Tuesday, 4 August 2026

Tak Semua Orang Sampai Serentak

 


Tentu ramai yang masih ingat lagi zaman kita di bangku sekolah dulu. Ketika di sekolah, mesti kita akan ketemu dengan kawan yang bijak dalam pelajaran, sentiasa dapat nombor satu dalam kelas. Ada pula di antara kawan kita yang jadi ketua kelas atau pengawas. Bagi yang cerdas fizikal pula, ada  yang paling laju berlari ketika sukan tahunan dan ada jadi permain bola atau hoki peringkat sekolah. Mereka jadi kebanggaan sekolah.

Sementara kita?
Mungkin sekadar seorang murid biasa. Tak pernah sekali pun merasa naik pentas menerima piala atau pingat. Malah kita yang paling 'underdog', sama ada dalam kelas atau di sekolah. Tiada siapa yang benar-benar mengenali nama kita sehingga kadang-kadang kita balik rumah dengan rasa rendah diri. Kita tengok orang lain seolah-olah mempunyai segala-galanya, sedangkan kita hanya ada diri sendiri.
Namun, takdir sentiasa beredar mengikut aturan tuhan. Tanpa siapa sangka, kawan kita, budak yang selalu dapat nombor satu dulu rupanya hari ini sedang bergelut dalam kehidupan. Di sisi lain pula, kita, budak yang selalu dimarahi guru kerana nakal sedang menikmati hidup yang penuh bahagia. Manakala kawan sekelas yang dulunya pendiam kini menjadi pensyarah dan kawan-kawan lain yang ketegori 'biasa-biasa' pula, hari ini ramai yang jadi ayah atau ibu yang membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Kawan... Hidup ini rupanya bukan perlumbaan 100 meter. Ia seperti sebuah perjalanan yang panjang di mana ada orang memulakan langkah lebih awal, ada orang terpaksa berhenti seketika kerana diuji dengan kesusahan, ada orang terpaksa mengubah arah apabila kehilangan pekerjaan dan ada juga yang berjalan perlahan kerana menjaga ibu bapa yang uzur.
Sebab semua orang punya jalan cerita yang berbeza. Justeru, membandingkan hidup kita dengan orang lain sebenarnya tidak pernah adil.
Kita hanya melihat kejayaan mereka tapi kita tidak pernah melihat malam-malam yang mereka habiskan dengan air mata, kegagalan dan pengorbanan. Begitu juga orang lain. Mereka hanya melihat senyuman kita tapi mereka tidak tahu berapa banyak luka yang pernah kita sembunyikan.
Dalam bab "Terima Diri Kita Seadanya" dalam buku Hidup Kena Kuat, saya ada tulis bahawa salah satu punca manusia hilang bahagia ialah apabila mereka terlalu sibuk mengukur hidup sendiri menggunakan pembaris orang lain.
Kadang kita lupa bahawa Allah tidak mencipta manusia dengan jalan hidup yang sama. Di mana ada yang cepat memperoleh rezeki, ada yang lambat tetapi lebih tenang. Ada yang berjaya ketika dia usia 25 tahun dan ada yang hanya menemui kejayaan selepas umur 50 tahun. namun kedua-duanya tetap berjaya. Yang penting bukan siapa paling cepat tapi siapa yang terus berjalan walaupun perlahan.
Hari ini, mungkin rumah kita tidak sebesar orang lain, kereta kita juga mungkin bukan yang paling mahal dan jawatan kita mungkin tidak segah rakan-rakan lama. Namun lihatlah sejauh mana kita telah melangkah.
Bukankah suatu ketika dahulu kita hanya seorang kanak-kanak yang berlari tanpa kasut di halaman rumah. Kita bermain guli, congkak, galah panjang atau kejar-kejar sehingga senja. Kita membesar dengan seribu impian, tanpa tahu ke mana kehidupan akan membawa kita.
Hari ini, walaupun hidup tidak menjadi seperti yang kita bayangkan, namun kita masih mampu berdiri, masih mampu berusaha, masih mampu mencari rezeki yang halal untuk keluarga dan setiap hari kita masih mampu tersenyum bahagia bersama keluarga walaupun dalam kekurangan.
Bukankah itu juga satu kejayaan? Justeru, jangan terlalu keras menghukum diri hanya kerana hidup kita tidak sama seperti orang lain kerana tidak semua bunga mekar pada musim yang sama dan tidak semua buah masak pada hari yang sama. jadi, begitu juga dengan manusia. Masing-masing akan sampai ke destinasi pada waktu yang telah Allah tetapkan.
Oleh itu, berhentilah membandingkan perjalanan hidup kita dengan orang lain. Hargailah setiap langkah yang telah kita lalui dan raikan setiap kemajuan, pencapaian dan kejayaan walaupun ianya kecil. 
setiap orang sedang berjalan di atas jalan yang berbeza. Ada yang Allah mudahkan rezekinya sejak muda. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk memperoleh pekerjaan yang diimpikan. Ada yang cepat membina keluarga, manakala ada yang masih menunggu jodoh. Ada yang berjaya dalam kerjaya tetapi diuji dengan kesihatan. Ada yang hidup sederhana tetapi dikurniakan keluarga yang penuh kasih sayang.
Terimalah diri kita seadanya kerana nilai seorang manusia bukan terletak pada seberapa cepat dia sampai, tetapi pada seberapa tabah dia terus melangkah walaupun jalannya penuh ujian.

Membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain umpama membaca satu halaman daripada buku mereka, kemudian kita terus membuat kesimpulan bahawa seluruh cerita mereka lebih indah daripada cerita kita.

Padahal setiap orang sedang memikul beban yang tidak kelihatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah: 286)

Ayat ini memberi ketenangan kepada hati kita. Ujian yang kita lalui bukan tanda Allah tidak sayang. Sebaliknya, Allah lebih mengetahui kemampuan setiap hamba-Nya. Apa yang sedang kita hadapi hari ini telah diukur mengikut kekuatan yang Allah kurniakan kepada kita.

Justeru, tidak ada gunanya kita membandingkan ujian dan rezeki kita dengan orang lain kerana sukatan setiap manusia adalah berbeza.

Sesungguhnya, tiada siapa yang terlalu awal dan tiada siapa yang terlalu lewat. Kita semua sedang menuju ke destinasi yang berbeza mengikut waktu yang telah Allah tentukan.
.
DR.Usrynorie

Tak Semua Orang Sampai Serentak

  Tentu ramai yang masih ingat lagi zaman kita di bangku sekolah dulu.  Ketika di sekolah, mesti kita akan ketemu dengan kawan yang bijak da...