Kita sering melihat kehidupan orang lain lebih bahagia,
lebih indah, dan lebih seronok berbanding dengan kehidupan yang sedang kita
lalui sekarang. Sebagai contoh, pada suatu pagi, sewaktu berkunjung ke pasar
pagi untuk beli barang basah, kita terserempak dengan kawan lama kita, ‘A’.
Kita melihat dia baru keluar dari
kereta berjenama import dan pakaian yang dipakai juga berjenama, yang sudah
tentunya dibeli di butik pakaian bukan jenis yang dibeli dari pasar malam
seperti kita. Selepas bertanya khabar, kita pun bertanya tentang status terkini
'A'.
Dia memberitahu kita bahawa dia
memiliki sebuah perniagaan yang membekal peralatan pejabat. Lalu, terdetik
dalam hati kita, "Best-nya dia. Tentu dia banyak duit sekarang. Nak
ini boleh beli, nak itu boleh beli. Tak perlu nak kumpul duit sikit-sikit
setiap bulan seperti aku jika nak beli sesuatu barang atau nak tukar spare
part kereta."
Sambil berjalan menuju pasar,
kita pun berangan nak jadi seperti dia suatu hari nanti. Pada hari lain, ketika
keluar mengeteh di kedai mamak, secara tidak sengaja kita terjumpa dengan kawan
lama kita si ‘B’. Kita melihat pakaiannya kemas lengkap bertali leher. Bila
ditanya di mana dia bekerja, dia memberitahu kita bahwa dia sudah lima tahun
bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat korporat.
Lalu, kita pun terfikir lagi,
“Alangkah bertuahnya dia. Kerja dalam aircond setiap hari. Tidak seperti
aku yang terpaksa masuk kebun sawit setiap pagi mengambil upah memangkas dan
memunggah pelepah sawit, demi mendapatkan upah seringgit dua bagi membeli dua
bungkus nasi lemak.”
Ketika itu, kita pun memasang
angan-angan untuk jadi seperti ‘B’ pula. Itulah sikap kita, bila melihat hidup
orang itu nampak bahagia dan ceria, kita pun mulai memasang angan-angan untuk
menjadi seperti mereka. Melihat kehidupan orang lain nampak lebih indah dan
seronok berbanding kehidupan kita saat ini. Hakikat sebenarnya ialah kita tidak
tahu bahawa orang itu juga memiliki masalah tersendiri, dan apa yang kita lihat
hanyalah pandangan luaran. Orang Putih kata, 'tips of iceberg'.
Memang pada pandangan zahir, kita
melihat ‘A’ sebagai orang yang hebat karena berjaya memiliki perniagaan, hidup
mewah, dan bebas berbelanja. Namun, apa yang kita tidak tahu adalah setiap
malam ‘A’ tak dapat tidur dengan lena karena memikirkan 'lubang' mana yang
perlu dia korek untuk membayar hutang kepada pembekal yang tertangguh sejak dua
minggu yang lalu. Apa yang kita tidak tahu adalah dia sedang susah hati karena
pelanggannya telah melarikan diri bersama hutang yang nilainya belasan ribu
ringgit.
Begitu juga dengan ‘B’. Meskipun
nampak dia berpakaian kemas dan berkerja di pejabat berhawa dingin, kita tidak
tahu bahwa pakaian tersebut mungkin merupakan etika berpakaian di kebanyakan
pejabat. Jarang pekerja pejabat yang memakai t-shirt dan seluar jeans. Kita
tidak tahu, walaupun dia sentiasa kelihatan kemas dan bergaya, sebenarnya
itulah satu-satunya pakaian mahal yang dia ada.
Apa yang kita tidak tahu juga
ialah di dalam dompetnya sekarang hanya tinggal tiga empat keping ‘duit merah’
saja lagi yang terpaksa dia catu sehingga hari gaji pada hujung bulan nanti.
Sedangkan kita, walaupun bergelar ‘Buruh Ladang’ yang setiap hari masuk kebun
sawit untuk memangkas dan mengusung pelepah, namun kita masih mampu meraih
pendapatan RM60 ke RM100 sehari. Silap-silap, pendapatan kita lebih lumayan
berbanding si ‘B’ yang berkerja di dalam pejabat berhawa dingin.
Kita memandang kehidupan orang
lain lebih bagus dan lebih baik berbanding kehidupan kita. Kita merasa cemburu
dengan kejayaan yang mereka capai, sedangkan kita masih berada di tahap yang
sama sejak kita tamat belajar dahulu. Lalu kita pun tertanya-tanya kenapa
mereka boleh berjaya sedangkan kita juga keluar dari universiti atau kolej yang
sama.
.
𛲡
𛲡
𛲡
✅ Buku Hidup Kena Kuat
✅ Nota Untuk Sukses Dalam Kehidupan
No comments:
Post a Comment