“Luangkan masa bersama ibu bapa. Layan mereka dengan baik. Kerana suatu hari nanti, apabila kamu mengangkat pandangan daripada telefon, mereka mungkin sudah tiada lagi di situ.”
Dulu, ketika kita masih kecil, kita tidak pernah terfikir betapa berharganya setiap detik yang kita habiskan bersama emak dan ayah. Bagi kita, mereka akan sentiasa ada. Setiap pagi, emak sibuk di dapur menyediakan sarapan, manakala ayah pula bersiap-siap untuk pergi bekerja. Kita pula kelam-kabut mencari stoking, buku sekolah atau kasut yang entah ke mana hilangnya.
Itulah rutin pagi kita dahulu.
Ada kalanya emak terpaksa menjerit berkali-kali kerana kita masih belum bersiap. Ayah pula sesekali mengingatkan supaya jangan lambat ke sekolah. Perkara yang nampak biasa ketika itu, tetapi apabila dikenang semula, semuanya terasa begitu dekat di hati.
Ketika itu, kita tidak ada telefon pintar di tangan. Tak ada TikTok, Instagram, Facebook atau WhatsApp yang membuatkan kita leka berjam-jam. Kalau kita nak bercakap, kita akan bercakap secara berdepan. Kalau nak tengok wajah emak dan ayah, kita hanya perlu menoleh. Perhatian kita tidak dibahagikan antara manusia di hadapan mata dengan dunia di dalam skrin.
Tanpa kita sedari, banyak masa kita habiskan bersama mereka.
Ketika emak memasak, kita akan duduk di dapur menemaninya. Kadang-kadang emak suruh kita kupas bawang, cuci sayur atau basuh pinggan. Ketika emak melipat pakaian, kita pula sibuk membantu menyusun baju ke dalam almari dan kalau ayah sedang membaiki basikal, kita akan berdiri di sebelahnya sambil memerhatikan apa yang sedang dibuat.
Ada kalanya kita ikut emak dan ayah ke pasar membeli barang dapur. Walaupun sekadar berjalan di celah gerai dan menunggu mereka memilih ikan atau sayur, kita tetap seronok kerana dapat keluar bersama.
Semua itu nampak seperti perkara kecil. Kita tidak pernah menganggapnya sesuatu yang istimewa. Tetapi hari ini, apabila kita sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri, barulah kita sedar sesuatu. Rupa-rupanya, perkara-perkara kecil itulah yang menjadi antara kenangan paling besar dalam hidup kita.
Namun, apabila semakin dewasa, kehidupan kita mula berubah. Kita mempunyai pekerjaan, tanggungjawab dan urusan sendiri. Masa semakin banyak dihabiskan di tempat kerja. Kalau ada kelapangan, kita keluar melepak dengan kawan-kawan di kedai mamak. Hujung minggu pula kita mahu meluangkan masa bersama pasangan dan anak-anak. Itu semua perkara biasa. Kita sedang menjalani kehidupan dan membina masa depan sendiri.
Tetapi dalam kesibukan itu, muncul pula satu lagi perkara yang semakin banyak mengambil masa kita, iaitu media sosial. Ada kalanya kita duduk bersama emak dan ayah, tetapi mata lebih banyak tertumpu pada telefon. Ketika mak sedang bercerita, kita pula sibuk membaca komen di Facebook, ketika ayah bertanya sesuatu, kita menjawab sepatah dua tanpa benar-benar memberikan perhatian.
Kadang-kadang kita berkata, "Nanti dulu, mak." Atau, "Kejap lagi saya telefon balik. Saya nak balas komen Facebook ni." Ada juga masanya kita menjawab, "Lain kali kita sembang."
Kita berkata begitu kerana kita merasakan masih ada hari esok untuk mendengar cerita mereka. Masih ada masa untuk duduk bersama dan masih ada peluang untuk pulang dan meluangkan masa seperti dahulu. Tetapi kita lupa satu perkara. Semakin hari kita bertambah usia, emak dan ayah juga semakin dimamah usia.
Bayangkan satu keadaan.
Kita sedang duduk bersebelahan dengan mak setelah sekian lama kita tidak pulang menjenguknya kerana terlalu sibuk dengan kerja, keluarga dan urusan sendiri. Jadi masa untuk bersama mak semakin terbatas. Tetapi ketika emak mula bercerita, mata kita masih leka memandang telefon. Sesekali kita akan menyahut, “Ya, mak... Saya dengar.” Padahal kita sendiri tidak tahu apa yang emak sedang ceritakan. Jari masih ligat menatal skrin. Mata pula masih tertumpu pada mesej dan notifikasi yang tidak pernah habis.
Kerana faham atau mungkin dia fikir yang kita sedang sibuk dan tak mahu mengganggu, lalu perlahan-lahan mak pun berhenti bercerita. Dia kembali diam, sedangkan kita terus leka dengan telefon.
Mungkin cerita emak ketika itu bukanlah sesuatu yang penting. Mungkin sekadar cerita tentang jiran sebelah rumah, pokok bunga yang baru tumbuh, harga barang di kedai atau kisah seseorang yang ditemuinya pagi tadi. Tetapi kita terlupa satu perkara, mak bukan mahu menyampaikan cerita tapi dia sekadar mahu bercakap dengan anak dia. Dia mahu merasakan bahawa anak yang dahulu selalu duduk di pangkuannya masih sudi meluangkan masa untuk mendengar ceritanya. Dia mahu merasakan bahawa kehadirannya masih penting dalam kehidupan kita. Dia tidak perlukan jawapan atau nasihat tapi dia cuma mahu kita memandang wajahnya, mendengar ceritanya dan sesekali bertanya, "Lepas tu mak?"
Tetapi kita terlalu sibuk memberikan perhatian kepada dunia di dalam telefon sehingga terlupa menghargai manusia yang sedang duduk betul-betul di hadapan mata. Sehinggalah situasi ini berlaku iaitu... "One day, when you look up from your phone, they won't be there anymore."
Ketika itu, kerusi di sebelah kita sudah kosong dan tak ada lagi suara emak yang bertanya, "Kamu dah makan?" atau suara ayah yang memanggil dari ruang tamu. Ketika itulah kita akan teringat semula cerita-cerita kecil emak yang pernah kita abaikan. Ketika itulah kita mula teringin sekali lagi mendengar suara ayah bertanya perkara yang sama berulang kali. Malah, mungkin kita sanggup memberikan apa sahaja untuk duduk semula di sebelah mereka walaupun hanya untuk mendengar satu cerita yang tidak berapa penting.

No comments:
Post a Comment