Abam kena berani. Yang buat Abam lagi berani ialah jika ditakdirkan dia 'turn down' Abam pun kali ini, Abam dah tak kesah. Sebab tak lama lagi Abam akan tamat belajar dan akan dipostingkan ke negeri lain. Tak akan jumpa dia dah sampai bila-bila. Jadi tak ada istilah untuk malu dan kat mana nak sorok muka takut-takut terserempak dia di mana-mana.

Jadi Abam pun minta jasa baik 'little bird' tadi untuk buat appointment dengan sidia. Disingkatkan cerita kami pun bertemu dan Abam bagi hint pada dia apa yang terpendam selama ini.

Untuk lebih meyakinkan dia, sehari sebelum kami berjumpa, Abam beli sekeping keset kosong dan dubbing beberapa lagu untuk dia dengar. Salah satu dari lagu yang Abam muatkan dalam keset tersebut ialah lagu ini.

Dia tak beri apa-apa respond pada hari itu. Sehinggalah sessi minum-minum tamat dan kami pulang ke tempat kerja masing-masing.

Seminggu kemudian, Abam ajak dia keluar minum-minum lagi dan ketika itulah dia bagitahu yang dia cuba terima Abam.

Sayangnya, masa untuk kami bercinta terlalu singkat. Kami tak sempat berguling-guling atas rumput di Taman DR Seenivasagam macam cerita Hindi atau pergi tengok angsa berenang di Taman Tasik Taiping seperti pasangan bercinta yang lain.

Sebabnya dua bulan kemudian, Abam dapat surat posting ke Kuala Lumpur (PPUM). Manakaka dia masih lagi jalani latihan praktikal di hospital Ipoh.

Tapi untuk menjamin yang Abam tidak kehilangan dia, enam bulan selepas berkerja, Abam hantar rombongan ke rumah dia dan setahun selepas tu kami selamat diijabkabulkan.

Sekarang kami dah 3 anak dan setiap kali lagu ini berkumandang, Abam mesti dengar sampai habis sambil 'flash back' kisah kami. Kadang-kadang Abam saja tanya dia, ingat lagi ke dengan lagu ni? Tapi biasanya dia akan buat-buat tak faham sambil tersengeh.


Lagi satu, jika lagu ini dinyanyikan ketika konsert live dari kumpulan Exist, Abam juga akan download dan simpan dalam komputer. Abam akan dengar ketika Abam tak de idea nak menulis.

Wednesday 3 August 2022

Tragedi berulang lagi...

Satu lagi tragedi menyayat hati telah berlaku. Kali ini seorang lelaki warga Myanmar telah bertindak terjun dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2). Sebelum itu, beliau terlebih dulu mencampakkan tiga orang anaknya dari jejantas yang sama. Dua dari anaknya telah dilaporkan meninggal dunia dan seorang lagi masih kritikal.

Dan kalau anda masih ingat, beberapa tahun dulu pun ada juga kisah yang menyayat hati begini. Kali ini diberitakan bahawa seorang ayah telah menyiapkan beberapa 'varities of food' yang telah dicampur siap-siap dengan racun. Kemudian makanan itu dihidangkan di atas meja makan lalu dia mengajak anak-anaknya untuk makan makanan tadi bersama. Seakan mereka meraikan sebuah pesta untuk kali terakhir. Keesokan harinya kesemua mereka ditemui mati di dalam rumah.
Kisah-kisah trajis ini terjadi disebabkan oleh pelaku atau mangsa itu sedang mengalami masalah yang serius. Satu masalah yang tidak boleh kita nampak dengan mata kasar iaitu masalah kesihatan mental. Yang membimbangkan pula ialah sehingga awal tahun 2022, dilaporkan lebih 62% daripada rakyat Malaysia disahkan mengalami masalah ini ( Sinar Harian).
Kesan dari tekanan hidup, kenaikan harga barang, diberhentikan kerja, masalah kewangan dan masalah keluarga menjadi faktor kepada berlakunya peningkatan kes masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat kita. Ketidakmampuan mangsa untuk menanggung beban perasaan telah membawa kepada tragedi yang sadis ini.
Oleh itu pencegahan dan pengesanan awal amat diperluksn agar kita dapat menghindar mangsa dari melakukan tindakan-tindakan yang tidak masuk akal sebelum terlambat.
Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah dengan mengamalkan sikap 'ambil peduli' terhadap rakan atau saudara kita yang sedang dalam kesusahan.
Sesekali kita perlu 'adopt' sikap 'suka jaga tepi kain orang'. Terutamanya rakan atau saudare terdekat kita. Rajin-rajinlah untuk bertanyakan khabar meraka. Walaupun kita mungkin tidak mampu membantu mereka dari segi kewangan, sekurang-kuranganya kita bantu mereka melalui sokongan emosi.
Manakala kepada individu yang sedang mengalami masalah pula, janganlah anda terlalu memikirkan tetang masalah tersebut sehingga membuatkan anda menjadi 'over stress'.
Jika tak boleh selesaikan sendiri, carilah sahabat atau rakan yang boleh dipercayai. Bercerita atau berkongsi masalah tersebut dengan mereka. Mana tahu, dengan bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran, mungkin anda boleh temui jalan penyelesaian.
Di samping itu, banyakkan lah beribadat, berdoa, berehat, bergurau senda, beriadah atau bersenam. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti ini secara rutin, hormon stress yang berada di dalam badan anda akan disingkir keluar. Apabila hormon stress berkurangan, anda akan menjadi lebih positif, tenang dan yakin untuk menghadapi masalah tersebut.
Semoga kita dapat mengharungi cabaran yang mendatang dengan tabah.

*kredit: Kartunis otai KETAWALAH, Abg Hammali Lego Hammali Lego .



Wednesday 20 July 2022

Monday 18 July 2022

Kawan Sejati

Kawan sejati adalah individu yang mampu memahami diri kita pada setiap ketika. Tak kira sewaktu kita tenang mahupun di saat kita sedang beremosi. Dia juga sabar dengan kerenah kita kerana dia bersahabat dengan kita dengan perasaan yang ikhlas dan telus.

Cuba elakkan dari melukai hati kawan atau sahabat yang sebegini. Jika kita ada buat salah padanya, cepat-cepatlah kita mengaku kesilapan tersebut dan cuba pulihkan semula hubungan itu agar ia kembali seperti asal. Tapi janganlah pula sampai kita 'terover' atau tersalah tema masa memujuk. Lain jadinya nanti. Silap-silap, bukan semakin baik hubungan itu tapi menjadi semakin renggang pula.
Hargailah persahabatan..
Kredit: Kartunis PPKP Muhammaddaud Hamid


Thursday 30 June 2022

Angau.. Penyakit merbahaya tetapi tidak mengancam nyawa..

 Angau ialah sejenis penyakit yang boleh dikatakan merbahaya juga walaupun ia tidaklah 'sebahaya' penyakit HIV, Monkey pox atau pun Cobid-19 tetapi penyakit ini boeh menyerang seseorang pada bila-bila masa.

Ini kerana 'route' atau 'seeds' penyakit ini sudah sedia tertanam dalam diri kita sejak azali lagi cuma ia bersifat 'relapse' sehinggalah kita bertemu dengan sesuatu yang boleh menyebabkan ia 'triggered'. Misalnya bila kita jumpa dengan seseorang yang membuatkan kita 'admire' padanya. Ketika itulah penyakit ini akan bercambah dan mula tumbuh dalam jiwa kita.
Bila penyakit ini angau mula menyerang, ia akan membuatkan hidup seseorang itu tidak aman. Mulalah terbayang si dia di mana-mana. Dalam mangkuk sup, di plastik aiskrim hatta dalam cawan teh tarik. Malah jika dipandang bekas tapak kasut yang kita pijak pun, ia seakan-akan rupa si dia.
Jika ada kawan-kawan korang yang mengalami simptom seperti ini, lekas bagi pelempang sebiji dua kat pipi dia agar penyakit ini tidak membarah. Bila dah tahap membarah, semua yang kau orang buat kat dia, dia dah tak endah. Dia akan hanyut dalam dunia dia sendiri.
Jadi, cegah sebelum parah!



Monday 13 June 2022

Cinta di bangku Sekolah

 Apakah cinta?

Cinta adalah perasaan kasih sayang terhadap seseorang. Ia hadir dalam hidup kita tetapi sukar untuk diberi makna yang tepat.

Manakala fenomena bercinta di kalangan pelajar pula telah lama wujud dan ia telah menjadi 'culture' yang diterima umum. Bercinta ketika di bangku sekolah sudah dianggap biasa di kalangan kita. Ini kerana ia adalah sebahagian dari naluri semulajadi remaja, di mana setiap orang punyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi oleh insan berlainan jantina.

Salah satu sebab fenomena bercinta di bangku sekolah ini berlaku adalah kerana kehidupan kita yang serba maju dan pantas sejak beberapa dekad yang lalu. Kesebokan ibu bapa dan kehidupan yang 'caca marba' terutamanya di bandar-bandar besar banyak mendorong anak muda yang masih belajar ini mencari pasangan untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang.

Jadi.. Bolehkah pelajar bercinta?

Jawapan untuk persoalan ini adalah subjektif.
Bagi Abam, jika anda rasa diri anda sudah matang dan bersedia ke arah itu than apa salahnya- Go on! kerana ia adalah lumrah bagi setiap manusia. Tetapi jika korang rasa korang tidak mampu untuk menghadapi pasang surut dunia percintaan di bangku sekolah, lebih baik korang elakkan diri dari terjebak.

Lagi pun, bercinta ketika berada di bangku sekolah ini lebih memberi kesan buruk berbanding kesan baik. Salah satu darinya ialah ia akan menyumbang kepada gejala sosial di kalangan remaja seperti lari dari rumah, gejala buang anak, keruntuhan akhlak, dan lemah dalam pelajaran.

Kepada pelajar yang belum terjebak, eloklah cuba jauhkan diri anda dari permasalahan ini buat seketika sehingga anda benar-benar bersedia dan kepada yang sudah terjebak dangan gejala cinta monyet ini, bersederhanalah dan jagalah tata tusila dan nama baik keluarga.


Kredit: Kartunis Muhammaddaud Hamid


Follow kami di https://www.facebook.com/Majalah-Ketawalah-106020485439445


Sunday 12 June 2022

Senyum Pagi..

 Senyum pagi...

Isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua. Bukan sekadar bahan mentah, tapi semua sektor juga nampaknya sudah mula berlumba-lumba menaikkan harga. Bermula dari kenaikan harga petrol, ayam, telur dan ikan, kini harga sayur-sayuran juga turut naik sama.
Terbaru, dengar khabar kedai Eco juga dah naikkan harga barangan mereka dari RM2.20 kepada RM2.40 bermula 1 Jun itu hari.. Alasannya kerana kos pengurusan yang semakin meningkat.
Selepas ini, apa pula?
Sementara nak tunggu apa barang yang akan naik pula lepas ni, di kesempatan ini Abam ingin menzahirkan kesyukuran kerana harga roti canai di kedai mamak yang selalu Abam pergi minum tu, masih lagi murah jika nak dibandingkan dengan harga kat Singapore atau New Zealand.......
Walaupun saiznya Abam tengok dah semakin mengecil dan nipis.. 😁😁

Kredit: Kartunis Bin Zain @ S41F
Ingin mendapatkan update kartun atau karya terkini dari karyawan kami? Sila follow kami di sini:






Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...