“Orang yang paling banyak mengajar kita tentang kehidupan tidak semestinya memiliki ijazah. Mereka hanya mempunyai kerja keras, iman dan akal yang waras.”
.
Kata-kata ini bukan bermaksud pendidikan itu tidak penting. Sebaliknya, ia mengingatkan kita bahawa ilmu tentang kehidupan tidak semuanya boleh kita pelajari di universiti. Ada ilmu yang hanya boleh dipelajari melalui pengalaman, pengorbanan, kesusahan, kesabaran dan kasih sayang. Dan selalunya, guru kehidupan yang paling hebat itu ialah ayah dan ibu kita sendiri.
Pernahkah kita terfikir, siapakah orang pertama yang mengajar kita erti kehidupan?
Bukan profesor di universiti, bukan guru yang mengajar kita di sekolah, juga bukan influencer atau PU yang kita ikuti di media sosial tetapi orang itu adalah dua orang yang mungkin tidak pernah memiliki ijazah tinggi. Ayah dan ibu kita.
Mungkin ayah hanya bekerja sebagai buruh, petani, nelayan, pemandu, pekerja kilang atau seorang peniaga kecil. Manakala ibu kita pula hanya seorang suri rumah atau bekerja sebagai pembantu di rumah orang.
Mereka mungkin tidak pernah belajar tinggi, atau setakat hanya tamat darjah enam di sekolah rendah. Dan ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Tetapi lihatlah hari ini, anak-anak mereka telah sampai ke universiti. Anak-anak mereka ada yang jadi guru, doktor, jurutera, pensyarah, pegawai kerajaan, usahawan dan pelbagai lagi.
Bagaimana mereka mampu mendidik kita sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi?
Kerana mereka mengajar kita dengan kehidupan. Ayah Mengajar Kita Erti Kerja Keras. Tentu ramai yang masih ingat ketika kita kecil, pagi-pagi lagi ayah sudah bangun. Ketika kita masih lena, ayah mungkin sudah ada di kebun getah.
Kadang-kadang kita tidak pernah tahu berapa banyak penat yang ditanggungnya. Yang kita nampak ialah, setiap kali balik kerja, baju ayah basah dengan peluh, tangan ayah kasar dan wajahnya letih. Tetapi bila kita minta duit belanja sekolah, dia tetap cuba memberikannya, kalau kita mahu beli buku, dia akan usahakan, kalau kasut sekolah kita sudah koyak, dia cuba cari jalan untuk membelikannya.
Ayah mungkin tidak pernah memberikan ceramah tentang erti tanggungjawab tetapi setiap hari, dia menunjukkannya kepada kita. Dia mengajar melalui perbuatannya, bahawa seorang lelaki perlu bekerja keras untuk keluarganya.
Begitu juga ibu. Berapa banyak perkara yang ibu lakukan tanpa kita sedari? Dia bangun awal menyediakan sarapan, membasuh pakaian, memasak, mengemas rumah, menjaga kita ketika sakit dan tunggu kita balik dari sekolah. Dan yang paling kita ingat ialah, kadang-kadang lauk yang paling sedap diberikan kepada kita dan ibu sendiri makan apa yang tinggal.
Ketika kita masih kecil, kita mungkin menganggap semuanya biasa. Kita fikir makanan memang akan tersedia, baju memang akan bersih, rumah memang akan terurus. Tetapi bila kita dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, barulah kita faham, rupanya semua itu memerlukan pengorbanan.
Ibu mungkin tidak pernah belajar tentang psikologi keibubapaan tetapi dia tahu bila anaknya sedang sedih. Dia tahu bila kita sedang menyembunyikan masalah, iaitu daripada nada suara kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Itulah ilmu yang lahir daripada kasih sayang.
