Kalau hari ini ada seseorang bertanya kepada anda, "Kalau diberi peluang kembali menjadi kanak-kanak selama sehari, adakah anda sanggup?"
Saya percaya ramai yang akan jawab,"Ya."
Bukan kerana kita mahu kembali hidup susah. Bukan kerana kita rindu memakai baju sekolah yang lusuh atau kasut yang sudah koyak di hujungnya tapi kerana kita rindu satu perkara yang sukar dicari hari ini...
Hati yang tenang.
Pasti ramai di kalangan kita di zaman kanak-kanak dulu percaya yang hidup mereka dipenuhi dengan kemiskinan.
Sebenarnya tidak juga. Mengapa saya berkata begitu?
Ya, mungkin ketika itu kita tidak punya banyak wang. Rumah kita pun bukannya besar mana, pakaian kita juga bukannya cantik dan mainan kita juga tidak sebanyak anak-anak hari ini. Tetapi kalau difikirkan semula, adakah kita benar-benar miskin?
Jawapannya..Tidak.
Kita mungkin miskin dari sudut harta, tetapi kita kaya dengan perkara yang jauh lebih bernilai. Kita kaya dengan kasih sayang seorang ibu yang sanggup mengikat perut demi memastikan anak-anaknya kenyang. Kita kaya dengan pengorbanan seorang ayah yang keluar bekerja sebelum matahari terbit dan pulang ketika matahari hampir terbenam, walaupun tubuhnya letih dan dibasahi peluh.
Kita juga kaya dengan didikan di mana kita diajar supaya menghormati orang tua, memberi salam setiap kali melintas di hadapan jiran, berkongsi makanan dengan adik-beradik dan mengucapkan syukur atas setiap rezeki yang ada.
Dan yang lebih penting.. Kita juga kaya dengan rasa cukup!
.
Tentu ramai yang masih teringat dengan rumah papan yang kita diami dahulu. Dindingnya sudah pudar dimakan usia. Bumbung zinknya yang berbunyi riuh setiap kali hujan turun dan lantai kayunya berkeriut apabila dipijak.
Pada waktu malam, hanya sebatang lampu kalimantang yang menerangi ruang tamu. Kadang-kadang bila elektrik terputus, seluruh keluarga akan berkumpul di beranda rumah sambil menikmati angin malam.
Ketika itu tidak ada 'aircond', tak ada televisyen besar yang melekat di dinding dan tak ada internet. Tapi entah mengapa, rumah kecil itu terasa begitu damai.
Apabila waktu makan tiba, ibu akan memanggil kita dari dapur. "Yus.. Naik ke rumah, makan!" Ketika itu sama ada kita sedang bermain guli, kejar-kejar bersama kawan atau sedang menangkap belalang di tepi sawah akan terus berlari pulang.
Di atas meja, biasanya lauk yang mak hidang tidak pernah mewah. Ada hari hanya telur dadar. Ada hari ikan kembung goreng. Kadang-kadang hanya ada ikan Selayang bakar tawar, ulam kampung dan sayur petola masak bening. Tetapi semua orang makan dengan penuh selera.
Tak ada siapa yang mengeluh dan tak ada siapa yang berkata, "Alaa...Hari-hari lauk macam ni."
Kerana ketika itu kita tidak pernah mengukur kebahagiaan berdasarkan apa yang berada di atas meja. Yang penting, seluruh keluarga dapat makan. Sambil makan, gelak tawa memenuhi ruang dapur.
Hari ini, mungkin lauk kita jauh lebih mewah. Anak kita tak akan makan nasi jika tak ada ayam atau daging. Malah kita juga dapat makan makanan segera yang pelbagai pilihan. Ada Pizza, Ada Mc Donald, Spaghetti dan macam-macam lagi tetapi berapa kerap seluruh keluarga dapat duduk semeja tanpa masing-masing memandang telefon bimbit?
Ketika itu, kebanyakan ayah kita bukannya orang kaya. Setiap hari dia pulang dari bekerja dengan baju yang dibasahi peluh. Kadang-kadang hanya membawa sedikit buah tangan. Sebungkus kuih atau seplastik ais batu untuk dibuat air sirap. Namun, wajah ayah sentiasa penuh dengan senyuman.
Hari ini, apabila dikenang semula, kita baru sedar, apa yang ayah bawa pulang bukan sekadar makanan tetapi rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang tidak pernah putus. Ibu pula mengajar kita menghormati orang tua. Mengucapkan terima kasih bila diberi pertolongan dan meminta maaf apabila bersalah. Kalau kita malas belajar, ibu akan tegur. Jika kita kantoi berbohong, ayah akan menasihati. Namun hari ini kita sedar bahawa disiplin itulah yang membentuk siapa diri kita sekarang.
Ketika kecil, kita juga tidak pernah merasa rendah diri. Basikal kita buruk, baju raya cuma sepasang. Tu pun baju sekolah. Habis beraya, kita guna baju tu untuk pergi sekolah dan kasut sekolah dipakai sehingga tapaknya haus. Tetapi kita tetap bermain dengan penuh kegembiraan. Kita tidak malu dengan keadaan hidup sendiri kerana kita tidak sibuk membandingkan diri dengan orang lain.
Hari ini keadaannya jauh berbeza. Media sosial membuka pintu kepada kehidupan orang lain sepanjang masa. Kita lihat rumah kawan kita yang besar. Kereta dia yang berjenama dan maha dan momen indah dia pergi bercuti ke luar negara. Pendek kata banyak kejayaan demi kejayaan kawan-kawan kita dulu dipaparkan di skrin telefon.
Tanpa sedar, kita mula bertanya kepada diri sendiri,"Kenapa hidup aku tidak seperti mereka?"
Di sinilah bermulanya keletihan emosi.
Semakin kita membandingkan, semakin kita merasakan diri serba kekurangan. Sedangkan kita hanya melihat beberapa minit terbaik dalam kehidupan mereka tetapi membandingkannya dengan keseluruhan kehidupan kita sendiri.
'Actually', perbandingan seperti ini tidak pernah adil. Kerana setiap orang punya jalan hidup yang berbeza. Ada yang lahir dalam keluarga berada. mereka tidak pernah risau tentang yuran sekolah, pakaian atau makanan, 'on the other hand', ada yang membesar dalam serba sederhana. Sejak kecil mereka sudah mengenal erti berjimat cermat dan belajar menghargai setiap ringgit yang dibelanjakan oleh ibu bapa.
Ada pula yang ketika usia belasan tahun sudah membantu ayah di bendang, di kebun atau di laut untuk mencari rezeki dan ada yang menikmati pelbagai kemudahan sejak dia kecil. Semua itu menjadikan perjalanan hidup setiap orang berbeza. Jadi, sebab itu, membandingkan hidup kita dengan orang lain seolah-olah membandingkan sebuah buku yang baru kita baca satu muka surat dengan sebuah buku lain yang sudah hampir ke penghujung cerita.
Allah tidak pernah menilai kita berdasarkan saiz rumah, jenama kereta atau jumlah wang di dalam akaun kita. Yang dinilai ialah hati yang bersyukur, usaha yang dilakukan dan akhlak yang ditunjukkan. Allah tidak pernah menjanjikan jalan hidup yang sama kepada setiap manusia. Yang Allah minta hanyalah kita berusaha sebaik mungkin di atas jalan yang telah ditetapkan untuk kita.
Jadi, daripada sibuk melihat apa yang ada di tangan orang lain, lebih baik kita melihat apa yang masih Allah pinjamkan kepada kita. Kerana selalunya, kebahagiaan bukan hilang disebabkan kita mempunyai terlalu sedikit, tetapi kerana kita terlalu banyak membandingkan dan apabila kita berhenti membandingkan, hati mula belajar satu perkara yang sangat berharga... Iaitu rasa syukur.
.
Inilah antara mesej yang saya kongsikan dalam buku Hidup Kena Kuat, khususnya dalam bab "Terima Diri Seadanya".
Bab ini mengajak kita berdamai dengan kisah hidup sendiri.
Kita tidak boleh memilih di mana kita dilahirkan, siapa ibu bapa kita atau bagaimana keadaan ekonomi keluarga ketika membesar. Namun kita sentiasa boleh memilih cara kita menghargai pengalaman itu.
Menerima diri seadanya bukan bererti kita berhenti berusaha menjadi lebih baik. Sebaliknya, ia bermaksud kita berhenti membenci asal usul sendiri. Kita menerima bahawa setiap pengalaman, walaupun pahit dan serba sederhana telah membentuk diri kita menjadi insan yang lebih kuat.
Kerana akhirnya, kekayaan sebenar bukanlah mempunyai segala-galanya.
Kekayaan sebenar ialah apabila kita mampu memandang kembali kehidupan yang sederhana itu dengan senyuman, lalu berkata, "Aku mungkin tidak membesar dengan kemewahan, tetapi aku dibesarkan dengan kasih sayang, didikan yang baik dan hati yang tahu bersyukur."
Percayalah, itulah bekalan hidup yang nilainya jauh lebih besar daripada harta yang boleh diwariskan.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment