Tuesday, 17 July 2018

Perang Perdagangan US-China dan kaitannya dengan Pasaran Saham Malaysia.



Berbanding minggu sebelumnya, pasaran saham pada minggu lepas  ( 9-13 Julai 2018)  nampaknya  mula kelihatan stabil dan  mampu  menyerap tekanan  jualan berterusan yang dilakukan oleh pelabur asing yang ingin meninggalkan pasaran tempatan. Buktinya, Bursa Malayisa mula menunjukkan sedikit peningkatan untuk ditutup pada 1,721 mata, meningkat 18 mata dari minggu sebelumnya. 

Senario ini pasti  membuat anda yang sudah lama tidak memasuki pasaran mula berkira-kira untuk memasuki pasaran.

Namun, walaupun keadaan pasaran sudah kelihatan stabil dan menarik serta ditambah pula banyak kaunter-kaunter  saham yang  ‘terlebih jual’,  ada satu isu yang perlu anda teliti sebelum membuat keputusan memasuki pasaran kerana isu ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pergerakan pasaran secara keseluruhan untuk jangka panjang. Isu yang dimaksudkan   ialah  isu perang perdagangan  yang sedang rancak berlaku di antara China dengan Amarika.  

Perang perdagangan ini secara rasminya telah bermula pada 6 Julai 2018 yang lalu apabila Presiden Donald Trump mengumunkan kerajaan Amerika  akan mengenakan tariff sebanyak USD$34 billion ke atas produk yang diimport dari begara China.  Kesannya, ribuan barangan yang diimport dari negara China untuk dijual di pasaran Amerika  telah terjejas. Antaranya ialah  produk tembakau, bahan  kimia, arang batu, keluli, produk elektronik , aluminium serta pelbagai produk penguna yang lain seperti tayar kereta, perabot, basikal dan produk kayu.

Untuk membalas tindakan Amerika itu, kerajaan China juga  turut  mengenakan tariff bernilai USD$34 billion keatas beberapa produk Amerika  yang diimport ke negara tersebut seperti  buah-buahan segar, daging khinzir dan wain.  Sekarang ini kerajaan China sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tariff import ke atas produk pertanian Amarika pula terutamanya  kacang soya sekiranya perang perdagangan ini berlarutan.

Apa kaitannya perang perdagangan Amerika-China ini dengan negara kita?

Sebagaimana yang  kita ketahui, Malaysia  banyak mengeksport produk ke negara China dan Amerika. Misalnya komponen elektronik yang dibuat di negara kita di eksport ke negara China. Antara komponen elektronik yang dikeluarkanialah seperti mikrocip computer dan telefon bimbit.  

Disebabkan  kerajaan  Amerika  telah mengenakan tariff ke atas produk-produk  komputer dan telefon bimbit  keluaran negara  China, ia  akan menyebabkan harga komputer dan telefon bimbit buatan China  menjadi mahal apabila ianya  dijual di negara Amerika.  Ini seterusnya akan menjejaskan atau  mengurangkan permintaan ke atas  produk tersebut di Amerika.

Kesan dari pengurangan permintaan ini, pihak pengeluar telefon bimbit dan komuter yang berpusat atau beroperasi  di  negara China mula  mengurangkan  pengeluaran telefon bimbit dan computer mereka.  Apabila keadaan ini berlaku, kilang-kilang  di Malaysia yang menjadi pembekal kepada mikrocip untuk dieksort ke negara China  akan turut merasai kesannya dan sebagai tindak balas, pengusaha kilang ini juga turut mengurangkan aktiviti pengeluaran.  Ini seterusnya akan menyebabkan pendapatan pengusaha kilang yang mengeluar mikrocip tadi  mula merosot dan seperti biasa, mereka akan mengambil langkah penjimatan dan saya rasa anda semua sudah  maklum apa tindakan yang bakal dilakukan oleh mereka.

Kesan  ini tidak dialami oleh syarikat Malaysia  yang berurusan dengan negara China sahaja. Syarikat atau kilang Malaysia yang mengeksport produk atau komponen elektronik, barangan solar dan mesin basuh ke Amarika syarikat juga turut terjejas akibat krisis perdagangan Amerika-China ini kerana kerajaan China juga mengenakan tariff yang sama ke atasproduk keluaran Amerika yang diimport ke negara China. Dianggarkan sebanyak USD$5.3 billion hasil eksport produk-produk kita  ke Amerika bakal  terjejas jika krisis ini berpanjangan.

Apa kesannya kepada ekonomi dan pasaran saham ?

Sebagaimana yang kita telah bincangkan pada minggu lepas, pelabur asing sudah pun meninggalkan pasaran Malaysia semenjak dua bulan yang lalu. Pertamanya kerana ketelusan kerajaan Malaysia yang mengistiharkan jumlah hutang negara telah mencecah RM1 Trillion dan yang keduanya kerana ketidak tentuan suasana politik semasa dan kes 1MDB yang masih dalam siasatan.

Tindakan pelabur asing yang menjual pegangan mereka di Malaysia juga  telah menyebabkan nilai ringgit menjadi  semakin menyusut dan ini seterusnya akan memberi kesan kepada pendapatan boleh guna penduduk Malaysia dan kadar inflasi negara. Pasaran saham juga menerima kesan dari tindakan pelabur asing meninggalkan negara kita. Pasaran saham kita menjadi semakin tidak menarik. Apabila berlaku pula krisis perang perdagangan Cina- Amerika ini, ia akan menambah lagi ketidak tentuan dalam pasaran.

Walaupun bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz percaya bahawa Malaysia  masih lagi berdaya tahan dan mampu menghadapi kesan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) ini, namun sekiranya krisis ini berlarutan, ia boleh menjejaskan aktiviti perdagagan antara Malaysia-China dan Malaysia-Amerika. Jika keadaan ini tidak dipantau dan  diatasi oleh kerajaan Malaysia dan negara-neagara yang terlibat, bukan saja ekonomi kita yang terjejas, malah ekonomi dunia  bakal menghadapi krisis yang lebih teruk berbanding tahun 1997 dan 2008 yang lalu (Starbiz, 16 July,2018).

Jika krisis ini berpanjangan, banyak sektor ekonomi dalam negara kita  bakal terjejas. Sektor perindustrian dan perkilangan dijangka menerima kesan yang paling teruk  akibat krisis  perdagangan ini sebagaimana yang kita bincangkan tadi.

Selain dari sektor perindustrian, sektor perbankan dan pembinaan juga bakal menerima kesan negative. Oleh itu, kepada anda yang bercadang untuk melabur atau membeli kaunter-kaunter yang  berkaitan perindustrian, pembinaan dan perbankan, anda dinasihatkan mengkaji terlebih dahulu kesan perang perdagangan ini ke atas sektor-sektor  tersebut supaya anda dapat mengurangkan risiko kerugian.

Namun begitu, ada juga sektor  yang dijangka mendapat kesan positif akibat krisis perdagangan Amerika- China ini . Sektor tersebut ialah sektor perladangan. Jika krisis ini berlarutan dan kerajaan China  mengambil keputusan untuk mengenakan tarif  import ke atas produk bersasakan kacang soya  dari Amarika, secara tidak langsung ia akan mengurangkan permintaan terdahap produk tersebut di negara China, terutamanya minyak soya.  Sebagai  ganti, minyak kelapa sawit akan mengambil tempat di hati penduduk  di negara China dan ini bakal memberi kesan positif kepada saham di dalam sektor ini.  Jadi Saham-saham berkaitan perladangan mungkin boleh dipertimbangkan.  

Manakala  kaunter-kaunter saham yang berkaitan dengan barangan pengguna, petroleum dan  gas serta sektor  perkhidmatan pula  dijangka tidak banyak menerima kesan negatif akibat krisis perdagangan Amerika-China ini. Ini adalah kerana sektor –sektor  ini tidak terlibat secara langsung dengan krisis perang perdagangan Cina-Amerika.  Anda mungkin boleh membuat kajian tentang kaunter-kaunter yang beradadalam sektor-sektor yang disebutkan ini.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...