Hari ini saya ingin berkongsi sebuah kisah yang agak menyentuh hati.
Walaupun cerita ini hanyalah sebuah karya fiksyen, saya berharap anda tidak sekadar membacanya sebagai hiburan. Hayatilah mesej yang tersembunyi di sebalik setiap babaknya. Kerana kadang-kadang, sebuah cerita mampu mengajar kita sesuatu yang gagal diajar oleh realiti.
.
Musim tengkujuh baru sahaja bermula. Sejak awal pagi, langit diselubungi awan hitam. Sekejap hujan renyai-renyai, sekejap pula hujan turun dengan lebat sehingga membasahi seluruh pekan.
Di bawah sebuah payung lusuh, Amir yang baru berusia 12 tahun duduk di tepi jalan menjual jagung bakar. Asap daripada bara arang naik perlahan-lahan, namun hujan yang tidak berhenti membuatkan bara itu sering kali padam.
Sudah empat hari Amir melakukan kerja itu.
Sebenarnya, kerja menjual jagung bakar ini diusahakan oleh ayahnya secara sambilan pada waktu malam. Selepas balik dari bekerja sebagai buruh binaan. Namun beberapa hari lalu ayahnya telah terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan yang sedang dibina. Kakinya patah dan doktor meminta beliau berehat sekurang-kurangnya sebulan.
Sejak hari itu, beban mencari rezeki jatuh ke atas bahu ibu dan Amir.
Setiap awal pagi, ibunya akan keluar bekerja di sebuah kilang berhampiran. Jadi, Amir terpaksa mengambil cuti sekolah buat sementara waktu untuk membantu keluarga dengan menjual jagung bakar di pasar malam dan di tepi jalan.
Pagi itu, ibunya menghidangkan dua keping roti canai semalam yang dipanaskan semula di atas kuali. Itulah sahaja makanan yang tinggal.
"Amir... inilah yang kita ada hari ini."
Amir tersenyum walaupun hatinya sebak.
"Tak apa, mak. Kalau petang nanti jagung habis terjual, kita boleh beli susu untuk ayah."
Ibunya mengusap kepala Amir. Air mata yang cuba ditahan akhirnya bergenang di kelopak mata.
Di dalam dompet, hanya tinggal RM30. Banyak barang dapur yang telah habis dan jika hari itu tiada jualan, makan malam mereka pun belum tentu ada.
Amir menolak troli kecil berisi jagung menuju ke pekan di tempat keluarganya tinggal. Sebelum beredar, ibunya sempat berpesan, "Kalau hujan lebat, berteduh bawah kedai. Jangan biarkan badan basah sangat."
"Baik, mak."
Sesampainya di tempat biasa, Amir menyusun jagung dengan kemas. Dia menghidupkan dapur arang kecil. Tidak lama kemudian, bau harum jagung bakar memenuhi udara.
"Jagung bakar panas! Manis... Dengan mentega, garam dan limau!"
Orang ramai lalu-lalang. Ada yang memandang sekilas dan ada yang bertanya harga. Namun kebanyakannya berlalu pergi.
Tidak lama kemudian hujan kembali mencurah dengan lebat. Orang ramai berteduh di kaki lima kedai. Troli Amir habis dibasahi hujan.
Bajunya juga telah basah lencun. Sehingga tengah hari, hanya sebatang jagung berjaya dijual. Keuntungan hari itu cuma RM2.
Amir mendongak ke langit.
"Ya Allah... berhentikanlah hujan sekejap."
Namun hujan tetap turun.
Menjelang petang, wajah Amir semakin muram. Dia memikirkan ubat ayah dan makan malam mereka. Tiba-tiba sebuah kereta Toyota putih berhenti di hadapan troli. Seorang lelaki berusia sekitar 50-an keluar dari kereta.
"Adik, pakcik nak lima batang jagung."
Amir segera membakar jagung itu sebaik mungkin.
Selepas menerima jagung, lelaki itu menghulurkan sekeping wang RM100.
Pada masa yang sama telefon bimbitnya berbunyi. Kerana tergesa-gesa menjawab panggilan, dia terus masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi.
Beberapa minit kemudian Amir mengira semula wang jualannya.
Lima batang jagung hanya berharga RM20.
Ini bermakna pelanggan tadi telah terlebih membayar sebanyak RM80.
Amir memandang ke kiri dan kanan. Kereta itu sudah hilang.
Seorang pak cik yang menjual teh tarik berhampiran berkata,
"Amir... simpan sajalah. Rezeki kamu tu. Orang kaya macam tu takkan datang balik."
Seorang pelanggan lain pula menyampuk, "Dah susah macam ni pun masih nak jujur?"
Amir hanya diam. Dia mengasingkan wang RM80 itu dan menyimpannya di dalam sebuah bekas kecil.Kira-kira setengah jam kemudian, kereta putih itu muncul semula.Lelaki tadi turun dengan wajah cemas sambil memeriksa poketnya berkali-kali.
"Adik... pakcik rasa tadi pakcik tersalah bagi duit."
Amir terus tersenyum.
"Betul, pakcik. Ini baki RM80 pakcik."
Dia menyerahkan wang itu tanpa sedikit pun rasa berat hati.
Lelaki itu memandang Amir lama.
"Kalau adik simpan duit ini, pakcik takkan tahu pun."
Amir menjawab perlahan,
"Mak saya selalu pesan... biarlah kita susah, jangan sesekali ambil hak orang."
Mata lelaki itu mula berkaca.
"Adik tak pergi sekolah?"
Amir menundukkan kepala.
"Saya cuti sekejap. Ayah kemalangan. Saya kena bantu keluarga."
Tanpa banyak bercakap, lelaki itu membeli semua jagung yang masih berbaki. Kemudian dia berkata,
"Semua jagung ni tolong sedekahkan kepada keluarga pesakit di Hospital Daerah sebelah sana."
Dia membayar penuh. Selepas itu dia cuba menghulurkan beberapa keping wang tambahan kepada Amir. Namun Amir menggeleng.
"Saya ambil duit jual jagung saja, pakcik."
Lelaki itu tersenyum.
"Ini bukan sedekah. Anggaplah ini bayaran pertama untuk pelajaran kamu."
Amir hanya mengangguk kerana kurang memahami maksud kata-kata itu.
Keesokan harinya, lelaki tersebut datang ke rumah mereka. Beliau bertanyakan perihal ayah Amir dan berjanji membantu apa yang perlu.
Beberapa bulan kemudian, ayah Amir telah sembuh dan beliau membantu ayah Amir mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di syarikatnya supaya ayah Amir masih mampu bekerja semula menyara keluarga.
Amir juga didaftarkan semula ke sekolah. Uniform baharu, beg sekolah, kasut dan buku semuanya dibelikan.
Ibu Amir menangis sambil menggenggam tangan lelaki itu.
"Tuan... tuan dah ubah hidup kami."
Lelaki itu hanya tersenyum.
"Bukan saya yang ubah hidup keluarga ini. Kejujuran anak puan yang membuka pintunya."
.
Tahun demi tahun berlalu. Amir belajar bersungguh-sungguh dan berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Selepas tamat pengajian, dia lulus peperiksaan perkhidmatan awam dan menjadi seorang pegawai kerajaan.
Suatu hari, Amir kembali ke pekan kecil tempat dia pernah menjual jagung bakar ketika hujan. Dia berdiri tepat di lokasi troli lamanya dahulu. Di situlah dia melancarkan satu program bantuan pendidikan untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pengajaran
Kesusahan ialah ujian yang memperlihatkan siapa diri kita sebenarnya. Ganjaran kepada kejujuran dan kerja keras mungkin tidak datang serta-merta tetapi ia tidak pernah memungkiri janji. Walau sesukar mana hidup, jangan sekali-kali menggadaikan nilai, amanah dan kejujuran. Kerana itulah harta paling mahal yang mampu mengubah masa depan seseorang.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment