Sunday, 8 November 2026

Satu Hari Nanti, Kita Akan Rindu Suara Mereka

 

“Luangkan masa bersama ibu bapa. Layan mereka dengan baik. Kerana suatu hari nanti, apabila kamu mengangkat pandangan daripada telefon, mereka mungkin sudah tiada lagi di situ.”

 

Kata-kata ini bukan bermaksud telefon itu salah. dan teknologi juga bukannya musuh kita, tetapi kata-kata ini mengingatkan kita tentang masa yang tidak boleh diundur kembali.
.

Dulu, ketika kita masih kecil, kita tidak pernah terfikir betapa berharganya setiap detik yang kita habiskan bersama emak dan ayah. Bagi kita, mereka akan sentiasa ada. Setiap pagi, emak sibuk di dapur menyediakan sarapan, manakala ayah pula bersiap-siap untuk pergi bekerja. Kita pula kelam-kabut mencari stoking, buku sekolah atau kasut yang entah ke mana hilangnya.

Itulah rutin pagi kita dahulu. 

Ada kalanya emak terpaksa menjerit berkali-kali kerana kita masih belum bersiap. Ayah pula sesekali mengingatkan supaya jangan lambat ke sekolah. Perkara yang nampak biasa ketika itu, tetapi apabila dikenang semula, semuanya terasa begitu dekat di hati.

Ketika itu, kita tidak ada telefon pintar di tangan. Tak ada TikTok, Instagram, Facebook atau WhatsApp yang membuatkan kita leka berjam-jam. Kalau kita nak bercakap, kita akan bercakap secara berdepan. Kalau nak tengok wajah emak dan ayah, kita hanya perlu menoleh. Perhatian kita tidak dibahagikan antara manusia di hadapan mata dengan dunia di dalam skrin.

Tanpa kita sedari, banyak masa kita habiskan bersama mereka.

Ketika emak memasak, kita akan duduk di dapur menemaninya. Kadang-kadang emak suruh kita kupas bawang, cuci sayur atau basuh pinggan. Ketika emak melipat pakaian, kita pula sibuk membantu menyusun baju ke dalam almari dan kalau ayah sedang membaiki basikal, kita akan berdiri di sebelahnya sambil memerhatikan apa yang sedang dibuat.

Ada kalanya kita ikut emak dan ayah ke pasar membeli barang dapur. Walaupun sekadar berjalan di celah gerai dan menunggu mereka memilih ikan atau sayur, kita tetap seronok kerana dapat keluar bersama.

Semua itu nampak seperti perkara kecil. Kita tidak pernah menganggapnya sesuatu yang istimewa. Tetapi hari ini, apabila kita sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri, barulah kita sedar sesuatu. Rupa-rupanya, perkara-perkara kecil itulah yang menjadi antara kenangan paling besar dalam hidup kita.

Namun, apabila semakin dewasa, kehidupan kita mula berubah. Kita mempunyai pekerjaan, tanggungjawab dan urusan sendiri. Masa semakin banyak dihabiskan di tempat kerja. Kalau ada kelapangan, kita keluar melepak dengan kawan-kawan di kedai mamak. Hujung minggu pula kita mahu meluangkan masa bersama pasangan dan anak-anak. Itu semua perkara biasa. Kita sedang menjalani kehidupan dan membina masa depan sendiri.

Tetapi dalam kesibukan itu, muncul pula satu lagi perkara yang semakin banyak mengambil masa kita, iaitu media sosial. Ada kalanya kita duduk bersama emak dan ayah, tetapi mata lebih banyak tertumpu pada telefon. Ketika mak sedang bercerita, kita pula sibuk membaca komen di Facebook, ketika ayah bertanya sesuatu, kita menjawab sepatah dua tanpa benar-benar memberikan perhatian. 

Kadang-kadang kita berkata, "Nanti dulu, mak." Atau, "Kejap lagi saya telefon balik. Saya nak balas komen Facebook ni." Ada juga masanya kita menjawab, "Lain kali kita sembang." 

Kita berkata begitu kerana kita merasakan masih ada hari esok untuk mendengar cerita mereka. Masih ada masa untuk duduk bersama dan masih ada peluang untuk pulang dan meluangkan masa seperti dahulu. Tetapi kita lupa satu perkara. Semakin hari kita bertambah usia, emak dan ayah juga semakin dimamah usia.


Bayangkan satu keadaan.


Kita sedang duduk bersebelahan dengan mak setelah sekian lama kita tidak pulang menjenguknya kerana terlalu sibuk dengan kerja, keluarga dan urusan sendiri. Jadi masa untuk bersama mak semakin terbatas.  Tetapi ketika emak mula bercerita, mata kita masih leka memandang telefon. Sesekali kita akan menyahut, “Ya, mak... Saya dengar.”  Padahal kita sendiri tidak tahu apa yang emak sedang ceritakan.  Jari masih ligat menatal skrin. Mata  pula masih tertumpu pada mesej dan notifikasi yang tidak pernah habis.

Kerana faham atau mungkin dia fikir yang kita sedang sibuk dan tak mahu mengganggu, lalu perlahan-lahan mak pun berhenti bercerita. Dia kembali diam, sedangkan kita terus leka dengan telefon. 


Mungkin cerita emak ketika itu bukanlah sesuatu yang penting. Mungkin sekadar cerita tentang jiran sebelah rumah, pokok bunga yang baru tumbuh, harga barang di kedai atau kisah  seseorang yang ditemuinya pagi tadi. Tetapi kita terlupa satu perkara, mak bukan mahu menyampaikan cerita tapi dia sekadar mahu bercakap dengan anak dia.  Dia mahu merasakan bahawa anak yang dahulu selalu duduk di pangkuannya masih sudi meluangkan masa untuk mendengar ceritanya.  Dia mahu merasakan bahawa kehadirannya masih penting dalam kehidupan kita.  Dia  tidak perlukan jawapan atau nasihat tapi dia cuma mahu kita memandang wajahnya, mendengar ceritanya dan sesekali bertanya, "Lepas tu mak?" 

Tetapi kita terlalu sibuk memberikan perhatian kepada dunia di dalam telefon sehingga terlupa menghargai manusia yang sedang duduk betul-betul di hadapan mata.  Sehinggalah situasi ini berlaku iaitu... "One day, when you look up from your phone, they won't be there anymore."

Ketika itu, kerusi di sebelah kita  sudah kosong dan tak ada lagi suara emak yang bertanya, "Kamu dah makan?" atau  suara ayah yang memanggil dari ruang tamu.  Ketika itulah kita akan teringat semula cerita-cerita kecil emak yang pernah kita abaikan. Ketika itulah kita mula teringin sekali lagi mendengar suara ayah bertanya perkara yang sama berulang kali. Malah, mungkin kita sanggup memberikan apa sahaja untuk duduk semula di sebelah mereka walaupun hanya untuk mendengar satu cerita yang tidak berapa penting.


Begitulah kita. Kita ada satu tabiat yang pelik, iaitu  kita akan mula menghargai sesuatu apabila kita hampir kehilangannya. 

Ketika mak masih sihat, kita menganggap kehadirannya adalah biasa. Ketika ayah masih kuat, kita menganggap dia akan sentiasa mampu melakukan segala-galanya.  Kita lupa bahawa usia mereka sedang berjalan. Rambut yang dulunya hitam mula memutih, langkah yang dulunya pantas mula perlahan dan tangan yang dulunya sibuk menyediakan segala-galanya untuk kita mula memerlukan bantuan kita pula.

Mak dan ayah tidak minta kita belikan sesuatu yang mahal. Mereka juga tak mahu hadiah yang besar. Apa yang mereka mahu ialah kita pulang untuk duduk bersama, makan bersama, bertanya khabar dan mendengar cerita mereka sambil minum teh. Kadang-kadang sepuluh minit yang kita berikan hari ini lebih berharga daripada satu hari yang kita janjikan untuk bulan depan.

Bila kita mengimbau semula zaman kanak-kanak, kita jarang teringat pada barang-barang yang kita miliki. Kita tidak begitu ingat jenama pakaian yang kita pakai atau berapa harga mainan yang kita ada tapi yang kita lebih ingat ialah insan yang pernah hadir dalam hidup kita. Kita akan teringat  suara mak yang memanggil dari dapur atau saat di mana ayah bawa kita jalan-jalan.

Justeru, kalau ibu dan ayah masih ada, jangan tunggu. Telefonlah mereka atau baliklah jika mampu.  Luangkan masa untuk duduk sebentar bersama mereka. Tanya cerita lama, tanya bagaimana hari mereka dan peluklah mereka. Minta maaf pada mereka kalau selama ini kita terlalu sibuk. Jangan tunggu hari istimewa seperti  hari lahir atau  Hari Ibu atau Hari Bapa baru kita nak jengok mereka kerana setiap hari adalah hari yang  cukup istimewa sebab kita tidak pernah tahu berapa banyak lagi masa yang Tuhan izinkan untuk kita melihat wajah mereka. Kita tidak tahu berapa banyak lagi kali kita akan mendengar suara mereka dan kita tidak tahu bila sebuah kerusi yang selama ini selalu berisi akan menjadi kosong. 

Ketika bersama ibu dan ayah nanti, cuba letakkan telefon sebentar.  Pandang wajah mereka dan dengarkan cerita mereka walaupun cerita itu sudah kita dengar berkali-kali. Ketawalah walaupun cerita itu tidak begitu lucu kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan rindukan cerita yang sama. Dulu, ketika kita kecil, mereka memberikan seluruh masa mereka kepada kita. Mereka menjaga kita ketika kita tidak mampu menjaga diri sendiri. Mereka mendengar kita ketika kita belum pandai memahami dunia dan mereka bersabar dengan kerenah kita. Jadi sekarang, mungkin mereka hanya meminta sedikit masa daripada kita. 
Oleh itu..  Berilah. Letakkan telefon, angkat kepala, pandang mereka dan dengar suara mereka kerana mungkin suatu hari nanti, apabila kita mengangkat kepala daripada skrin...  mereka sudah tiada lagi di situ. Jangan biarkan penyesalan menjadi harga yang kita bayar kerana gagal menghargai orang yang paling banyak berkorban untuk kita. 

Selagi mereka masih ada, pulanglah, selagi mereka masih boleh mendengar, bicaralah dan selagi mereka masih boleh dipeluk, peluklah.  Kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan merindui perkara yang paling sederhana, iaitu  suara emak memanggil nama kita dari dapur  dan suara ayah bertanya, “ kamu dah makan?”
.
DR.Usrynorie


Friday, 30 October 2026

Orang Yang Mengajar Kita Tentang Hidup, Tidak Semestinya Ada Ijazah

 



“Orang yang paling banyak mengajar kita tentang kehidupan tidak semestinya memiliki ijazah. Mereka hanya mempunyai kerja keras, iman dan akal yang waras.”

. 

Kata-kata ini bukan bermaksud pendidikan itu tidak penting. Sebaliknya, ia mengingatkan kita bahawa ilmu tentang kehidupan tidak semuanya boleh kita pelajari di universiti. Ada ilmu yang hanya boleh dipelajari melalui pengalaman, pengorbanan, kesusahan, kesabaran dan kasih sayang. Dan selalunya, guru kehidupan yang paling hebat itu ialah ayah dan ibu kita sendiri.

Pernahkah kita terfikir, siapakah orang pertama yang mengajar kita erti kehidupan?
Bukan profesor di universiti, bukan guru yang mengajar kita di sekolah, juga bukan influencer atau PU yang kita ikuti di media sosial tetapi orang itu adalah dua orang yang mungkin tidak pernah memiliki ijazah tinggi. Ayah dan ibu kita.

Mungkin ayah hanya bekerja sebagai buruh, petani, nelayan, pemandu, pekerja kilang atau seorang peniaga kecil. Manakala ibu kita pula hanya seorang suri rumah atau  bekerja sebagai pembantu di rumah orang. 
Mereka mungkin tidak pernah belajar tinggi, atau setakat hanya tamat darjah enam di sekolah rendah. Dan ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Tetapi lihatlah hari ini, anak-anak mereka telah sampai ke universiti. Anak-anak mereka ada yang jadi guru, doktor, jurutera, pensyarah, pegawai kerajaan, usahawan dan pelbagai lagi.


Bagaimana mereka mampu mendidik kita sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi?
Kerana mereka mengajar kita dengan kehidupan. Ayah Mengajar Kita Erti Kerja Keras. Tentu ramai yang masih ingat ketika kita kecil, pagi-pagi lagi ayah sudah bangun. Ketika kita masih lena, ayah mungkin sudah ada di kebun getah. 

Kadang-kadang kita tidak pernah tahu berapa banyak penat yang ditanggungnya. Yang kita nampak ialah, setiap kali balik kerja, baju ayah basah dengan peluh, tangan ayah kasar dan wajahnya letih. Tetapi bila kita minta duit belanja sekolah, dia tetap cuba memberikannya, kalau kita mahu beli buku, dia akan usahakan, kalau kasut sekolah kita sudah koyak, dia cuba cari jalan untuk membelikannya.

Ayah mungkin tidak pernah memberikan ceramah tentang erti tanggungjawab tetapi setiap hari, dia menunjukkannya kepada kita. Dia mengajar melalui perbuatannya, bahawa seorang lelaki perlu bekerja keras untuk keluarganya.


Begitu juga ibu. Berapa banyak perkara yang ibu lakukan tanpa kita sedari? Dia bangun awal menyediakan sarapan, membasuh pakaian, memasak, mengemas rumah, menjaga kita ketika sakit dan tunggu kita balik dari sekolah. Dan yang paling kita ingat ialah, kadang-kadang lauk yang paling sedap diberikan kepada kita dan ibu sendiri makan apa yang tinggal. 

Ketika kita masih kecil, kita mungkin menganggap semuanya biasa. Kita fikir makanan memang akan tersedia, baju memang akan bersih, rumah memang akan terurus. Tetapi bila kita dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, barulah kita faham, rupanya semua itu memerlukan pengorbanan. 

Ibu mungkin tidak pernah belajar tentang psikologi keibubapaan tetapi dia tahu bila anaknya sedang sedih. Dia tahu bila kita sedang menyembunyikan masalah, iaitu daripada nada suara kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Itulah ilmu yang lahir daripada kasih sayang.



Ayah dan ibu mungkin tidak tahu istilah seperti positive psychology, emotional intelligence atau resilience  tetapi mereka sudah mengajar semua itu kepada kita. Apabila kita gagal dalam peperiksaan, ibu berkata, “Tak apa. Cuba lagi.”  Bila kita jatuh ketika belajar menunggang basikal, ayah akan kata, “Bangun. Cuba lagi.”  Dan bila kita kecewa kerana tidak mendapat apa yang kita mahu, mereka mengajar kita supaya bersabar.

Tapi bila kita mendapat sesuatu yang lebih daripada orang lain, mereka mengajar kita supaya jangan sombong. Bila kita melakukan kesalahan, mereka menegur, bila kita sakit, mereka menjaga dan bila kita berjaya, mereka menjadi orang yang paling bangga.
Mereka mungkin tidak mempunyai sijil yang banyak tapi mereka mempunyai iman, pengalaman, kerja keras dan akal yang penuh dengan kebijaksanaan hidup.


Hari Ini Kita Sudah Dewasa, namun ada satu perkara yang kadang-kadang menyedihkan. Semakin kita dewasa, semakin kita sibuk. Sebok dengan kerja, perniagaan, keluarga dan komitmen. 

Telefon sentiasa berada di tangan. Kononnya kerana kita mengejar masa depan sehingga terlupa kepada orang yang telah membantu kita sampai ke hari ini. Padahal dulu, ibu yang  menunggu kita pulang dari sekolah. Sekarang, kita lupa mungkin ibu pula yang menunggu panggilan telefon daripada kita. Dulu ayah menghantar kita ke sekolah tapi ramai lupa yag sekarang mungkin ayah sudah tidak sekuat dahulu untuk berjalan jauh dan kita sering berkata,  “Nantilah saya balik.”  “Nantilah saya telefon.” “Nanti bila saya dah lapang.”  Tapi kita tidak pernah tahu berapa lama lagi perkataan “nanti” itu masih ada.

