Monday, 6 July 2026

Kita mungkin tidak dapat memilih jalan hidup yang diberikan kepada kita

  



Kalau diberi peluang memilih, adakah anda mahu menjalani hidup yang sedang anda lalui sekarang? Soalan itu kedengaran mudah tetapi tidak semua orang berani menjawabnya.

Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang berada, ada yang membesar dalam serba kekurangan, ada yang dikurniakan tubuh yang sihat, ada yang terpaksa hidup dengan penyakit sejak kecil, ada yang mudah memperoleh peluang dan ada juga yang terpaksa berjuang berkali-kali hanya untuk mendapatkan peluang yang sama.

Hakikatnya, kita tidak pernah diberi peluang untuk memilih di mana kita dilahirkan. Kita juga tidak dapat memilih siapa ibu bapa kita.
Kita tidak boleh memilih wajah, warna kulit, tinggi badan atau ujian yang datang dalam hidup tetapi kita sentiasa diberi satu pilihan.

Bagaimana kita mahu menjalani kehidupan yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Seperti kata pepatah Inggeris, "You may not get to choose the path you're given, but you can decide how you walk on it."

.
Razak berusia 43 tahun. Setiap pagi sebelum matahari terbit, dia sudah berada di pasar borong mengangkat kotak-kotak sayur ke dalam lori kecil miliknya.

Tangannya kasar. Kulitnya gelap kerana panas matahari dan bajunya sentiasa dibasahi peluh. Jika orang melihatnya sepintas lalu, mungkin ramai menyangka hidupnya penuh kesusahan.
Namun tidak ramai yang tahu kisah sebenar di sebalik senyuman lelaki itu.

Semasa kecil, Razak bukanlah pelajar yang cemerlang. Dia berhenti sekolah selepas Tingkatan Tiga kerana ayahnya meninggal dunia akibat sakit jantung. Ibunya pula hanya mengambil upah menjahit pakaian di kampung dan sebagai anak sulung, Razak terpaksa bekerja untuk menyara empat orang adiknya.

Ketika rakan-rakannya menyambung pelajaran ke kolej dan universiti, dia pula belajar mengangkat guni beras, menyusun sayur dan memandu lori.

Pernah juga dia berasa kecewa.

Apabila melihat rakan-rakan memakai pakaian pejabat, dia tertanya-tanya dalam hati, "Kalaulah aku dapat sambung belajar dulu..."

Namun setiap kali perasaan itu datang, ibunya akan berkata, "Jangan menangisi jalan yang Allah takdirkan untuk kita, berjalanlah sebaik mungkin di jalan yang sedang kita lalui."

Kata-kata itu menjadi pegangan Razak sepanjang hidupnya.

Bertahun-tahun kemudian, dia membuka perniagaan kecil membekal sayur kepada beberapa restoran. Perniagaannya tidak besar dan pendapatannya juga tidak mewah tetapi cukup untuk membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Suatu hari, anak sulungnya, Amir, pulang dari sekolah dengan wajah muram.

"Ayah..."

Razak memandang anaknya. "Kenapa ni?"

"Kawan-kawan ejek ayah."

Razak tersenyum...

"Ejek apa?"
"Mereka kata ayah cuma pemandu lori sayur."
Suasana menjadi sunyi.
Amir menundukkan kepala.
Dia takut ayahnya berkecil hati. Namun Razak hanya ketawa kecil. Kemudian dia meletakkan tangan di bahu anaknya.
"Amir..."
"Ya, ayah?"
"Kita tak boleh pilih pekerjaan pertama ayah. Kita tak boleh pilih keluarga kita dilahirkan. Kita tak boleh pilih ujian yang Allah beri tapi kita boleh pilih untuk menjadi manusia yang jujur. 

Kita boleh pilih untuk bekerja dengan amanah. Kita boleh pilih untuk pulang setiap hari membawa rezeki yang halal. Dan itulah yang lebih penting."

Amir mengangguk perlahan. Hari itu, dia melihat ayahnya dengan pandangan yang berbeza. Bukan lagi sebagai seorang pemandu lori tetapi sebagai seorang lelaki yang tidak pernah menyalahkan takdir.

Beberapa tahun kemudian, Amir berjaya menamatkan pengajian di universiti. Pada hari konvokesyen, dia memeluk ayahnya sambil menangis.

"Ayah... Terima kasih sebab tak pernah mengalah."

Razak hanya tersenyum.

"Kalau ayah sibuk merungut tentang jalan hidup ayah dulu, mungkin hari ini kita tak akan berdiri di sini."

Amir memandang wajah ayahnya yang sudah mula dipenuhi uban. Barulah dia benar-benar memahami satu perkara. Kehormatan seseorang bukan ditentukan oleh jalan hidup yang dimilikinya tetapi oleh cara dia melangkah di atas jalan itu kerana hidup bukan pertandingan untuk melihat siapa yang bermula paling tinggi tetapi hidup ialah perjalanan untuk melihat siapa yang tetap berbuat baik walaupun jalannya penuh dengan duri.


Moral of the story,
Ramai orang menghabiskan hidup dengan menyesali perkara yang tidak mampu mereka ubah. Mereka merungut tentang keluarga yang dilahirkan, tentang pekerjaan yang dimiliki, tentang kekurangan diri, tentang takdir yang tidak seperti orang lain. Sedangkan semua itu tidak akan mengubah kehidupan mereka.

Apa yang benar-benar mengubah hidup ialah bagaimana kita memilih untuk bertindak setiap hari.

Kita mungkin tidak dapat memilih jalan yang Allah tetapkan tetapi kita sentiasa boleh memilih sama ada mahu berjalan dengan penuh syukur atau penuh keluhan. Kerana pada akhirnya bukan jalan itu yang menentukan siapa diri kita tetapi cara kita melaluinya.



Refleksi dari Buku Hidup Kena Kuat

Salah satu bab yang paling penting dalam buku ini ialah "Terima Diri Kita Seadanya."

Ramai orang menderita bukan kerana kehidupan mereka terlalu sukar tetapi kerana mereka sentiasa berharap menjadi orang lain sedangkan ketenangan bermula apabila kita berhenti mempersoalkan takdir dan mula menghargai apa yang telah Allah amanahkan kepada kita.

Terimalah diri kita seadanya.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 216)


Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak mampu memilih atau mengetahui segala yang terbaik untuk hidup kita. Allah lebih mengetahui hikmah di sebalik setiap jalan yang ditentukan-Nya.


Terimalah diri kita seadanya bukan bererti kita berhenti berusaha tetapi berhenti membenci kehidupan yang sedang anda jalani kerana apabila kita menerima diri sendiri dengan hati yang reda, kita akan menemui kekuatan untuk melangkah lebih jauh daripada yang pernah kita bayangkan.

Kita mungkin tidak dapat memilih jalan yang Allah tetapkan tetapi kita sentiasa boleh memilih sama ada mahu berjalan dengan penuh syukur atau penuh keluhan. Kerana pada akhirnya, bukan jalan itu yang menentukan siapa diri kita tetapi cara kita melaluinya.

Buku 'Hidup Kena Kuat' bukan sekadar sebuah buku motivasi. Ia adalah teman perjalanan buat mereka yang sedang belajar menerima diri, menerima takdir dan terus melangkah dengan penuh harapan.
.
DR.Usrynorie


Kita mungkin tidak dapat memilih jalan hidup yang diberikan kepada kita

   Kalau diberi peluang memilih, adakah anda mahu menjalani hidup yang sedang anda lalui sekarang? Soalan itu kedengaran mudah tetapi tidak ...