Saturday 28 July 2018

Tak boleh tidur jika tidak mendengar muzik






Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini kita menyimpang sikit dari berbincang tajuk biasa, iaitu perniagaan dan strategi.Kali ini nak membebel pasal tabiat tak baik yang sepatutnya ditinggalkan. Apa benda tu? Ikuti cerita ringkas saya ini.

Pada hujung minggu lepas, iaitu pada 26 hingga 30 Julai 2018, setelah hampir empat tahun tidak menghadirkan diri ke mana-mana seminar, kali ini saya berpeluang menghadiri satu seminar anjuran Malaysian Nefrology Socoety (MSN). Seminar kali ini  berlangsung di Pulau Pinang.

Seperti biasa, jika seminar itu mengambil masa yang panjang, pihak penganjur dan ‘sponsorship’ akan menyediakan hotel kepada peserta dan juga pembentang kertas kerja. Nasib saya agak baik kerana ditempatkan di Olive Tree Hotel, Bayan Lepas, bersebelahan  je dengan tempat seminar berlangsung, iaitu di Setia Spice Convention Centre. 

Saya berkongsi bilik dengan seorang staff  muda yang berkhidmat di salah sebuah hospital swasta di ibu kota. Umur beliau saya agak baru dalam lingkungan 20an dan mungkin  'adik' ni baru dua atau tiga tahun menceburkan diri dalam bidang heamodialisis. Apa yang menarik tentang 'adik' ini ialah beliau  tidak pernah meninggalkan solat sepanjang kami tinggal bersama di hotel tersebut. Terbaik! Jarang saya jumpa anak muda yang menjaga solat.Tambahan pula tak ada ibu bapa yang memantau.

Namun ada sesuatu yang saya agak kurang senang dengan tabiat beliau, iaitu tidur  samil menggunakan telefon bimbit dengan ‘earphone’ terpasang di telinga sehingga ke waktu pagi. Inilah satu tabiat yang saya rasa tidak bagus berkenaan 'adik' ni. Saya rasa bukan ‘adik’ ini saja yang mempunyai tabiat tidak baik ini. Anda di luar sana juga mungkin mempunyai tabiat yang sama, selagi tak sumbat ‘earphone’ yang mengalunkan muzik ke dalam telinga, selagi itu tak boleh tidur.

Tidak dinafikan bahawa muzik dapat menenangkan jiwa dan membantu kita untuk berehat atau tidur dengan lebih cepat tetapi tahukah anda bahawa tabiat mendegar muzik  dengan menggunakan ‘earphone’ ini sewaktu tidur bakal mengundang bahaya? Sama ada kepada kesihatan mahu pun keselamatan diri.

Sewaktu kita sedang tidur, sebahagian besar anggota kita tidak berfungsi dan keadaan ini memberi risiko untuk kita lebih terdedah kepada  sebarang bahaya yang mendatang. Oleh itu, tuhan telah menganugerahkan kepada kita  satu sistem penggera untuk memberi amaran awal supaya kita cepat  terjaga jika  sesuatu yang tidak diingini berlaku. 

Tugasan ini dipikul oleh sistem pendegaran kita iaitu telinga. Sewaktu tidur, telinga akan berfungsi sebagai ‘alarm sistem' dan bersedia untuk mengejutkan kita jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini misalnya ribut taufan yang tiba-tba  melanda kawasan perumahan kita atau pun berlakunya kebakaran  sewaktu kita sedang nyenyak tidur. 

Cuba anda bayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya anda menyumbat 'earphone' yang mengalunkan lagu-lagu keras sewaktu anda tidur dan pada masa yang sama tiba-tiba pula berlaku kebakaran dalam rumah anda? Sudah tentu sistem pendengaran yang berfungsi sebagai ‘alarm system’ tadi  tidak dapat mendengar atau mengesan apa yang sedang berlaku.  Ini seterusnya akan mendedahkan anda kepada bahaya dan jika nasib tidak menyebelahi anda, anda bakal rentung akibat terbakar.  

Sewaktu kita tidur juga, sistem otak akan turut sama berehat. Untuk membolehkan sistem otak kita berehat, ia memerlukan gelombang yang sangat rendah iaitu antara 0- 95dB. Namun apabila kita menyumbat ‘earphone’ yang sedang mengalunkan muzik ke dalam telinga, ia akan menyebabkan otak kita tetap bekerja  memproses muzik yang masuk itu.  Ini adalah kerana alunan muzik yang masuk ke dalam telinga melalui 'earphone' itu melebihi 95dB. Ini membuatkan otak kita tidak mendapat cukup rehat walaupun kita sudah tidur berjam-jam lamanya. Kesan jangka panjang akibat dari tabiat ini ialah ia boleh menyebabkan kita mudah mengalami sindrum  kemurungan.

selain itu, penggunaan ‘earphone’ yang berpanjangan  juga boleh meningkatkan risiko infeksi pada telinga. Penggunaan earphone yang kerap terutamanya sewaktu sedang tidur akan menyebabkan tersubatnya aliran udara ke dalam telinga. Ini seterusnya membuatkan kotoran yang berada di dalam telinga menjadi keras dan ia menyediakan  tempat pembiakan bakteria yang seterusnya akan menyumbang kepada infeksi telinga. 

Akhir sekali, tabiat ini juga amat bertentangan dengan adab sebagai seorang muslim. Rasulullah telah menyarankan kepada kita supaya membaca surah Al mulk, Al ikhlas, dan surah An nas sebelum  kita tidur. Kita juga disunatkan supaya berzikir sehingga kita terlelap. Jika kita tidur dan ditakdirkan kita tidak bangun-bangun lagi pada keesokan harinya, InsyaAllah kita akan dibangkitkan bersama orang-orang yang beriman. Cuba anda bayangkan apa akan terjadi  sekiranya kita meninggal dunia sewaktu tidur dalam keadaan telinga kita sedang dialunan oleh muzik yang melalaikan bukannya alunan zikrullah atau ayat suci Al Quran. Agak-agak anda di mana kesudahan kita?

Jadi, kepada adik ‘A’ dari hospital ‘D’ yang pernah tinggal sebilik dengan saya sewaktu seminar tempohari serta anda semua yang membaca posting ini harap kalau boleh bermula hari ini cuba tanam azam untuk meninggalkan tabiat buruk ini, Walaupun tabiat ini nampak remeh dan kecil  tetapi kesannya amat berat kepada kesihatan dan juga masa depan kita.

Sekian.. 

Thursday 19 July 2018

GST VS SST


Isu  berkenaan kesan cukai SST kepada pengguna nampaknya masih hangat diperkatan. Jika semalam  ada pihak yang melahirkan  kebimbangan akan berlakunya kenaikan kos apabila kita mengunjugi  restoran terpilih atau coffe house yang beroperasi di hotel-hotel di seluruh negara, hari ini giliran Persatuan Penjual  Otomotif Malaysia (MAA) pula menyuarakan  kebimbangan mereka yang  harga kenderaan juga mungkin akan meningkat apabila  cukai  SST 10% dilaksanakan nanti.

Malah mereka turut menjangkakan  harga kereta akan menjadi lebih mahal berbanding semasa era GST sebelum ini dan  mensasarkan jualankenderaan akan merosot sebanyak 5,000 unit dari sasaran awal iaitu 590,000 bagi jualan keseluruhan tahun 2018. Ini adalah kerana kadar SST ialah 10% sedangkan kadar GST hanyalah 6% sahaja.

Begitu juga dengan persatuan pengilang dan Industri Malaysia  (FFM). Mereka  juga melahirkan kebimbangan apabila SST dilaksanakan nanti, ia akan meningkatkan semula  kos pengeluaran dan  menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan produk yang  mereka keluarkan. Ini seterusnya akan menyumbang kepada kemerosotan  jualan sebagaimana yang  pernah dialami sewatu   zaman GST dilaksanakan dua tahun yang lalu.

Dalam konteks ini, jika mengikut perkiraan biasa, apa yang dinyatakan oleh Persatuan Penjual Otomotif Malaysia (MAA) dan Persatuan Pengilang dan Industri Malaysia (FFM) itu ada juga benarnya, namun perkiraan itu  mungkin tidaklah  begitu tepat.

Tidak dinafikan bahawa akan berlaku kenaikan ke atas harga kereta apabila SST dilaksanakan nanti kerana nilai SST ialah 10% sedangkan GST Cuma 6%.  Jika harga kereta RM30,000 ia akan menjadi RM 33,000 sedangkan sewaktu GST, harganya mungkin akan naik sebanyak RM31,000 sahaja.

Tetapi  perlu diingat bahawa cukai SST ini hanya dikenakan pada peringat pertama dalam sistem rantaian nilai (Value chain) sahaja sedangkan GST dikenakan pada setiap peringkat rantaian nilai. Walaupun mungkin harga kereta menjadi lebih  rendah semasa zaman GST dilaksanakan, namun begitu untuk jangka panjang, ia merugikan pihak pengguna.

Apabila kita membeli kereta, kita pasti mahu kenderaan tersebut sentiasa dalam keadaan terbaik.Oleh itu  Ia  perlu diselenggara (servis) mengikut jadual. Oleh itu kita jangan lupa bahawa  komponen alat ganti seperti minyak hitam, oil filter, air filter, spark plug, cecair radiator, pernah dikenakan GST sebelum ini. Begitu juga dengan insuran kenderaan sewaktu kita ingin memperbaharui cukai jalan, juga tertakluk pada GST 6%. Itu belum kira kos sewaktu nak tukar tayar kereta, viper yang dah keras, lampu signal yang pecah  dan alat ganti yang lain. Juga dikenakan GST.

Rasanya jika dihitung kos-kos ini, perbelanjaan keseluruhan sewaktu kita hidup dizaman GST adalah lebih tinggi berbanding kesan yang bakal kita hadapi apabila SST dilaksanakan nanti. Tambahan pula ada  khabar angin sedang  bertuip menyatakan  pihak kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengecualikan cukai ke atas alat ganti kenderaan.

Begitu juga dengan kebimbangan akan berlakunya kenaikan kos produk apabila SST dilaksanakan nanti. Tidak dinafikan akan berlakunya kenaikan kos akibat dari pengenalan 10% cukai SST sedangkan GST Cuma 6% sahaja. Namun, seperti yang dinyatakan tadi, SST hanya dikenakan sekali sahaja, iaitu  pada peringkat pertama rantaian nilai  (Value chain) sedangkan GST dikenakan di setiap peringkat rantaian nilai. 

Jika rantaian nilai itu memunyai  tiga  peringkat, maka ketiga-tiga  peringkat tersebut akan dikenakan GST.  Misalnya, baju .  selepas ianya dikeluarkan di kilang pakaian, ia akan dijual kepada pemborong, pada peringkat ini ia  akan dikenakan 6% GST. Kemudian, dari  tangan pemborong baju tadi dijual kepada pemilik  pasaraya, lagi 6% GST dikenakan, dan akhirnya anda pun beli baju tersebut, juga dengan harga yang telah dicampurkan  dengan  6% GST. Jumlah keseluruhan GST yang dibayar ialah  18% berbanding SST yang hanya  10%.

Walau bagaimana pun, ini adalah perkiraan awal. Orang kata benda masih di awan-awangan.  Masih lagi dalam perkiraan dan perbahasan.  Malah pihak kerajaanjuga  masih belum mengumumkan secara rasmi dan bagaimana sistem ini akan dilaksanakan. 

Namun apa yang pasti, sebagaimana di zaman  GST sebelum ini terdapat beberapa produk yang bebas GST. Begitu juga dengan sistem SST nanti. Produk seperti kangkung, ikan masin, budu, dan  nasi goreng sifar GST tetap tidak diusik oleh kerajaan. Produk-produk tersebut tetap menjadi produk bebas SST. Jadi golongan B40 mungkin tidak akan terkesan apabila cukai SST ini dilaksanakan nanti kerana mereka masih boleh menikmati barang yang bebas cukai.

Sekian coretan petang

Tuesday 17 July 2018

Perang Perdagangan US-China dan kaitannya dengan Pasaran Saham Malaysia.



Berbanding minggu sebelumnya, pasaran saham pada minggu lepas  ( 9-13 Julai 2018)  nampaknya  mula kelihatan stabil dan  mampu  menyerap tekanan  jualan berterusan yang dilakukan oleh pelabur asing yang ingin meninggalkan pasaran tempatan. Buktinya, Bursa Malayisa mula menunjukkan sedikit peningkatan untuk ditutup pada 1,721 mata, meningkat 18 mata dari minggu sebelumnya. 

Senario ini pasti  membuat anda yang sudah lama tidak memasuki pasaran mula berkira-kira untuk memasuki pasaran.

Namun, walaupun keadaan pasaran sudah kelihatan stabil dan menarik serta ditambah pula banyak kaunter-kaunter  saham yang  ‘terlebih jual’,  ada satu isu yang perlu anda teliti sebelum membuat keputusan memasuki pasaran kerana isu ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pergerakan pasaran secara keseluruhan untuk jangka panjang. Isu yang dimaksudkan   ialah  isu perang perdagangan  yang sedang rancak berlaku di antara China dengan Amarika.  

Perang perdagangan ini secara rasminya telah bermula pada 6 Julai 2018 yang lalu apabila Presiden Donald Trump mengumunkan kerajaan Amerika  akan mengenakan tariff sebanyak USD$34 billion ke atas produk yang diimport dari begara China.  Kesannya, ribuan barangan yang diimport dari negara China untuk dijual di pasaran Amerika  telah terjejas. Antaranya ialah  produk tembakau, bahan  kimia, arang batu, keluli, produk elektronik , aluminium serta pelbagai produk penguna yang lain seperti tayar kereta, perabot, basikal dan produk kayu.

Untuk membalas tindakan Amerika itu, kerajaan China juga  turut  mengenakan tariff bernilai USD$34 billion keatas beberapa produk Amerika  yang diimport ke negara tersebut seperti  buah-buahan segar, daging khinzir dan wain.  Sekarang ini kerajaan China sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tariff import ke atas produk pertanian Amarika pula terutamanya  kacang soya sekiranya perang perdagangan ini berlarutan.

Apa kaitannya perang perdagangan Amerika-China ini dengan negara kita?

Sebagaimana yang  kita ketahui, Malaysia  banyak mengeksport produk ke negara China dan Amerika. Misalnya komponen elektronik yang dibuat di negara kita di eksport ke negara China. Antara komponen elektronik yang dikeluarkanialah seperti mikrocip computer dan telefon bimbit.  

Disebabkan  kerajaan  Amerika  telah mengenakan tariff ke atas produk-produk  komputer dan telefon bimbit  keluaran negara  China, ia  akan menyebabkan harga komputer dan telefon bimbit buatan China  menjadi mahal apabila ianya  dijual di negara Amerika.  Ini seterusnya akan menjejaskan atau  mengurangkan permintaan ke atas  produk tersebut di Amerika.

Kesan dari pengurangan permintaan ini, pihak pengeluar telefon bimbit dan komuter yang berpusat atau beroperasi  di  negara China mula  mengurangkan  pengeluaran telefon bimbit dan computer mereka.  Apabila keadaan ini berlaku, kilang-kilang  di Malaysia yang menjadi pembekal kepada mikrocip untuk dieksort ke negara China  akan turut merasai kesannya dan sebagai tindak balas, pengusaha kilang ini juga turut mengurangkan aktiviti pengeluaran.  Ini seterusnya akan menyebabkan pendapatan pengusaha kilang yang mengeluar mikrocip tadi  mula merosot dan seperti biasa, mereka akan mengambil langkah penjimatan dan saya rasa anda semua sudah  maklum apa tindakan yang bakal dilakukan oleh mereka.

Kesan  ini tidak dialami oleh syarikat Malaysia  yang berurusan dengan negara China sahaja. Syarikat atau kilang Malaysia yang mengeksport produk atau komponen elektronik, barangan solar dan mesin basuh ke Amarika syarikat juga turut terjejas akibat krisis perdagangan Amerika-China ini kerana kerajaan China juga mengenakan tariff yang sama ke atasproduk keluaran Amerika yang diimport ke negara China. Dianggarkan sebanyak USD$5.3 billion hasil eksport produk-produk kita  ke Amerika bakal  terjejas jika krisis ini berpanjangan.

Apa kesannya kepada ekonomi dan pasaran saham ?

Sebagaimana yang kita telah bincangkan pada minggu lepas, pelabur asing sudah pun meninggalkan pasaran Malaysia semenjak dua bulan yang lalu. Pertamanya kerana ketelusan kerajaan Malaysia yang mengistiharkan jumlah hutang negara telah mencecah RM1 Trillion dan yang keduanya kerana ketidak tentuan suasana politik semasa dan kes 1MDB yang masih dalam siasatan.

Tindakan pelabur asing yang menjual pegangan mereka di Malaysia juga  telah menyebabkan nilai ringgit menjadi  semakin menyusut dan ini seterusnya akan memberi kesan kepada pendapatan boleh guna penduduk Malaysia dan kadar inflasi negara. Pasaran saham juga menerima kesan dari tindakan pelabur asing meninggalkan negara kita. Pasaran saham kita menjadi semakin tidak menarik. Apabila berlaku pula krisis perang perdagangan Cina- Amerika ini, ia akan menambah lagi ketidak tentuan dalam pasaran.

Walaupun bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz percaya bahawa Malaysia  masih lagi berdaya tahan dan mampu menghadapi kesan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) ini, namun sekiranya krisis ini berlarutan, ia boleh menjejaskan aktiviti perdagagan antara Malaysia-China dan Malaysia-Amerika. Jika keadaan ini tidak dipantau dan  diatasi oleh kerajaan Malaysia dan negara-neagara yang terlibat, bukan saja ekonomi kita yang terjejas, malah ekonomi dunia  bakal menghadapi krisis yang lebih teruk berbanding tahun 1997 dan 2008 yang lalu (Starbiz, 16 July,2018).

Jika krisis ini berpanjangan, banyak sektor ekonomi dalam negara kita  bakal terjejas. Sektor perindustrian dan perkilangan dijangka menerima kesan yang paling teruk  akibat krisis  perdagangan ini sebagaimana yang kita bincangkan tadi.

Selain dari sektor perindustrian, sektor perbankan dan pembinaan juga bakal menerima kesan negative. Oleh itu, kepada anda yang bercadang untuk melabur atau membeli kaunter-kaunter yang  berkaitan perindustrian, pembinaan dan perbankan, anda dinasihatkan mengkaji terlebih dahulu kesan perang perdagangan ini ke atas sektor-sektor  tersebut supaya anda dapat mengurangkan risiko kerugian.

Namun begitu, ada juga sektor  yang dijangka mendapat kesan positif akibat krisis perdagangan Amerika- China ini . Sektor tersebut ialah sektor perladangan. Jika krisis ini berlarutan dan kerajaan China  mengambil keputusan untuk mengenakan tarif  import ke atas produk bersasakan kacang soya  dari Amarika, secara tidak langsung ia akan mengurangkan permintaan terdahap produk tersebut di negara China, terutamanya minyak soya.  Sebagai  ganti, minyak kelapa sawit akan mengambil tempat di hati penduduk  di negara China dan ini bakal memberi kesan positif kepada saham di dalam sektor ini.  Jadi Saham-saham berkaitan perladangan mungkin boleh dipertimbangkan.  

Manakala  kaunter-kaunter saham yang berkaitan dengan barangan pengguna, petroleum dan  gas serta sektor  perkhidmatan pula  dijangka tidak banyak menerima kesan negatif akibat krisis perdagangan Amerika-China ini. Ini adalah kerana sektor –sektor  ini tidak terlibat secara langsung dengan krisis perang perdagangan Cina-Amerika.  Anda mungkin boleh membuat kajian tentang kaunter-kaunter yang beradadalam sektor-sektor yang disebutkan ini.

Sunday 8 July 2018

Masih Ada Peluangkah Untuk Kita Membuat Duit Di dalam Bursa Malaysia?



Sehingga Jumaat lepas,  6 Julai 2018, Bursa  Malaysia masih lagi mengalami  aktiviti jualan secara besar-besaran yang dilakukan oleh pelabur asing. Pada akhir dagangan pada hari tersebut, indeks Bursa Malaysia telah ditutup pada paras teredah dalam sepanjang tahun ini,  iaitu  pada paras 1,663.86 mata.

Sehingga artikel ini ditulis, Bursa Malaysia telah mengalami penurunan sebanyak  220 mata atau bersamaan dengan 9.3 %.  Manakala jumlah keseluruhan jualan yang dilakukan oleh pelabur asing sehingga ke hari ini  berjumlah RM1.8 billion.

Aktiviti penjualan  ini  adalah  aktiviti jualan yang terpanjang dalam sejarah Malaysia. Ia bermula  sebaik saja berlaku peralihan kerajaan pada bulan Mei 2018 yang lalu.  Kini sudah  hampir 34 hari Bursa Malaysia menyaksikan kejatuhan. Malah mengikut sesetengah pihak,  aktiviti jualan ini dijangka akan berlaku lagi  untuk beberapa minggu mendatang. (InsyaAllah saya akan menulis berkenaan isu ini dalam entri yang lain).

Jadi, ramai yang mula tertanya-tanya,  adakah peluang untuk melabur di dalam Bursa Malaysia sudah tertutup? Bukankah ada pepatah yang mengatakan, '' We buy when people start to sell and we sell when a crowds start to buy"!

Jika dilihat dari sudut positif, jualan secara besar-besaran  yang berlaku sepanjang dua bulan kebelakangan  ini adalah  tindak balas biasa apabila berlakunya peralihan sesebuah kerajaan.  

Kejadian sebegini bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah  ianya berlaku di seluruh dunia.  Pasaran saham Indonesia  pernah mengalami   kejatuhan sewaktu pertukaran kerajaan pada tahun 2014 yang lalu. Begitu juga apa yang dialami ileh pasaran saham Thailand tahun 2006 yang lalu. Keadaan  sebegini berlaku  kerana  pelabur  yang melabur di nagara kita bimbang  sekiranya kerajaan baru (Kerajaan Pakatan Harapan)  akan membuat   perubahan ke atas dasar-dasar yang teah dilaksanakan oleh kerajaan  Barisan Nasional sebelum ini. 

Kebimbangan ini semakin bertambah  apabila  Menteri  Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi  melaporkan keadaan sebenar ekonomi dan  tahap hutang negara kita. Malangnya, ketelusan dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh kerajaan ini telah  memberi  impak negative kepada ‘rating’ negara kita untuk  jangka masa pendek.

Ini memberi alasan kepada pelabur asing untuk menarik keluar modal mereka di Bursa Malaysia. Boleh dikatakan setiap hari pelabur-pelabur asing ini  menjual pegangan yang ada dalam pasaran saham kita  dan memegang wang tunai. Keadaan ini dijangka akan berterusan sehingga mereka kembali yakin bahawa kerajaan baru  ini mampu menawarkan peluang pelaburan yang menarik buat mereka. 

Faktor kedua yang menyumbang kepada   kejatuhan indeks Bursa Malaysia ialah disebabkan oleh kebimbangan terhadap perang perdagangan (trade War) yang berlaku di antara Amarika syarikat dengan negara China.   

Semenjak beberapa bulan yang lalu, perang perdagangan di antara Amarika-China ini telah berlaku dan keadaannya semakin membimbangkan. Misalnya, dua hari lepas, Presiden Amarika, Donald Trump telah mengumumkan bahawa kerajaan Amarika akan mengenakan tariff sebanyak US$34 billion ke atas produk yang diiport dari China. Sebagai balasan, kerajaan China juga akan mengenakan tariff yang sama ke atas produk Amarika yang dijual di China.   

Jika keadaan ini berterusan, ia  akan menyebabkan berlakunya gangguan ke atas rantaian nilai (suppy chain) dan  pertumbuhan ekonomi dunia. Banyak syarikat multinasional yang terlibat dalam perdagangan antrabangsa akan menerima tempias negatif.   

Di samping itu, harga barangan juga akan menjadi semakin  mahal dan  kadar inflasi akan meningkat.  Faktor ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhan ke atas pasaran serantau yang lain termasuk pasaran saham di negara kita.  

Kini, setelah hampir dua bulan berlaku sessi jualan secara besar-besaran, Bursa Malaysia mula  berada pada paras yang  cukup rendah dan  menarik (attractive) terutamanya  kepada  mereka yang melabur untuk  jangka panjang.  

Jika anda rajin membuat analisa, anda boleh temui  banyak  kaunter yang kukuh fundamentalnya tetapi berada dalam keadaan  ‘terlebih jual’  dan bakal melantun semula   apabila indikator ekonomi menunjukkan keadaan stabil dan  memasuki fasa pemulihan.  Antaranya ialah  kaunter saham  berkaitan pebankan,  barangan pengguna dan teknologi.

Mengikut kajian sebuah syarikat pelaburan Singapura, Nikko, mereka  juga mendapati tindak balas  dan aktiviti jualan yang berlaku di Bursa Malaysia kebelakangan  ini  agak  keterlaluan atau ‘over react’ .  Mengikut kajian mereka, kejatuhan dalam pasaran  saham Malaysia tidak setimpal atau seimbang  dengan keadaan fundamental ekonomi negara dan mereka menjangkakan ekonomi  negara  akan kembali  stabil selewat-lewatnya pada suku keempat 2018 atau seawal tahun 2019.  

Pendapat ini turut disokong oleh sebuah lagi syarikat penyelidikan, iaitu Rakuten Berhad. Mereka juga menjangkakan keadaan ekonomi negara akan kembali stabil pada suku keempat 2018 nanti dan apabila keadaan sudah pulih, Malaysia bakal menyaksikan semula pengaliran masuk pelabur asing. 

Tambahan pula pasaran Malaysia adalah antara yang terendah kadar turun naik (volatility) dan risiko berbanding pasaran serantau yang lain.  Mereka menjangkakan pada suku keempat 2018 nanti, kaunter- kaunter ‘blue chip’ dan berwajaran berat bakal mendapat manafaat kesan dari pengaliran masuk semula dana-dana asing ini.

Jadi, kepada anda yang baru belajar atau ingin mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran saham bolehlah  mula membuat kajian ke atas  kaunter-kaunter  yang anda  rasa ianya berpotensi  dapat memberi pulangan kepada anda.  Saya sendiri juga sedang mengkaji beberapa kaunter yang telah lama ditinggalkan.  Mana tahu, apabila pelabur asing kembali semula menanam modal  di negara kita pada akhir tahun ini atau awal tahun 2019 nanti, bolehlah saya menikmati 'duit terpijak'. 
Akhir kata, Selamat membuat kajian dan selamat melabur. 

Hidup tidak selalunya indah Namun kita kena terima seadanya

Orang kata langit tak selalunya cerah, kadang kala ada datang juga ribut dan taufan. Namun kita diminta untuk terima apa yang berlaku itu se...