Pernahkah anda terfikir, mengapa ketika kita di zaman kanak-kanak dulu walaupun hidup kita serba kekurangan tapi hati tetap rasa lebih tenang? Sedangkan hari ini, bila kita meningkat dewasa dan memiliki pekerjaan tetap, rumah yang lebih selesa dan pelbagai kemudahan, tiba-tiba kita rasa makin sukar untuk bahagia.
Jawapannya ialah kerana yang berubah bukanlah kehidupan tapi cara kita melihat kehidupan.
Tentu korang masih ingat rumah yang kita duduki ketika kita kecil dulu. Kebanyakan dari kita tinggal di rumah papan yang sudah dimamah usia. Peninggalan datuk atau nenek. Kemudian diwarisi pula kepada ayah atau ibu kita. Setiap kali hujan turun, bunyinya begitu kuat sehingga kita terpaksa meninggikan suara untuk berbual.
Bila tiba musim panas pula, bahang zink itu terasa sampai ke dalam rumah. Selepas makan tengah hari, ayah akan membentangkan tikar di atas pangkin di bawah pokok rambutan atau pokok mangga di belakang rumah. Di situlah tempat kita berehat sambil menikmati angin kampung yang bertiup perlahan. ketika tu mana ada 'aircond' atau kipas syiling. Cuma angin semula jadi yang cukup untuk membuatkan mata terlelap.
Bagi keluarga yang sedikit berada, rumah mereka beratap genting. Di ruang tamu pula akan ada sebuah televisyen kecil yang kadang-kadang siarannya pun terganggu bila hilang 'signal'. Kalau nak betulkan siaran, terpaksa panjat bumbung sambil seorang lagi menjerit dari dalam rumah. "Pusing lagi.. Ops,.. Kanan.. Kanan.. Ops... Kiri sikit.. Okey.. Dah.." Begitu juga dengan peti sejuk, hanya dimiliki oleh segelintir keluarga yang berada.
Namun yang peliknya, walaupun hidup kita sederhana tapi kita tetap boleh ketawa riang tanpa beban sambil bermain kejar-kejar dengan kawan sekampung sehingga waktu senja. Bila azan Maghrib berkumandang, barulah masing-masing pulang dengan baju yang dipenuhi peluh dan kaki yang diselaputi debu.
Waktu makan malam, menu di rumah kita pun kebanyakannya biasa-biasa saja. Dapat makan nasi dengan telur goreng atau ikan masin pun dah cukup menyelerakan. Kita tak pernah bertanya, "Hari ni tak ada ayam ke?" Atau, "Asyik lauk ni je.."Kerana ketika itu kita tidak makan untuk menunjuk kepada sesiapa. Sebaliknya kita makan kerana bersyukur masih di kurnia rezeki.
Kita juga tidak malu untuk memakai baju sekolah yang sama berulang kali sehingga benar-benar lusuh, kasut yang sudah koyak atau haus tapaknya dan stokin yang dah hilang 'grip'nya. Anehnya, kita langsung tidak rasa malu.
Mengapa?
Kerana ketika itu kita tidak pandai untuk membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Walaupun kita tahu siapa paling kaya di kampung kita atau rumah siapa paling besar. Namun kita tetap tidak ambil peduli. Kita hanya tahu menghargai apa yang ada di depan mata.
Tetapi bila kita dewasa, semuanya berubah.
Media sosial membuka tingkap kepada kehidupan orang lain. Setiap hari kita melihat gambar rumah yang cantik, kereta yang mahal, kawan pergi bercuti ke luar negara setiap hujung tahun dan rakan sepejabat makan malam mewah bersama keluarga di restoran mahal.
Lalu sedikit demi sedikit, tanpa kita sedar kita mula membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan mereka.
Maka keluarlah skrip yang berbunyi, "Kawan aku dah tukar kereta tapi aku masih pandu kereta buruk ni". "Minah dah beli rumah tapi aku masih lagi duduk menyewa." "Anak dia semua dah berjaya tapi anak aku, sorang pun masih belum habis belajar lagi."
Perbandingan seperti ini walaupun nampak kecil tapi kesannya sangat besar terhadap kesihatan mental kita. Dalam psikologi, kecenderungan membandingkan diri secara berterusan boleh menyebabkan timbul rasa tidak puas hati, tekanan emosi, rasa rendah diri dan simptom kebimbangan.
Kita mula rasa diri ketinggalan walaupun hakikatnya kita sedang menikmati banyak nikmat yang pernah kita impikan suatu ketika dahulu.
Padahal kita sedar bahawa setiap orang memikul beban yang berbeza. Ada orang punya rumah besar tetapi hidup dia terasa sunyi. Ada orang memiliki kereta mewah tetapi dibebani dengan hutang bertimbun dan ada yang sentiasa nampak senyum di media sosial tetapi sebenarnya dia menangis bila bersendirian.
Hidup ini bukan perlumbaan.
Allah tidak memberikan jalan hidup yang sama kepada setiap manusia. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada yang diuji dengan kekayaan, ada yang diuji dengan kesihatan dan ada yang diuji dengan kehilangan. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah yang bermaksud, "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah, ayat 155).
Di sini dapat kita simpulkan bahawa, Allah sendiri telah memberitahu bahawa kehidupan ini adalah medan ujian. Bentuk ujian setiap orang tidak sama. Ada yang diuji dengan kehilangan harta, ada yang diuji dengan kesihatan, ada yang diuji dengan kematian orang tersayang, dan ada juga yang diuji dengan kesusahan hidup.
Justeru, jangan bandingkan jalan hidup kita dengan jalan hidup orang lain. Masing-masing sedang memikul ujian yang berbeza. Yang Allah nilai bukanlah bentuk ujian yang kita terima, tetapi bagaimana kita menghadapinya dengan sabar, syukur dan tawakal.
Sikap suka membandingkan hidup kita dengan orang lain sebenarnya juga tidak pernah adil. Jika kita mahu membandingkan sesuatu, seeloknya cuba bandingkanlah diri kita hari ini dengan diri kita yang semalam. Adakah kita menjadi insan yang lebih sabar, lebih bersyukur, lebih penyayang dan lebih dekat kepada Allah. Itulah ukuran yang benar-benar membawa ketenangan.
Sesekali, kembalilah mengimbau zaman ketika kita kanak-kanak dulu. Kenanglah rumah kecil kita yang penuh dengan gelak ketawa. Ingat semula lauk sederhana yang dimakan bersama dan jasa ibu bapa yang bekerja keras walaupun rezeki mereka tidak seberapa. Dengan ini kita akan kembali sedar bahawa kebahagiaan tidak pernah bergantung kepada banyaknya harta, tetapi kepada besarnya rasa syukur.
Hari ini, mungkin kita memiliki lebih banyak daripada apa yang kita ada dulu. Kita ada rumah yang lebih selesa, makanan yang lebih mewah dan pakaian berjenama tapi jangan biarkan hati kita jadi miskin kerana terlalu sibuk membandingkan diri dengan orang lain.
Hidup setiap orang tidak sama. Kita datang daripada latar belakang yang berbeza, memikul ujian yang berbeza dan berjalan di atas jalan yang berbeza. Jadi, berhentilah membandingkan. Sebaliknya, syukurilah apa yang ada.
Bila hati kita dipenuhi dengan rasa syukur, kita akan sedar bahawa kebahagiaan tidak pernah datang hanya dengan berjaya memiliki atau meniru kehidupan orang lain.Sebaliknya, kebahagiaan akan lahir bila kita belajar menghargai kehidupan yang Allah telah tetapkan untuk kita.
Inilah antara mesej yang saya kongsikan dalam buku Hidup Kena Kuat. Di mana salah satu bab di dalamnya mengajak kita berhenti membandingkan diri dengan orang lain dan kembali melihat nikmat yang sering kita abaikan.
Bila kita terima hidup seadanya dan mensyukuri setiap kurniaan Allah, hati menjadi lebih tenang, fikiran lebih lapang dan kita akhirnya sedar bahawa kekayaan sebenar bukan terletak pada apa yang kita miliki tetapi pada kemampuan kita menghargai apa yang telah diberikan kepada kita.
.
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment