Friday, 27 November 2026

Rumah yang Semakin. Apabila suara yang biasa didengar semakin jarang kedengaran

 

Ada satu perkara yang tidak pernah kita bayangkan ketika anak-anak masih kecil iaitu pasa satu hari nanti, rumah kita yang dulunya bising akan menjadi semakin sunyi. 
Dulu, sebaik sahaja pulang dari kerja, belum sempat kita buka kasut, sudah kedengaran suara anak-anak menyambut dari dalam rumah.
“Ayah dah balik!”
Ada yang berlari mendapatkan kita dan belum pun sempat kita duduk, terus bercerita tentang apa yang berlaku di sekolah. Ada juga anak yang meminta kita melihat lukisan, permainan atau sesuatu yang baru dia pelajari. Kadang-kadang kita  penat melayan semua kerenah itu dan kita hanya mahu duduk berehat selepas seharian bekerja. Malah ada masanya kita minta mereka perlahankan suara ketika bermain di ruang tamu kerana kepala terasa pening.

Tetapi masa tidak pernah menunggu sesiapa.
Anak-anak yang dahulunya berlari ke arah kita kini sudah dewasa. Ada yang bekerja dan ada yang melanjutkan pelajaran. Mereka mempunyai tanggungjawab, kawan-kawan dan kehidupan mereka sendiri. 
Kita gembira dan turut berbangga melihat mereka berjaya berdikari dan itulah yang kita harapkan sejak mereka kecil dahulu. Namun, apabila semuanya benar-benar berlaku, hati seorang ayah tiba-tiba terasa seoalah bukan mudah untuk menerima perubahan itu.
.
Ada kalanya saya duduk sendirian di ruang tamu sambil memandang ke arah bilik anak-anak.  Pintu bilik yang dahulunya selalu terbuka kini lebih banyak tertutup. Katil mereka masih ada. Almari masih menyimpan beberapa pakaian lama. Ada barang-barang yang sengaja tidak dibuang kerana terlalu banyak kenangan tersimpan di situ.
Sesekali saya masuk ke bilik itu. Bukan kerana ada sesuatu yang hendak dicari, tetapi sekadar mahu melihat keadaan bilik yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Tiba-tiba teringat ketika mereka masih kecil.
Teringat suara mereka bergaduh kerana berebut 'remote' televisyen.  Saya juga teringat kasut sekolah yang berselerak di hadapan pintu dan suara mereka meminta duit belanja sebelum keluar rumah. Dulu, perkara-perkara kecil seperti itu kadang-kadang membuat saya mengeluh. Tapi sekarang, perkara yang sama menjadi kenangan yang sangat berharga. Saya mula sedar bahawa sesuatu yang dahulu dianggap biasa sebenarnya pernah menjadi sumber kebahagiaan dalam kehidupan kita.

Kadang-kadang orang menganggap seorang ayah tidak begitu terkesan apabila anak-anak meninggalkan rumah. Mungkin kerana ayah jarang menunjukkan perasaannya. Dia lebih banyak diam, sibuk bekerja atau melakukan perkara lain. 
Tetapi, kami juga  manusia biasa.
Kami juga merindui suara anak-anak. Kadang-kadang kami juga tertunggu-tunggu panggilan telefon daripada mereka dan ada masanya kami membuka telefon sekadar mahu melihat gambar atau membaca mesej lama. Bila telefon berbunyi, hati terasa sedikit gembira. 
“Assalamualaikum, ayah. Apa khabar?”
Walaupun perbualan itu hanya berlangsung beberapa minit, cukup untuk membuatkan hati seorang ayah terasa dekat semula dengan anaknya.
Kadang-kadang kami mahu bertanya lebih banyak perkara. Mahu tahu bagaimana kehidupan mereka, kerja mereka berjalan lancar ke tidak, mereka sudah makan atau ada masalah yang sedang dihadapi. Tetapi kami sedar anak-anak mempunyai kesibukan sendiri. Tidak semua perkara boleh diceritakan seperti dulu lagi.
Lalu ayah belajar untuk tidak terlalu mendesak. Cukuplah sekadar mengetahui mereka berada dalam keadaan baik.

Dalam psikologi, perubahan seperti ini sering dikaitkan dengan empty nest syndrome, iaitu perasaan kehilangan, kesunyian atau kekosongan yang mungkin dialami ibu bapa apabila anak-anak mula meninggalkan rumah dan menjalani kehidupan sendiri.
Perasaan ini boleh menjadi lebih kuat apabila sebahagian besar kehidupan seseorang ayah selama ini tertumpu kepada tanggungjawab membesarkan anak-anak.  
Apabila anak-anak sudah tidak lagi berada di rumah, rutin harian berubah. Perkara yang dahulu dilakukan untuk mereka tidak lagi diperlukan dengan cara yang sama. Namun, kita perlu memahami bahawa kesunyian bukan bermakna kehidupan kita sudah kehilangan tujuan.
Kita masih mempunyai kehidupan yang perlu dijalani.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali memberi perhatian kepada diri sendiri dan pasangan. Melakukan perkara yang dahulu sering tertangguh seperti keluar berjalan bersama isteri, menikmati secawan kopi bersama teman khariah kampung atau sekadar duduk berbual di beranda rumah. 
Tidak salah merindui masa lalu dan tidak salah juga sesekali berasa sedih apabila melihat rumah semakin sunyi. Tetapi jangan biarkan seluruh kehidupan kita hanya dipenuhi kenangan yang sudah berlalu.

Saya percaya, anak-anak yang sudah dewasa tetap menyayangi ibu bapa mereka. Cuma cara mereka menjalani kehidupan sudah berubah. Dulu mereka memerlukan kita hampir setiap masa. Sekarang mereka sedang belajar menjadi orang dewasa yang mampu mengurus kehidupan sendiri. Bukankah itu juga sebahagian daripada kejayaan kita sebagai ibu bapa?
Kita membesarkan mereka bukan untuk terus bergantung kepada kita, tetapi untuk membolehkan mereka berdiri dengan kaki sendiri. Jadi, apabila rumah semakin sunyi, jangan anggap semuanya sudah berakhir. Kita masih ada isteri yang menemani kita dan  ada sahabat untuk dikunjungi. Ini mungkin perkara yang boleh dipelajari dan pengalaman baharu yang boleh dinikmati. Dan yang paling penting, masih ada hari-hari yang Allah pinjamkan untuk kita isi dengan kebaikan dan rasa syukur.

Mungkin kita tidak lagi mendengar suara anak-anak setiap hari seperti dahulu. Tetapi kita masih boleh menghubungi mereka, bertanya khabar dan mendoakan kehidupan mereka. Saya merindui rumah yang dahulu. Saya merindui suara anak-anak yang pernah memenuhi setiap sudut rumah ini tetapi saya juga mahu belajar mencintai kehidupan yang ada di hadapan saya sekarang.
Kerana rumah ini mungkin semakin sunyi, tetapi kehidupan saya belum selesai dan selagi masih ada waktu, saya mahu terus menikmati hari-hari yang ada bersama isteri, dengan hati yang lebih tenang dan penuh kesyukuran.
.
DR.Usrynorie


No comments:

Rumah yang Semakin. Apabila suara yang biasa didengar semakin jarang kedengaran

  Ada satu perkara yang tidak pernah kita bayangkan ketika anak-anak masih kecil iaitu pasa satu hari nanti, rumah kita yang dulunya bising ...