Justeru, kalau ayah dan ibu kita masih hidup, hargailah mereka. Telefon mereka, tanya khabar, duduk bersama mereka, belikan makanan kegemaran mereka, peluk mereka dan ucapkan terima kasih.  Tak perlu tunggu Hari Ibu atau Hari Bapa dan tak perlu tunggu kita menjadi kaya. 

Kadang-kadang, mereka tidak meminta apa-apa pun daripada kita. Mereka cuma mahu tahu bahawa anak yang dahulu mereka besarkan dengan penuh pengorbanan masih mengingati mereka.



Hari ini, mungkin kita mempunyai ijazah. Mungkin kita mempunyai jawatan yang tinggi. Mungkin kita mempunyai rumah yang besar dan kehidupan yang lebih selesa.
Tetapi jangan lupa, ada dua manusia yang mungkin tidak mempunyai semua itu, tetapi merekalah yang membantu kita menjadi seperti kita hari ini. Ayah dan ibu.

Jika kita berjaya, ada doa mereka di belakang kita, jika kita kuat, mungkin kerana mereka pernah mengajar kita bangun selepas jatuh dan jika kita mampu menghadapi kehidupan hari ini, mungkin kerana sejak kecil mereka telah menunjukkan kepada kita erti sabar, usaha dan pengorbanan. 

Maka jangan hanya kenang jasa mereka ketika mereka sudah tiada.  Hargai mereka ketika mereka masih boleh mendengar ucapan terima kasih kita kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan duduk sendirian dan teringat suara ibu memanggil nama kita.  Kita mungkin akan teringat tangan ayah yang pernah memimpin kita dan ketika itu, kita mungkin berharap, “Kalaulah aku boleh kembali sekali lagi untuk memeluk mereka dan berkata, terima kasih.”

Jangan tunggu hari itu. Peluklah mereka hari ini, kerana orang yang paling banyak mengajar kita tentang kehidupan mungkin tidak pernah memiliki ijazah tetapi mereka memiliki sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu  kasih sayang, pengorbanan, iman dan pengalaman hidup yang tidak mungkin diajar oleh mana-mana universiti.
.
DR.Usrynorie


Monday, 5 October 2026

Adakah anak hari ini lebih nakal?

 


'Dulu-dulu, mak ayah kita kenal jiran kita dan jiran kita pula kenal kita, Inilah antara sebabnya mengapa mereka tolong jaga kita'

.

Bila membaca kata-kata ini, terus saya teringat zaman saya kecil dulu, iaitu sekitar tahun tahun 80-an dan 90an. 

Ketika itu rumah kita mungkin tidak berpagar tinggi. Pintu rumah jiran pula jarang benar tertutup rapat. Jadi setiap petang kita boleh nampak jiran duduk di serambi atau pangkin bawah pokok mempelam. Ada yang sedang berbual sambil minum kopi, ada yang menyapu halaman dan ada yang memerhatikan anak-anak yang bermain di luar rumah. 

Tapi ada sesuatu yang unik dan menarik ketika itu. Ayah dan mak kita kenal hampir semua orang di kampung dan orang kampung pula kenal akan kita. 

Jadi tak hairanlah kalau jiran sebelah kenal kita, jiran di hujung jalan pun kenal kita, malah pakcik yang tinggal di hujung kampung pun kenal kita. Sampai kadang-kadang tu kita belum sempat memperkenalkan diri, dia dah tahu, “ Ooo...Ini anak Haji Nawi kan?” 

Begitulah rapatnya kehidupan kita dahulu. Satu kampung atau satu taman terasa seperti satu keluarga besar.  Kalau ada jiran kita yang mengalami kesusahan atau musibah, orang kampung akan datang membantu. Kalau ada yang sakit, pasti ada yang akan datang bertanya khabar. Kalau ada keluarga yang menghadapi masalah, jiran-jiran tidak hanya berdiri melihat dari jauh, masing-masing cuba membantu mengikut kemampuan. Ada yang bawa makanan, ada yang membantu datang angkat barang dan ada yang sekadar datang untuk menemani. 

Mak ayah kita ketika itu tak perlu pun buat pengumuman di media sosial atau update status whatsapp. Kadang-kadang cukup ada seorang yang 'volunteer' memberitahu seorang yang lain. “Rumah sebelah, tengah susah tu. Jom la kita pakat gi tengok.” 

Begitu juga apabila tiba musim kenduri. Hari ini mungkin kita akan tempah katering tapi kalau dulu-dulu, kenduri adalah kerja satu kampung. Sehari sebelum kenduri ( Orang Kelantan panggil, BEKWAH), akan ada yang akan datang bantu memasak. Malam sebelum hari kenduri tu akan ada yang datang kupas dan hiris bawang, ada yang mengupas ubi dan hiris jantung pisang untuk dibuat 'tersek jantung pisang'. Manakala kaum lelaki pula ada tugasan yang menanti. Ada yang jadi tukang basuh pinggan, tukang cari dan sediakan kayu api dan pasang khemah. Dan sesuatu yang unik di kampung saya di Kelantan ialah, di mana biasanya jiran yang datang ke rumah kita tu akan bawa bersama beras, gula, tepung, ubi atau bahan mentah lain sebagai tanda ingin membantu. Sebab itu kadang-kadang kenduri di rumah kami bukan lagi sekadar majlis keluarga tapi seolah-olah dah jadi majlis satu kampung. 

Dalam suasana seperti itulah kami membesar.  

Dan, satu lagi perkara yang paling kita ingat ketika itu ialah bagaimana jiran-jiran kita dulu turut menjaga tingkah laku anak-anak. Kalau kita bermain terlalu kasar masa main bola, akan ada yang menegur, kalau kita buat sesuatu yang tidak elok, pasti ada orang dewasa yang nampak dan jangan terkejut kalau petang itu juga berita tersebut sampai ke telinga ayah.  “Tadi anak kamu bergaduh dengan anak Pak Maun ketika main bola di padang hujung kampung Ya..”  

Waktu itu, kita mula rasa berdebar. Sebab kita tahu yang kampung ini ada mata dan kita tak boleh lari dari menerima hukuman. Mereka bukan sengaja cari salah kita tapi sebagai mata yang memerhati dan ambil berat. Jadi, di lain hari kita kena sentiasa berhati-hati. Bukan kerana kita takut kepada jiran tapi kerana kita tahu bahawa perbuatan kita akan diketahui oleh orang dewasa yang mengenali keluarga kita.

Begitulah cara komuniti dulu membantu mendidik anak-anak. Ayah dan emak bukan satu-satunya orang yang mengawasi kita tapi mereka ada ramai pembantu. Ada jiran, ada saudara dan ada orang kampung yang mengenali kita sejak kecil. Atas sebab itu jugalah jika ayah atau mak terpaksa keluar kawasan untuk sehari dua, kita masih boleh rasa agak tenang. Sebab kita tahu ada orang di sekeliling. Kalau berlaku sesuatu, ada yang boleh membantu, kalau kita perlukan pertolongan, ada pintu rumah yang boleh diketuk dan kalau bernasib baik, sepanjang mak ada ayah kita tak ada di rumah tu, ada dapur yang sudi memasak dan jemput kita datang makan nasi ke rumah mereka.

Hari ini kehidupan kita sudah banyak berubah. Kita tinggal di rumah yang lebih selesa. Rumah kita ada pagar, ada CCTV, ada telefon bimbit dan pelbagai teknologi yang boleh membantu kita untuk berhubung. Tetapi dalam sesetengah kawasan atau komuniti, kita mungkin tidak lagi mengenali jiran seperti kita di kampung dulu. 

Jiran sebelah mungkin sudah bertahun-tahun tinggal di sebelah rumah kita tetapi kita masih tak tahu siapa namanya dan dari mana dia berasal. Setiap hari kita keluar pergi kerja, jiran juga keluar pergi kerja. Bila petang atau senja, kita balik, masuk rumah dan jiran pun sama. Jadi pintu kita dan pintu jiran sebtiasa ditutup. Hujung minggu, kita buat hal masing-masing dan dunia masing-masing. Jiran pun serupa. Alasannya sebab kita nak 'healing' selepas seminggu berkerja. Kita tak nak ada yang mengganggu. Akhirnya, kita tak pernah bertegur sapa. 

Bukan bermaksud jiran hari ini tidak baik, bukan juga bermaksud zaman dulu semuanya sempurna. Tidak.. Tetapi apa yang nak saya sampaikan di sini ialah  hubungan sesama kita sekarang mungkin tidak lagi sedekat seperti kita di kampung dulu. Dan bila hubungan kita semakin jauh, kita akan kehilangan satu perkara yang dahulu sangat bernilai, iaitu rasa bahawa kita tidak bersendirian.

Dulu, kalau kita tidak kelihatan sepanjang petang, mungkin ada jiran yang akan yang bertanya pada anak dia, “ Eh.. Yus, mana? Tak nampak pun.” Tapi hari ini, mungkin kita tidak sedar pun anak siapa yang tinggal di rumah sebelah. Dulu, kalau kita buat salah, ada orang dewasa yang berani tegur tapi hari ini, kita mungkin teragak-agak untuk tegur anak jiran kita yang sedang melakukan aksi 'willi' dengan motosikal di depan rumah kita kerana takut dianggap mencampuri urusan orang lain. 

Dulu, kita mungkin rasa satu kampung sedang menjaga kita tapi hari ini, kita mungkin mempunyai ramai “kawan” di telefon, tetapi tidak semestinya mempunyai seseorang di sebelah rumah yang benar-benar mengenali anak kita.

Adakah anak hari ini lebih nakal? Mungkin soalan yang lebih baik ialah, Adakah dunia mereka sudah berubah? 

Kita tidak boleh mengatakan semua anak dahulu baik dan semua anak sekarang nakal. Tidak begitu. Setiap zaman ada cabarannya tetapi dulu, anak-anak mempunyai lebih ramai orang dewasa di sekeliling mereka. 

Hari ini, dunia anak-anak lebih luas. Mereka boleh berkomunikasi dengan orang yang kita sendiri tidak kenal. Mereka boleh mendapatkan hiburan tanpa keluar rumah, mereka boleh berada berjam-jam dalam dunia sendiri dan kadang-kadang ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku di sebalik skrin. 

Sebab itu anak-anak tetap memerlukan sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh teknologi dan mungkin itulah sebabnya kenangan zaman dahulu terasa begitu mahal. Dulu kita bukan sekadar mempunyai rumah tapi kita juga punyai komuniti. Kita bukan sekadar mempunyai jiran tapi kita mempunyai orang yang sentiasa mengambil berat. Dan anak-anak bukan sekadar membesar dalam sebuah keluarga tapi mereka membesar dalam sebuah kampung. 

Dulu kita tidak mempunyai kamera keselamatan di setiap sudut, tak ada telefon pintar untuk mengetahui lokasi anak dan tak ada aplikasi untuk memantau mereka. Tetapi kita mempunyai sesuatu yang kadang-kadang lebih kuat daripada semua itu. Kita saling mengenali dan apabila orang saling mengenali, mereka lebih mudah saling menjaga.  

Mungkin itulah sebabnya zaman kecil kita terasa begitu selamat.

Mungkin kita tidak mampu mengembalikan sepenuhnya kehidupan tahun 80-an dulu tapi kita masih boleh memulakannya semula dalam cara yang kecil. Mulai hari ini, cuba berkenalan dengan jiran kita. Tegur mereka, tanya khabar dan bantu sekadar yang mampu apabila mereka memerlukan. Biarkan anak-anak kita juga mengenali jiran dan orang di sekeliling mereka kerana keselamatan bukan hanya datang daripada pagar yang tinggi, kamera atau teknologi, kadang-kadang keselamatan juga lahir daripada hubungan manusia yang saling mengenali dan mengambil berat.  

Mana tahu mungkin suatu hari nanti, apabila anak kita keluar bermain, akan ada seorang jiran yang mengenali namanya atau seorang jiran yang berani berkata pada anak kita dengan ayat, “Jangan balik lambat sangat. Nanti mak kamu cari.” 

Kita mungkin sudah kehilangan sebuah zaman, tetapi kita masih boleh menghidupkan semula semangatnya.  Semangat sebuah kampung yang tidak membiarkan anak-anak membesar sendirian kerana dulu satu kampung menjaga anak kita dan mungkin itulah sebabnya, walaupun hidup kita sederhana, hati kita berasa begitu selamat.

.
DR.Usrynorie

Saturday, 3 October 2026

Dulu Duit Tak Banyak, Tetapi Kita Tak Pernah Rasa Hidup Kita Susah

 


"Dulu, mak ayah nak dapatkan duit cukup susah, tapi mereka tak pernah menunjukkan wajah sedih di depan kita. Apa yang kita nampak ialah makanan sentiasa ada di atas meja, pakaian yang sentiasa menampal di badan dan yang paling penting ialah mereka ajar kita ADAB. Sesuatu yang lebih berharga dari harta yang banyak".

Bila membaca kata-kata ini, kita terus teringat zaman kita bersekolah dulu. Sekitar tahun 80-an, di mana zaman kehidupan kita yang cukup sederhana. Kebanyakan rumah kita ketika itu tidaklah besar, perabut juga ala kadar saja dan tidak banyak. Telefon? Jauh sekali. Zaman tu telefon bimbit belum ada. Begitu juga dengan internet. Tak pernah dengar perkataan tersebut sama ada di sekolah atau di rumah.

Tetapi peliknya, apabila kita mengenang kembali zaman itu, kita jarang teringat tentang apa yang kita tidak ada. Kita lebih banyak teringat tentang apa yang kita ada. Kita akan teringat pada kawan-kawan, teringat sekolah, basikal, bola, buku latihan dan tentu sekali, keluarga.

Setiap pagi, emak akan kejutkan kita.

“Bangun… dah pagi. Nanti lambat ke sekolah.”

Kita pun bangun dalam keadaan mamai. Capai tuala dan turun ke perigi atau masuk bilik air. Gosok gigi, mandi dan ambil wuduk. Kemudian kita naik ke rumah dan tunaikan solat Subuh. Selepas selesai solat, kita pun sarung uniform sekolah yang sudah disediakan. Baju sekolah kita mungkin bukan yang baru setiap tahun tapi masih elok, jadi kita pakai lagi dengan gembira. Kasut sekolah pun sama. Kalau bahagian tepi sudah mula terbuka sedikit, mungkin ayah akan cuba gam atau jahit mana yang boleh. Yang penting, kasut itu masih boleh dipakai. Beg sekolah pula mungkin sudah digunakan sejak tahun sebelumnya. Tak mengapa. Selagi zip masih boleh ditutup dan tali beg belum putus, kita terus guna.

Sebelum keluar rumah, mak akan sediakan sarapan yang sederhana. Kadang-kadang nasi goreng, kadang-kadang roti dan telur atau sekadar nasi dingin yang diperangat semula dan makan dengan lauk yang tak habis malam tadi. Kemudian mak akan bagi duit belanja. Mungkin beberapa puluh sen saja. Tapi jika kebetulan semalam ayah baru lepas jual sekerap getah yang dia toreh, atau baru lepas jual padi yang mereka tanam di sawah, dapatlah mereka bagi duit belanja banyak sikit. Iaitu satu ringgit. Satu jumlah yang agak besar pada waktu tu.  

Kita pun ambil duit itu dan masukkan ke dalam poket  supaya tidak tercicir sepanjang perjalanan ke sekolah. Kemudian kita turun ke tanah, capai basikal dan kita pun kayuh beramai-ramai dengan kawan yang setia menunggu di simpang atau yang datang dari rumah sebelah. Kemudian kita akan kayuh bersama-sama sambil berbual tentang macam-macam perkara. 

Sampai di sekolah, suasana terus berubah.  Loceng berbunyi. Setiap hari Ahad ( Di negeri Pantai Timur khusunya Kelantan, hari Ahad adalah hari pertama berkerja) perhimpunan pagi bermula. Kita berdiri dalam barisan dengan uniform yang mungkin sudah sedikit berkedut kerana tadi kita berpeluh semasa mengayuh basikal. Selepas habis perhimpunan kita pun  masuk kelas. Buku latihan dikeluarkan dan tunggu cikgu masuk mengajar.  

Bila waktu rehat tiba, itulah masa yang paling ditunggu. Kita beratur di kantin. Duit beberapa puluh sen di tangan dan kita mula mengira.
“Kalau beli nasi lemak, agak-agak tinggal berapa duit aku?”
“Kalau beli air, cukup tak nak beli kuih nanti?”
Kadang-kadang kita memilih makanan yang paling mengenyangkan kerana duit tidak banyak. Ada juga kawan-kawan yang bawa bekal dari rumah. Mungkin ketika itu mak ayah dia memang tak cukup duit nak bagi wang belanja. Jadi dia bawa bekal saja.  Bila duduk makan bersama kawan, masing-masing membuka bekas makanan. Ada yang bawa nasi goreng, ada yang cuma nasi dengan kicap dan ada yang sekadar bawa kuih dua tiga ketul. Tetapi kita tidak pernah rasa pelik. Yang seronoknya, kadang-kadang kawan hulurkan sedikit kuih yang dia bawa dan kita pula hulur sedikit makanan kita kepada dia. 
“Nah, rasa ni.”
Tidak lama kemudian loceng berbunyi. Kita masuk semula ke kelas. Habis sekolah, balik rumah. 

Kehidupan kita waktu itu memang sederhana. Ada ayah yang bekerja makan gaji. Ada yang berniaga kecil-kecilan dan ada yang bekerja kampung, menoreh, berkebun atau sebagai pesawah. 

Bila musim tengkujuh datang, pendapatan kami biasanya akan berkurangan.  Begitu juga bila musim kemarau, kerja tertentu mungkin tidak dapat dilakukan seperti biasa.  Kadang-kadang kita dapat melihat ayah hanya duduk termenung memikirkan perbelanjaan rumah. Memikirkan duit sekolah anak-anak, hutang di kedai runcit yang perlu dibayar, beras di dapur yang semakin berkurangan dan bagaimana hendak memastikan hujung bulan masih ada duit untuk membeli keperluan rumah. 

Tetapi sebagai anak-anak, kita tidak begitu memahami semua itu.  Kita masih terlalu kecil untuk memahami beban yang sedang dipikul oleh ayah. Yang kita tahu, setiap pagi emak tetap menyediakan sarapan, kita pergi ke sekolah, buku dan alat tulis tetap ada, baju sekolah tetap tersedia dan apabila kita pulang dari sekolah, makanan tetap ada di atas meja. Kita makan, kita kenyang, kemudian kita keluar bermain. Kita tidak pernah terfikir dari mana datangnya duit untuk membeli semua itu. Kita tidak pernah bertanya berapa harga beras dan kita tidak pernah tahu berapa banyak yang ayah perlu fikirkan sebelum membeli lauk untuk makan malam. 

Kita tidak fikir semua tu dan kita juga tidak membandingkan makanan kita dengan makanan orang lain. Sebab kita tahu  itulah yang emak mampu sediakan buat kita. Dan pada waktu itu, kita tidak pernah merasakan diri kita miskin. Kita cuma tahu kita sedang makan bersama keluarga. Itu sahaja sudah cukup.

Pakaian pun  sama.  Tidak semua pakaian kita dibeli di pusat membeli-belah. Kadang-kadang emak  cuma mampu beli di pasar malam saja. Walaupun murah dan kadang-kadang  tidak begitu cantik tetapi bila emak hulurkan pakaian itu sambil berkata, “Nah, ini baju baru.” Kita tetap terima dengan wajah yang  berseri.  Bagi kita, baju baru tetap baju baru. tak berjenama pun tak apa, yang penting, kita ada sesuatu untuk dipakai.

Tapi ada satu perkara yang paling kita ingat. Satu pekara yang lebih penting diberi oleh ibu bapa kita ketika itu yang lebih penting dari makanan atau pakaian. Iaitu didikan. 

Ayah dan emak mungkin tidak mampu memberikan kita segala-galanya tetapi mereka cuba memberikan sesuatu yang mereka tahu akan kita bawa sepanjang hidup. Kita diajar supaya memberi salam bila bertemu orang yang lebih tua dari kita, kita diajar menghormati orang tua-tua.  Kita juga diajar, kalau bercakap dengan guru, kita kena jaga bahasa dan kata-kata, kalau ada melakukan kesalahan kita kena minta maaf, kalau melihat orang susah, kita bantu setakat yang mampu  dan kalau dapat sesuatu, jangan lupa ucap terima kasih dan bersyukur.

Kita mungkin tidak faham sepenuhnya maksud perkataan itu ketika itu kerana kita masih budak-budak tetapi  bila kita meningkat remaja, kita mula mengerti. Kita juga belajar bahawa hidup tidak semestinya memberikan apa yang kita mahu. Kadang-kadang kita perlu menerima apa yang ada, ada ketikanya kita perlu menunggu, ada masa pula kita perlu berkongsi dan kadang-kala kita perlu belajar mengalah.

Ayah dan emak mungkin tidak mampu memberikan segala-galanya  tetapi mereka cuba memastikan kita tidak tidur dalam kelaparan. Mereka mungkin tidak mampu membelikan kita pakaian mahal tetapi mereka memastikan kita mempunyai pakaian untuk ke sekolah. Mereka mungkin tidak mampu memberikan wang saku yang banyak tapi mereka tetap cuba menyelitkan beberapa sen  ke dalam tangan kita sebelum pergi sekolah. Kita tidak tahu pun bahawa mungkin duit itulah antara perkara terakhir yang ada dalam poket ayah atau emak pada pagi itu. Kita tidak tahu sebab kita masih kecil. Kita hanya tahu ayah dan emak sentiasa ada.

Hari ini, kita mungkin sudah mempunyai pendapatan sendiri. Kita mampu beli makanan yang lebih mahal, kita mampu membeli pakaian berjenama, telefon yang jauh lebih canggih daripada apa yang pernah kita bayangkan ketika kecil tetapi kadang-kadang kita tertanya, "Kenapa hati kita masih rasa tidak cukup?"


Hari ini, kita sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Kita mampu membeli makanan yang lebih mahal, pakaian berjenama dan telefon pintar yang jauh lebih canggih daripada apa yang pernah kita impikan ketika kecil dahulu. 


Dulu, kita hanya mampu melihat. Hari ini, kita sudah mampu membeli. Tetapi anehnya, semakin banyak yang kita mampu miliki, semakin banyak pula yang kita inginkan. Misalnya, telefon yang kita beli tahun lalu masih elok, tetapi kita mula teringin model baharu. Rumah yang kita diami hari ini cukup selesa tapi kita mula membandingkannya dengan rumah orang lain. Pendapatan kita juga cukup untuk hidup tetapi bila kita tengok orang lain dapat lebih banyak, gaji lebih besar, lalu tiba-tiba kita merasakan diri kita masih ketinggalan. Kemudian kita mula tertanya-tanya, mengapa hidup kita semakin senang, tetapi hati kita masih terasa tidak cukup?


Mungkin jawapannya ada pada cara kita dibesarkan dahulu. 


Mak ayah kita mungkin tidak mampu beri banyak kemewahan pada kita tetapi mereka mengajar kita menghargai apa yang ada. Mereka tidak dapat memenuhi semua kehendak kita, tetapi mereka berusaha memastikan keperluan kita terjaga.

Mereka mengajar kita bahawa tidak semua yang kita mahu akan menjadi milik kita. Ada kalanya kita perlu menunggu. Ada kalanya kita perlu mengalah. Dan ada kalanya kita perlu belajar menerima bahawa apa yang kita ada hari ini sebenarnya sudah memadai.


Hari ini, mungkin kita sudah lupa pelajaran itu. Sebab kita terlalu sibuk mengejar apa yang belum ada sehingga tidak sempat menikmati apa yang sudah kita miliki. Kita sebok melihat kehidupan orang lain sehingga merasakan kehidupan sendiri tidak cukup baik. Kita ukur kebahagiaan berdasarkan apa yang berjaya kita kumpulkan, sedangkan ketenangan mungkin bermula apabila kita belajar menghargai apa yang sudah ada di tangan.


Duit mungkin boleh habis, pakaian kita akan lusuh, rumah mungkin berubah tetapi nilai kemanusiaan yang mereka tanam dalam diri kita boleh dibawa sepanjang hidup. Mungkin dahulu ayah tidak punya banyak wang.  Mungkin ketika itu mak perlu berjimat setiap hari tapi mereka cuba memastikan kita tidak membesar dengan rasa bahawa kita ini miskin kasih sayang. Mereka ajar kita untuk makan bersama dan  belajar bersyukur dengan apa yang ada. 

Manusia yang kaya bukanlah manusia yang memiliki segala-galanya, tetapi manusia yang mampu menghargai apa yang Allah telah berikan kepadanya.  Allah SWT mengingatkan kita dalam surah Ibrahim yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu...” (Surah Ibrahim, 14:7)


Mungkin itulah antara pelajaran paling besar yang pernah diberikan oleh mak dan ayah kepada kita. Mak ayah tidak mengajar kita bagaimana untuk jadi manusia yang memiliki segala-galanya tetapi mereka mengajar kita bagaimana untuk menghargai apa yang kita ada. Bila kita belajar menghargai, kita akan sedar bahawa selama ini mungkin banyak perkara yang kita anggap biasa sebenarnya adalah nikmat yang sangat besar.


Cukuplah kita tahu menghargai apa yang ada, bersyukur dengan apa yang diberikan dan tidak lupa menjadi manusia yang baik kepada orang lain. Itulah antara perkara yang paling indah tentang zaman kecil kita waktu itu.   Duit kita ketika itu mungkin tidak banyak tapi kita kaya dengan kasih sayang, didikan dan rasa syukur tidak pernah berkira. 

Hidup yang bahagia bukan semestinya hidup yang memiliki segala-galanya. Kadang-kadang, hidup yang bahagia ialah bila kita mampu menikmati apa yang kita miliki tanpa sentiasa berasa kekurangan.

.
DR.Usrynorie


Satu Hari Nanti, Kita Akan Rindu Suara Mereka

  “Luangkan masa bersama ibu bapa. Layan mereka dengan baik. Kerana suatu hari nanti, apabila kamu mengangkat pandangan daripada telefon, me...