Kalau kita yang membesar pada zaman 80-an dan 90-an teringat kembali zaman kanak-kanak dahulu, mungkin kita akan tersenyum sendiri. Hidup ketika itu sangat sederhana. Tidak ada telefon pintar, tak ada WhatsApp, tak ada TikTok dan tak ada Instagram. Kalau hendak berjumpa kawan, kita tidak hantar mesej tapi kita kayuh basikal.
Petang-petang, selepas siap kerja sekolah, selesai mengaji Quran di rumah Atok dan selesai membantu mak, saya akan keluar rumah dengan basikal. Kadang-kadang hanya memakai seluar track bottom yang dibeli di Pasar Selasa ( di kampung kami, pasar minggunya pada hari Selasa), T-shirt lusuh dan selipar. Saya akan pergi mencari kawan dari satu rumah ke satu rumah.
“Zai! Keluar!”
Kalau Zai tak ada, kita pergi pula ke rumah Mat Ropi. Kalau Mat Ropi tak ada, kami pergi cari Zizi di Kampung Setol. Begitulah cara kita bersosial. Tak ada online status untuk kami periksa dan tak ada last seen. Kalau kawan tak keluar rumah, kita hanya tahu satu perkara. “Dia tak boleh keluar hari ini. Mak dia suruh duduk di rumah." Dan kita pun mencari kawan yang lain.
Petang adalah waktu paling ditunggu. Ada yang bermain bola di padang, ada yang bermain badminton di halaman rumah, ada yang memancing di parit, ada yang bermain guli, galah panjang, batu seremban, congkak dan yang 'terer' sikit akan main sepak takraw. Manakala yang kaki bangku, mereka sekadar duduk di tepi jalan sambil berbual sambil bermain gitar dan menyumbangkan suara yang semula jadi tak berapa sedap didengar.
Ketika itu kita tidak perlukan permainan video yang canggih untuk merasa seronok. Kadang-kadang sebatang kayu pun boleh menjadi pistol, kotak kosong boleh menjadi kereta, kain buruk boleh menjadi jaring dan tanah lapang di belakang rumah boleh menjadi stadium Piala Dunia!
Yang paling menarik ialah kita mempunyai satu sistem yang sangat mudah. “Sebelum Maghrib, mesti balik!” Itulah curfew zaman kita. Tak perlu aplikasi untuk mengesan lokasi, tak perlu mak telefon berkali-kali. Cukup suara ibu dari muka pintu, “ Yus.. Balik! Dah nak Maghrib!” Kalau masih belum balik, suara ayah pula yang kedengaran. “Kalau tak nak balik, esok tak payah keluar!” Terus kita kayuh basikal pulang sepantas mungkin.
Hari ini kita mempunyai Wi-Fi yang laju. Kita boleh bercakap dengan orang yang berada beribu-ribu kilometer jauhnya tetapi kadang-kadang kita duduk semeja dengan keluarga sendiri pun masing-masing memandang skrin. Dulu kita tidak mempunyai Wi-Fi tetapi kita mempunyai kawan yang datang mengetuk pintu rumah, dulu kita tidak mempunyai telefon pintar tetapi kita mempunyai masa untuk berbual, dulu kita tidak mempunyai media sosial tetapi kita punya kenangan yang benar-benar kita lalui.
Mungkin itulah sebabnya zaman 80-an dan 90-an begitu istimewa buat kita yang pernah melaluinya. Bukan kerana kehidupan ketika itu sempurna sebab kita pernah lalui zaman susah, kita juga pernah bergaduh dengan kawan, pernah dimarahi ibu dan pernah jatuh basikal dan lutut berdarah. Tetapi apabila kita melihat kembali semuanya hari ini, kita sedar... Kita sebenarnya pernah sangat bahagia dengan perkara-perkara yang sangat sederhana.
Mungkin kita tidak mampu kembali ke zaman itu dan basikal lama mungkin sudah tiada, padang permainan mungkin sudah menjadi taman perumahan dan kawan-kawan pula sudah mempunyai keluarga dan kehidupan masing-masing. Tetapi kenangan itu masih boleh mengajar kita sesuatu. Bahagia tidak semestinya memerlukan teknologi yang canggih.
Kadang-kadang kita hanya perlukan masa, keluarga, kawan yang ikhlas dan keberanian untuk meletakkan telefon seketika lalu menikmati kehidupan yang sedang berlaku di depan mata. Kerana suatu hari nanti, mungkin kita akan merindui zaman hari ini pula. Dan ketika itu kita akan sedar... Yang kita rindukan bukanlah Wi-Fi yang laju, tetapi manusia yang pernah membuat hidup kita terasa begitu bermakna.
Al-Fatihah buat arwah ibu yang telah pergi dan arwah rakan-rakan yang telah meninggalkan kita terlebih dahulu.
.
DR.Usrynorie