Ayah dan ibu mungkin tidak tahu istilah seperti positive psychology, emotional intelligence atau resilience tetapi mereka sudah mengajar semua itu kepada kita. Apabila kita gagal dalam peperiksaan, ibu berkata, “Tak apa. Cuba lagi.” Bila kita jatuh ketika belajar menunggang basikal, ayah akan kata, “Bangun. Cuba lagi.” Dan bila kita kecewa kerana tidak mendapat apa yang kita mahu, mereka mengajar kita supaya bersabar.
Tapi bila kita mendapat sesuatu yang lebih daripada orang lain, mereka mengajar kita supaya jangan sombong. Bila kita melakukan kesalahan, mereka menegur, bila kita sakit, mereka menjaga dan bila kita berjaya, mereka menjadi orang yang paling bangga.
Mereka mungkin tidak mempunyai sijil yang banyak tapi mereka mempunyai iman, pengalaman, kerja keras dan akal yang penuh dengan kebijaksanaan hidup.
Hari Ini Kita Sudah Dewasa, namun ada satu perkara yang kadang-kadang menyedihkan. Semakin kita dewasa, semakin kita sibuk. Sebok dengan kerja, perniagaan, keluarga dan komitmen.
Telefon sentiasa berada di tangan. Kononnya kerana kita mengejar masa depan sehingga terlupa kepada orang yang telah membantu kita sampai ke hari ini. Padahal dulu, ibu yang menunggu kita pulang dari sekolah. Sekarang, kita lupa mungkin ibu pula yang menunggu panggilan telefon daripada kita. Dulu ayah menghantar kita ke sekolah tapi ramai lupa yag sekarang mungkin ayah sudah tidak sekuat dahulu untuk berjalan jauh dan kita sering berkata, “Nantilah saya balik.” “Nantilah saya telefon.” “Nanti bila saya dah lapang.” Tapi kita tidak pernah tahu berapa lama lagi perkataan “nanti” itu masih ada.
Justeru, kalau ayah dan ibu kita masih hidup, hargailah mereka. Telefon mereka, tanya khabar, duduk bersama mereka, belikan makanan kegemaran mereka, peluk mereka dan ucapkan terima kasih. Tak perlu tunggu Hari Ibu atau Hari Bapa dan tak perlu tunggu kita menjadi kaya.
Kadang-kadang, mereka tidak meminta apa-apa pun daripada kita. Mereka cuma mahu tahu bahawa anak yang dahulu mereka besarkan dengan penuh pengorbanan masih mengingati mereka.
Hari ini, mungkin kita mempunyai ijazah. Mungkin kita mempunyai jawatan yang tinggi. Mungkin kita mempunyai rumah yang besar dan kehidupan yang lebih selesa.
Tetapi jangan lupa, ada dua manusia yang mungkin tidak mempunyai semua itu, tetapi merekalah yang membantu kita menjadi seperti kita hari ini. Ayah dan ibu.
Jika kita berjaya, ada doa mereka di belakang kita, jika kita kuat, mungkin kerana mereka pernah mengajar kita bangun selepas jatuh dan jika kita mampu menghadapi kehidupan hari ini, mungkin kerana sejak kecil mereka telah menunjukkan kepada kita erti sabar, usaha dan pengorbanan.
Maka jangan hanya kenang jasa mereka ketika mereka sudah tiada. Hargai mereka ketika mereka masih boleh mendengar ucapan terima kasih kita kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan duduk sendirian dan teringat suara ibu memanggil nama kita. Kita mungkin akan teringat tangan ayah yang pernah memimpin kita dan ketika itu, kita mungkin berharap, “Kalaulah aku boleh kembali sekali lagi untuk memeluk mereka dan berkata, terima kasih.”
Jangan tunggu hari itu. Peluklah mereka hari ini, kerana orang yang paling banyak mengajar kita tentang kehidupan mungkin tidak pernah memiliki ijazah tetapi mereka memiliki sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu kasih sayang, pengorbanan, iman dan pengalaman hidup yang tidak mungkin diajar oleh mana-mana universiti.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment