Hafiz sudah bekerja di sebuah syarikat logistik hampir lapan tahun. Dia seorang pekerja yang peramah dan mudah mesra. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada orang yang mahu berbual dengannya. Namun ada satu tabiat Hafiz yang diketahui ramai. Dia terlalu suka mengambil tahu hal orang lain.
Di pantri pejabat, di ruang rehat, malah ketika makan tengah hari, Hafiz sentiasa mempunyai cerita terbaru.
"Aku dengar Farid tu nak berhenti kerja."
"Serius?" Tanya beberapa orang staff yang turut minum bersamanya pagi itu.
"Yalah. Katanya dia nak buka bisnes sendiri."
Esoknya muncul cerita lain pula.
"Aku dengar rumah baru yang dibeli Siti tu sebenarnya guna duit suami dia."
Lusa muncul cerita baru lagi.
"Entah betul ke tidak dia dapat naik pangkat sebab prestasi. Aku dengar ada orang dalam."
Ramai rakan sekerja suka mendengar cerita Hafiz. Ada yang ketawa. Ada yang menambah cerita. Ada yang pura-pura tidak berminat tetapi tetap memasang telinga. Lama-kelamaan, Hafiz menjadi pusat maklumat tidak rasmi di pejabat. Namun tanpa disedari, tabiat itu mula memakan dirinya sendiri.
Suatu hari syarikat membuka peluang kenaikan pangkat untuk jawatan penyelia. Ramai yang menjangkakan Hafiz akan memohon. Dia mempunyai pengalaman yang cukup dan sudah lama berkhidmat. Tetapi apabila sesi temu duga dalaman dijalankan, Hafiz gagal.
Jawatan itu diberikan kepada Firdaus, seorang rakan sekerjanya yang lebih muda dan baru bekerja lima tahun. Hafiz kecewa. Sangat kecewa. Baginya, dia lebih layak.
"Aku tak faham kenapa dia yang dapat."
Dia mula mengadu kepada rakan-rakan.
"Mesti ada sesuatu yang tak kena."
Beberapa minggu kemudian, Hafiz terdengar khabar bahawa Firdaus sedang mengikuti kursus pengurusan pada waktu malam. Dia juga mendengar bahawa Firdaus mengambil sijil profesional secara sambilan selama dua tahun. Ketika itu barulah Hafiz sedar bahawa selama dia sibuk bercakap tentang orang lain, Firdaus diam-diam sedang membina dirinya.
Namun Hafiz masih belum berubah. Dia tetap meneruskan tabiat lamanya. Malah selepas kegagalan itu, dia menjadi lebih aktif mencari kelemahan orang lain. Setiap kejayaan rakan sekerja mempunyai penjelasan negatif dalam fikirannya. Jika seseorang dinaikkan pangkat, pasti kerana hubungan baik dengan bos. Jika seseorang membeli kereta baru, pasti kerana berhutang. Jika seseorang berjaya membuka perniagaan sampingan, pasti kerana bernasib baik. Dia sentiasa mempunyai alasan untuk merendahkan kejayaan orang lain.
Suatu hari, satu projek besar syarikat mengalami masalah. Pihak pengurusan meminta semua staf memberikan cadangan penyelesaian. Hafiz sebenarnya mempunyai idea yang baik. Tetapi sepanjang mesyuarat, dia lebih banyak mengkritik cadangan orang lain daripada memperbaiki cadangannya sendiri.Firdaus pula duduk diam, mencatat dan memberi pandangan apabila diperlukan. Beberapa bulan kemudian, cadangan Firdaus dipilih dan berjaya membantu syarikat menjimatkan kos operasi. Sekali lagi, Firdaus menerima penghargaan. Sekali lagi, Hafiz hanya menjadi pemerhati.
Pada suatu petang, Hafiz duduk bersendirian di sebuah kafe selepas pulang bekerja. Kebetulan Firdaus turut berada di situ. Mereka berbual tentang kehidupan dan kerjaya. Selepas beberapa minit, Hafiz akhirnya meluahkan isi hatinya.
"Aku rasa macam hidup aku tak bergerak ke mana-mana."
Firdaus memandangnya dengan tenang.
"Kau pernah fikir kenapa?"
"Aku pun tak tahu."
Firdaus tersenyum kecil.
Kemudian dia bertanya satu soalan.
"Berapa banyak masa kau gunakan setiap minggu untuk bercakap tentang hidup orang lain?"
Hafiz terdiam.
"Dan berapa banyak masa kau gunakan untuk memperbaiki hidup kau sendiri?"
Soalan itu terasa seperti satu tamparan lembut. Buat pertama kali, Hafiz tidak mampu menjawab.
Dalam perjalanan pulang malam itu, fikirannya dipenuhi pelbagai kenangan. Dia teringat berjam-jam yang dihabiskan di pantri pejabat. Dia teringat ratusan perbualan tentang kehidupan orang lain. Dia teringat betapa banyak tenaga yang digunakan untuk menilai, mengkritik dan membandingkan. Tetapi apabila dia melihat kehidupannya sendiri, dia sedar sesuatu yang menyakitkan. Impian yang pernah ditulis lima tahun dahulu masih berada di tempat yang sama. Tiada kemajuan
Tiada tindakan, tiada perubahan. Keesokan harinya, Hafiz membuat keputusan. Dia mula mengurangkan masa bersembang kosong. Apabila perbualan mula beralih kepada gosip, dia meminta diri untuk kembali bekerja. Dia mula membaca buku semasa waktu rehat. Dia mengikuti kursus dalam talian. Dia menetapkan matlamat kewangan. Dia mula memberi perhatian kepada hidupnya sendiri.
Pada mulanya, ramai yang pelik dengan perubahan itu. Malah ada yang berkata Hafiz sudah sombong.Tetapi kali ini dia tidak peduli. Dia sedar sesuatu yang penting. Orang yang sentiasa mengulas kehidupan orang lain jarang mempunyai masa untuk mencipta kehidupan yang hebat bagi dirinya sendiri.
Dua tahun kemudian, Hafiz berjaya juga dinaikkan pangkat. Sekarang dia sedar kenaikan pangkatnya itu bukan kerana dia berubah dalam sehari tetapi kerana dia akhirnya menggunakan tenaganya untuk perkara yang betul. Kerana dia sudah meninggalkan tabiat lamanya iaitu menjadi 'repoter tak bertauliah' atau lebih dikenali sebagai 'Makcik Bawang'.
Kini apabila mendengar orang bergosip, dia hanya tersenyum. Kerana dia tahu satu hakikat yang sangat berharga, Kita tidak akan sampai ke destinasi impian dengan sibuk memerhatikan perjalanan orang lain. Biarkan orang lain hidup dengan pilihan mereka. Kita hanya fokus kepada kehidupan sendiri. Kerana masa depan kita dibina oleh tindakan kita, bukan oleh komen kita terhadap orang lain.
.
Kisah ini kena dengan satu isu yang dibincangkan dalam buku 'Hidup Kena Kuat' iaitu tentang, Tak Perlu Ambil Tahu Sangatlah Hal Orang Lain. Kerana salah satu rahsia ketenangan hidup ialah belajar melepaskan keinginan untuk mengawal atau menghakimi kehidupan orang lain. Biarkan orang memilih jalan mereka.Dan gunakan tenaga kita untuk membina jalan hidup kita sendiri. Kerana pada akhirnya, bunga yang paling indah bukanlah bunga di kebun jiran. Tetapi bunga yang kita siram setiap hari di halaman kehidupan kita sendiri.
.
DR.Usrynorie