Friday, 17 July 2026

Dia Tidak Pernah Lupa Menunggu

 



Suatu petang, Hamid berdiri di halaman rumah sambil berbual di telefon. Di bawah sebatang pokok rambutan yang rendang di tepi pagar, seekor lembu bersama anaknya sedang berehat sambil mengunyah rumput.
Tidak lama kemudian, sebuah motosikal roda tiga yang membawa sayur-sayuran memasuki kampung. Penjual sayur itu membunyikan hon kecil sambil melaungkan,
"Sayur... sayur segar...!"
Mendengar suara itu, lembu tadi terus mengangkat kepala dan memandang ke arah penjual sayur seolah-olah sudah mengenali suaranya.
Beberapa minit kemudian, seorang mak cik dari rumah berhampiran keluar membeli sayur.
Dia memilih kacang panjang, sawi, timun dan tomato.
Apabila semuanya sudah ditimbang, dia berkata,
"Daun sup dengan cili padi tak ada sekali ke?"
Penjual itu tersenyum lalu menjawab,
"Ada, mak cik... tapi kena tambah sikit."
Mak cik itu terus menggeleng.
"Alaa... sikit pun tak boleh bagi? Tak apalah."
Lalu dia meletakkan semula semua sayur yang dipilih tadi dan terus berlalu pergi.
Hamid hanya memerhatikan dari jauh.
Selepas mak cik itu pergi, penjual sayur tersebut membuka dua ikat kangkung yang masih segar, lalu meletakkannya di hadapan lembu dan anaknya.
Kedua-duanya terus makan dengan tenang.
Hamid menjadi hairan.
Sebelum pulang, dia membeli beberapa batang timun daripadanya.
Sambil menghulurkan wang, Hamid bertanya,
"Abang sanggup hilang jualan semata-mata sebab daun sup dan cili yang harganya tak seberapa. Tapi kenapa pula abang bagi dua ikat kangkung kepada lembu itu secara percuma?"
Penjual sayur itu hanya tersenyum.
Katanya,
"Encik, untung saya berniaga ni bukannya banyak. Kadang-kadang seringgit dua sahaja satu jualan. Tapi masih ada orang yang rasa semuanya patut diberi percuma."
Dia berhenti seketika sebelum menyambung.
"Tapi lembu ni lain. Setiap kali saya masuk kampung ini, dia mesti ada di bawah pokok ini. Macam dia tahu saya akan datang. Saya memang simpan sedikit sayur untuk dia. Dah jadi rutin. Saya tak sampai hati nak hampakan dia."
Hamid terdiam.
Dalam perjalanan pulang, dia terfikir...
Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar orang yang tidak pernah menghargai kita.
Kita beri masa, beri perhatian dan beri pertolongan.
Namun semua itu dianggap perkara biasa.
Sebaliknya, ada insan yang benar-benar menghargai kehadiran kita, tetapi sering kita abaikan kerana terlalu sibuk memenangi hati orang lain.
.
Hamid pulang sambil memikirkan kata-kata penjual sayur itu. Rupa-rupanya, dalam hidup ini ada satu perkara yang ramai orang sukar terima.
Kita tidak akan mampu memuaskan hati semua orang.
Walau sebaik mana pun kita melayan mereka, tetap akan ada yang merasakan layanan itu tidak mencukupi. Walau sebanyak mana kita memberi, tetap akan ada yang bertanya, "Tak boleh tambah lagi?"
Jika kita terlalu sibuk mengejar penghargaan daripada orang seperti ini, kita akhirnya akan penat. Penat memberi. Penat berharap. Penat kecewa.
Penghargaan manusia bukan sesuatu yang boleh kita kawal. Hari ini mereka memuji, esok mungkin mereka mengkritik. Hari ini mereka menghargai pengorbanan kita, esok mereka mungkin menganggap semuanya perkara biasa. Jika kebahagiaan kita bergantung kepada penilaian manusia, emosi kita juga akan sentiasa turun naik mengikut layanan mereka.

Tidak semua kebaikan akan dibalas dengan ucapan terima kasih. Tidak semua pengorbanan akan difahami dan tidak semua keikhlasan akan dihargai oleh manusia. 

Ada masanya kita bersungguh-sungguh membantu seseorang ketika dia susah. Kita luangkan masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Namun apabila kita pula memerlukan, orang yang sama mungkin berlalu begitu sahaja.

Pada waktu itulah hati akan mula bertanya, "Salahkah aku berbuat baik?"

Jawapannya, tidak.

Yang perlu diubah bukanlah kebaikan kita, tetapi harapan kita terhadap manusia. Manusia melihat dengan mata tapi Allah melihat dengan hati. Manusia mudah lupa, namun Allah tidak pernah lupa.

Sebab itu jangan jadikan penghargaan manusia sebagai ukuran nilai diri kita. Kerana penghargaan manusia berubah mengikut keadaan. Hari ini mereka memuji tapi esok mereka mungkin akan mencela. Hari ini mereka menghargai tetapi esok mereka mungkin melupakan semua jasa kita.

Pepatah Inggeris ada menyebut, "Do good and forget it. Receive good and remember it." Atau jika kita translate ke bahasa Melayu, bunyinya seperti ini,  "Berbuat baiklah, kemudian lupakanlah. Apabila menerima kebaikan daripada orang lain, ingatlah sampai bila-bila."

Pepatah ini mengajar kita supaya tidak menghitung setiap kebaikan yang kita lakukan. Sebaliknya, belajarlah menghargai setiap kebaikan yang orang lain berikan kepada kita.


.

Itulah antara mesej yang Abam kongsikan dalam buku Hidup Kena Kuat, khususnya dalam bab "Kita Tak Boleh Puaskan Hati Semua Orang."
Dalam bab ini, Abam mengajak pembaca memahami satu hakikat yang membebaskan hati: hidup akan menjadi lebih tenang apabila kita berhenti mengejar penerimaan semua orang. 
Jika kita nak buat baik, berbuat baiklah dengan ikhlas tetapi jangan jadikan pujian sebagai tujuan dan jangan biarkan kritikan mematahkan semangat. Orang akan sentiasa mempunyai pendapat mereka, tetapi ketenangan datang apabila kita tahu bahawa kita telah melakukan yang terbaik dengan niat yang baik kerana akhirnya, hidup bukan tentang membuat semua orang gembira. Hidup adalah tentang menjadi manusia yang baik tanpa kehilangan diri sendiri semata-mata untuk memuaskan hati orang lain.
.
DR.Usrynorie

No comments:

Dia Tidak Pernah Lupa Menunggu

  Suatu petang, Hamid berdiri di halaman rumah sambil berbual di telefon. Di bawah sebatang pokok rambutan yang rendang di tepi pagar, seeko...