Dalam
satu ceramah yang saya dengar daripada seorang ustaz, katanya, “Jalan hidup setiap
orang tidak sama. Ada orang dikurniakan zuriat yang ramai tetapi hidup dia sekadar
cukup makan saja. Ada pula yang dikurniakan harta melimpah tetapi zuriatnya
pula tak ada. Namun, di antara dua kategori ini, Ada satu lagi kategori yang memang
cukup bertuah. Mereka bukan saja dikurniakan harta melimpah, malah zuriatnya juga
ramai.”
Inilah ketetapan yang kita semua kena terima. Di mana setiap
makhluk telah ditulis akan takdirnya masing-masing. Tidak kira sama ada
manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Malah segala yang ada di dalam dan di
luar cekrawala ini ada takdir masing-masing. Sebagaimana yang dinyatakan dalam
surah Yaasin ayat ke 40, yang bermaksud, ‘Dengan ketentuan yang demikian, matahari
tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului
siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya
masing-masing.’
Ketetapan tersebut tidak dapat ditentang oleh sesiapa. Jika
kita semua akur dengan ketetapan ini, hidup kita akan aman dan damai. Kita buat
kerja kita. Jiran kita buat hal dia. Namun, disebabkan di dalam diri kita ada
sifat-sifat yang tidak baik, seperti sifat iri hati dan cemburu.
Ada di kalangan kita yang hobinya suka ambil tahu perihal kehidupan
orang lain. Berbeza dengan ‘mak cik bawang’ yang suka menjaja cerita buruk seseorang,
sifat suka ambil tahu ini pula ialah dia suka menceroboh ‘privacy’ orang
lain. Sehingga ada yang tanpa segan silu melebelkan diri mereka kononnya ahli Persatuan
Netizen Malaysia.
Apa yang orang lain buat, semua dia nak ambil tahu. Apa
yang orang lain buat semua dia nak komen dan beri pendapat. Misalnya, Ketika
melayari laman Facebook, secara tidak sengaja terlintas satu posting kawan kita
sedang ‘berselfie’ dengan kereta yang baharu dia beli.
Sebelum ini, kawan tersebut hanya terlihat memandu sebuah
kereta Kancil 'second hand' sahaja. Apabila terlihat 'posting'
itu, kita berasa susah hati. Kita berasa risau kalau-kalau hidup kawan kita itu
akan susah selepas ini kerana terpaksa membayar ansuran kereta baharunya.
Apatah lagi, kita tahu kawan kita itu cuma seorang Pekerja Am sahaja di sebuah
Jabatan Kerajaan.
Pada hari lain pula, sebuah van syarikat ‘courier’
datang ke pejabat tempat kita bertugas. Dia menghantar satu unit ‘pressure cooker’.
Rupanya salah seorang dari rakan sekerja yang beli ‘press cooker’ itu. Tidak
semena-mena kita berasa tidak puas hati. Padahal kita tahu yang si dia itu
menjalankan bisnes menjual makanan selepas habis waktu kerja.
Ini juga antara penyakit orang kita. Suka ambil tahu
tentang kehidupan orang lain atau orang sekarang kata ‘kepochi’. Padahal
kita ini bukannya siapa-siapa pun dengan mereka. Apatah lagi tiada bersangkutan
pertalian darah. Namun kita pula yang terlebih cakna. Sedangkan, dalam masa
yang sama, masalah kita masih banyak yang belum selesai. Tetapi kita masih ada hati
nak ambil tahu kisah hidup orang lain.
Kasihan, bukan?
Dari sudut perspektif psikologi, apabila kita cenderung
untuk ambil tahu atau peduli terlalu banyak tentang kehidupan orang lain, hal
ini mungkin menunjukkan ada isu atau masalah dalam diri kita. Secara mudahnya,
tindakan ini mungkin menandakan keadaan emosi atau kebahagiaan yang tidak
stabil. Salah satu ciri individu yang mungkin tidak bahagia adalah apabila
mereka berasa susah hati melihat kebahagiaan orang lain. Mereka mungkin ingin
agar orang lain juga berasakan perasaan yang sama seperti yang mereka alami.
👉 Petikan dari buku 'Hidup Kena Kuat' - Nota Untuk Sukses dalam Kehidupan
No comments:
Post a Comment